Sunday, October 16, 2011

hayati al quran

Hayati ajaran al-Quran


SEBAHAGIAN pelajar sekolah yang mengambil bahagian sempena Program Khatam Al-Quran Perdana Peringkat Daerah Johor Bahru 2011 di Masjid Jamek Taman Perling, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/BAAZLAN IBRAHIM


JOHOR BAHRU 15 Okt. - Kesedaran terhadap kepentingan menghayati serta mengamalkan ajaran al-Quran perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam kalangan masyarakat Islam negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, penghayatan kitab suci itu amat penting dalam membentuk akhlak dan peribadi terpuji umat.
Menurutnya, masyarakat Islam tidak sewajarnya hanya tahu membaca sahaja tetapi perlu melaksanakan segala tuntutan yang terkandung di dalam al-Quran kerana ia merupakan satu kewajipan.
"Sebagai umat Islam, kita seharusnya menjadikan al-Quran sebagai pembentuk akhlak dan peribadi.
"Saya berharap kitab suci ini diletakkan di tempat yang betul dalam masyarakat," katanya semasa menutup Program Khatam Al-Quran Perdana Peringkat Daerah Johor Bahru di Masjid Jamek Taman Perling di sini hari ini.
Seramai 1,000 murid tahun empat, lima dan enam serta 500 guru dari 66 sekolah rendah dari seluruh daerah ini mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru itu merupakan kesinambungan program J-Qaf di sekolah rendah dan salah satu usaha meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan al-Quran.
Zainal Abidin berkata, majlis berkenaan itu bertujuan merealisasikan matlamat untuk menjadikan golongan muda sebagai generasi al-Quran.
Beliau berkata, program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan generasi hari ini mampu membaca kitab suci itu dengan lancar serta menjadikannya sebagai amalan sepanjang hayat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, October 11, 2011

jangan putus harap

Jangan putus asa dengan Allah

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

AGAMA Islam merupakan agama yang lengkap, seimbang dan sempurna. Sehingga dalam keadaan berperang sekali pun, Allah SWT tetap memerintahkan kaum beriman agar terus menerus mengingati dan menyebut nama Allah.

Hal ini untuk menunjukkan betapa seorang Mukmin apabila sedang berhadapan dengan suasana perang, tidak boleh kehilangan kendalian diri.

Sebaliknya tidak sedikitpun niatnya dalam berperang selain menuntut keredaan Allah SWT dalam memurnikan ketaatan hanya kepada Allah semata-mata.

Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama Allah) sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh kemenangan. (al-Anfal: 45).

Kaum beriman sangat sedar bahawa kemenangan dalam suatu medan jihad fi sabilillah merupakan kurnia yang datang atas izin Allah Taala, bukan lantaran kepiawaian mereka dalam bertempur.

Oleh kerana itu di medan peperangan sekalipun, seorang mukmin - mujahid tidak pernah boleh berhenti memohon pertolongan dan kemenangan dari Allah SWT.

Sehingga di kalangan kaum beriman dikenali adanya dua karakter yang mesti berpadu di dalam peribadi seorang perajurit Allah, yakni: Sebagai penunggang kuda di siang hari, dan rahib (ahli ibadat) di malam hari.

Kedua karakter yang berpadu di dalam peribadi seorang mukmin sebagai perajurit Allah inilah yang sepanjang sejarah sentiasa menimbulkan rasa gentar musuh-musuh Allah, baik dalam kalangan ahli kitab mahupun kaum musyrikin.

Seperti buih

Oleh kerana itu, ketika Nabi SAW menggambarkan merosotnya kualiti umat Islam lantaran terjangkit penyakit al-wahn (cinta dunia dan takut mati), maka salah satu konsekuensi logikal yang bakal muncul ialah tercabutnya rasa takut kaum kuffar terhadap kaum Muslimin yang telah lemah itu, justeru kerana cinta dunia dan takut mati.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Hampir-hampir bangsa-bangsa merebutkan kamu (umat Islam), layaknya merebutkan makanan yang berada di mangkuk." Seorang lelaki berkata: "Apakah kami waktu itu berjumlah sedikit?" Baginda menjawab: "Bahkan jumlah kamu pada waktu itu sangat ramai, namun kamu seperti buih di genangan air. Sungguh Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh kamu kepada kamu, dan akan Allah tanamkan ke dalam hati kamu al-wahn." Seseorang lalu berkata: "Wahai Rasulullah, apa itu al-wahn?" Baginda menjawab: "Cinta dunia dan takut mati. (riwayat Abu Daud).

Sungguh kita sangat khuatir bahawa hadis di atas menjadi kenyataan pada zaman kita sekarang. Di zaman penuh fitnah ini kita menyaksikan semakin ramainya orang yang mengaku Islam, namun sudah kehilangan isti'la ul-iman (kehebatan kerana iman) di dalam hatinya.

Mereka telah sedemikian cinta dunianya sehingga terlihat betapa penunjuk ukur kemuliaan dan keimanan tidak lagi berlandaskan yang sebenarnya.

Sedemikian dahsyat rasa takutnya akan kematian sehingga mereka rela untuk berkompromi dengan thagut dan ideologi mereka. Seolah dengan jalan itulah mereka dapat mempertahankan eksistensi di hadapan kaum kuffar dan thagut.

Maka tidak hairanlah jika kaum kuffar akhirnya tidak merasa takut lagi dengan kaum Muslimin yang telah terjangkit virus al-wahn tersebut.

Pada hal di dalam sirah Nabawiah (sejarah perjuangan Nabi Muhammad) begitu banyak kita bertemu teladan dalam hal memelihara kehebatan iman dan ruhul jihad.

Semua itu menjadi sangat indah sekali gus penuh kemuliaan ketika diiringi dengan ketaatan dan ketundukan kepada Allah di tengah kancah al-jihad fi sabilillahsekalipun.

IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kelantan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: