Friday, November 26, 2010

Cucu

Lelaki baru kahwin janda, haram nikahi cucu isteri


SEORANG lelaki berkahwin dengan seorang janda yang mempunyai seorang anak lelaki.

Anak lelakinya sudah berkahwin dan mempunyai anak perempuan iaitu cucu janda berkenaan.
Apakah hukum datuk bersentuhan dengan cucu perempuan tadi apabila dia sudah baligh?

Bolehkah datuk berkahwin dengan cucunya jika neneknya meninggal dunia?



Bagaimana pula dengan harta peninggalan datuk apabila sudah meninggal dunia nanti?



TUGIMAN
Selangor


MENURUT hukum fiqah perkahwinan antara lelaki dan perempuan menjadi haram apabila ada pertalian yang terlarang di antara mereka iaitu (1) atas sebab nasab, (2) atas sebab pertalian kahwin atau semenda dan (3) atas sebab pertalian sesusuan.

Ini dapat dilihat dalam al-Quran yang berbunyi: "Dan
janganlah kamu kahwini (wanita) yang diperisterikan bapa kamu, kecuali apa yang berlaku pada masa yang lalu. "Sesungguhnya perbuatan itu adalah satu perkara yang keji dan dibenci (oleh Allah) serta menjadi seburuk-buruk jalan (yang dilalui dalam perkahwinan). Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (wanita berikut): ibumu, anakmu, saudaramu (adik-beradik), saudara bapamu dan saudara ibumu, anak saudaramu yang lelaki, anak saudaramu yang perempuan, ibumu yang menyusukan kamu, saudara susuanmu, ibu isterimu, anak tiri yang dalam pemeliharaanmu daripada isteri yang kamu campuri, tetapi kalau kamu belum campuri mereka, maka tiadalah salah kamu mengahwininya.

"Dan bekas isteri anakmu sendiri yang berasal daripada benih kamu. Dan menghimpunkan dua beradik (untuk dikahwini) kecuali yang berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, (mengahwini) isteri orang, kecuali hamba yang kamu miliki. Itulah ketetapan hukum Allah ke atasmu. Dan dihalalkan bagi kamu wanita selain daripada itu, untuk kamu kahwini dengan hartamu secara bernikah bukan berzina. "Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati dengannya, maka berikanlah mereka mas kahwinnya sebagai suatu ketetapan. "Dan tiadalah kamu berdosa mengenai suatu yang dipersetujui bersama, sesudah ditetapkan mas kahwin itu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana." (Surah al-Nisa' ayat 22-24).

Berkenaan cucu isteri anda di atas, dia termasuk dalam wanita yang haram dinikahi kerana hubungan atau pertalian pernikahan yang terbahagi kepada empat iaitu: (1) Isteri ayah (ibu tiri) dan terus ke atas (nenek daripada ibu tiri dan seterusnya); (2) Ibu isteri (mentua perempuan), nenek isteri daripada pihak ayah atau ibu dan terus ke atas, (3) Anak perempuan isteri dengan syarat isteri itu (ibu anak perempuan) yang sudah digauli, cucu perempuan isteri, dan terus ke bawah.

Demikian pula anak perempuan daripada anak lelaki tiri sebagaimana pendapat dan (4) Isteri daripada anak lelaki kandung (menantu) dan terus ke bawah.

Oleh itu, bersentuhan dengan cucu perempuan isteri tidak membatalkan wuduk. Anda juga diharamkan daripada mengahwininya apabila sudah berkahwin dan bersetubuh dengan neneknya.

Bagaimanapun, cucu perempuan isteri itu tidak termasuk dalam kategori waris untuk harta pusaka kerana tiada hubungan nasab.

Berkhatan

Hukum khatan budak perempuan


SAYA pernah diberitahu, bayi perempuan wajib dikhatan bagi tujuan penyucian dan mengawal nafsunya apabila dewasa kelak, tetapi ada pengamal perubatan tidak menggalakkan melakukan khatan berkenaan.

Saya mempunyai anak perempuan berusia enam bulan - lima bulan dan musykil sama ada perlu dikhatankan atau tidak. Apakah hukum sebenar berkhatan bagi bayi perempuan dalam Islam Dr?

FARHAH
Kuala Lumpur


BERKHATAN adalah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang ada di sebelah atas faraj perempuan.


Berdasarkan mazhab Syafie, amalan berkhatan diwajibkan sama ada untuk lelaki atau perempuan. Ia termasuk antara amalan yang disyariatkan Allah sebagai pelengkap fitrah semula jadi manusia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Fitrah (sifat semula jadi) itu lima perkara: Berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak." (Bukhari, Muslim)
Oleh itu, saya menyarankan anda berjumpa dan berbincang dengan doktor di klinik perubatan yang ada menawarkan perkhidmatan berkhatan.

Anda tidak perlu musykil dengan perintah dalam ajaran Islam. Ini kerana Islam ingin menjaga kebersihan dan martabat sesama manusia.

Kita tidak boleh terikut-ikut dengan idea yang dikemukakan pihak barat atau orientalis serta pengikut mereka yang cuba menidakkan amalan berkhatan terutama bagi wanita.

Malah, sekarang amalan berkhatan bagi lelaki sudah diterima di Barat. Saya berpandangan mana-mana tradisi timur yang ada asas dalam ajaran Islam hendaklah terus diamalkan.

Gelaran

Penggunaan Haji, Hajah


APAKAH dibolehkan seseorang itu ‘menuntut’ dan menggunakan gelaran ‘Haji’ atau ‘Hajah’ sesudah pulang daripada menunaikan ibadat itu?

dakah ia satu kesalahan di dalam Islam kerana tidak pernah digunakan oleh Nabi dan sahabat? Jika dibenarkan, apakah pula ulasannya?

Jawapan



Sebelum ini juga ramai bertanya sama ada gelaran ‘Haji’ boleh digunakan kepada mereka yang selesai menunaikan haji.


Saya teringat sekitar 10 tahun lalu, seorang kenalan saya memarahi rakannya kerana tidak memanggilnya dengan gelaran itu.

Bila saya tanya kenapa sampai begitu sekali, dijawabnya: “Ye la, kita dah bertungkus-lumus melaksanakan haji, berbelas-belas ribu ringgit habis, jadi hormatlah sikit kita dengan pengiktirafan.” Demikian tegasnya secara emosi.

Saya yakin, pembaca mempunyai pelbagai reaksi membaca jawapannya. Majoriti mungkin merasa tidak bersetuju dengan hujah yang disebut sahabat itu tadi.

Namun, itulah hakikat bagi sebahagian besar umat Islam, khususnya di Malaysia. Mereka ingin serta berasa selesa dan bangga dengan gelaran ‘Haji’ sesudah pulang daripada mengerjakan ibadat agung itu.

Jadi persoalan kita ketika ini, adakah ia dibolehkan di sisi Islam?
Pada pendapat saya, gelaran sebegini bukan persoalan ibadat khusus yang memerlukan kepada dalil khusus daripada amalan Rasulullah SAW atau sahabatnya.

Isu gelaran adalah sebuah isu kemasyarakatan dan sosial yang tidak tertakluk kepada dalil khusus. Ia hanya tertakluk kepada dalil umum yang mengandungi nilai dan asas, sama ada untuk mengarah atau melarang.

Dalam hal gelaran, dalil yang menjelaskan prinsip atau disiplin dalam gelar- menggelar boleh diambil daripada firman Allah SWT seperti tercatat di dalam ayat surah al-Hujurat yang bermaksud: “Janganlah kamu mencela dirimu sendiri dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah segala jenis nama panggilan yang berciri fasik selepas kamu beriman.”

Jelas daripada ayat di atas, prinsipnya adalah Allah SWT melarang umat Islam menggelar saudara seagama dengan apa juga gelaran buruk dan menyakitkan hatinya, tidak kira sama ada ia benar atau tidak, selagi mana ia dilakukan dengan niat menghina dan menjatuhkan, ia adalah dilarang.

Imam Abu Ja’far At-Tabari mengatakan: “Memanggil dengan gelaran adalah seperti seseorang memanggil saudaranya dengan cara yang dibencinya sama ada (menggunakan) nama tertentu atau sifat. Dan larangan Allah SWT itu umum tanpa sebarang pengkhususan kepada satu jenis gelaran tanpa yang lain, maka oleh itu, tidak harus (haram) bagi seorang Muslim untuk memanggil saudaranya sama ada dengan nama atau sifat yang dibencinya.” (Jami al-Bayan, 22/29)

Justeru dalam Islam, budaya gelar menggelar dengan gelaran buruk bukan tindakan benar, malah paling keji dan hanya mainan individu yang dipimpin emosi.

Jangan sesekali mudah memulakan gelaran seperti ‘ulama Mi egera’, ‘Si bodoh’, ‘Munafik’ dan lain-lain.

Walau apapun sebab dan latar belakang kemarahannya, menggelar seseorang dengan gelaran buruk bukan caranya. Ada banyak cara bahasa lain yang lebih sesuai untuk menegur seseorang.

Ia hanya akan memburukkan keadaan dan seterusnya menjatuhkan maruah anda sendiri, bukan mereka yang digelar.

Tiada kebaikan yang boleh tersebar daripadanya kecuali kepuasan peribadi pihak menggelar kononnya untuk menegakkan yang hak tetapi sebenarnya hanya memuaskan nafsu amarah masing-masing.

Islam melarang menggelarkan seseorang dengan sebarang gelaran buruk, dilarang juga mengkafirkan seseorang tanpa kejelasan yang putus atau kelak kekafiran dan gelaran itu akan kembali kepada dirinya sendiri. Seluruh gelaran buruk yang dicipta juga akan kembali kepada individu yang memberikan gelaran buruk itu.

Namun demikian, ada pengecualian jika sesuatu gelaran dibuat bagi keadaan tertentu seperti untuk membezakan antara individu, maka mereka digelar dengan sifat atau nama yang sesuai bagi fizikal mereka. Walaupun gelaran itu buruk, panggilan itu dibuat bukan untuk menghina dan merendah, ia hanya diniat untuk memberi pengenalan kepada mereka yang bertanya. Tatkala itu, ia dibenarkan.

Demikian juga jika ada maslahat lebih besar untuk dijaga, seperti ulama menggelar beberapa ‘perawi’ sebagai ‘kazzab’ yang ertinya ‘banyak berbohong’ bagi menjaga ketulenan sesebuah hadis. Namun, ia bukan diguna secara meluas hingga ke peringkat masyarakat awam kerana hal sedemikian hanya diketahui golongan ulama daripada kalangan pengkaji hadis dan perawinya.

Hadis Riwayat Abu Daud menyatakan, terjadi perbualan antara orang ramai dan Rasulullah apabila mereka memanggil baginda: “Wahai Rasulullah, wahai yang terpilih dan anak yang terpilih, tuan kami dan anak kepada tuan.”

Namun, Rasulullah SAW lantas menjawab: “Wahai manusia, kamu berkata dengan perkataan kamu, namun jangan sampai kamu diselewengkan oleh syaitan, aku adalah Muhammad, Hamba Allah dan Rasul-Nya, tiadalah aku suka kamu mengangkat darjatku melebihi darjat yang diberikan Allah kepadaku.”

Kita perlu tahu bahawa gelaran perlu digunakan secara berhati-hati supaya tidak melampau sehingga terjebak dalam kes pengikut Kristian yang menganggap Nabi Isa sebagai anak tuhan akibat berlebihan dalam mengagungkan dirinya.

Tentunya tiada halangan di dalam Islam untuk gelaran biasa yang kurang kontroversi seperti Tuan Haji, Ustaz, Dr, Datuk, Syeikh, Profesor, Tok Guru, Imam, Hujjatul Islam, Syeikhul Islam dan apa juga gelaran yang baik lagi disukai dan baik untuk digunakan sebagai penghargaan, pujian, doa dan pengiktirafan.

Isu sama ada gelaran itu akan mendatangkan rasa riak, takbur dan ‘ujub’ adalah persoalan kedua. Hal ini mempunyai sedikit persamaan dengan isu memuji seseorang di depannya.

Kesimpulannya, jika diketahui pujian itu akan memusnahkannya, jangan dilakukan. Maka larangan adalah disebabkan hal luaran yang mendatang dan bukan pada pujian itu sendiri. Demikian juga gelaran Tuan Haji, Say- yid dan sepertinya.

Oleh itu, jika kita memanggil seseorang dengan gelaran Tuan Haji dan ia disukai olehnya, sudah tentu ia tidak dilarang, sebaliknya lebih digalakkan lagi.

Ini kerana, mungkin gelaran itu boleh mengingatkannya kepada Allah SWT serta boleh mengekalkannya dirinya supaya sentiasa insaf kepada Allah SWT.

Apatah lagi apabila menjadi adat di sesebuah kawasan untuk menggunakan nama panggilan yang baik itu.

Adakalanya, gelaran ‘Haji’ juga diguna semata-mata kerana tiada gelaran lain yang sesuai untuk seseorang bagi menunjukkan hormat kita.

Saya pernah mempunyai beberapa kenalan jutawan veteran yang sangat rapat dengan saya, walaupun mereka jutawan, hartawan, pengasas dan ketua syarikat masing-masing, mereka belum menerima anugerah Datuk dan juga bukan pemegang taraf Doktor Falsafah.

Justeru, gelaran apa paling sesuai untuk memanggil mereka di samping menunjukkan penghormatan kita kepada umur peringkat itu?

Tatkala itu saya hilang idea, hanya gelaran ‘Tuan Haji’ saya kira paling sesuai setiap kali berhubung dengan mereka. Gelaran pakcik atau gelaran syeikh pasti kurang sesuai dengan orang yang berperwatakan sepertinya.

Kita sedar, kesan buruk juga boleh berganda apabila seorang bergelar ‘tuan haji’ dan ‘puan hajah’ melakukan maksiat dan dosa terang-terangan. Lebih mendukacitakan apabila kesnya membabitkan tangkapan khalwat, zina, pecah amanah dan lain-lain yang biasanya tersiar di dada akhbar.

Namun demikian, hal itu tidak menjadikan penggunaan gelaran ‘Haji’ dan Hajah’ sebagai haram.

Bagaimanapun perlu diingatkan, walaupun seseorang itu ‘harus’ mendapat atau menggunakan gelaran ‘Haji’, yang perlu disedari adalah pemergian menunaikan rukun Islam kelima itu bukan kerana gelaran yang diberi manusia, sebaliknya pandangan serta pengiktirafan Allah SWT sendiri.

Wednesday, November 17, 2010

Emas


Emas 'penyelamat' di dunia dan akhirat

Oleh ZURAIDA MOHYIN
Gambar JEFFRI IRAN

Azlina Che Abdullah (kiri) bermesra dengan peserta Bengkel Korporat Muslimah 2010 sambil diperhatikan Mohd. Rais Alias.

DALAM Islam, antara dua ibadat yang sangat dititikberatkan iaitu; solat dan zakat. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 43 yang bermaksud: Dan dirikanlah kamu akan solat dan keluarkanlah zakat, dan rukuklah kamu semua (berjemaah) bersama-sama orang-orang yang rukuk. Solat ialah berhubungkait soal peribadi individu itu dengan Allah (hablun minallah) manakala zakat ialah hubungan dengan sesama manusia (hablun minannas).

Topik kewajipan mengeluarkan zakat bukanlah asing bagi setiap daripada kita. Ini diukur menerusi jumlah kutipan zakat setiap tahun yang meningkat dari semasa ke semasa, sekali gus membuktikan kesedaran telah mula ada dalam setiap individu Islam dan syarikat korporat. Apatah lagi kewajipan ini telah ditegaskan dalam surah at-Taubah ayat 103.

Kalau sedekad yang lalu, orang kurang mengetahui tentang kewajipan mengeluarkan zakat daripada pendapatan atau gaji yang diperoleh setiap bulan, tetapi kini dengan promosi agresif agensi-agensi berautoriti berkaitan zakat serta penyediaan pelbagai kaedah pembayaran, telah membolehkan mereka yang layak hanya melaksanakannya di waktu dan tempat tanpa perlu lagi pergi ke kaunter-kaunter pungutan zakat.

Selaras dengan perkembangan ekonomi dan peningkatan jumlah usahawan wanita yang berpotensi menjadi pembayar zakat, Pusat Pengutan Zakat, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengadakan Bengkel Korporat Muslimah 2010 awal November lalu.

Bengkel setengah hari itu, menyentuh topik 'Perspektif Zakat Niaga & Emas' dengan tema Kilauan Firdausi telah membawa tiga pembentang iaitu; Pengurus Kanan Operasi Runcit Habib Jewels, Mohd. Zaruddin Mahmud yang mengupas tajuk 'Pengenalan Emas dan Perkembangannya di Malaysia'.

Panel kedua ialah Pengasas & Pengarah Urusan D'Navechee Beauty (M) Sdn. Bhd., Datuk Azlina Che Abdullah, yang membicarakan tajuk, 'Usahawan dan Perniagaan: Zakat Dilaksanakan' serta pembentang yang tidak perlu diperkenalkan, penceramah bebas dan perunding motivasi, Datuk Siti Nor Bahyah Mahamood dengan tajuk, 'Zakat dan Perhiasan'.

Pengurus Besar PPZ-MAIWP, Mohd. Rais Alias dalam ucapan perasmian berkata, wanita dan emas diibaratkan seperti irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan, ia begitu sinonim dengan kaum wanita. Begitu juga wanita dalam sektor perniagaan.

Maka, katanya, tidak hairanlah wanita masa kini dilihat mampu membantu meningkatkan ekonomi negara, khususnya dalam bidang keusahawanan.

Menurut beliau, jika dahulu orang mengatakan tempat wanita layaknya di dapur tetapi kini segalanya sudah berubah. Malah lebih membanggakan wanita mampu bersaing setanding dengan kaum lelaki.

"Namun, keghairahan usahawan wanita dalam meningkatkan ekonomi negara menjadikan mereka lupa bahawa sebenarnya mereka juga perlu menunaikan tanggungjawab berzakat.

"Atas dasar tanggungjawab itulah menyebabkan PPZ-MAIWP terpanggil mengadakan bengkel pagi ini, sekali gus memberi kesedaran kepada usahawan wanita kita," kata Mohd. Rais di hadapan hampir 200 peserta bengkel tersebut.

Sementara itu, dalam kertas kerjanya, Mohd. Zaruddin berkongsi maklumat mengenai perkembangan emas di Malaysia. Katanya, emas telah menjadi sebahagian daripada kaum wanita. Namun, sejak akhir-akhir ini, kaum lelaki juga mula berjinak-jinak dengan logam emas. Bukan untuk dipakai tetapi untuk pelaburan.

"Disebabkan nilai yang ada pada emas itulah maka ia amat berharga. Emas tidak terlalu terpengaruh dengan keadaan inflasi dan deflasi. Maka secara tidak langsung, orang gunakan emas sebagai alternatif menyimpan harta yang ada.

"Selain itu, emas juga menjadi menjadi simbol kekayaan dan kuasa. Emas juga boleh disimpan dalam bentuk nilai walau dalam keadaan ekonomi tidak menentu," katanya.

Terangnya lagi, trend semakin berubah iaitu daripada emas kuning kepada emas putih dan kini yang semakin diminati iaitu Rose Gold (emas yang berwarna ros). Perubahan cita rasa ini dikesan sejak tahun lepas. Pun begitu emas dengan reka corak sauh masih lagi diminati atau evergreen sampai sekarang.

Menyentuh perkembangan emas di Malaysia, sejak kebelakangan ini, ramai masyarakat tidak kira bangsa dan agama berlumba-lumba membeli emas sebagai satu alternatif untuk pelaburan.

"Ketika ekonomi negara merudum iaitu pada tahun 1997 dan 1998 dan dua tahun lepas, harga emas tidak jatuh tapi terus naik. "Meskipun, emas dianggap sebagai penyelamat semasa keadaan ekonomi tidak menentu. Namun, untuk tujuan pelaburan, seseorang itu kena bijak tentang selok-belok pelaburan emas," jelasnya.

Akui Mohd. Zaruddin, satu perkembangan yang sihat berlaku di mana kaum wanita sekarang ini semakin lama semakin bijak. Ini kerana mereka bukan sahaja membeli emas sebagai perhiasan tetapi sebagai pelaburan.

"Bagi saya, kita tidak perlu menunggu sehingga harga emas turun barulah merancang untuk membeli emas tetapi boleh bermula daripada sekarang.

"Malah, kita boleh mulakan dengan menggantikan duit simpanan atau duit hari raya anak-anak dengan membeli barangan kemas mereka.

"Cara ini secara tidak langsung, mendidik anak melabur secara bijak berbanding wang yang diperoleh dibeli telefon bimbit dan sebagainya," ujarnya.

Pada pagi itu juga, jutawan tanah air, Datuk Azlina Che Abdullah berkongsi beberapa rahsia kejayaan yang bermula dengan menjual kuih-muih, kemudian menjadi guru, kerani, setiausaha dan akhirnya, bergelar jutawan.

"Dulu saya memang penggemar emas sehingga pernah diperli oleh suami tetapi apabila saya jatuh tahun 1996, barang kemas itulah yang menjadi modal untuk meneruskan kesinambungan peniagaan.

"Adat orang berniaga, ada ketikanya mengalami naik turun di dalam perniagaan. Tetapi dengan melaksanakan kewajipan berzakat, banyak bersedekah, bersih hati serta ikhlas kerana Allah dalam setiap perbuatan, maka keberkatan rezeki itu memang sukar dinafikan," jelasnya.

Dahulu, kata Azlina, hati beliau selalu berkata, hendak bayar zakat nanti tunggu kaya dahulu. Apabila sudah kaya, masih tidak bayar dengan alasan sibuk.

"Saya tidak salahkan orang lain kerana pada masa itu saya jahil, saya ingatkan dengan membayar zakat sendiri kepada fakir miskin itu sudah mencukupi tetapi lama-kelamaan saya sedar yang selama ini, saya tidak melakukannya secara betul," akui Azlina apabila mula membayar zakat secara betul bermula tahun 2004, rezekinya terus bertambah.

Cerita wanita gigih ini lagi, ibunya seorang ibu tunggal dahulunya adalah seorang penerima zakat. Bermula daripada saat itulah, beliau sentiasa berdoa dan meminta Allah SWT memudahkannya agar dapat menaikkan martabat ibu yang juga tulang belakang mereka anak-beranak.

Salah satu ayat yang sentiasa menjadi pemangkin semangat kepadanya, kata Azlina ialah sepotong ayat daripada surah ar-Rad ayat 11 yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah nasib yang ada pada diri mereka sendiri.

Begitu juga dalam surah al-Insyirah ayat 5 dan 6 yang bermaksud: Kerana sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan.

Ilmu Qiraat

Ilmu Qiraat Dirayah

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD
ILMU berkaitan Qiraat al-Quran perlu mendapat bimbingan yang tepat daripada guru yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut.

Pengetahuan mengenai ilmu ini bukan untuk menambah kekeliruan tentang tata cara membaca al-Quran. Tetapi memberi gambaran betapa luasnya rahmat Allah SWT dengan memberi kelonggaran kepada umat nabi Muhammad dalam membaca al-Quran.

Segala apa yang dipaparkan dalam penulisan berkaitan Qiraat dipanggil ilmu Qiraat Dirayah.

Qiraat Dirayah adalah maklumat mengenai sejarah tokoh Qiraat merangkumi kelahiran, sejarah guru mereka dan perkembangan Qiraat dahulu dan sekarang.

Selain itu, taujih Qiraat juga dianggap sebagai Qiraat Dirayah. Maklumat sebegini amat penting untuk dikongsi bersama sehingga kita mengetahui kronologi Qurra yang disepakati ulama bacaan mereka adalah mutawatirah.

Di samping mengetahui juga Qurra yang mana ulama mendefinisikan sebagai Qiraat Syazah.

Seorang tokoh Quran yang terkenal Sheikh Mahmud Khalil Husari (meninggal tahun 1980) pernah merakam bacaan al-Quran dengan riwayat Hafs daripada Imam Asim dan riwayat Warsy daripada Imam Nafei'.

Selepas rakaman tersebut diudarakan di corong radio di Mesir ketika itu, ramai yang tertanya-tanya siapakah Hafs? Bilakah beliau dilahirkan? Siapakah Warsy? Siapakah gurunya? Apakah usul bacaannya? Bagaimana sanad bacaan Quran mereka? Bilakah mereka meninggal dunia? Dan beberapa soalan lain berkaitan Qiraat Tujuh dan Sepuluh.

Bagi merungkai dan menjawab semua persoalan yang berligar tentang sejarah, usul dan perkembangan Qiraat yang disebut sebagai Qiraat Dirayah itu, Sheikh Khalil al-Husari menulis satu buku dan menamakanya Ahsan al-Athar fi Tarikh al-Qurra Arba'ta 'Asyar.

Rujukan lain yang mampu memberi jawapan yang lengkap berkaitan Qiraat Dirayah ini adalah kitab yang bertajuk Tarikh al-Qurra al-'Asyarah wa Ruwatuhum yang dikarang oleh Sheikh Abdul Fattah al-Qadhi.

Selain Qiraat Dirayah, terdapat Qiraat Riwayat. Untuk menguasai Qiraat Riwayah metod pembelajarannya mestilah berguru dengan membaca semua riwayat al-Quran di hadapan guru.

Ia tidak memadai dengan membaca buku Qiraat, walaupun kita mempraktis kesemua kehendak yang terdapat dalam buku Qiraat tersebut. Belajar tanpa guru, risiko kesilapan dalam menyebut khilaf Qiraat adalah tinggi.

Bagaimana boleh seseorang membaca Isymam iaitu kaedah memuncung kedua bibir atau bagaimana membaca Isymam ketika percampuran antara huruf sad dengan zai?

Atau bagaimana hendak membaca tashil huruf hamzah? Semua bentuk usul Qiraat ini walaupun terdapat huraian dalam kitab Qiraat namun ia tidak mampu dibaca dengan tepat melainkan berguru secara talaqqi atau dipanggil juga musyafahah.

Kesimpulannya, sejarah perkembangan Qiraat di masa lalu adalah penting untuk kita mengetahui di samping kita mempelajari usul Qiraat di hadapan guru.

Semua Qurra Tujuh atau Qurra Sepuluh yang terpilih adalah ulama yang menghabiskan usia mereka berkhidmat untuk al-Quran al-Karim.

Sebab itulah, Imam Syatibiy dalam satu syairnya berdoa agar Allah SWT memberi ganjaran yang terbaik untuk mereka kerana menjadi nadi kepada perkembangan Qiraat hingga ke hari ini.

Siti Aisyah

Usia Siti Aishah semasa kahwin

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

berkahwin adalah antara sunah nabi saw kepada umatnya yang berkemampuan.

DISAMPAIKAN kepada kami (al-Bukhari) oleh Ubaid ibn Ismail yang mendengar daripada Abu Usamah daripada Hisyam daripada ayahnya (yang bernama Urwah) yang berkata: Khadijah meninggal dunia tiga tahun sebelum Nabi Muhammad SAW berhijrah ke Madinah dan baginda kemudiannya menduda selama dua tahun atau mendekati dua tahun sebelum hijrah (ke Madinah) setelah itu Siti Aishah menikah (dengan Nabi) pada umur enam tahun dan tinggal serumah (dengan Nabi Muhammad) tatkala berumur sembilan tahun.

Hadis di atas adalah satu-satunya hadis yang dianggap paling kuat mengenai umur sebenar Siti Aishah ketika bernikah dengan Rasulullah s.a.w, iaitu enam tahun.

Namun hadis inilah yang kesahihannya dipertikaikan walaupun ia dianggap muktabar kerana merupakan salah satu hadis yang terkandung dalam kumpulan hadis Sahih Bukhari.

Sebabnya, kita maklum bahawa setiap hadis yang dikumpulkan oleh Bukhari di anggap rujukan yang paling utama dalam Islam selepas al-Quran.

Terutama yang melibatkan soal halal dan haram serta perintah larangan dan suruhan maka segala aspek mengenai sanad dan perawi-perawi hadis akan diperiksa dengan ketat.

Bagaimanapun, apabila melibatkan riwayat mengenai kisah hidup Siti Aishah terutama umurnya waktu bernikah dengan Nabi Muhammad dikatakan hadis oleh Bukhari ini boleh disemak kembali kesahihannya.

Ini kerana ia tidak melibatkan soal hukum, halal atau haram maka dianggap kurang penting untuk dipastikan soal ketepatan perawi hadis mengenai Siti Aishah ini.

Lalu ini dijadikan alasan oleh sesetengah pihak untuk mendapatkan fakta yang sebenar di sebalik 'nikah 6' dan 'kumpul 9 tahun' - perkahwinan Ummul Mukminin dengan Rasulullah ini.

Kalau dikatakan Siti Aishah berkahwin dengan Rasulullah pada umur enam tahun dan baginda sendiri berumur 51 tahun ketika itu, maka ini bermakna isteri baginda itu dilahirkan ketika Rasulullah berusia 45 tahun. Iaitu lima tahun selepas baginda diangkat sebagai Rasul, pada usia 40 tahun.

Sedangkan dikatakan ketika baginda diangkat sebagai Rasul itu pernah disaksikan sendiri oleh Siti Aishah.

Sebabnya, beliau adalah antara yang golongan yang paling awal memeluk Islam, iaitu menduduki tempat ke-18 sebagaimana yang dicatat oleh Ibnu Ishaq dalam kitab sejarahnya Sirah An Nabawiyyah.

Dengan lain perkataan Siti Aishah memeluk Islam ketika usia masih kecil lagi (bukannya bernikah ketika usia yang sangat muda).

Urutan nama-nama sahabat Rasulullah yang awal memeluk Islam (As-Sabiqun al-Awwalun) menurut Ibnu Ishaq;

1) Ali ibn Abi Talib,

2) Abu Bakar As Siddiq,

3) Zaid ibn Haritsah,

4) Uthman bin Affan,

5) Zubair ibn Al Awwam,

6) Abdul Rahman ibn Auf,

7) Saad ibn Abi Waqas,

8) Thalhah ibn Ubaidillah,

9) Abu Ubaidah Al Jarrah,

10) Arqam ibn Al Arqam,

11) Utsman ibn Mazh'un,

12) Quddamah ibn Mazh'un,

13) Abdullah ibn Mazh'un,

14) Ubaidah ibn Harits ibn Muththalib,

15) Said ibn Zaid,

16) Fathimah binti Umar ibn Al Khattab,

17) Asma binti Abu Bakar,

18) Siti Aishah binti Abu Bakar.

Jadi tidak mungkin semasa Rasulullah diangkat menjadi nabi akhir zaman, Siti Aishah belum lahir.

Malah dikatakan Siti Aishah memeluk Islam ketika berusia tujuh tahun, satu angka yang dikatakan sesuai bagi seorang kanak-kanak memahami soal agama dan memilih agama yang dianggapnya benar dan boleh diikut.

Justeru apabila Aishah memeluk Islam berusia tujuh tahun ketika Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul dan menikah dengan baginda ketika baginda berusia 51 tahun ini bererti mereka bernikah ketika Siti Aishah berusia 18 tahun (51-40>11)+7 > 18 tahun.

Ini bermakna mereka tinggal hidup bersama sebagai suami isteri ketika Siti Aishah berusia 21 tahun ketika Rasulullah sendiri berusia 54 tahun.

Hari Raya Korban

Selamat menyambut hari raya aidil adha! maaf zahir dan batin...

Bersangka baik niat orang berkorban

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH

semangat korban dibuktikan dengan ikatan ukhuwah menerusi gotong-rorong. - Gambar hiasan

ORANG yang berkorban akan dikurniakan kebajikan sebanyak bulu binatang yang dikorban. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu dan darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

Mungkin kesedaran dan pemahaman daripada beberapa janji Allah SWT buat hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat korban, antaranya seperti di atas, telah menimbulkan keinsafan sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesedaran umat Islam dalam penganjuran majlis korban di negara ini setiap tahun.

Tetapi yang menjadi persoalan ialah niat di sebalik melaksanakan ibadat tersebut. Adakah kerana mengikut aliran atau trend semata-mata atau ia dilakukan kerana keinsafan dan mahu mendapat keredaan Allah.

Pengerusi Eksekutif Darul Fuqaha, Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, amalan agama di kalangan masyarakat meningkat kerana kefahaman yang semakin bertambah.

Apabila masyarakat makin memahami Islam, secara automatik amalan-amalan Islam memperlihatkan peningkatan.

Katanya, begitu juga dengan amalan korban. Peningkatan amalan itu di kalangan masyarakat adalah tanda positif bahawa usaha dakwah dan penyebaran ilmu Islam semakin meningkat di negara kita ini.

"Hari ini, kita melihat di Lembah Klang sendiri usaha-usaha dakwah berkembang pesat. Surau-surau dan masjid dihidupkan dengan kuliah-kuliah ilmu.

"Sudah tentu ia memberi kesan kepada peningkatan amalan Islam termasuk ibadah korban. Kepentingan melakukan ibadah korban pula bukan hanya dibicarakan di institusi masjid mahupun surau, malah pihak media massa, mahupun media elektronik semakin berperanan memberikan kesedaran. Semua itu bagi saya menyumbang kepada kesedaran ini.

"Begitu juga dengan jawatankuasa masjid, penggantungan kain-kain rentang dan sepanduk yang mempromosi ibadah korban. "Ringkasnya amalan Islam mesti dipromosikan. Apabila promosi dibuat peningkatan amalan di kalangan umat akan berlaku. Kerana itulah Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 27: Dan isytiharkanlah kepada orang ramai melakukan ibadah haji… Ertinya Allah mengarahkan baginda Ibrahim untuk membuat 'perisytiharan'. Itu adalah satu promosi ibadat," kata Dr. Mohd. Khairuddin.

Menjawab segelintir pihak yang mengatakan peningkatan ini disebabkan ada peserta nampak seperti mahu menunjuk-nunjuk, Dr. Mohd. Khairuddin berkata, Allah berfirman dalam surah al-Haj ayat 34 bermaksud: Tidak akan mencapai Allah daging-daging (ternakan yang disembelih) dan darah-darahnya tetapi yang mencapai Allah ialah ketaqwaan daripada kamu.

Ayat ini jelasnya, memperingatkan tentang kepentingan membetulkan niat ketika berkorban iaitu demi mendapat keredaan Allah. Namun perlu difahami bahawa niat adalah sesuatu yang tersembunyi di dada manusia tidak diketahui oleh manusia lain.

Justeru itu ulama Islam menegaskan: "Kita menghukum berdasarkan zahir dan Allah yang menguruskan apa yang tersembunyi."

"Ertinya kita hanya berhak melihat kepada luaran amalan korban tadi. Apa pun niatnya berkorban diserahkan kepada Allah, bukan kerja kita untuk menghukum dan menilainya," tegas beliau.

Apabila masyarakat Islam semakin ramai berkorban menyembelih ternakan kita perlu menafsirkannya sebagai satu amalan positif petanda peningkatan amalan Islam.

Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, apa yang penting syiar ibadah seperti korban mesti dilaksanakan tanpa kita mempertikaikan niat di sebaliknya.

Malah perlu difahami, meninggalkan satu amalan kerana takut riak, itu merupakan satu riak seperti ditegaskan oleh para alim ulama dalam karya-karya berkaitan kesucian jiwa.

"Kesimpulannya, kita mengajak masyarakat berkorban dengan melakukan seperti mana tuntutan hukum fiqh. Pada masa sama, kita mengajak mereka membetulkan niat berkorban kerana Allah.

"Ibadah korban mesti dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan sunnah muakkadah dan dalam masa yang sama berusaha perbetulkan niat kamu," ujarnya.

Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, kisah korban bermula dengan sejarah Ibrahim yang diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih anaknya. Apabila perintah itu hampir dilaksanakan, Allah menebusnya dengan seekor binatang sembelihan sebagai gantinya. Seterusnya ia menjadi sunnah bagi umat terkemudian. Ia diceritakan dalam surah Saffat ayat 102-108.

"Cerita ini menggambarkan ketaatan tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim dan Ismail kepada Allah. Ini cerita akidah dan keyakinan. Ibrahim dan Ismail meyakini bahawa Allah yang mencipta dirinya, memberinya nyawa, mengurniakan rezeki dan menghidup serta mematikan manusia.

"Apabila berhadapan dengan perintah Allah, manusia tidak ada pilihan selagi dia makan dan minum rezeki yang diberikan oleh Allah. Maka inilah pengajaran cerita pengorbanan Ibrahim - ketaatan mutlak kepada Allah tanpa bantahan."

Dr. Mohd. Khairuddin turut memberi amaran kepada sebahagian umat Islam yang lemah keimanannya yang mana selalu mempertikaikan perintah Allah yang kononnya, dilihat tidak logik.

"Amalan Islam tidak diukur dengan logik ilmu tapi dinilai dengan keimanan. Keimanan bermaksud keyakinan dalam hati bahawa ia perintah daripada Allah yang mencipta dirinya dan berkuasa ke atas dirinya.

"Apabila dia meyakini bahawa itu merupakan perintah Allah yang lebih bijak dan pandai daripada dirinya maka dia akan meletakkan sepenuh keyakinan untuk melaksanakan perintah tersebut tanpa bahasa.

"Malangnya sebahagian manusia suka menilai terlebih dahulu perintah Allah dengan menggunakan ilmunya yang terhad. Adakah ilmu manusia meliputi apa yang lalu dan menjangkau apa yang kehadapan? Logik akal dijadikan ukuran sedangkan logik merupakan persoalan ilmu. Sesuatu yang tidak logik pada satu zaman, menjadi logik pada hari ini kerana perkembangan ilmu manusia.

"Seorang Mukmin akan menerima semua perintah Allah tanpa bahas. Tetapi seorang yang fasiq akan sentiasa membantah dan mempertikaikan perintah Allah. Tunggulah nanti di hari Akhirat, mampukah dia berhujah di hadapan Allah," tanyanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, November 15, 2010

Siti Aisyah Perawi Hadis

Siti Aishah perawi hadis

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SEBELUM lebih jauh kita pergi merentasi sejarah perkembangan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah di Madinah dan ancaman-ancaman luar dan dalam yang begitu menguji kepimpinan baginda, ada baiknya kita mengenali satu lagi nama yang cukup besar tidak sahaja dalam hidup baginda, malah dalam Islam keseluruhannya.

Beliau ialah Saidatina Siti Aishah Abu Bakar, yang kisahnya begitu banyak terukir dalam catatan sejarah.

Kepada seluruh wanita Islam, Siti Aishah adalah seorang lagi Ummul Mukminin (Ibu kepada orang yang beriman) yang perlu diteladani, terutama dalam soal kepintaran, bijaksana dan proaktif.

Pada usia 25 tahun, Nabi Muhammad menikahi Saidatina Siti Khadijah yang ketika itu adalah seorang janda berusia 40 tahun. Walaupun berstatus janda, Siti Khadijah seorang wanita bangsawan dan sangat disegani dan dihormati oleh para penduduk Mekah.

Beliau mempunyai pengaruh besar kerana kehebatan yang tiada tandingan dalam soal perniagaan dan sifat-sifat mulianya terhadap masyarakat sekeliling.

Selama pernikahan dengan Siti Khadijah ini, Rasulullah tidak pernah menikahi perempuan lain. Siti Khadijahlah satu-satunya permaisuri yang menjadi tambatan hati, sumber kekuatan dan yang melahirkan putera-puteri buat Rasulullah.

Pada umur 40 tahun, nabi SAW pun menerima wahyu. Dengan demikian baginda telah diangkat oleh Allah SWT sebagai nabi terakhir di muka bumi ini.

Namun tiga tahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah, iaitu ketika berusia 50 tahun, baginda ditimpa duka apabila isteri, Siti Khadijah yang sangat mulia itu, meninggal dunia pada usia 65 tahun.

