Sunday, August 21, 2011

yang layak mendapat malam qadar

Siapa layak dapat al-qadr?

Oleh ANZARUDDIN AHMAD


Umat islam perlu mencari malam al-qadr melalui pengisian berqiamullail dan ibadat yang lain.

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah.

Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.

Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.

Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.

Friday, August 5, 2011

malam lailatul

Bila dan siapa layak peroleh Lailatulqadar

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

ALLAH SWT berjanji akan meningkatkan gandaan pahala kepada setiap orang Islam yang bersungguh-sungguh dalam mengerjakan ibadat sepanjang kehidupan. Setiap hari adalah hari beribadat malah bekerja juga termasuk dalam kategori ibadat. Dengan bekerja, seseorang itu dapat memperoleh rezeki yang halal bagi menyara kehidupan dan tanggungannya.

Dalam memenuhi tanggungjawab tersebut, Allah SWT memberikan peringatan bahawa bulan Ramadan adalah bulan yang paling banyak gandaan pahalanya. Antara celahan bulan Ramadan, terdapat satu malam yang amat besar ertinya kepada orang Islam kerana pada malam tersebut dijadikan penuh keberkatan dan kebaikan.

Malam tersebut dikenali sebagai Lailatuqadar. Lailatulqadar adalah malam yang amat agung kerana dipilih Allah sebagai malam permulaan Nuzul Quran atau permulaan Allah melimpahkan cahaya agama Allah ke seluruh alam, di samping melimpahkan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar dari hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.

Gambaran keberkatan pada malam itu ialah dalam nilaian ia lebih baik daripada seribu bulan. Seribu bulan, ertinya ialah selama 83 tahun dan 4 bulan. Maknanya, sesiapa yang dapat menikmati malam tersebut akan memperolehi ganjaran pahala dalam gandaan seribu bulan.

Beruntunglah bagi mereka yang dapat mengerjakan ibadat sepanjang malam tersebut. Kelebihan dan kemuliaan malam tersebut disebut oleh Allah SWT dalam satu surah khusus, iaitu Surah al-Qadr.

"Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan (al-Quran) pada malam al-Qadr. Adakah kamu tahu (wahai Muhammad) apakah malam al-Qadr itu? Malam al-Qadr adalah lebih baik daripada seribu bulan." (al-Qadr:1-3).

Bilakah malam Lailatulqadar itu? Rasullullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kamu, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia hilang semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah SWT." (Riwayat Ibnu Majah).

Mengenai tarikh sebenar malam tersebut, para ulama tidak mempunyai kesepakatan. Bagaimanapun kesemua ulama bersetuju bahawa Lailatulqadar hanya berlaku pada bulan Ramadan, terutamanya pada sepuluh malam terakhir.

Manusia perlu mencari hikmah di sebalik misteri tarikh tepat malam tersebut. Allah SWT sengaja menyembunyikan rahsia pada malam tersebut dengan harapan manusia tidak akan menyempadankan diri hanya untuk beribadat secara terhad pada malam itu sahaja.

Allah SWT sengaja melakukannya kerana mengharapkan setiap umat Islam dapat melakukan persediaan yang lebih baik, sehinggalah boleh menikmatinya dengan kesungguhan dan penuh keimanan.

Dalam satu hadis, Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: (Riwayat Tarmizi, Nasai, Ibnu Majah dan Ahmad).

Kenapa Lailatulqadar itu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW? Menurut Imam Malik, Rasullullah SAW tersentak apabila memikirkan umur umatnya tidaklah sepanjang umat-umat sebelumnya. Menyedari mengenai keadaan tersebut, Nabi Muhammad SAW memohon pertolongan daripada Allah SWT.

Nabi Muhammad SAW memohon agar diberikan peluang beribadat sepanjang yang mungkin sebagaimana peluang itu telah diberikan kepada umat-umat sebelumnya. Akhirnya, Allah SWT mengabulkan permintaan tersebut dengan menurunkan Lailatulqadar.

Menurut Syeikh Muhammad Abduh, sebab kenapa malam tersebut diturunkan kepada umat Nabi Muhammad SAW adalah kerana ia adalah ketentuan Allah SWT. Pada malam tersebut, Allah SWT mula mentakdirkan agama-Nya dan memerintah nabi-Nya untuk menyeru manusia kepada agama yang benar. Agama yang dapat melepaskan manusia daripada segala kehancuran dan kerosakan.

Imam Nawawi pula berhujah, sebahagian ulama memberikan pandangan bahawa malam itu datangnya secara bergilir dari tahun ke tahun. Ertinya, jika pada tahun ini berlaku pada 29 Ramadan, maka pada tahun akan datang ia akan datang pada malam yang berbeza.

