Friday, May 20, 2011

Isteri Tanggung belanja Rumah

Tidak haram isteri tanggung belanja rumah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BENARKAH rakan saya mengatakan haram jika seorang isteri menanggung sebarang kos perbelanjaan seperti makanan dan pakaian kerana itu menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya.

Alhamdulillah pendapatan saya lebih besar daripada isteri cuma perbelanjaan keluarga kami kongsi bersama.

Bagaimanapun, saya masih menanggung sebahagian besar perbelanjaan seperti ansuran rumah dan kereta, pakaian, persekolahan anak-anak, pembantu rumah, insurans dan perubatan.

Isteri pula mengeluarkan perbelanjaan untuk keperluan dapur serta makanan termasuk susu anak.


Minta Dr beri penjelasan mengenai perkara terbabit.


ZAINAL
Perak


ISLAM menetapkan kewajipan suami isteri antaranya, suami wajib menyediakan nafkah kepada isteri dan anak berbentuk makanan dan minuman, tempat kediaman, pakaian serta perubatan.

Dalam keperluan memberi nafkah, ia hendaklah bergantung kepada kemampuan suami. Sementara isteri wajib melayan suami sepenuhnya di samping memenuhi tanggungjawab lain, sesuai dengan kedudukan�nya sebagai isteri dan ibu.

Islam menghendaki suami bekerja untuk menanggung anak dan isteri. Apabila suami bekerja, isteri pula menguruskan rumah tangga dan anak termasuk menjaga makan dan minum serta melakukan kerja rumah.

Itulah pembahagian kerja yang adil antara suami isteri. Isteri tidak boleh bergoyang kaki menunggu suami. Isteri perlu menyumbang usaha membangunkan rumah tangga supaya bahagia dan selesa.

Perkara berkenaan dibuktikan apabila puteri Rasulullah s.a.w, Fatimah al-Zahra iaitu isteri Saidina Ali bin Abu Talib melakukan kerja rumah seperti memasak, membakar roti dan mengisar tepung hingga diriwayatkan tangannya menjadi pecah-pecah.

Oleh kerana kerja rumah sangat berat, Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Nabi s.a.w supaya mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah.

Tetapi Nabi s.a.w menyuruh Fatimah terus melakukan kerja itu dan tidak pula menyuruh Ali melakukan kerja rumah atas tanggungjawabnya sebagai suami.

Pada hari ini, ramai pasangan suami isteri bekerja. Keadaan itu ada kalanya menyebabkan urusan rumah tangga tidak sempurna. Kebanyakan keluarga memilih untuk mempunyai pembantu rumah sementara anak pula dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak.

Mengenai pendapat kenalan anda itu, ia sama sekali tidak benar dan keterlaluan jika ada menyatakan haram jika isteri membayar kos barang makanan dan keperluan lain.

Islam membenarkan isteri membayar secara sukarela, lebih-lebih lagi apabila dia mempunyai pendapa�tan sendiri. Tidak adil jika semuanya ditanggung suami seorang diri. Dalam keadaan ini, sudah tentu perkongsian yang adil perlu dirancang.

Saya berpendapat, apa yang anda lakukan sudah memenuhi tanggungjawab. Cuma kita tidak mahu berlaku isteri menuntut sesuatu perkara yang berlebihan hingga menzalimi suami.

Benci Ayah

‘Saya benci ayah’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA menuntut di sebuah universiti awam. Ibu bapa saya sudah lama bercerai ketika saya berumur lebih kurang dua tahun.

Bapa tidak pernah memberikan nafkah sejak saya kecil hingga sekarang.

Selepas seorang kakak berkahwin, dia lebih kerap menjenguk dengan alasan untuk melihat cucu. Namun, pada masa yang sama dia memujuk kami tinggal bersamanya.

Ayah saya berkahwin lain selepas bercerai dan mempunyai anak-anak yang lain. Bagi saya, dia hanya ingin kami tinggal bersama apabila kami sudah dewasa dan boleh menumpang tuah.


Selama ini, ibu saya bersusah payah menjaga kami.


Disebabkan tidak mampu, adik saya terpaksa diberikan kepada orang lain untuk dijaga.

Selain itu, dia adalah seorang yang tidak mementingkan hal agama termasuk solat lima waktu. Hingga kini, saya tidak boleh memaafkan dia.

Saya masih berasa perit hidup bersama ibu tanpa bantuan sesiapa hingga menjadikan saya seorang pendendam. Saya pernah terfikir tidak sanggup menjadikannya sebagai wali.

Berdosakah saya jika sengaja mahu berkahwin di luar negara selain menggunakan khidmat wali hakim?

LEENA
Johor


ISLAM sudah menetapkan tanggungjawab seorang bapa dalam memberi nafkah kepada anak atas kemampuan masing-masing.

Apabila bapa mulai cuai atau lupa terhadap tanggungjawabnya, anak-anak menjadi mangsa.

Keadaan itu berlaku ketika perceraian antara ibu bapa. Lantaran itu, mahkamah syariah diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan apabila nafkah anak-anak diabaikan.

Pihak ibu atau anak-anak boleh membuat pengaduan di mahkamah syariah berdekatan. Tindakan demikian membantu pihak bapa dina�sihati sebaik mungkin dan diambil tindakan sewajarnya jika perlu.

Memandang kes anda sudah lama dan tiada pengaduan dibuat di mahkamah syariah selain sikap bapa yang tidak mengambil endah masalah termasuk nafkah anak-anaknya, anda menjadi begitu pendendam kepada ayah sendiri atas sikapnya itu.

Walaupun dia muncul dan mulai berbaik-baik dengan anda dan kakak anda hingga mengajak tinggal bersama, sikap anda tidak berubah dan menganggapnya sebagai helah semata-mata untuk mengambil kesempatan.

Anda juga merasakan bapa anda tidak sepatutnya menjadi wali dan ingin berkahwin
di luar negara.

Pada pandangan saya, anda tidak sepatutnya bersikap dan mengambil tindakan sedemikian.

Ini kerana prosedur mahkamah syariah menghendaki anda berkahwin dalam negeri dengan mematuhi segala rukun dan syarat perkahwinan seperti wali.

Memilih berkahwin di luar negara merumitkan keadaan kerana anda perlu melaporkan perkahwinan itu di mahkamah syariah untuk pendaftaran.

Ia pula memakan masa dan duit kerana terpaksa berbelanja lebih. Lebih baik berkahwin di negara kita saja tanpa perlu bersusah payah ke luar negara dan naik turun mahkamah nanti.

Bapa anda pula, sudah tiba masanya untuk membuang yang keruh. Ambillah tindakan yang sewajarnya sebagai anak dan hormatilah seorang bapa.

Tentu tiada seorang bapa yang sempurna dalam dunia ini kecuali seorang nabi. Setiap manusia banyak melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang berdosa itu orang yang bertaubat.

Semoga layanan anda yang baik kepada seorang bapa membawa keinsafan padanya. Hargai dirinya sebagaimana anda menghargai diri anda.