Selepas hidup keseorangan hampir setahun, dua tahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah, iaitu pada usia 51 tahun baginda pun bernikah dengan Siti Aishah, satu-satunya anak dara berbanding isteri-isteri baginda yang lain.

Setahun selepas berhijrah ke Madinah, baginda pun hidup serumah dengan Aishah sebagai suami isteri dan ketika itu baginda dikatakan berusia 54 tahun.

Sedikit catatan asal usul mengenai Siti Aishah. Beliau seperti yang diketahui umum adalah puteri kepada sahabat baik baginda Rasulullah, Abu Bakar dan isterinya Ummu Rumman yang dinikahi sebelum memeluk Islam lagi.

Selain Siti Aishah, seorang lagi anak Abu Bakar ialah Abdul Rahman.

Namun dikatakan Ummu Rumman ini adalah isteri kedua Abu Bakar kerana isteri pertama beliau bernama Qutailah binti Abdul Uzza yang melahirkan dua orang anak iaitu Abdullah dan Asma'.

Perkahwinan Siti Aishah dengan Rasulullah tidak dikurniakan sebarang anak berbanding kakak tiri di sebelah ibu, iaitu Asma' mempunyai beberapa anak yang antaranya bernama Urwah.

Urwah pula mempunyai seorang putera bernama Hisyam yang dikatakan yang paling banyak meriwayatkan tentang Siti Aishah.

Menurut Hisyam lagi, Rasulullah suka memanggil Siti Aishah dengan panggilan yang kemerah-merahan (sesetengah berkata "Si Pipi Merah) atau dalam bahasa Arabnya Al Humaira seperti yang selalu baginda berkata: Kallimni ya Humaira! (Berbicaralah dengan aku, wahai Humaira!)

Agaknya yang dimaksudkan dengan merah di sini, kerana warna kulit Siti Aishah yang agak putih kemerah-merahan, iaitu dikatakan jauh berbeza daripada bapanya yang dikatakan bertubuh tinggi dan besar namun berkulit sawo matang.

Siti Aishah bukan sebarang wanita biasa kerana beliau sangat cerdas dan bijak.

Dalam kedudukan perawi hadis, beliau menduduki tempat keempat, iaitu sebanyak 2,210 hadis dengan 316 disebut dalam kedua-dua Sahih Bukhari dan Sahih Muslim (perawi yang pertama Abu Hurairah, 5, 374 hadis diikuti Ibnu Umar sebanyak 2,630 hadis dan Anas bin Malik sebanyak 2,286 hadis).

Beliau juga sangat berani dan mempunyai pengaruh besar terhadap umat Islam berikutan kedudukannya sebagai isteri Rasulullah.

Malah dikatakan isteri Rasulullah itu satu-satunya wanita yang menyertai peperangan Badar bagi melawan golongan kafir Quraisy.

Namun kita semua maklum di sebalik kisah Siti Aishah, ada isu dan persoalan yang masih bermain-main sehingga hari ini.

Benarkah beliau berkahwin dalam usia yang masih kanak-kanak iaitu enam tahun ketika disatukan dengan Rasulullah yang ketika itu berusia 51 tahun di Madinah?

Kebanyakan hadis mengenai perkara ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nisa'ie dan Ibn Majah yang mencatatkan bahawa Siti Aishah menikah ketika berumur enam tahun dan tinggal bersama Nabi ketika berumur sembilan tahun.

Namun, dikatakan kesemua hadis tersebut menggunakan riwayat daripada Hisham bin Urwah seperti yang disebut di awal tadi, yang dikira berpangkat cucu kepada Siti Aishah.

Kebanyakan ulama seperti Ajurri, Uqayli, Abu al-Aswad dan Imam Malik mengatakan, semua riwayat daripada Hisham dan daripada bapanya yang berkaitan Siti Aishah tidak boleh dipercayai, kerana semua riwayat tersebut berasal dari Iraq.

Yaqub ibn Abi Shaybah, Ibn Kharash dan Imam Malik, Ajurri, Uqayli dan Abu al-Aswad, semua sepakat bahawa riwayat Hisham dari Iraq tidak boleh dipercayai kerana ia tidak pernah diketahui oleh ulama-ulama Madinah.

Ini kerana sebagaimana tegas Imam Malik dan Imam al-Shafie yang mengatakan: "Setiap riwayat yang tiada sumber dari Hijaz, tiada asasnya, dan tidak boleh dipercayai."

Tehzibu'l-Tehzib, salah satu buku yang cukup terkenal yang berisi catatan para periwayat hadis, menurut Yaqub ibn Shaibah mencatat: "Hisham sangat boleh dipercayai, riwayatnya dapat diterima, kecuali apa-apa yang dia ceritakan setelah berpindah ke Iraq."

Sebagai makluman, Hisham tinggal di Madinah dan kemudiannya berpindah ke Iraq ketika berusia 71 tahun.

Di samping dikatakan bahawa Malik ibn Anas menolak riwayat Hisham yang dicatat daripada orang Iraq: "Saya pernah diberitahu bahawa Malik menolak riwayat Hisham yang dicatat dari orang-orang Iraq". (Tehzi'b u'l-tehzi'b, IbnHajar Al- 'asqala'ni, Dar Ihya al-turath al-Islami).

Sementara dalam buku Mizanu'l-ai'tidal, buku lain yang berisi huraian riwayat hidup pada periwayat hadis Nabi SAW mencatat: "Ketika masa tua, ingatan Hisham mengalami kemunduran yang teruk". (Mizanu'l-ai'tidal, Al-Zahbi, Al-Maktabatu'l-athriyyah, Sheikhupura, Pakistan, Vol. 4, p. 301)

Oleh kerana semua hadis berkaitan dengan pernikahan Aishah dikatakan berasal dari Iraq dan tidak diketahui langsung oleh ulama Madinah, maka hadis-hadis itu tidak boleh dipercayai walaupun hadis tersebut memenuhi syarat-syarat di dalam Sahhih Sittah.

Lalu ini memberikan kita kesimpulan bahawa semua hadis berkaitan perkahwinan Aishah hanya datang daripada satu sumber sahaja iaitu Hisham ibn Urwah di Iraq.

Ia tidak pernah diketahui oleh ulama Madinah di samping kebanyakan ulama hadis menolak riwayat Hisham yang berasal dari Iraq dikhuatiri diceritakan dalam usia yang sangat lanjut mahupun nyanyuk.

Ikuti keluaran akan datang merungkaikan misteri usia perkahwinan isteri kesayangan Rasulullah ini.

Berusaha

Dakwah seni Peter

Susunan ZUARIDA MOHYIN
SIAPAKAH gerangannya insan yang bernama Peter Gould ini? Melihat kepada komen-komen yang diberikan kepadanya sedikit sebanyak menggambarkan bahawa dia memiliki bakat uniknya dalam melihat keindahan Islam menerusi medium seni.

Peter Gould ialah seorang pereka grafik dan artis digital yang beroperasi di Sydney, Australia.

Menerusi jelajah dan pengajiannya ke Asia Barat sejak tahun 2002, secara tidak langsung memberikan ilham kepada Peter akan keunikan pergabungan kebudayaan yang mana ia mampu memberi penjelasan kepada salah faham terhadap Islam.

Hasil kerja Peter, 28, telah sampai kepada banyak khalayak. Bukan sahaja di Sydney malah seluruh dunia menerusi pameran, penampilan, projek-projek rekaan grafik dan gabungan dengan artis-artis lain.

Antara negara yang pernah dia adakan pameran ialah Amerika Syarikat, Malaysia, Australia, Singapura dan beberapa acara di Eropah serta Asia Barat.

Maka tidak hairanlah, Peter pernah dinobatkan oleh Yayasan Etika dan Kasih yang berpusat di United Kingdom (UK) sebagai artis Muslim berbakat pada 8 Oktober lalu.

Peter juga diberi penghormatan antara individu terpilih dalam satu penerbitan Kerajaan Australia iaitu The Australian Journey: Muslim communities.

Malah, beliau juga telah diberi gelaran sebagai Muslim Creative Artist of the Year at Mission of Hope's 2009 Achievement Awards.

Kejayaan demi kejayaan yang diterima itu sehingga Peter memenangi beberapa anugerah rekaan antaranya, ISNA 2009 pertandingan penjenamaan.

Peter juga telah menjalin kerjasama dengan ramai artis kreatif Muslim terkemuka, termasuk pakar kaligrafi dari China, Haji Noor Deen; artis jalanan UK, Mohammed Ali; pereka bentuk, Abdullateef Whiteman dan memiliki koleksi kekal gambar-gambar yang dirakam olehnya yang terpame di Zaytuna Institute di Berkeley, California.

Dia juga mengetuai sebuah studio rekaan yang mengendalikan pembangunan jenama, identiti, bahan pemasaran dan laman web yang mampu memenuhi kehendak pelanggan seluruh dunia.

Peter yang memeluk Islam pada 2002 adalah individu yang mengasaskan laman blog Azaan dengan misi untuk meneroka keghairahannya kepada reka bentuk grafik kontemporari, kesenian, fotografi dan berkongsi kekayaan sisi kerohanian dan visual tradisi Islam.

Peter pernah datang ke Malaysia kira-kira dua tahun lalu kerana terlibat dengan pameran Austrade Lifestyle Australia yang berlangsung di KLCC.

Dalam satu temuramah yang dikendalikan sebuah majalah berbahasa Inggeris, anak kelahiran Sydney, Australia itu memberitahu, hijrah akidahnya bermula pada usia akhir remaja dan memeluk Islam pada usia 20 tahun.

"Saya tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh. Namun minat saya kepada agama mula berputik apabila mengenali seorang wanita.

"Dia seorang yang penyabar dengan setiap persoalan yang saya utarakan kepadanya, bijak dan sangat cantik.

"Lama-kelamaan saya mula mengenali serba sedikit tentang pegangan agama dan kepercayaannya.

"Malah saya juga mengikuti beberapa ceramah agama, membaca buku-buku berkaitan.

"Setelah lebih kurang setahun, saya akhirnya, mengakui bahawa agama Islam itu adalah satu-satunya agama yang logik dengan fitrah manusia," kata Peter, wanita yang memperkenalkannya kepada Islam kini bergelar isterinya yang sah.

Akuinya lagi, berpeluang melancong ke beberapa negara Islam, merupakan satu pengalaman dan peluang yang amat bermakna.

Ini kerana bermula dari hijrah itulah, dia bukan sahaja bergerak dari satu lokasi ke lokasi, tetapi yang lebih berharga hijrah akidah daripada batil kepada benar.

"Sepanjang perantauan itu, saya mula memproses rakaman dan meluahkan setiap koleksi pengalaman menerusi bidang seni dan fotografi.

"Namun yang menjadi titik-tolak perubahan kepada saya ialah ketika melawat ke Alhamra, Andalusia, Sepanyol pada tahun 2003.

"Perasaan yang wujud ketika itu sukar hendak digambarkan. Ada semacam satu tarikan yang akhirnya membawa minat saya kepada pengkajian yang lebih mendalam tentang kesenian Islam," kata Peter.

Peter

Dakwah seni Peter

Susunan ZUARIDA MOHYIN
SIAPAKAH gerangannya insan yang bernama Peter Gould ini? Melihat kepada komen-komen yang diberikan kepadanya sedikit sebanyak menggambarkan bahawa dia memiliki bakat uniknya dalam melihat keindahan Islam menerusi medium seni.

Peter Gould ialah seorang pereka grafik dan artis digital yang beroperasi di Sydney, Australia.

Menerusi jelajah dan pengajiannya ke Asia Barat sejak tahun 2002, secara tidak langsung memberikan ilham kepada Peter akan keunikan pergabungan kebudayaan yang mana ia mampu memberi penjelasan kepada salah faham terhadap Islam.

Hasil kerja Peter, 28, telah sampai kepada banyak khalayak. Bukan sahaja di Sydney malah seluruh dunia menerusi pameran, penampilan, projek-projek rekaan grafik dan gabungan dengan artis-artis lain.

Antara negara yang pernah dia adakan pameran ialah Amerika Syarikat, Malaysia, Australia, Singapura dan beberapa acara di Eropah serta Asia Barat.

Maka tidak hairanlah, Peter pernah dinobatkan oleh Yayasan Etika dan Kasih yang berpusat di United Kingdom (UK) sebagai artis Muslim berbakat pada 8 Oktober lalu.

Peter juga diberi penghormatan antara individu terpilih dalam satu penerbitan Kerajaan Australia iaitu The Australian Journey: Muslim communities.

Malah, beliau juga telah diberi gelaran sebagai Muslim Creative Artist of the Year at Mission of Hope's 2009 Achievement Awards.

Kejayaan demi kejayaan yang diterima itu sehingga Peter memenangi beberapa anugerah rekaan antaranya, ISNA 2009 pertandingan penjenamaan.

Peter juga telah menjalin kerjasama dengan ramai artis kreatif Muslim terkemuka, termasuk pakar kaligrafi dari China, Haji Noor Deen; artis jalanan UK, Mohammed Ali; pereka bentuk, Abdullateef Whiteman dan memiliki koleksi kekal gambar-gambar yang dirakam olehnya yang terpame di Zaytuna Institute di Berkeley, California.

Dia juga mengetuai sebuah studio rekaan yang mengendalikan pembangunan jenama, identiti, bahan pemasaran dan laman web yang mampu memenuhi kehendak pelanggan seluruh dunia.

Peter yang memeluk Islam pada 2002 adalah individu yang mengasaskan laman blog Azaan dengan misi untuk meneroka keghairahannya kepada reka bentuk grafik kontemporari, kesenian, fotografi dan berkongsi kekayaan sisi kerohanian dan visual tradisi Islam.

Peter pernah datang ke Malaysia kira-kira dua tahun lalu kerana terlibat dengan pameran Austrade Lifestyle Australia yang berlangsung di KLCC.

Dalam satu temuramah yang dikendalikan sebuah majalah berbahasa Inggeris, anak kelahiran Sydney, Australia itu memberitahu, hijrah akidahnya bermula pada usia akhir remaja dan memeluk Islam pada usia 20 tahun.

"Saya tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh. Namun minat saya kepada agama mula berputik apabila mengenali seorang wanita.

"Dia seorang yang penyabar dengan setiap persoalan yang saya utarakan kepadanya, bijak dan sangat cantik.

"Lama-kelamaan saya mula mengenali serba sedikit tentang pegangan agama dan kepercayaannya.

"Malah saya juga mengikuti beberapa ceramah agama, membaca buku-buku berkaitan.

"Setelah lebih kurang setahun, saya akhirnya, mengakui bahawa agama Islam itu adalah satu-satunya agama yang logik dengan fitrah manusia," kata Peter, wanita yang memperkenalkannya kepada Islam kini bergelar isterinya yang sah.

Akuinya lagi, berpeluang melancong ke beberapa negara Islam, merupakan satu pengalaman dan peluang yang amat bermakna.

Ini kerana bermula dari hijrah itulah, dia bukan sahaja bergerak dari satu lokasi ke lokasi, tetapi yang lebih berharga hijrah akidah daripada batil kepada benar.

"Sepanjang perantauan itu, saya mula memproses rakaman dan meluahkan setiap koleksi pengalaman menerusi bidang seni dan fotografi.

"Namun yang menjadi titik-tolak perubahan kepada saya ialah ketika melawat ke Alhamra, Andalusia, Sepanyol pada tahun 2003.

"Perasaan yang wujud ketika itu sukar hendak digambarkan. Ada semacam satu tarikan yang akhirnya membawa minat saya kepada pengkajian yang lebih mendalam tentang kesenian Islam," kata Peter.

Sederhana

Wasatiah dalam diri remaja

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

Bersikap sederhana dalam melakukan pelbagai aktiviti perlu diterapkan agar kita tidak terlalu taksub kepada sesuatu pekerjaan atau amalan. - Gambar hiasan

WASATIAH atau bersederhana adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Islam mengajar pendekatan wasatiah dalam setiap perkataan, pemikiran, tingkah laku, perlakuan serta amalan.

Namun begitu, adakah dengan bersikap sederhana ini akan menjadikan umat kita tidak maju dan ke hadapan?

Kebanyakan umat Islam kini menyalahgunakan istilah sederhana lalu tidak mahu maju dan berserah kepada nasib dan takdir. Bagaimana remaja boleh menghayati sikap wasatiah yang sebenarnya?

Bukan ambil mudah

Ajaran Islam mengajar kita supaya bersederhana pada percakapan dan pertuturan, pemikiran dan amalan. Waima begitu, wasatiah tidaklah melunturkan seseorang manusia daripada prinsip yang benar dan yang salah.

Sebagai remaja yang baru hendak meniti alam dewasa, remaja seringkali membuat keputusan secara terburu-buru tanpa mengambil pandangan semua pihak terdekat.

Kadangkala, remaja cepat melenting dan melatah dengan sesuatu isu yang menimpa mereka, lalu mengambil jalan melampau dengan memberontak dan melakukan sesuatu yang kurang elok.

Tidak kurang juga ada remaja yang berpura-pura tidak ambil tahu masalah yang menimpa, tetapi tanpa disedari ia membarah di kemudian hari jika tidak diselesaikan.

Remaja Islam yang mengamalkan sikap wasatiah akan berupaya menyaring sesuatu hikmah kejadian dan berusaha untuk menyelesaikan sesuatu isu sebaik-baik mungkin.

Selepas perang Badar misalnya, Rasulullah SAW bersetuju membebaskan tawanan perang dengan syarat mengajar anak-anak umat Islam ketika itu untuk membaca.

Sekiranya baginda bersikap melampau dan terlalu tegas, masakan tawanan perang itu dibebaskan begitu sahaja.

Daripada sini kita dapat melihat sikap keterbukaan dan bersederhana Rasulullah, walaupun dengan pihak musuh.

Oleh itu, bersikap sederhana membawa banyak kebaikan dan manfaat sekiranya dilakukan dengan hikmah dan bijaksana.

Bersikap sederhana tidaklah bermaksud meremeh sesuatu perkara atau mengambil mudah akan sikap dan pendirian.

Bersikap terbuka juga berkait rapat dengan sifat wasatiah. Sikap wasatiah juga mengimbangi akal pemikiran dan perlakuan daripada perbuatan melampau.

Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya, tetapi ia lahir daripada ilmu yang benar, tahu membezakan yang mana benar dan yang batil serta bertolak ansur.

Menolak perkembangan ilmu, sains dan teknologi daripada Barat secara mutlak atas alasan ia berasal daripada sistem sekular dan menindas tidak harus dijadikan alasan untuk bersikap ekstrem terhadap sesuatu.

Barat suatu ketika dahulu mengambil manfaat daripada tamadun Islam terdahulu dan diadaptasikan untuk memajukan tamadun mereka sendiri.

Yang menjadi cabaran hari ini bagi remaja adalah mengimbangi antara mana benar dan mana yang salah. Jalan tengah seringkali dianggap jalan yang selamat, tetapi ia haruslah berlandaskan prinsip dan ajaran yang betul dan bijaksana.

Yang penting diinsafi oleh remaja ialah Islam prinsipnya adalah agama damai. Ada sesetengah kes-kes orang Islam yang mempamerkan imej negatif terhadap Islam.

Tetapi itu bukanlah gambaran sebenar terhadap ajaran Islam itu sendiri. Konsep salama membawa maksud sejahtera.

Islam tidak menolak kemajuan dan kesejahteraan, tetapi menuntut supaya umatnya sentiasa bersikap sederhana dan wasatiah dalam menjalani setiap jalan kehidupan tanpa mengenepikan prinsip-prinsip asas syarak dan tradisi.

Tip Ketika Tawaf

Persoalan dan tip ketika tawaf

Menyentuh Kaabah atau Hijr Ismail semasa tawaf

Jika disentuh dengan sengaja maka akan terbatal pusingan tawaf tersebut. Jika tidak sengaja maka tidak batal pusingan tawaf, boleh teruskan tawaf seperti biasa.

Jangan sekali-kali menyentuh Kaabah ketika tawaf walaupun jemaah amat hampir dengan Kaabah semasa tawaf. Terdapat kes jemaah yang begitu teruja untuk menyentuh Kaabah ketika tawaf disebabkan kedudukannya amat hampir dengan Kaabah.

Sabar, ini mungkin ujian Allah, jika berhasrat hendak menyentuh Kaabah pastikan telah selesai tawaf dengan sempurna. Begitu juga dengan Hijr Ismail.

Menyentuh Makam Ibrahim semasa tawaf

Jika disentuh Makam Ibrahim tidak membatalkan pusingan tawaf. Begitu juga berjalan melaluinya semasa tawaf.

Keraguan berkaitan bilangan tawaf selepas tawaf

Jika perasaan keraguan yang timbul selepas selesai amalan haji atau umrah maka keraguan tersebut tidak boleh ambil kira.

Sila abaikan keraguan yang datang setelah sempurna amalan haji atau umrah kita, banyakkan baca surah al-Nas dan berdoa.

Sekiranya keraguan datang semasa tawaf, contohnya berapakah bilangan tawaf yang dilakukan? Maka berpegang pada kiraan bilangan yang kecil, contoh tujuh atau enam.

Maka hendaklah berpegang pada enam dan hendaklah tawaf dengan satu pusingan lagi untuk cukupkan tujuh dengan yakin. Begitu juga semasa saie.

Mula tawaf pada bukan penjuru Hajarul Aswad

Tawaf yang dimulakan pada penjuru selain dari Hajarul Aswad adalah tidak sah, jemaah perlu membuat tambahan pusingan tawaf, ini kerana tawaf yang dimulakan pada penjuru selain dari Hajarul Aswad adalah batal dan tidak diambil kira.

Masuk dalam Hijr Ismail ketika tawaf

Semasa sedang tawaf jemaah haji tidak dibenarkan menyentuh, masuk atau hanya melalui laluan dalam Hijr Ismail kerana ia adalah sebahagian daripada Kaabah.

Begitu juga semasa tawaf tidak boleh menyentuh Kaabah (termasuk kelambu Kaabah) dan Syazarwan.

Sekiranya berhajat hendak memasuki Hijr Ismail untuk bersolat atau berdoa dalamnya atau menyentuh Kaabah atau Syazrawan pastikan telah sempurna tawaf dengan yakin.

Peringatan untuk jemaah haji atau umrah bahawa kelambu Kaabah adalah wangi pastikan sekiranya masih dalam larangan ihram pastikan tidak terlalu asyik dengan bau wangian pada kelambu Kaabah. Jika berbuat demikian dikira berdosa dan dikenakan dam.

Tawaf menggunakan kerusi roda

Jika tidak berupaya tawaf dengan berjalan kaki maka jemaah diboleh bertawaf dengan menaiki kerusi roda.

Orang yang sihat juga boleh bertawaf dengan menaiki kerusi roda, ini kerana tawaf dalam keadaan berjalan kaki adalah termasuk dalam kategori amalan sunat semasa tawaf.

Rasulullah SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang binatang. Melakukan tawaf dalam keadaan menunggang tanpa uzur, hukumnya harus.

Pastikan sorongan yang dibuat hendaklah cukup tujuh pusingan. Keadaan tawaf adalah tidak sah jika orang yang disorong tidur dalam keadaan papan punggung yang tidak tetap dan tidak pula mengetahui bilangan sorongan yang dibuat.

Pastikan orang yang akan membantu untuk sorongan tawaf tersebut boleh dipercayai dan dibuat urusan dengan jelas antara kedua belah pihak, ini bagi mengelak berlaku penipuan.

Pastikan aurat juga dijaga semasa tawaf menggunakan kerusi roda, khususnya jemaah wanita, pastikan tidak menampak aurat kaki atau betis semasa duduk di atas kerusi roda, pastikan stoking panjang dan sesuai untuk menutup aurat kaki.

Tawaf dengan yakin cukup tujuh pusingan

Pastikan tawaf yang dilakukan adalah diyakini cukup tujuh pusingan. Sekiranya tidak yakin hendaklah membuat tambahan pusingan.

Sering berlaku jemaah tawaf tidak cukup tujuh pusingan kerana bimbang di tinggalkan kawan, atau suami/isteri maka jemaah terus meninggalkan tempat tawaf walaupun dalam keadaan ragu-ragu mengenai bilangan tawaf yang telah dilakukan.

Suami/isteri dan sahabat handai hendaklah bertolak ansur dalam perkara ini, jangan mementingkan diri sendiri sehingga boleh menjejaskan ibadat orang lain.

Untuk memberi keyakinan mengenai bilangan tawaf, jemaah dinasihatkan mencari kaedah atau formula memudahkan mereka mengingati bilangan tawaf yang dibuat.

Berdasarkan pengalaman penulis ada jemaah yang menggunakan kaedah lipatan pada buku doa yang dibawa semasa tawaf, ada yang menggunakan biji tasbih dan sebagainya.

Walaupun nampak remeh tetapi ia dapat membantu kita membina keyakinan terhadap bilangan tawaf yang dibuat.

Terpisah daripada sahabat selepas tawaf

Sebaiknya sebelum bergerak di tempat tawaf, jemaah dinasihatkan membuat perancangan di manakah tempat yang paling mudah bertemu jika terpisah dengan rakan dan keluarga.

Dinasihatkan carilah tempat yang mudah untuk berjumpa. Contohnya seperti di bawah kawasan lampu hijau yang bertentangan dengan penjuru Hajarul Aswad atau mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai dan dipersetujui oleh ahli keluarga atau rakan, tetapkan had masa menunggu dan bincang serta dapatkan persetujuan bersama.

Makan dan minum ketika tawaf

Makruh makan dan minum ketika tawaf, kemakruhan minum lebih ringan daripada makan. Tidak membatalkan pusingan tawaf. Rasulullah SAW pernah minum air ketika tawaf kerana sangat dahaga.

Bercakap-cakap ketika tawaf

Tidak membatalkan pusingan tawaf. Sebaiknya elakkan, ini penting untuk mendatangkan ketenangan dan kekhusyukan semasa sedang beribadat .

Inilah antara isu-isu berkaitan tawaf dan beberapa tips sebagai panduan tetamu Allah sekalian. Walaupun adakalanya nampak remeh dan telah disentuh berulang kali dalam siri kursus haji dan sebagainya tetapi ia jugalah yang sering menjadi perkara yang berbangkit berkaitan tawaf pada saban tahun.

Kepada jemaah haji tahun 1431H diucapkan selamat berangkat ke Tanah Suci dan mengerjakan ibadat dengan tenang dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Ilmu Falak

Perkembangan ilmu falak

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
SETIAP kejadian yang berlaku di alam ini sama ada hujan, ribut petir, gerhana dan sebagainya perlu dikaji dan direnung secara empirik untuk mendapat formula kejadiannya serta bagaimana ia berlaku.

Ini termasuk menghasilkan output dalam bentuk produk yang dapat membantu meningkatkan keimanan dan kualiti hidup.

Dalam kehidupan masa kini, teknologi angkasa lepas yang paling ketara adalah teknologi satelit yang digunakan untuk tujuan kaji cuaca, komunikasi, penyelidikan alam sekitar dan atmosfera serta bagi tujuan ketenteraan.

Semua ini menunjukkan potensi dan manfaat hasil kajian manusia tentang ilmu falak.

Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan hak. Allah menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya bagi kaum yang mahu mengetahui. (Yunus: 5)

Ternyata, manfaat yang selama ini kita nikmati tanpa disedari daripada perkembangan ilmu falak adalah penentuan tarikh. Ini menjadi lebih penting terutama dalam merancang bilakah mulanya puasa Ramadan. Seterusnya menentukan cuti bagi membolehkan kita merancang perjalanan pulang berhari raya ke kampung.

Sumbangan ahli falak Yunani

Ahli astronomi purba telah memulakan beberapa teori dan siri pencerapan yang berguna untuk kajian falak seterusnya.

Antaranya, Aristarchus (310 SM -230 SM) yang membuat pengukuran saiz serta jarak bulan can matahari.

Erathosthenes (240 SM) mula membuat pengukuran diameter bumi manakala Hipparchus (150 SM) menggunakan kaedah matematik trigonometri untuk perhitungan astronomi.

Ptolemy (120 SM) pula mengemukakan konsep alam sistem geosentrik. Ia menunjukkan bahawa bumi menjadi pusat alam dengan planet lain serta matahari beredar mengelilinginya dengan jarak dan halaju tetap.

Ilmu falak dalam zaman tamadun Islam

Ahli falak Muslim memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kemajuan ilmu ini. Mereka telah mengubah skop kajian ilmu falak yang bercorak tradisi kepada saintifik.

Pada zaman khalifah al-Makmum (813-833 M), beliau memerintahkan supaya ukuran lilitan bumi dibuat dengan menggunakan kaedah astronomi dan matematik.

Ahli falak Islam telah berjaya mendapatkan ukuran lilit tersebut sebagai 40,253 kilometer (km). Ukur lilit bumi yang diperolehi dalam pengukuran moden adalah 40,084 km.

Al-Makmum menjadikan kota Baghdad, Kufah dan Basraj sebagai pusat penyelidikan unggul dengan membina kompleks penyelidikan dan makmal yang dikenali Baitul Hikmah.

Pada masa yang sama, terdapat sekurang-kurangnya empat balai cerap yang aktif membuat penyelidikan iaitu balai cerap Kaherah, Qaisun di Damsyik, Shammasiya di Baghdad dan Maraghah di Turkistan.

Antara tokoh cendekiawan Islam dalam bidang ini ialah al-Biruni, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan al-Kindi.

Al-Biruni selain mengkaji tentang geografi dan geologi turut memperbaiki teori qamari mengenai saiz bumi, matahari dan planet.

Al-Khawarizmi pula membuat kajian qamari dan kenampakan anak bulan. Ibnu Sina pula pakar dalam astro fizik manakala ak-Kindi dikenali sebagai pakar matematik dan geografi.

Didik Anak Cara Islam

Didik anak cara Islam

Oleh ZUARIDA MOHYIN
WALAUPUN ibu bapa pada zaman sekarang mementingkan pendidikan anak, namun masih ramai yang hanya memberi menekankan kepada aspek akademik semata-mata berbanding pendidikan rohaniah dan sahsiah diri.

Hakikatnya kita sentiasa dipesankan agar menjaga diri dan keluarga sebagaimana dalam surah at-Tahrim ayat 6, Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.

Jelas di sini, dalam usaha kita menjauhkan diri kita dan keluarga daripada api neraka, maka kita perlu mendidik ahli keluarga dengan sebaik-baiknya. Maka itu, sebelum kita bergerak ke arah perubahan maka diri kita sendiri perlu diperkasakan dahulu.

Pendidikan ke atas anak-anak perlu bermula sejak kecil dan ibu, bapa atau penjaga wajib mengajarkan kepada anak-anak dan jagaan mereka mengenai perkara yang perlu mereka ketahui sebagai bekalan apabila mereka baligh.

Ibnu al-Qayyim menambahkan beberapa dalil lain yang menunjukkan kewajipan mendidik. Antaranya adalah seperti berikut:

"Ajarkan anak-anak kamu solat ketika mereka masuk usia tujuh tahun. Pukullah mereka sekiranya mereka melalikan solat apabila mereka berusia 10 tahun dan pisahkan tempat tidur mereka." (riwayat Ahmad dan Abu Daud)

"Tidak ada pemberian yang lebih baik daripada seorang tua kepada anaknya melebihi adab yang baik." (riwayat Ahmad dan Tirmidzi)

"Apabila kamu mendidik anakmu, ia adalah lebih baik bagimu daripada kamu bersedekah setiap hari sebanyak setengah cupak kepada orang-orang miskin." (riwayat Ahmad, Thabrani dan Baihaqi)

Sementara itu, Ibnu Umar pula berkata: "Ajar anakmu kerana kelak Allah bertanya kepadamu mengenai apa yang kamu ajarkan kepadanya. Allah juga akan bertanya kepada anakmu berkenaan bakti dan ketaatannya kepadamu."

Seperkara yang perlu ditakuti oleh setiap yang bergelar ibu dan bapa ialah Ibnu Said dan Ibnu Abbas menyatakan, Rasulullah SAW ada bersabda: Siapa yang mendapat anak, berikan dia nama yang baik kepada anaknya dan mendidiknya dengan baik. Apabila anak itu mencapai usia baligh, hendaklah dia dikahwinkan kerana sekiranya anak mencapai usia baligh tetapi tidak berkahwin dan kemudian dia berzina, orang tuanya yang menanggung dosa."

Apabila ibu bapa melaksanakan tanggungjawab mendidik dengan baik, bererti mereka menjaga diri sendiri dan anak-anak mereka daripada api neraka.

Ini menjelaskan kepada kita bahawa mendidik adalah kewajipan syariat bagi setiap orang yang menjadi pemimpin, sesuai dengan kadar tanggungjawab dan tahap kepimpinannya. Sekiranya ada yang menganggap ia perkara remeh, lantas mensia-siakan tugas mendidik itu, nescaya mereka tidak terhindar daripada api neraka.

Lantaran itu, dalam usaha melaksanakan pendidikan berlandaskan ajaran Islam, kita perlu mengetahui bagaimana kita hendak memulakannya dan apa yang diperlukan apabila kita berada di titik permulaan.

Kedua, kita perlu mengetahui siapakah jemaah pertama yang menerima didikan Nabi Muhammad secara langsung. Jemaah generasi inilah yang perlu dijadikan panduan dan rujukan kita dalam cara pendidikan selepas kitab Allah dan sunnah Nabi, bukannya meniru cara hidup ataupun masyarakat di Barat sana.

Ketiga, kita perlu menyedari tidak ada jalan lain selain jalan yang ditempuh oleh generasi pertama yang terkeluar daripada kejahilan. Generasi ini yang terdiri daripada para sahabat, akhirnya mencapai puncak tertinggi dalam Islam.

Oleh itu orang yang melaksanakan tugas mendidik perlu mempunyai sifat-sifat tertentu supaya mereka boleh melakukannya dengan baik. Antaranya; hikmah, soleh, mempunyai kemahiran dalam pengurusan manusia, mewujudkan kemaslahatan manusia, melakukan kebaikan, berpengetahuan, mengamalkan ilmu dan mengajarkannya kepada orang lain, mengajar secara berperingkat iaitu dimulakan daripada yang kecil ataupun yang mudah dan hanya mengamalkan dan mengajarkan ilmu yang diperintahkan oleh Allah.

Begitulah sebahagian ilmu-ilmu penting berkenaan pendidikan anak secara menyeluruh yang dikupas di dalam buku Mendidik Anak Perempuan. Ia bagi memastikan ibu bapa pada hari ini bersedia memberikan didikan rohani dan sahsiah diri kepada anak perempuan sejak lahir, sehingga mereka berumah tangga.

Buku tulisan Abdul Mun'im Ibrahim juga bertujuan;

l Menunjukkan betapa pentingnya perasaan malu yang harus dijaga oleh anak perempuan sama ada dalam ucapan, perbuatan mahupun sikap.

l Mengelakkan ramai wanita terlibat dalam aktiviti tidak bermoral yang berpunca daripada kurangnya didikan agama yang sempurna.

l Menambahkan pengetahuan ibu bapa mengenai didikan anak gaya Rasulullah SAW yang menitikberatkan cara didikan bersepadu dan holistik kepada anak perempuan.

l Menjelaskan ajaran Islam yang memuliakan dan menyelamatkan kaum wanita daripada kehinaan seperti yang wujud pada zaman jahiliah.

l Anak perempuan adalah pihak yang banyak mengundang fitnah seperti yang pernah nabi sebutkan.

Buku setebal 397 muka surat ini terbahagi kepada 13 bab yang mengandungi tajuk-tajuk; Definisi Baligh, Mendidik Anak Cara Islam, Bersikap Adil kepada Anak, Mendoakan yang Terbaik untuk Anak, Mendidik Anak Sejak Saat Kelahiran, Pengaruh Keadaan Sekeliling kepada Pendidikan Anak, Kaedah Ganjaran dan Hukuman, Mendidik Anak Perempuan Sebelum Berusia 3 Tahun Sehingga 6 Tahun, Mendidik Anak Perempuan Sebelum Berusia 9 Tahun Sehingga 10 Tahun, Mendidik Anak dengan Akhlak yang Baik, Menerangkan Perkara-Perkara yang Terlarang, Mengajar Ilmu Rumah Tangga dan Perkara Penting Mendidik Anak Perempuan.

Sementara itu dalam buku Didik Anak Gaya Rasulullah yang ditulis oleh Prof. Dr. Huzaemah membahaskan secara terperinci berkaitan hukum-hakam, hak-hak serta kewajipan-kewajipan yang dimiliki anak kecil yang disokong oleh nas daripada al-Quran dan hadis.

Antara kandungan yang dibicarakan;

* Hukum dan hak yang ditetapkan kepada anak mengikut peringkat usia

* Segala perkara yang berhubung dengan bayi yang baru dilahirkan.

* Hukum berkhatan dan hikmah disyariatkan.

* Hukum menyusukan anak serta penjelasan mengenai syariat mendapatkan hak penjagaan anak.

* Penjelasan mengenai nafkah anak serta hukum anak dalam bersuci, solat, zakat, puasa dan haji.

* Hukum anak kecil dalam hal jual beli serta hikmahnya.

* Perincian mengenai pernikahan anak kecil, talak, kesaksian serta perihal wali.

Hasil kupasan yang ditulis oleh penulis yang memiliki kepakaran dalam bidang Fikah dari Universiti al-Azhar ini menjanjikan kepuasan yang luar biasa buat semua pembaca, khususnya para ibu bapa yang mahu mempelajari seterusnya mendalami hak-hak serta kewajipan-kewajipan permata hati mereka bagi memastikan mereka mampu mengharungi kehidupan yang sempurna di dunia yang serba mencabar ini.

Oleh itu, jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pada generasi mudanya. Ungkapan bicara yang biasa disebut-sebut acap kali menyentuh soal golongan yang bergelar orang muda, belia dan beliawanis.

Itulah hakikatnya yang perlu diterima oleh semua. Anak-anak pada hari ini kelak akan menjadi orang dewasa yang mempunyai peranan penting pada masa hadapan. Bahkan di bahu mereka tergantung nasib dunia ini kerana mereka adalah harapan generasi tua dan pewaris agama, bangsa dan negara.

Solat Berjemaah Bagi Wanita

Hidayah milik Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Mukadimah
Sheikh al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menerangkan bukti-bukti kekuasaan-Nya, menarik perhatian golongan pengingkar agar memerhatikan tanda-tanda kekuasaan dan kemampuan-Nya mengatur alam ini, kemudian Dia mencela keingkaran dan kegagalan mereka dalam kebatilan dengan hujah yang terang dan bukti jelas, lalu disusuli dengan perintah-Nya kepada Rasulullah SAW agar mengingatkan mereka dengan bukti-bukti ini yang tidak perlu diragukan lagi".

Firman Allah SWT: Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.

Ibn Kathir berkata: "Iaitu beri peringatanlah kepada manusia dengan apa yang aku utuskan kepada mereka".

Syed Qutub menambah: "Oleh itu peringatkan mereka dengan alam akhirat dan segala isinya. Dan peringatkanlah mereka dengan kejadian dunia dan segala isinya. Tugasmu adalah memberi peringatan.

"Inilah sahaja batasan tugasmu dan ini sahaja perananmu dalam dakwah. Selain dari itu tiada lagi tugas dan tanggungjawabmu kerana engkau diberi kemudahan dan ditugaskan melaksanakannya".

Firman Allah SWT: bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).

Al-Mawardi menukilkan tiga pendapat ulama berkenaan tafsiran ayat ini, iaitu:

* Kamu bukanlah penguasa yang boleh mengalahkan seseorang. Inilah pendapat al-Dahak.

* Kamu bukanlah orang yang bersifat perkasa. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Kamu bukanlah Tuhan. Inilah pendapat al-Hasan.

Ini semua menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak mampu memaksa mereka beriman.

Al-Maraghi berkata: Ia memberi maksud wahai Muhammad, engkau adalah penyeru dan tidak mempunyai kuasa untuk menundukkan hati mereka. Allah SWT sendiri yang menguasai mereka dan mempunyai kekuasaan atas jiwa mereka.

Oleh sebab itu, sesiapa yang berpaling daripada peringatan dan mengingkari kebenaran yang dikemukakan kepadanya, Allah SWT akan mengazabnya di akhirat kelak.

Kadang-kadang Allah SWT menambahkannya dengan seksa di dunia seperti diperangi, ditawan keluarganya, dijajah harta kekayaannya dan bencana-bencana yang lain.

Firman Allah SWT: akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar.

Ibn Kathir berkata: "Berpaling daripada amalan dengan segala rukunnya dan kufur dengan kebenaran sama ada melalui hati atau lisannya".

Al-Mawardi berkata: "Ada dua tafsiran ulama, iaitu berpaling daripada kebenaran dan kufur dengan nikmat. Sedangkan yang kedua pula berpaling daripada mengikut rasul dan kufur dengan Allah SWT. Inilah pendapat al-Dahak.

Firman Allah SWT: maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.

Sayid Qutub berkata: "Mereka pasti akan pulang kepada Allah dan Allah tetap akan menghukum mereka".

Al-Maraghi berkata: "Kadang-kadang Allah SWT menambahkannya dengan seksa di dunia seperti diperangi, ditawan keluarganya, dijajah harta kekayaannya dan bencana-bencana yang lain".

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka, selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.

Ibn Kathir berkata: "Mereka akan kembali pada Allah dan Kami pasti menghisab serta membalas segala amalan mereka. Jika baik dibalas baik dan jika buruk dibalas buruk".

Al-Maghari berkata: "Tidak ada jalan untuk melarikan diri bagi orang yang berpaling dan tidak ada jalan melepaskan seksa yang dijanjikan itu. Ini kerana mereka bakal kembali kepada-Ku".

Sesungguhnya benarlah firman Kami akan menyeksa mereka dan menghisab semua perbuatan yang telah mereka kerjakan.

Firman ini sebagai penghibur hati rasul-Nya dan menghilangkan kesedihan dan penderitaannya akibat pendustaan mereka kepadanya dan penentangan mereka yang berterusan terhadap baginda.

Penutup

Syed Qutub berkata: "Dengan penjelasan ini peranan Rasulullah SAW di dalam dakwah dan peranan para pendakwah yang datang selepas beliau telah dihadkan pada batasnya yang tertentu, iaitu tugas engkau ialah memberi peringatan.

"Selepas itu terserah kepada Allah urusan menghisabkan amalan-amalan mereka. Mereka tetap akan kembali kepada Allah. Mereka tidak mungkin melepaskan diri daripada hisab dan hukuman Allah.

"Namun, hendaklah difaham bahawa setengah dari tugas menyampaikan dakwah adalah menghapuskan halangan dan rintangan supaya dakwah sampai kepada manusia.

"Inilah tugas jihad yang difahamkan daripada al-Quran dansirah Rasulullah SAW tanpa kecuaian dan keterlaluan".

Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh sentiasa berpegang dengan petunjuk dan hidayah-Nya. Amin.

Hidayah

Hidayah milik Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Mukadimah
Sheikh al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menerangkan bukti-bukti kekuasaan-Nya, menarik perhatian golongan pengingkar agar memerhatikan tanda-tanda kekuasaan dan kemampuan-Nya mengatur alam ini, kemudian Dia mencela keingkaran dan kegagalan mereka dalam kebatilan dengan hujah yang terang dan bukti jelas, lalu disusuli dengan perintah-Nya kepada Rasulullah SAW agar mengingatkan mereka dengan bukti-bukti ini yang tidak perlu diragukan lagi".

Firman Allah SWT: Oleh itu berikanlah sahaja peringatan (wahai Muhammad, kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya), kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang Rasul pemberi ingatan.

Ibn Kathir berkata: "Iaitu beri peringatanlah kepada manusia dengan apa yang aku utuskan kepada mereka".

Syed Qutub menambah: "Oleh itu peringatkan mereka dengan alam akhirat dan segala isinya. Dan peringatkanlah mereka dengan kejadian dunia dan segala isinya. Tugasmu adalah memberi peringatan.

"Inilah sahaja batasan tugasmu dan ini sahaja perananmu dalam dakwah. Selain dari itu tiada lagi tugas dan tanggungjawabmu kerana engkau diberi kemudahan dan ditugaskan melaksanakannya".

Firman Allah SWT: bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).

Al-Mawardi menukilkan tiga pendapat ulama berkenaan tafsiran ayat ini, iaitu:

* Kamu bukanlah penguasa yang boleh mengalahkan seseorang. Inilah pendapat al-Dahak.

* Kamu bukanlah orang yang bersifat perkasa. Inilah pendapat Ibn Abbas.

* Kamu bukanlah Tuhan. Inilah pendapat al-Hasan.

Ini semua menunjukkan bahawa Rasulullah SAW tidak mampu memaksa mereka beriman.

Al-Maraghi berkata: Ia memberi maksud wahai Muhammad, engkau adalah penyeru dan tidak mempunyai kuasa untuk menundukkan hati mereka. Allah SWT sendiri yang menguasai mereka dan mempunyai kekuasaan atas jiwa mereka.

Oleh sebab itu, sesiapa yang berpaling daripada peringatan dan mengingkari kebenaran yang dikemukakan kepadanya, Allah SWT akan mengazabnya di akhirat kelak.

Kadang-kadang Allah SWT menambahkannya dengan seksa di dunia seperti diperangi, ditawan keluarganya, dijajah harta kekayaannya dan bencana-bencana yang lain.

Firman Allah SWT: akan tetapi sesiapa yang berpaling (dari kebenaran) serta ia kufur ingkar.

Ibn Kathir berkata: "Berpaling daripada amalan dengan segala rukunnya dan kufur dengan kebenaran sama ada melalui hati atau lisannya".

Al-Mawardi berkata: "Ada dua tafsiran ulama, iaitu berpaling daripada kebenaran dan kufur dengan nikmat. Sedangkan yang kedua pula berpaling daripada mengikut rasul dan kufur dengan Allah SWT. Inilah pendapat al-Dahak.

Firman Allah SWT: maka Allah akan menyeksanya dengan azab seksa yang sebesar-besarnya.

Sayid Qutub berkata: "Mereka pasti akan pulang kepada Allah dan Allah tetap akan menghukum mereka".

Al-Maraghi berkata: "Kadang-kadang Allah SWT menambahkannya dengan seksa di dunia seperti diperangi, ditawan keluarganya, dijajah harta kekayaannya dan bencana-bencana yang lain".

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kepada Kamilah kembalinya mereka, selain dari itu, sesungguhnya tanggungan Kamilah soal menghitung amal mereka.

Ibn Kathir berkata: "Mereka akan kembali pada Allah dan Kami pasti menghisab serta membalas segala amalan mereka. Jika baik dibalas baik dan jika buruk dibalas buruk".

Al-Maghari berkata: "Tidak ada jalan untuk melarikan diri bagi orang yang berpaling dan tidak ada jalan melepaskan seksa yang dijanjikan itu. Ini kerana mereka bakal kembali kepada-Ku".

Sesungguhnya benarlah firman Kami akan menyeksa mereka dan menghisab semua perbuatan yang telah mereka kerjakan.

Firman ini sebagai penghibur hati rasul-Nya dan menghilangkan kesedihan dan penderitaannya akibat pendustaan mereka kepadanya dan penentangan mereka yang berterusan terhadap baginda.

Penutup

Syed Qutub berkata: "Dengan penjelasan ini peranan Rasulullah SAW di dalam dakwah dan peranan para pendakwah yang datang selepas beliau telah dihadkan pada batasnya yang tertentu, iaitu tugas engkau ialah memberi peringatan.

"Selepas itu terserah kepada Allah urusan menghisabkan amalan-amalan mereka. Mereka tetap akan kembali kepada Allah. Mereka tidak mungkin melepaskan diri daripada hisab dan hukuman Allah.

"Namun, hendaklah difaham bahawa setengah dari tugas menyampaikan dakwah adalah menghapuskan halangan dan rintangan supaya dakwah sampai kepada manusia.

"Inilah tugas jihad yang difahamkan daripada al-Quran dansirah Rasulullah SAW tanpa kecuaian dan keterlaluan".

Semoga Allah SWT menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh sentiasa berpegang dengan petunjuk dan hidayah-Nya. Amin.

Tetamu

Tetamu malam

SEORANG sahabat datang menemui Rasulullah SAW mengadu kelaparan dan kesusahan yang dialaminya. Keadaan sahabat itu sangat daif dan miskin dengan pakaian yang compang-camping, rambut kusut-masai dan badannya kurus serta cengkung. Melihat keadaan sahabat itu, baginda menjadi sedih dan simpati.

Sebagai tetamu baginda menerimanya dengan seikhlas hati. Kebetulan pada ketika itu baginda tidak mempunyai apa-apa makanan dalam rumahnya untuk dirinya ataupun untuk diberikan kepada sahabat tersebut.

Baginda pun memanggil sahabat-sahabatnya lalu bertanya: "Adakah sesiapa yang sanggup melayani sahabat ini sebagai tetamu bagi pihakku pada malam ini?"

Mendengar pertanyaan baginda itu, seorang Ansar telah menyahut: "Ya Rasulullah saya sanggup melakukan seperti kehendak tuan itu."

Lantas tetamu itu pun dibawa pulang ke rumahnya dan beliau memberitahu isterinya bahawa orang itu adalah tetamu Rasulullah.

Oleh itu, mereka dikehendaki melayan dengan sebaik-baik layanan sekadar yang mampu. Mereka juga hendaklah menjamu orang itu dengan apa jua makanan yang ada.

Isteri orang Ansar itu memberitahu suaminya bahawa di rumah mereka tidak ada apa-apa makanan kecuali sedikit makanan untuk anak-anaknya sahaja.

Sambil berfikir, orang Ansar itu menyuruh isterinya bermain-main dengan anak-anaknya sehingga mereka tertidur. Jadi makanan yang ada itu dapatlah diberikan kepada tetamu tadi.

Orang Ansar itu juga berpesan kepada isterinya agar semasa tetamu itu sedang makan, dia hendaklah memadamkan pelita dan berpura-pura memperbaikinya. Isterinya hanya menurut kata suaminya itu dengan patuh dan taat.

Rancangan orang Ansar itu berjalan lancar. Dia pun menjemput tetamu itu untuk makan sambil duduk bersama-sama dengan tetamu tadi.

Apabila isterinya memadamkan pelita, si suami tadi berpura-pura mengambil dan mengunyah makanan. Tetapi sebenarnya dia langsung tidak mengambil makanan. Dia hanya berpura-pura di hadapan tetamu tadi.

Dalam keadaan yang gelap, tetamu tadi menyangkakan orang Ansar itu sedang makan bersamanya. Dia tidak tahu bahawa makanan itu hanyalah cukup untuk dirinya sahaja.

Keesokan harinya, pergilah orang Ansar ini menemui Rasulullah. Dia disambut baik oleh Rasulullah dan berkatalah baginda: "Wahai orang Ansar! Allah sangat menghargai layananmu semalam terhadap tetamu."

Sikap orang Ansar itu sangat menyenangkan hati Rasulullah. Baginda turut menasihati para sahabat dan seluruh kaum Muslimin supaya mencontohi sifat yang ada pada pemuda Ansar itu. Perbuatan menghormati tetamu sangat baik dan harus dipuji serta dicontohi.

Saturday, November 6, 2010

Larangan Menyombong

Published: Rabu November 3, 2010 MYT 2:42:00 PM
Larangan Menyombong Diri
Hadith:

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:“Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah”. Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan”.

Riwayat Muslim

Huraian :

1. Sifat sombong dan takbur adalah ditegah oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya demi menjaga kesejahteraan hidup.

2. Kita harus melakukan apa sahaja yang disukai demi keselesahan dirinya sendiri mahupun keluarga tetapi janganlah sampai melanggar batas syariat dan janganlah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain kerana ia akan menimbulkan perasaan dengki dan benci orang lain yang mengakibatkan permusuhan.

3. Islam tidak melarang umatnya daripada mengutamakan keindahan dalam sesuatu perkara kerana keindahan itu adalah kesempurnaan yang boleh membangkitkan ketenangan.

Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Friday, November 5, 2010

Bukti

Bumi bukti kekuasaan Allah

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sheikh al-Maraghi berkata: "Allah SWT telah menerangkan tentang kedatangan hari kiamat, bahawa manusia pada hari itu terbahagi kepada dua golongan, iaitu golongan manusia yang celaka dan yang bahagia.

"Seterusnya Dia menjelaskan pula bahawa golongan yang celaka selalu berada dalam keadaan hina-dina, manakala golongan yang bahagia yang saat itu bersuka ria, yang mana tergambar pada wajah-wajah ceria.

"Lalu, ditegaskan dengan mengemukakan hujah-hujah untuk melumpuhkan orang yang mengingkari-Nya. Diarahkan pendangan mereka untuk mengamati jejak kekuasaan-Nya atas sesuatu yang ada di hadapan mereka dan yang berada dalam jangkauan penglihatan mereka seperti langit yang menaunginya, bumi yang menyanggahnya, unta yang dimanfaatkan untuk berpergian serta dimakan dagingnya, diminum susunya, manakala bulu-bulunya dijadikan pakaian, dan gunung-ganang sebagai panduan mereka di padang sahara dan ketika menyusuri jejak".

Firman Allah SWT: (Mengapa mereka yang kafir masih mengingkari akhirat) tidakkah mereka memperhatikan keadaan unta bagaimana ia diciptakan?

Al-Mawardi berkata: Berdasarkan ayat-ayat ini menunjukkan tiga perkara:

i. Untuk mereka berdalil dan mengambil bukti serta pengajaran atas kudrat Allah dan Keesaannya.

ii. Supaya mereka mengetahui berkenaan kudrat-Nya atas semua perkara dan mampu serta berkuasa untuk membangkitkan mereka pada hari kiamat, seperti kata Yahya bin Salam.

iii. Allah SWT tatkala menyifatkan syurga kepada mereka lantas mereka yang sesat merasa hairan. Justeru, disebut bagi mereka tentang perkara yang ajaib untuk menghilangkan kehairanan mereka. Inilah pendapat Qatadah.

Kenapa dinyatakan unta?

Sayid Qutub berkata: Unta merupakan haiwan masyarakat Arab yang utama. Ia merupakan alat kenderaan dan pengangkutan mereka. Susu dan dagingnya menjadi makanan dan minuman mereka.

Bulu dan kulitnya menjadi pakaian dan khemah mereka. Ia merupakan sumber utama kehidupan.

Di samping itu, unta mempunyai sifat-sifat yang tidak ada pada haiwan-haiwan yang lain. Walaupun bentuk tubuh badannya kuat, besar dan gagah namun ia mudah dituntun.

Ia akan mengikut dan patuh walaupun dituntun oleh kanak-kanak yang kecil. Walaupun kegunaan dan perkhidmatannya begitu besar, namun perbelanjaan memeliharanya kecil. Makanannya senang dan belanjanya murah.

Unta adalah binatang yang paling sabar dan tahan lasak. Ia tahan lapar, dahaga, penat dan gigih menghadapi keadaan-keadaan yang buruk.

Firman Allah SWT: dan keadaan langit bagaimana ia ditinggikan binaannya?

Ibn Kathir berkata: Syuraih al-Qadi menyebut: Marilah keluar bersama kami sehingga kami dapat melihat unta bagaimana ia diciptakan dan langit bagaimana diangkatnya. Bagaimana Allah SWT mengangkat langit daripada bumi? Hal ini amat besar dan hebat.

Firman Allah SWT: dan keadaan gunung-ganang bagaimana ia ditegakkan?

Ibn Kathir berkata: Ia bertujuan untuk menetapkan bumi dengan pasaknya. Begitu juga dijadikan padanya sebahagian daripada manfaat dan hasil galian.

Al-Maghari menambah: Ia dapat didaki pada setiap saat, menjadi panduan bagi orang yang melintasi padang tandus dan menjadi tempat pancuran air hujan untuk mengairi tanaman dan minuman haiwan.

Firman Allah SWT: dan keadaan bumi bagaimana ia dihamparkan?

Hamka berkata: Dan perjalanan itu dilakukan di muka bumi, beratap langit, berpasak gunung dan alat pengangkutan unta. Semuanya terjadi di muka bumi, maka dengan sendirinya sebagai renungan terakhir memandang bagaimana Allah SWT menghamparkan bumi untuk manusia hidup.

Penutup

Sayid Qutub berkata: Empat ayat pendek ini mengumpulkan bahagian-bahagian alam sekitar masyarakat Arab yang ditujukan al-Quran ini kepada mereka buat pertama kalinya.

Di samping itu, ia mengumpul bahagian kejadian yang nyata di seluruh alam ini iaitu kejadian langit, bumi, gunung-ganang dan unta yang mewakili seluruh haiwan yang lain dengan keistimewaan kejadiannya serta nilai khususnya dalam masyarakat Arab.

Seluruh pemandangan terbentang kepada semua penglihatan manusia. Di mana sahaja mereka berada, akan bertembung dengan langit, bumi, gunung-ganang dan haiwan.

Walaupun sebanyak mana dan sejauh mana ilmu pengetahuan dan tamadun manusia, namun seluruh pemandangan ini tetap di dalam alam mereka dan di dalam kemampuan akal mereka.

Dan seluruh pemandangan ini menyarankan kepada mereka hikmah yang wujud di sebalik penciptaannya apabila mereka menumpukan perhatian untuk mencari makna dan tujuan di sebaliknya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar beriman dan mengetahui dalil untuk makrifah Allah SWT.

Thursday, November 4, 2010

Mengekang Nafsu

Kekang nafsu 'gelap'


BAGAIMANA cara menghentikan ketagihan terhadap nafsu dalam diri termasuk nafsu amarah, seks serta yang membawa kepada kemungkaran buat selama-selamanya dan bagaimana pula untuk dapatkan taubat sebenar-benarnya.

Sifat nafsu amarah memang sentiasa mengajak kepada dosa, di mana kegagalan mengawal nafsu syahwat bagi majoriti manusia adalah satu lumrah.

Bagaimanapun, dalam kehidupan ada segelintir yang mampu mengekang nafsu mereka hasil ‘mujahadah’ atau usaha kuat untuk menghindari, sekali gus menghentikannya. Namun, ada kalanya mereka yang mampu mengawal juga tertewas.

Allah SWT menyebut perihal kegagalan manusia dalam mengekang nafsu, sebagai contoh dalam surah Al-Baqarah, ayat 187 yang bermaksud: “Dihalalkan bagi kamu pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri kamu; mereka adalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu, kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu.”



Melalui ayat ini, sebahagian umat Islam gagal mengikat nafsu syahwat kelaminnya hingga ‘bersama’ isterinya di siang Ramadan.



Dengan segala kelemahan manusia, Allah SWT membenarkan suami isteri untuk bersama di malam hari Ramadan, namun masih ada juga yang ‘terlepas’ melakukannya di siang hari, oleh itu Islam menetapkan cara dendanya.

Kifarah adalah satu bentuk denda dan apabila seseorang melakukan dosa, taubat adalah jalannya.

Allah SWT menegaskan bahawasanya: “Sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi Rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Yusuf, 53)

Persoalan yang timbul ialah, bagaimana mengekang nafsu yang ada dalam diri.
Ringkasnya, saya ingin mengingatkan individu yang menulis soalan ini bahawa mengekang dan melawan kehendak nafsu syahwat sememangnya bukan mudah.

Itulah sifat ‘peperiksaan’ yang diberi oleh Allah SWT bagi ‘menapis’ dan mengenal pasti hamba-Nya yang bersungguh-sungguh, ikhlas dan beriman serta yang kurang dan tidak beriman. Bagi yang berjaya, ganjarannya sudah tentu sangat hebat, yakni di Syurga Allah SWT.

Justeru, kita tidak perlu mengeluh dan hairan dengan ketagihan nafsu, kedegilannya, kesukaran menanganinya dan mengawalnya.

Sebaliknya, yang perlu dilakukan adalah mengukuhkan azam untuk berubah. Ia sukar untuk diajar melalui tulisan, tetapi kesedaran dan keinginan inilah yang perlu untuk bertindak.

Caranya, kenali sumber serta punca yang mampu membiakkan ‘kekuatan’ terhadap nafsu itu, dan sebaik dikenal pasti, potong dan hapuskan ia.

Selain itu, kita perlu tahu cara, suasana, tempat dan berdamping dengan individu yang dapat menarik diri kita kepada kebaikan dan lupakan syahwat.

Kesimpulannya, proses ini memang memerlukan ‘pantang larang’ yang merujuk kepada perkara yang tidak boleh dibuat dan ‘kemestian’ yang merujuk kepada perkara yang perlu dibuat.

Ia proses ‘Sunnatullah’ untuk segala jenis penyembuhan, sama ada hati dan iman berbentuk spiritual dan juga tubuh fizikal.

Ini sama seperti menangani penyakit kencing manis daripada sudut konsepnya, di mana mereka perlu menghadapi cabaran mengawal nafsu makan yang tinggi dan terhalang daripada menikmati juadah lazat.

Jadi jelas di sini, pantang larang ini perlu dilakukan secara terpaksa itulah satu mujahadah (usaha).

Oleh itu, cuba fikirkan, bagaimana pantang larang ini akhirnya mampu dipupuk serta diikuti dan itulah satu jalan permulaan untuk mengawal nafsu dalam diri.

Ini sama bagi mengekang nafsu syahwat seks ‘gelap’, di mana setiap umat Islam perlu meyakini bahawa setiap perbuatan itu kelak pasti diazab oleh Allah SWT dengan mengingatkan bahawa adanya azab neraka, azab kubur, mati dalam kehinaan (suul khatimah) atau dalam kemaksiatan, tidak memperoleh Rahmat Allah atau tiada peruntukan syafaat daripada Rasulullah SAW.

Memang benar, implikasi buruk ini semuanya berupa hal ghaib, namun bukan itu saja, ada banyak pula implikasi buruk di dunia yang mesti disenaraikan di dalam minda dan hati seperti, ia mungkin membawa kepada perceraian, pasangan zina mengandung anak luar nikah yang akhirnya boleh membawa kepada pembunuhan terhadap anak luar nikah berkenaan bagi menutup aib, kejian masyarakat atau dijangkiti penyakit kelamin seperti AIDS.

Disebabkan itu, tanam semua implikasi berbentuk spiritual itu dalam minda dengan harapan ‘nyalaan’ nafsu itu tadi dapat ditangani.

Sehubungan itu, tentu proses pertama untuk mengekang nafsu syahwat seks ‘gelap’ adalah dengan meningkatkan ilmu dan keyakinan terhadap kedua-dua ilmu, ghaib dan fizikal, iaitu kesan buruknya.

Insya-Allah, ia akan mampu menjadi pendinding awal sebelum berlakunya dosa dorongan syahwat nafsu itu.

Orang berilmu juga ramai yang menyeleweng?
Tidak dinafikan, ramai juga yang sudah punyai ilmu tetapi masih ‘jatuh’ dan terlanjur melakukan maksiat sama ada secara serius atau tidak, besar atau kecil.

Tatkala itu, datanglah fungsi taubat yang disebut oleh Allah SWT di atas.

Berbekalkan kefahaman dan asas yang sudah ada, usaha mengukuh dan menyuburkan kembali keimanan lebih mudah daripada individu yang tiada asas dan pasak kukuh.

Kerana itu, binalah pasak dalam diri mengenai iman dan ilmu dengan segera terlebih dulu kerana tanpanya, perubahan kepada kebaikan akan terbantut di suku perjalanan.

Sebagai kesimpulan, sebagai tambahan kepada penjelasan di atas, ada perlu mengetahui perkara yang perlu serta tidak perlu dilakukan seperti:


Fikirkan sasaran kehidupan dan berusaha melaksanakannya. Jauhkan pemikiran berkenaan seks dan penuhkan masa dengan berusaha mencapai sasaran itu.
Wujudkan keyakinan bahawa Allah SWT melihat apa yang dilakukan di ketika ramai mahupun kala sendirian.
Sedarkan diri bahawa malaikat turut sentiasa bersama kita mencatat apa yang dilakukan.
Rapatkan hubungan dengan ahli keluarga yang baik dan soleh.
Putuskan hubungan ‘songsang’ dan ‘gelap’ sama ada yang dibuat secara suka-suka atau serius, yang diperoleh melalui Internet atau fizikal, melalui laman sembang, e-mel, web dan sebagainya. Jika berseorangan di depan komputer boleh menyebabkan pemikiran syahwat naik, elak berseorangan di depan komputer.

Jika berbual mesra dan makan tengah hari bersama rakan sekerja lain jantina itu puncanya, elak melakukannya dan makan sendirian atau bersama jantina yang sama.

Putuskan hubungan adik, kakak dan abang angkat berlainan jantina kerana ia tidak lain kecuali haram dan pendorong maksiat.
Sertai kumpulan NGO atau kumpulan berasaskan dakwah dan keagamaan kerana dengannya, ia membuka ruang mendapat rakan yang baik, selain itu masa kosong dan pemikiran syahwat dapat dibendung.
Ziarah kubur secara kerap supaya syahwat menjadi tawar akibat pemikiran kepada kematian.
Kalau komputer dan Internet kerap menjadi punca peningkatan syahwat, banyakkan mendengar bacaan al-Quran di depan komputer. Insya-Allah, dengannya rasa malu akan timbul. Namun jika syahwat masih ‘menggila,’ segera berhenti dan lihatlah awan, langit, pokok dan laut dan ingatkan kebesaran Allah.
Memastikan harta diperoleh daripada sumber halal kerana sumber haram menambah perisa syahwat kepada yang lebih kuat dan dahsyat. Ia ibarat mutasi virus yang lebih berbahaya kepada kesihatan.
Amalkan puasa sunat, zikir secara berdisiplin setiap kali (baca zikir mathurat contohnya) selepas solat dan doa sebanyak mungkin ketika sujud di dalam solat supaya diberi kekuatan untuk mengawal nafsu syahwat.
Segera beristighfar dan bertaubat walau belum jatuh dalam maksiat berat sebagaimana dinyatakan dalam Surah Al-Imran, bahawasanya: “... dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhanmu dan syurga yang terbentang seluas langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa.”