Pendapat tersebut turut diterima oleh Ibn Hazam dengan menjelaskan malam itu adakalanya berlaku pada malam 21, 23, 25, 27 atau 29 Ramadan, ia berlaku dalam posisi kiraan ganjil.

Ada juga ulama membuat kesimpulan setiap tahun Lailatulqadar berlaku pada tarikh yang sama, iaitu pada tanggal 27 Ramadan. Pendapat tersebut bersandarkan kepada sebuah hadis Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud: Saya mendengar Rasulullah bersabda carilah Lailatulqadar itu pada malam 27.

Menurut Ibnu Abbas, kerana surah al-Qadr mengandungi 30 kalimah dan kata salamun hiya (selamat sejahteralah malam itu) berada pada kalimah ke-27, maka malam tersebut adalah malam ke-27.

Ulama yang lain berpendapat, kalimah Lailatulqadar terdiri daripada sembilan huruf. Dalam surah al-Qadr, kalimat tersebut diulang-ulang sebanyak tiga kali, maka tentunya ia akan berlaku pada malam ke-27, iaitu sembilan didarabkan dengan tiga.

Ada ulama menetapkan malam tersebut akan berlaku pada malam Jumaat ganjil pada 10 malam terakhir bulan Ramadan. Pendapat ini dikemukakan oleh Ahmad Marzuk dan Ibnu Arabi berasaskan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a. dan seterusnya diriwayatkan oleh Imam Bukhari: "Carilah sedaya upaya kamu Lailatulqadar itu pada 10 malam ganjil pada akhir Ramadan."

Pendapat para U'bbad menyatakan ia mengikut hari permulaan awal Ramadan, bila awal puasa pada hari Ahad atau Rabu maka, malam Lailatulqadar ialah pada malam 29 Ramadan.

Bila awal puasa pada hari Jumaat atau Selasa, maka malam Lailatulqadar ialah pada malam 27 Ramadan. Bila awal puasa pada hari Khamis, malam Lailatulqadar pada malam 25 Ramadan.

Jika awal puasa pada hari Sabtu, malam Lailatulqadar ialah malam 23 Ramadan dan jika awal puasa pada hari Isnin maka, malam Lailatulqadar pada malam 21 Ramadan.

Menurut Syeikh Abu Hassan, beliau tidak pernah luput dari malam Lailatul Qadar mengikut kaedah ini.

Pengalaman mendapatkan Lailatulqadr adalah sebuah pengalaman spiritual yang paling puncak bagi orang yang bersungguh-sungguh berusaha menyempurnakan keimanannya. Maka, setiap orang Islam perlu melakukan ibadah dan ibadat dengan bersungguh-sungguh sepanjang kehidupannnya bagi mendapat keberkatan. Kemanisan keimanan akan menjadi berlipat ganda sekiranya manusia itu mampu meraih malam Lailatulqadar.

Dalam masyarakat Melayu, malam Lailatulqadar turut dikenali sebagai malam tujuh likur. Meskipun ada banyak cerita yang berkisar dalam masyarakat Melayu mengenai malam tersebut, sebahagian besarnya adalah cerita yang tidak bersandarkan petunjuk yang jelas.

Malah pada malam tersebut turut diceritakan banyak keganjilan berlaku - air berhenti mengalir, pokok sujud menyembah bumi atau malaikat turun ke bumi dalam bentuk manusia - kerana tidak semua manusia boleh menemuinya dalam bentuk nyata.

Imam Thabari menjelaskan untuk menemui malam itu, tidak disyaratkan dengan melihat sesuatu atau mendengarnya. Maka amalan sesetengah orang Melayu menunggu air paip menjadi beku pada malam tersebut perlu digantikan dengan memperbanyakkan amal ibadat yang lebih berfaedah.

Jika kita ingin mendapatkan Lailatulqadar, kita seharusnya dapat melakukan 'kiam' Ramadan. Sepanjang bulan tersebut kita hidupkan suasana ingin belajar (taklim) sepanjang masa, siang dan malam dengan beribadah, zikir, solat sunat dan qiraah (tadarus dan telaah) al-Quran.

Seluruh indera kita dipusatkan kepada pintu keampunan bagi melenyapkan diri kita daripada dosa dan dinyahkan syak wasangka.

Sepanjang bulan Ramadan, sebenarnya bulan kita bermuhasabah dan membersihkan diri daripada segala kekotoran malah ada yang mentafsirkan bulan kesembilan itu sebagai bulan penuh kebajikan.

Lailatulqadar yang kita impikan itu adalah sebuah titik yang perlu kita cari, kerana pencarian itu membawa kita kepada kemuncak kehidupan, agar amal dan ibadah kita akan diterima oleh Allah SWT, kita akan dimasukkan sebagai senarai orang yang beriman dan beramal soleh.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, August 1, 2011

berpada2 dalam berhibur

Berpadalah ketika berhibur

ABU NA'IM BAKRI
Presiden Kumpulan Rakan Siswa Malaysia (Karisma)

KITA semua sedia maklum bahawa Ramadan yang mulia telah tiba dengan semangat baru bagi setiap umat Islam untuk menjadikan bulan ini sebagai bulan 'menyucikan jiwa'.

Tetapi menyedihkan apabila kira-kira seminggu sebelum umat Islam menyambut Ramadan telah berlangsung konsert MTV World Stage 2011 yang lebih bermotifkan kepada mempromosi bandar i-City Shah Alam, Selangor di peringkat antarabangsa.

Antara artis yang terlibat dalam konsert yang berlangsung pada 24 Julai lalu ialah 30 Second To Mars iaitu pemenang kumpulan rock terbaik di MTV Europe Music Award 2010 dan kumpulan tempatan, Pop Shuvit.

Berhibur adalah tidak salah di sisi ajaran Islam, tetapi ia harus mengikut landasan yang disyariatkan untuk memastikan bahawa elemen yang dimurkai Allah tidak akan berlaku.

Maka menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan bahawa setiap aktiviti kita termasuk berhibur sentiasa berada di dalam ruang lingkup beribadah kepada Allah SWT.

Tujuan saya menulis adalah untuk memberi panduan kepada penganjur hiburan agar program hiburan yang dijalankan tidak menyalahi syarak.

Pertamanya, hendaklah dipastikan muzik, lagu dan skrip tidak mempunyai perkataan yang boleh membawa ke arah bertentangan dengan akidah seperti memburuk-burukkan Rasulullah SAW, memperlekehkan para sahabat, meragui hari kiamat dan pembalasan dosa pahala juga tiada unsur memuja atau taksub kepada wanita.

Kedua, sesuatu persembahan atau konsert yang dijalankan hendaklah tidak berlebih-lebihan sehingga hak-hak Allah dan kewajipan yang lain terabai seperti menunaikan ibadah, hak mencari dan memberi nafkah, menuntut ilmu dan sebagainya.

Ketiga, muzik atau nyanyian yang disampaikan tidak mempunyai seni kata lagu berunsur maksiat dan melalaikan seperti membawa kepada rangsangan ghairah nafsu melalui tema-tema cinta melampau, luahan perasaan dan kerinduan yang berlebihan kepada manusia sehingga mendorong pendengar dan remaja melakukan maksiat.

Keempat, hendaklah aktiviti hiburan tidak diiringi atau dialunkan dengan instrumen bunyian melampau seperti yang dilakukan penyanyi rock sehingga penonton melompat-lompat, menjerit dan bersorak mengikut rentak sehingga menjatuhkan akhlak dan mendatangkan fitnah kepada diri mereka.

Kelima, penyanyi, pembuat persembahan dan penonton yang hadir hendaklah menjaga aurat mereka, tidak melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun mempersembahkan nyanyian dengan suara lucah yang menyebabkan fitnah dan rangsangan nafsu kotor di kalangan pendengar dan penonton. Sekali pun lagu dan senikata yang disampaikan adalah baik, dalam keadaan ini ia tetap menjadi haram.

Keenam, hendaklah dipastikan tiada percampuran di antara lelaki dan wanita yang bukan mahram tanpa sekatan dan had hingga membawa kepada bersentuhan antara lelaki dan wanita, tiada majlis tari-menari, tidak berlakunya acara minum arak, pertaruhan judi, tiada drama dan lakonan liar.

Ketujuh, penyanyi tersebut hendaklah dalam kalangan lelaki jika penontonnya adalah lelaki dan wanita manakala jika persembahan itu tertutup dan semua yang berkait dengannya adalah wanita maka dibolehkan penyanyi itu daripada kalangan wanita. Ini adalah bagi mengelak segala fitnah dan punca kerosakan daripada suara wanita dan pergerakan manja wanita yang menggoda.

Inilah garis panduan yang harus ditekankan oleh pihak penganjur bagi memastikan bahawa tiada pihak yang terguris hati terutama dalam soal menghormati bulan Ramadan.

Diharap jika penganjuran konsert ini masih mahu diteruskan, diwajibkan penganjur terutama bukan Islam mematuhi undang-undang yang disyariatkan oleh agama Islam.

Tidakkah dalam agama mereka juga mengajar erti menghormati agama lain? Saya berharap dengan adanya kesedaran ini, isu tidak sensitif terhadap bulan Ramadan tidak akan berlaku.

Dalam pada itu, program yang menekankan aspek kerohanian dan patriotisme adalah lebih wajar dianjurkan sepanjang Ramadan berbanding konsert yang tidak memberi kesan positif kepada kalangan belia.

Ditegaskan sekali lagi bahawa penganjuran konsert yang tiada jaminan mengikut undang-undang 'syarak' Islam lebih wajar dibatalkan ataupun ditunda ke bulan dan hari yang lebih bersesuaian.

Penganjuran konsert yang bermatlamat selain daripada untuk menyuburkan fahaman dan tuntutan agama dilihat lebih kepada menyeru para belia terlibat dalam kancah maksiat.

Adalah lebih baik juga para belia menyedari bahawa konsert seperti ini tidak seharusnya dihadiri kerana ia mungkin akan meruntuhkan akidah serta mencacatkan amalan sepanjang bulan mulia itu.

Adalah lebih baik jika kita lebih cenderung menyertai aktiviti yang berbentuk menyucikan hati dan jiwa.

Berpadalah dalam berhibur. Mengapa tidak aktiviti berhibur ini turut 'dipuasakan' sepanjang Ramadan dan digantikan dengan konsert yang berbentuk kerohanian.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

bentuk peribadi anak di bulan ramadan

Bentuk peribadi anak-anak semasa Ramadan

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia.

IBADAH puasa di bulan Ramadan merupakan salah satu tunjang utama dalam rukun Islam dan semua umat Islam tidak kira usia perlu sedar kewajipan untuk menunaikannya termasuklah anak-anak kecil.

Walaupun kanak-kanak masih belum mukallaf iaitu diwajibkan melaksanakan syariat, namun alim ulama menyebutkan bahawa ibadah berpuasa oleh mereka adalah dianggap sebagai suatu bentuk latihan yang baik untuk keperibadian mereka sebagai Muslim yang unggul.

Menjadi tanggungjawab ibu bapa memastikan bahawa anak-anak seawal usia empat atau lima tahun belajar untuk menghayati kelebihan berpuasa di bulan Ramadan ini.

Sekurang-kurangnya, anak-anak sekecil ini diajar tentang 'roh' Ramadan itu sendiri, dengan cara mendidik untuk menghormati orang-orang lain yang sedang berpuasa.

Seterusnya, untuk melatih anak-anak berpuasa perlulah dimulakan secara berperingkat-peringkat. Turuti tahap kemampuan mereka seadanya seperti puasa setengah hari atau sekadar beberapa jam, atau hanya beberapa hari sepanjang bulan Ramadan.

Unsur ganjaran juga boleh dipraktikkan di kalangan anak-anak sebagai elemen penggalak untuk mereka berpuasa. Misalannya menyediakan masakan kegemaran mereka untuk berbuka dan bersahur, pujian, memberikan hadiah, atau sejumlah 'duit raya' jika mereka berjaya melaksanakan ibadah puasa mengikut kemampuan masing-masing.

Latihan menahan nafsu makan dan minum di siang hari serta memperbanyakkan amalan mulia adalah sangat besar kesannya apabila anak-anak ini meningkat dewasa kelak.

Mereka tidak akan berat untuk melaksanakan bukan sahaja amalan berpuasa bahkan ibadah fardu yang lain seperti solat, zakat dan sebagainya.

Begitu juga jiwa mereka akan terdidik untuk memperbanyakkan juga ibadah sampingan yang melengkapkan diri menjadi manusia yang soleh dan solehah.

Anak-anak juga tidak seharusnya dibiarkan terlalu leka menonton televisyen, bermain permainan komputer, atau membuat aktiviti yang tidak berfaedah.

Sebaliknya mereka perlu dibimbing untuk menambahkan amal ibadah yang dijanjikan ganjaran yang sangat besar oleh Allah Taala.

Ibu bapa boleh menceritakan kepada anak-anak apa perlunya berpuasa daripada konteks agama dan kesihatan agar mereka faham bahawa berpuasa adalah suatu amalan yang sangat besar kesan positifnya.

Anak-anak perlu dilatih dengan rukun dan pantang larang ketika berpuasa supaya mereka bijak memelihara kesempurnaan puasa mereka. Dalam bulan Ramadan ini juga, mereka boleh diajak untuk menunaikan solat fardu dan solat Tarawih secara berjemaah sama ada di rumah atau di masjid dan juga bertadarus al-Quran bersama-sama.

Anak-anak juga boleh diasuh untuk mengeratkan hubungan silaturrahim sesama keluarga, jiran dan masyarakat dengan menganjurkan majlis berbuka puasa, berziarah dan bersedekah.

Jika kaedah-kaedah yang disarankan ini dapat dipraktikkan kepada anak-anak sepanjang bulan Ramadan ini diharap bahawa mereka akan dapat menjadi bukan sahaja umat Islam yang diredai-Nya, bahkan menjadi insan yang sempurna akhlak dan keperibadian mereka.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: