Sunday, December 16, 2012

lembut pada si miskin

ARKIB : 07/12/2012

Menyantuni si miskin

jadikanlah diri kita manusia yang pemurah dengan cara melazimkan diri selalu bersedekah.
- Gambar hiasan
ADAKAH manusia boleh menolak kedatangan orang-orang miskin dan menyatakan bahawa kemiskinan itu boleh dihindari jika mereka berusaha untuk menjadi kaya. Apakah pandangan Islam jika ada orang yang bersifat demikian dan apakah caranya supaya manusia tidak memandang serong kepada orang-orang miskin?
Jawapan
SEGALA puji bagi Allah SWT yang telah menjadikan kekayaan dan kemiskinan sebagai satu ujian bagi setiap manusia. Di dalam Islam, kemiskinan bukanlah sesuatu yang wajar dicari, namun, jika ditakdirkan menjadi miskin, seseorang itu tidak pula seharusnya membiarkan dirinya terus-menerus berkeadaan miskin. Mereka dianjurkan agar berusaha dan mencipta kejayaan dalam hidupnya. Namun, jika mereka bersabar dalam tempoh kemiskinan itu, pastilah besar pahalanya di sisi Allah SWT.
Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW yang menyeru manusia agar berusaha dan menjadikan diri mereka mampu bersedekah dan berzakat. Sudah pastilah, ia adalah satu isyarat agar kita berusaha untuk keluar daripada kemiskinan.
Namun, jangan kita lupa bahawa manusia boleh menjadi miskin dengan pelbagai sebab. Ada orang menjadi miskin atas faktor keadaan. Misalnya, harta-benda dan kekayaannya musnah akibat bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan sebagainya. Atau dia menjadi miskin kerana kegawatan ekonomi, perusahaannya bankrap atau dia dibuang kerja. Maka, dia menjadi miskin secara tiba-tiba tanpa diduga.
Ada juga orang menjadi miskin atas faktor latar belakang keluarga yang tidak berpendidikan atau memang terkekang dengan belenggu yang menghalang perubahan. Misalnya pada zaman dahulu, ada orang menjadi miskin kerana mereka lahir dalam keturunan miskin, pekerja bawahan dan juga keturunan hamba abdi, seperti Bilal bin Rabah. Sukarlah mereka untuk keluar daripada keadaan sedemikian.
Maka, untuk memuliakan manusia hamba itulah, Allah SWT telah mengizinkan agar mereka dibebaskan dengan peruntukan zakat. Bahkan, Nabi Muhammad SAW juga menyeru agar manusia sentiasa berfikir untuk menjadi lebih baik dan keluar daripada status yang lemah.
Nabi Muhammad SAW menyatakan: Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada Mukmin yang lemah dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya "KALAU" membuka amalan syaitan. (riwayat Muslim)
Hakikatnya, walau apa pun situasi kemiskinan, ia adalah ujian daripada Allah SWT. (rujuk al-An'am: 53)
Pemberian
Berbalik kepada persoalan di atas, bagaimanakah sikap orang kaya apabila didatangi orang-orang miskin? Jawapannya, sudah pastilah Islam menghendaki agar golongan miskin ini dilayan secara sepatutnya. Jika perlu memberi, maka berilah. Jika enggan memberi, maka tolaklah dengan baik. Bahkan, pemberian yang diiringi ucapan yang jahat, dipandang hina oleh Allah SWT. (rujuk al-Baqarah: 264)
Perkara yang paling dilarang adalah, jika si kaya itu enggan memberikan hartanya maka dia turut mendabik dada bahawa harta itu adalah miliknya; bahkan sebaliknya mengherdik orang-orang miskin itu agar berusaha sendiri mencari hartanya. Allah SWT menyelar golongan ini kerana mereka telah berkelakuan seperti Qarun. (rujuk al-Qasas: 78)

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20121207/ba_04/Menyantuni-si-miskin#ixzz2FBPgHo3Z
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sunday, July 8, 2012

minuman yang paling lazat

ARKIB : 29/06/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 11
Minuman paling lazat dari syurga
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI

Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul
SETELAH Allah SWT menyebut perihal Dia menunjukkan jalan kebaikan dan jalan keburukan kepada manusia menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi) (al-Balad :10). Berikutnya Allah SWT menambahkan penjelasan bahawa manusia itu terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menerima hidayah Allah SWT dan bersyukur serta golongan yang disesatkan Allah SWT dan kufur.

Kemudian, Dia mengakhiri perkara tersebut dengan apa yang disediakan untuk kedua-dua golongan itu pada hari kiamat nanti.

Allah SWT menyediakan kepada golongan pertama iaitu syurga-syurga dan kenikmatan, sehingga mereka meminum khamr - minuman yang paling lazat yang dicampurkan dengan air segar dan sejuk serta harum baunya. Apabila mereka inginkannya, maka ia datang kepada mereka di bilik-bilik.

Mereka juga memakai kain sutera dan duduk di atas pelamin-pelamin tanpa merasa panas dan sejuk. Kemudian Allah SWT menyebut pula sesuatu yang disediakan di dunia bagi mendapatkan pahala agung ini. Lalu dijelaskan bahawa mereka itu memberi makan kepada orang fakir, malang, yatim dan hamba sahaya. Mereka menunaikan apa yang diwajibkan oleh Tuhan mereka dan takut terhadap azab Allah SWT pada hari kiamat.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala. (al-Insaan: 4)

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menyediakan bagi orang yang mengkufuri nikmat-Nya dan menyalahi perintah-Nya, dengan rantai-rantai ke dalam neraka Jahim."

Manakala belenggu-belenggu dengan tangan-tangan mereka diikatkan ke leher-leher mereka sebagaimana yang dilakukan terhadap orang yang berdosa di dunia dan mereka dibakar dengan api neraka.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang apa yang telah Dia sediakan bagi semua orang kafir daripada makhluk-Nya, sama ada berbentuk rantai, belenggu dan api yang menyala lagi membara di neraka Jahanam."

Sayid Qutub berkata: "Iaitu belenggu-belenggu untuk mengikat kaki dan memasungkan tangan serta api neraka yang menyala-nyala untuk dicampakkan mereka ke dalamnya dengan kaki tangan yang terbelenggu."

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kapur. (iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 5-6)

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya orang yang berbakti kepada Allah SWT dengan mengerjakan ketaatan serta menunaikan segala perkara yang diwajibkan oleh-Nya dan meninggalkan perbuatan yang dilarang seperti meminum arak yang dicampur dengan minuman yang lain, seperti kapur yang berbau harum, sejuk lagi putih."

Campurannya berasal daripada sumber yang daripadanya semua hamba Allah SWT yang bertakwa meminumnya di bilik-bilik yang terdapat di dalam syurga. Air itu didatangkan kepada mereka dengan mudah ke mana sahaja mereka suka dan dimanfaatkan menurut kehendak mereka serta ia mengikut mereka ke mana-mana sahaja tempat yang dikehendaki oleh mereka.

Al-Mujahid berkata: "Mereka membimbingnya ke mana sahaja mereka suka dan air itu mengikut ke mana sahaja mereka pergi."

Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, air kapur yang telah bercampur dan disediakan bagi orang-orang yang melakukan kebaikan ini adalah mata air yang biasa diminum oleh hamba-hamba Allah SWT yang mendekatkan diri, murni tanpa campuran, mereka minum sehingga kenyang."

Mereka boleh manfaatkan air tersebut ke mana dan di mana sahaja mereka kehendaki.

Sayid Qutub berkata: "Ayat ini menjelaskan bahawa minuman orang-orang yang taat atau para Abrar di dalam syurga ialah air campuran dengan haruman kapur, iaitu mereka minum di dalam gelas yang di ambil dari mata air yang sentiasa mengalir dengan banyaknya."

Biasanya orang-orang Arab mencampurkan minuman arak, kadang-kadang dengan kapur dan kadang-kadang dengan halia untuk menambahkan kelazatannya.

Dengan keterangan ini tahulah mereka bahawa di syurga akan disediakan minuman yang bercampur kapur dengan mewahnya tetapi taraf minuman ini tentulah lebih manis dan nyaman lagi daripada minuman-minuman di dunia dan kelazatannya berlipat kali ganda.

bulan syaaban

ARKIB : 03/07/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 184
Malam Nisfu Syaaban

SYAABAN datang bertamu bersama rimbunan keberkatan buat umat Muhammad SAW. Kehadirannya saban tahun menandakan kemuliaan dan keistimewaan buat umat ini dengan rahmat dan pengampunan buat mereka yang dipilih oleh Allah SWT.

Diriwayatkan daripada Ata' ibn Yasar berkata: "Apabila tiba malam Nisfu Syaaban, malaikat maut menulis nama orang yang akan meninggal dunia pada bulan Syaaban tersebut sehingga bulan Syaaban berikutnya. Sesungguhnya seseorang itu melakukan kezaliman, kejahatan, bernikah dan menanam tanamannya, sedangkan namanya telah dipindahkan dari dewan orang yang hidup kepada dewan orang mati. Tidak ada suatu malam selepas malam Lailatulqadar yang lebih mulia daripada malam Nisfu Syaaban."

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA berkata: "Sesungguhnya Allah akan memutuskan semua qadha' hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan menyerahkannya kepada pemilik-pemiliknya pada malam Lailatul Qadar."

Malam pengampunan

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan penduduk bumi melainkan dua golongan manusia; golongan musyrik dan musyahin (orang yang bermusuhan)."

Imam al-Auza'i mentafsirkan musyahin dengan makna setiap pelaku bidaah yang memisahkan diri daripada jemaah (Ahli Sunnah wal Jamaah) dan ummah (Muhammad SAW).

Diriwayatkan daripada Umar ibn Hani': Saya bertanya Ibnu Thauban tentang makna musyahin, maka beliau berkata: Iaitu orang yang meninggalkan sunnah Nabi SAW, orang yang menikam umatnya dan menumpahkan darah mereka.

Dalam riwayat lain pula Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT menilik hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Allah mengampunkan dosa orang-orang mukmin, memanjangkan kesesatan orang kafir dan membiarkan orang yang hasad dengan kedengkian mereka sehingga mereka meninggalkannya."

Diriwayatkan oleh al-Dar Qutni dan Imam Ahmad dengan sanadnya daripada Aisyah RA berkata: "Pada suatu malam, saya kehilangan Rasulullah SAW, maka saya pun keluar mencarinya dan saya menemui Baginda SAW di Baqi' sedang mendongakkan kepalanya ke langit. Maka Baginda SAW bersabda: "Adakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya menzalimimu?" Aisyah RA berkata: "Saya berkata, bukan begitu, wahai Rasulullah. Saya cuma menyangka kamu mendatangi isteri-isterimu yang lain."

Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT melimpahkan rahmat pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya yang lebih banyak daripada bilangan bulu kambing Bani Kilab."

Kemudian baginda mengangkat kepalanya dan kembali sujud lalu membaca: "Aku memohon perlindungan dengan keredaan-Mu daripada kemurkaan-Mu, dengan keampunan-Mu daripada balasan-Mu, dengan-Mu daripada azab-Mu. Tidaklah terhitung pujian ke atas-Mu, Engkau adalah sebagaimana pujian-Mu ke atas zat-Mu. Aku berkata sebagaimana yang pernah dikatakan oleh saudaraku, Daud AS "Aku menyembam mukaku ke tanah bagi Tuanku dan berhaklah baginya sujud itu kepada-Nya."

Kemudian baginda mengangkat wajahnya dan berdoa: "Ya Allah! Kurniakanlah kepadaku hati yang bertakwa, suci bersih, tidak kufur dan tidak celaka."

Daripada Abu Darda' RA, bahawa Nabi SAW bersabda: "Pada malam Nisfu Syaaban, Allah SWT memerintahkan para malaikatnya turun ke langit dunia, lalu memerhatikan amalan hamba-hamba-Nya. Maka Allah mengampunkan orang-orang yang meminta keampunan dan menerima taubat orang-orang yang bertaubat kepada-Nya. Dia juga menerima permohonan orang-orang yang meminta dan mencukupkan keperluan orang yang bertawakal.

"Dia juga meminggirkan orang-orang yang berdendam tanpa memperlakukan sesuatu ke atas mereka dan mengampunkan dosa-dosa bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya melainkan dosa orang musyrik dan orang yang membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah ataupun orang yang memutuskan silaturrahim."

Mustajab doa

Abu Sa'id al Khudri masuk ke dalam rumah Aisyah. Maka Aisyah berkata, "Wahai Abu Sa'id! Ceritakanlah kepada saya suatu hadis yang pernah kamu dengar daripada Rasulullah, maka saya akan menceritakan kepadamu pula apa yang pernah saya lihat dilakukan oleh Baginda SAW."

Berkata Abu Sa'id RA, "Apabila Rasulullah SAW keluar solat Subuh, Baginda SAW akan membaca: "Ya Allah! Penuhilah pendengaranku dengan cahaya, pandanganku dengan cahaya, hadapanku dengan cahaya, belakangku dengan cahaya, kananku dengan cahaya, kiriku dengan cahaya, atasku dengan cahaya, bawahku dengan cahaya dan tambahkanlah cahaya Islam dan hidayah dengan rahmat-Mu terhadapku."

Dalam riwayat lain Rasulullah berkata kepada Aisyah: "Wahai Aisyah! Apakah kamu takut Allah dan Rasul-Nya akan menzalimimu?" Aisyah berkata, "Saya berkata, "Bukan begitu, wahai Rasulullah!" Sabda Baginda: "Telah datang kepada saya Jibril AS dan berkata, "Wahai Muhammad! Malam ini ialah malam Nisfu Syaaban. Pada malam ini, Allah SWT membebaskan manusia dari api neraka sebanyak bilangan bulu kambing Bani Kilab. Pada malam ini, Allah tidak memandang kepada orang musyrik, tidak juga kepada orang yang bermusuhan, orang yang putuskan silaturrahim, orang yang melabuhkan kainnya melebihi buku lali, orang yang menderhaka kepada ibu bapa dan orang yang berterusan minum arak."

Apabila Subuh, saya menyebut kepada Baginda SAW kalimah yang dibacanya, maka Baginda bersabda, "Wahai Aisyah! Adakah kamu telah mengetahuinya?" Saya berkata, "Ya." Baginda bersabda, "Pelajarilah dan ajarilah ia kerana Jibril as. telah mengajarnya kepada saya dan menyuruh saya mengulang-ulangnya di dalam sujud."

alam akhirat

ARKIB : 06/07/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Keluarbiasaan alam akhirat
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI

Al-Maraghi berkata: Kami tidak meminta dan mengharapkan balasan dan yang lain-lain daripadamu yang akan mengurangkan pahala.

Mujahid dan Said Ibnu Jubair berkata: Demi Allah! Mereka tidak mengatakan yang demikian itu dengan lisan akan tetapi Allah SWT mengetahui daripada hati mereka, lalu Allah SWT memuji mereka dengan yang demikian ia menjadi pendorong kepada orang yang ingin bersedekah.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu, Kami tidak menuntut kamu semua memberi balasan yang setimpal atasnya dan tidak juga meminta kamu berterima kasih di hadapan orang-orang kamu.

Sayid Qutub berkata: Itulah rasa belas kasihan yang lahir daripada hati mereka yang lemah-lembut dan yang sentiasa mencari keredaan Allah SWT.

Mereka tidak mengharapkan balasan dan terima kasih daripada makhluk. Mereka tidak bertujuan memperlihatkan kelebihan dan kemegahan mereka kepada orang-orang yang susah.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami takut akan (azab) Tuhan kami pada suatu hari yang (di hari itu) orang-orang bermuka masam penuh kesulitan (yang datang) daripada Tuhan kami. (al-Insaan: 10)

Al-Maraghi berkata: Sesungguhnya kami melakukan yang demikian ini supaya Tuhan mengasihi dan menerima kami dengan kelembutan-Nya pada hari yang muram dan amat kelam itu.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya, kami lakukan perkara tersebut dengan harapan Allah akan memberi rahmat kepada kami dan menerima kami dengan penuh kelembutan pada hari di mana orang-orang tengah bermuka masam dan penuh kesulitan.

Sayid Qutub berkata: Dengan pemberian makanan kepada orang miskin, anak yatim dan tawanan maka mereka berharap dapat melindungkan mereka daripada malapetaka kiamat yang sangat ditakuti itu.

Firman Allah SWT: Maka Tuhan memelihara mereka dari kesusahan hari itu, dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. (al-Insaan: 11)

Al-Maraghi berkata: Allah SWT melindungi mereka daripada perkara yang ditakuti semasa di dunia iaitu kejahatan hari yang muram itu (dengan apa yang mereka lakukan) untuk mendapat keredaan Tuhan mereka. Allah SWT memberikan tanda cahaya pada wajah mereka dan kegembiraan di hati mereka.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu Allah SWT memberi rasa aman kepada mereka daripada apa yang mereka takutkan, memberikan kejernihan di wajah mereka dan kegembiraan di hati mereka.

Kebiasaannya apabila hati berasa gembira, wajahnya pula kelihatan ceria.

Kaab bin Malik berkata: "Apabila Rasulullah SAW berasa gembira, wajah baginda berseri-seri laksana cahaya bulan."

Sayid Qutub berkata: Ayat yang menyebut tentang mereka akan dikurniakan Allah SWT wajah yang berseri-seri dan hati yang gembira. Dan hari itu bukannya hari yang membuat muka mereka kelihatan masam kusam dan suram muram. Itulah balasan yang setimpal terhadap ketakutan mereka kepada Allah dan terhadap kelembutan hati dan perasaan mereka (kepada orang-orang yang susah).

Firman Allah SWT: Dan Dia memberi balasan kepada mereka kerana kesabaran mereka (dengan) syurga dan (pakaian) sutera. (al-Insaan: 12)

Ibnu Kathir berkata: Yakni kerana kesabaran mereka, Allah SWT memberi dan menyerahkan syurga dan sutera serta menempatkan mereka di syurga iaitu tempat tinggal yang lapang, kehidupan yang sejahtera dan pakaian yang baik.

Sayid Qutub berkata: Mereka akan mendiami syurga dan memakai pakaian-pakaian sutera yang indah.

si miskin perlu dicari

ARKIB : 05/07/2012
Share on facebook Share on twitter Share on email Share on print More Sharing Services 0
Menjejaki si miskin
Oleh FAROUQ ZAUJI

SESUNGGUHNYA Islam tidak pernah menghalang hambanya untuk mencari kekayaan yang menjadi lambang serta kayu ukur kesenangan hidup manusia di dunia. Bahkan, mencari kesenangan itu adalah satu keperluan demi membina kehidupan sempurna dan sewajarnya.

Insan yang waras fikirannya sudah tentu tidak ingin hidup dalam keadaan susah, tersepit dan miskin. Lantaran itulah mereka sanggup bertungkus-lumus, membanting tulang tanpa mengira penat dan waktu.

Ingin menjadi kaya raya, memiliki harta yang banyak, rumah dan kereta mewah, juga bukan halangan atau satu kesalahan dalam syariat jika kita mampu.

Namun Islam tetap memberi peringatan supaya setiap manusia tidak lalai dan hanyut dengan harta dan kesenangan dunia.

Pelbagai bentuk kesenangan yang dikurniakan Allah, sesungguhnya ia bukanlah untuk dibangga dan dimegahkan, tetapi untuk disyukuri. Demikianlah sifat orang Islam yang beriman.

Allah sudah memberi jaminan keuntungan besar bagi orang yang mahu bersyukur dengan nikmat-Nya seperti terkandung dalam firman-Nya: Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri. (asy-Syura: 27)

Walaupun sudah memiliki kekayaan yang melimpah ruah dan dapat menikmati kesenangan hidup secukupnya di dunia, seorang Muslim sejati disaran menabur bantuan atau pertolongan kepada manusia lain dalam mencari keberkatan hidup.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Harta tidak akan berkurang dengan sedekah dan Allah tidak menambah kepada hamba-Nya yang memaafkan melainkan kemuliaan, dan tidak tawaduk seseorang kepada Allah melainkan Allah menaikkannya. (riwayat Muslim)

Seharusnya masyarakat Islam ini sentiasa bersama dalam mengharungi hidup, ibarat kata pepatah: 'Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing'. Dengan kesedaran ini secara tidak langsung kita dapat membantu meringankan beban insan-insan yang amat memerlukan.

Melihat kepada situasi ini, usaha Islamic Aid Malaysia (IAM) dalam menjejaki mereka yang kurang berkemampuan telah mendapat perhatian daripada sebuah badan korporat iaitu Etiqa Takaful Berhad.

Kini, memasuki musim kedua, Etiqa Takaful Berhad terus bersama-sama IAM dalam menjejaki mereka yang kurang berkemampuan, seterusnya membantu mengurangkan beban penderitaan yang dihadapi sebagai tanda prihatin terhadap keperluan masyarakat tempatan.

Usaha murni ini menggunakan pendekatan konsep ziarah bagi melihat sendiri dan merasai kesusahan serta penderitaan yang mereka hadapi.

Melalui program ini, pihak Etiqa Takaful Berhad, sebagai rakan kemanusiaan IAM membiayai sumbangan pek makanan kepada 1,600 buah keluarga yang melibatkan penduduk miskin di negeri Kedah, Perlis, Johor, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang dan juga Sarawak.

Penerima sumbangan ini terdiri daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal miskin, warga emas miskin dan juga golongan orang kurang upaya (OKU) miskin yang telah dikenal pasti oleh pihak IAM layak menerima bantuan.

Setiap mereka menerima sumbangan pek makanan yang mengandungi barangan keperluan makanan asas harian seperti beras, gula, minyak masak, susu, makanan dalam tin, biskut dan lain-lain.

Penerima manfaat juga turut menerima wang tunai RM50 setiap seorang.

Pengagihan bantuan dilaksanakan secara berperingkat mengikut pecahan wilayah.

Buat masa ini, hanya lima negeri sahaja telah selesai program pengagihan bantuan dan selebihnya dijadualkan akan berakhir pada pertengahan Julai ini.

Rata-rata mereka yang hadir dalam program 'Jejak Prihatin' ini menyatakan rasa kesyukuran kerana masih lagi ada pihak yang prihatin terhadap nasib mereka walaupun berada di kawasan luar bandar.

Ada juga yang menitiskan air mata kesyukuran kerana diraikan sedemikian rupa dan terkejut dengan sumbangan barangan dan wang tunai.

Menurut Naib Presiden merangkap Ketua Bahagian Syariah Etiqa Takaful Berhad, Zaiem Ismai, sumbangan Etiqa kepada IAM adalah sebahagian daripada zakat tahunan syarikat itu yang dihulurkan secara terus kepada institusi-institusi kebajikan yang layak di bawah program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa.

"Secara jujur kami meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada IAM melalui program mereka yang dikenali sebagai program Jejak Prihatin 2012.

"Sementara itu, melalui program Tanggungjawab Zakat Korporat Etiqa, syarikat kami telah membantu lebih 17 institusi kebajikan dan lebih 1,600 anak-anak yatim dan golongan asnaf di seluruh Malaysia.

"Lebih RM1.5 juta dibelanjakan setiap tahun untuk memberi bantuan dalam bentuk kewangan, bangunan dan kemudahan-kemudahan seperti asrama, kelas pendidikan, kantin, surau dan juga dalam bentuk peralatan seperti komputer, peralatan pendidikan dan permainan dan pelbagai lagi.

"Program ini juga adalah sejajar dengan janji jenama kami untuk menginsankan insurans dan takaful. Kami berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu para penerima sumbangan dari seluruh Malaysia," katanya ketika ditemui pada program tersebut di Kelantan, baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden IAM, Zawahir Abdullah berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Etiqa Takaful Berhad yang memberi kepercayaan serta keprihatinan mereka terhadap usaha-usaha kemanusiaan yang dilaksanakan IAM.

"Kami akan buat yang terbaik dalam menyalurkan bantuan tersebut dan hanya mereka yang benar-benar layak saja yang akan menerima manfaat daripada program ini tanpa mengira latar belakang politik mereka.

"Program ini akan diteruskan dengan berkunjung ke Perak, Pahang dan Sarawak bagi memenuhi tanggungjawab pengagihan sumbangan zakat Etiqa kepada mereka yang benar-benar memerlukan," kata Zawahir yang turut berterima kasih kepada rakan sukarelawan IAM yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini.

Di samping itu, Zawahir juga menyeru agar lebih banyak lagi syarikat korporat mencontohi usaha Etiqa Takaful Berhad ini dalam menjayakan misi kemanusiaan dan kebajikan kelolaan IAM.

mengenali pencipta

ARKIB : 06/07/2012

Cara kenal pencipta

menggunakan kemudahan alat cerapan yang ada, Sairin Salleh ingin berkongsikan minatnya bersama masyarakat untuk menghayati kebesaran Allah SWT melalui ilmu astronomi.
TERASA amat kerdil menyaksikan kehebatan ciptaan alam cakerawala di langit yang luas terbentang bagaikan tiada penghujung. Lebih-lebih lagi melihatnya dengan lebih dekat."
Begitulah ungkapan syukur bercampur hiba yang diluahkan oleh penggemar astronomi, Sairin Salleh sehingga mendorongnya terus mendalami ilmu kaji bintang itu sejak dari bangku sekolah.
Bermula dengan mengikuti ayahnya pergi memburu, membuka hati anak kelahiran negeri Sabah itu untuk menceburkan diri dalam astronomi sehingga kini.
Walaupun perlu melaburkan ribuan ringgit, Sairin yang juga bertugas sebagai Penolong Pengurus Besar Telekom Malaysia Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan tidak pernah putus asa meneruskan minatnya sehingga berjaya menubuhkan kelab astronomi sendiri di rumah.
Baginya tidak mengapa dan berbaloi melaburkan wang ringgit asalkan dapat menghayati dan berkongsi kebesaran ciptaan Allah SWT yang sangat hebat sehingga tidak tercapai minda dan kemampuan makhluk untuk menerokainya.
Beliau percaya dengan firman Allah SWT sebagaimana di atas bahawa setiap makhluk yang diciptakan mempunyai manfaat tersendiri yang merupakan bukti kepada kekuasaan Allah SWT bagi orang yang ingin mengetahuinya.
Namun malangnya, ramai orang Islam yang hanya melihat keindahan alam semesta sekadar perhiasan mata di waktu malam tanpa memikirkan rahsia dan kehebatan di sebalik penciptaan tersebut.
Sedangkan menurutnya, ilmu astronomi adalah antara sebahagian daripada ilmu pengetahuan yang dapat mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT dengan cara yang mudah dan menarik kerana tidak terikat kepada sebarang hukum hakam.
"Jika kita lihat di dalam al-Quran, Allah SWT telah menjelaskan semua kejadian yang berhubung dengan penciptaan langit dan bumi serta semua makhluk termasuk tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia mengikut masa-masa yang ditentukan.
"Bagaimana bumi dan seluruh galaksi terbentuk daripada letusan yang dikenali letupan mampat yang maha padu (Big Bang), kemudian diciptakan pula bulan dan bintang serta seluruh isi bumi turut dinyatakan dalam al-Quran.
"Oleh itu, astronomi dan al-Quran adalah saling berkaitan dan ia mampu mendekatkan diri seseorang hamba kepada penciptanya jika kita benar-benar menghayati kebesaran ciptaan Allah SWT tersebut.
"Melalui penghayatan tersebut membawa kita mengenali dan mengetahui asal-usul kejadian manusia sama seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran dan diakui kebenarannya oleh kajian astronomi dan sains," katanya.
Sairin berkata demikian ketika ditemui Mega, Utusan Malaysia di rumahnya di Subang Jaya, baru-baru ini.
Walaupun pernah mencuba pelbagai hobi seperti menternak ikan, memelihara binatang dan bercucuk tanam, tetapi semuanya tidak bertahan lama, namun tetap diteruskan.
Di laman rumahnya juga kelihatan sebuah reban ayam dan beberapa buah kolah ikan mini yang digunakan untuk meneruskan hobinya.
Tetapi astronomi memberikan semangat yang berbeza kepada Sairin. Didorong oleh semangat dan minatnya, Sairin telah membina balai cerap sendiri di rumahnya pada 2009 yang memakan belanja keseluruhan hampir RM100,000, termasuk kos peralatan cerapan.
Sairin juga telah melaburkan kira-kira RM6,000 untuk mendapatkan bahan rujukan dan sebanyak 24 gigabait koleksi buku versi digital yang dilanggan dan dimuat turun daripada Internet.
Tambahnya, ilmu astronomi bukanlah ilmu yang dibawa oleh ilmuan Barat sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tetapi ia merupakan kajian yang telah dilakukan oleh cerdik pandai Islam di zaman kegemilangan tamadun Islam.
Apa yang dipelopori oleh ilmuwan Islam itu telah dicedok oleh saintis barat, lalu mengembangkan ilmu tersebut lantas mendakwa itu penemuan mereka.
Sairin juga yakin, ilmu astronomi yang dalam dalam Islam dikenali sebagai falak berkait-rapat dengan kehidupan seluruh umat Islam dan terbukti lebih tepat berbanding kajian astronomi Barat yang sekadar keperluan dunia.
"Ilmu astronomi sangat penting bagi umat Islam kerana ia menjadi panduan dalam menentukan waktu dan hari penting yang membabitkan amalan umat Islam.
"Contohnya, kedudukan matahari menjadi panduan tibanya waktu solat dan arah kiblat, manakala bentuk bulan pula menjadi penentuan perubahan bulan dalam kalendar Islam.
"Selain itu, bulan dan bintang pada waktu malam pula menjadi penyuluh dan petunjuk arah kepada pelayar atau orang yang berjalan dalam hutan di samping mempunyai kelebihan-kelebihan yang tidak dapat dijelaskan mengikut sains," ujar Sairin yang mendakwa ramai pengkaji astronomi Barat memeluk agama Islam kerana kagum dengan keajaiban ajaran Islam.

Tuesday, May 22, 2012

rejab dari blog kakjee

Monday, May 21, 2012

REJAB KEMBALI LAGI!!




AMALAN BULAN REJAB


~ Bersolat dan buatlah solat Qado sebanyak mungkin di samping solat-solat sunat mengiringi solat fardhu.
Solat sunat Israk, solat sunat Dhuha dan solat sunat Taasbih.
~ Bertaubat dan berdoa mohon keampunan agar diterima amalan ibadat, minta selamat dunia dan akhirat, minta dilimpahi rahmat, minta dilepaskan daripada azab-Nya di akhirat dan mohon dimasukkan ke syurga.

Dalam Syahrullah (Bulan Allah), di ampunkan dosa-dosa orang yang meminta ampun dan bertaubat kepada Allah s.w.t. Sekiranya di tambah dengan berpuasa Rejab wajib baginya;
di ampunkan dosanya yang lalu.
di peliharakan Allah s.w.t umurnya yang tinggal...terlepas dari dahaga di hari kiamat.

~ Berzikir; 100 kali selepas solat Subuh dan Asar.
(a) لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ (Tiada Tuhan Melainkan Allah),
(b) الله ُ اَكْبَرُ (Allah Maha Besar)
(c) Baca setiap hari 10 kali:
لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ قَبْلَ كُلِّ اَحَدٍ، لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ بَعْدَ كُلِّ اَحَدٍ، لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ يَبْقَى رَبُّنَا وَيَفْنَى كُلُّ اَحَدٍ.
Tiada Tuhan melainkan Allah sebelum tiap-tiap sesuatu, Tiada Tuhan melainkan Allah sesudah tiap-tiap sesuatu, Tiada Tuhan melainkan Allah kekal Tuhan kita dan fananya tiap-tiap sesuatu.

~ Bertasbih: Setiap satu, 100 kali
(a) سُبْحَانَ اللهِ رَبِّيَ اْلاَ عْلَى.
Maha suci Tuhan yang Maha Tinggi.

(b) سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ، سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيْمِ.
Maha Suci Allah dan dengan segala pujianNya, Maha Suci Allah yang Maha Agong.

(c) سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، لآ اِلَهَ اِلاَّ الله ُ اَكْبَرُ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ الْعَلِىِّ الْعَظِيْمِ.
Maha Suci Allah dan segala kepujian bagi Allah, tiada tuhan melainkan Allah, Allah Maha Agong, tiada suatu daya dan upaya melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agong.

PEMBAHAGIAN : (jika nak teratur laa hmm..)
~ 1 – 10 REJAB -100 kali.
سُبْحَانَ اللهِ الْحَيُّ الْقـَيُّوْمِ.
Maha Suci Allah Yang Maha Hidup lagi Maha Mengurus.

~ 11 – 20 REJAB -100 kali.
سُبْحَانَ اللهِ اْلأَحَدِ الصَّمَدِ.
Maha Suci Allah Yang Maha Esa lagi Maha Diperlukan.

~ 21 – 30 REJAB -100 kali.
سُبْحَانَ اللهِ الرَّؤُفِ.
Maha Suci Allah Yang Maha Memaafkan.

TAMBAHAN....
~ 1 – 30 Rejab, dibaca 80 kali selepas Subuh & Asar:
اَللَّهُمَّ اغْفِرْلِيْ وَارْحَمْنِى وَتُبْ عَلَـيَّهِ.



Ya Allah! Ampunilah daku dan rahmatilah daku serta daku bertaubat kepada-Nya.

وَلاَحَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ وَحَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيْلُ نِعْمَ الْمَوْلَىْ وَنِعْمَ النَّصِيْرُ. اَلله ُ الْكَافِى اَلله ُ الْشَّافِى اَلله ُ الْمُعَافِى.
Dan tiada daya dan upaya bagiku melainkan dengan Allah yang Maha Mulia lagi Maha Agung. Dan cukuplah Allah tempatku berlindung, sebaik-baik pemerintah dan tempatku meminta pertolongan. Allah yang Maha Mencukupkan, Allah yang Maha Menyembuhkan, Allah yang Maha Menyihatkan!.

KERAPLAH...SELAWAT & ISTIGHAR.. :
~ Selawat: 10 atau 100 kali.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيَّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ سَيَّدِنَا مُحَمَّد.
Ya Allah, sejahterakanlah Nabi Muhamad saw dan ahli keluarganya.

~ Istighfar 70 atau 100 kali pagi dan petang.
أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيْمَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ.
Daku mohon ampun kepada Allah Yang Maha Agong dan daku bertaubat kepadaNya.

~ Istighfar kepada ibu bapa, seberapa banyak yang boleh;
رَبِّ اغْفِرْلِىْ وَلِوَالِدَىَّ وَارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِىْ صَغِيْرًا.
Ya Tuhanku! Ampunilah daku dan dua ibu bapaku dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku sewaktu kecil.

Tuesday, May 15, 2012

syafaat

ARKIB : 11/05/2012

Syafaat tidak berguna bagi orang berdosa

Kejadian alam ciptaan Allah ini sewajarnya sentiasa menyedarkan kita akan kebesaran Ilahi. - Gambar hiasan
SAYID Qutub berkata: "Di bawah bayangan kenyataan-kenyataan yang menarik dan penting ini, Allah SWT mengumumkan bahawa setiap orang bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri dan memberi pilihan kepada mereka untuk menentukan jalan dan kesudahan hidup mereka masing-masing."
Allah SWT mengumumkan juga bahawa setiap orang bertanggungjawab terhadap segala perbuatan yang dilakukannya dengan pilihannya sendiri. Setiap mereka terikat dengan amalan dan dosa masing-masing.
Firman Allah SWT: Tiap-tiap diri bertanggungjawab atas apa yang telah diperbuatnya, (al-Mudassir: 38)
Al-Maraghi berkata: "Setiap jiwa terikat dengan amalannya sama ada jiwa itu kafir atau mukmin, derhaka atau taat."
Firman Allah SWT: Kecuali golongan kanan (al-Mudassir: 39)
Al-Maraghi berkata: "Kecuali orang yang diberikan kitab dari sebelah kanan kerana mereka telah membebaskan ikatan mereka dengan amalan mereka yang baik, sebagaimana orang yang menggadaikan barang gadaiannya dengan menunaikan hak yang wajib baginya."
Firman Allah SWT: Berada di dalam syurga, mereka tanya menanya, tentang (keadaan) orang-orang yang berdosa. Apakah yang memasukkan kamu ke dalam Saqar (neraka)? (al-Mudassir: 40-42)
Ibnu Kathir berkata: "Mereka menanyakan keadaan orang-orang yang melakukan dosa ketika itu mereka berada di dalam bilik-bilik di syurga sedangkan orang yang berdosa itu berada ditingkat yang paling bawah di neraka."
Firman Allah SWT: Mereka menjawab: Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat, (al-Mudassir: 43)
Al-Maraghi berkata: " Ahli neraka Saqar menjawab: Kami di dunia dahulu tidak termasuk dalam golongan orang mukmin yang solat kerana Allah SWT dan kami tidak mempercayai kewajipan solat itu."
Ibnu Kathir berkata: "Kami tidak mengabdikan diri kepada Allah SWT."
Firman Allah SWT: Dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin, (al-Mudassir: 44)
Al-Maraghi berkata: "Kami tidak berbuat baik kepada makhluk Allah SWT yang fakir dan kami juga tidak bersedekah kepada mereka dengan apa yang disenangi oleh jiwa kami."
Ibnu Kasir berkata: "Kami juga tidak berbuat baik sesama makhluk-Nya yang sejenis dengan kami."
Firman Allah SWT: Dan adalah kami membicarakan yang bathil, bersama dengan orang-orang yang membicarakannya, (al-Mudassir: 45)
Ibnu Zaid berkata: "Kami bercampur dengan orang yang membicarakan tentang urusan Nabi Muhammad SAW sehingga kami mengatakan bahawa dia adalah ahli sihir dan pendusta seterusnya membicarakan tentang al-Quran sehingga kami mengatakan al-Quran itu adalah sihir, syair dan ramalan seperti ahli kebatilan itu mengatakannya."
Ibnu Kathir berkata: "Kami membicarakan tentang perkara-perkara yang tidak kami ketahui."
Qatadah berkata: "Setiap kali ada orang menyimpang, maka kamipun menyimpang bersamanya."
Firman Allah SWT: Dan adalah kami mendustakan hari pembalasan, (al-Mudassir: 46)
Al-Maraghi berkata: "Kami mendustakan hari pembalasan dan perhitungan."
Firman Allah SWT: Hingga datang kepada kami kematian. (al-Mudassir: 47)
Al-Maraghi berkata: "Sampai kami mengetahui kebenaran itu secara nyata dengan kembalinya kami kepada Allah SWT di akhirat kelak."
Firman Allah SWT: Maka tidak berguna lagi bagi mereka syafaat daripada orang yang memberikan syafaat. (al-Mudassir: 48)
Al-Maraghi berkata: "Setelah nyata mereka mempunyai sifat-sifat yang demikian, maka tidak ada gunanya lagi syafaat bagi mereka daripada pemberi syafaat sebab mereka mendapatkan neraka dan kekal di dalamnya."
Ibnu Kathir berkata: "Orang yang menyifatkan diri dengan sifat-sifat ini, maka sesungguhnya pada hari akhirat kelak , syafaat seseorang tidak akan pernah memberikan manfaat kepada mereka."
Sebab syafaat itu hanya berlaku jika orang yang dituju itu memang mahu menerimanya.
Sedangkan bagi orang yang dicap oleh Allah SWT sebagai orang kafir pada hari kiamat maka sudah pasti baginya neraka dan akan kekal di dalamnya.
Sebagai kesinambungan dengan ayat di atas penulis mengemukakan pendapat Sayid Qutub antara lain katanya iaitu keputusan telah dijatuhkan dan hukuman yang wajar telah diputuskan terhadap orang yang berdosa yang mengaku segala kesalahan mereka.
Di sana tidak ada orang yang akan memberi syafaat kepada orang yang berdosa dan sekiranya ditakdirkan ada, maka syafaat itu tidak akan berguna sedikitpun kepada mereka.
Semoga kita sentiasa mendapat syafaat, terutamanya pada hari akhirat kelak yang membolehkan kita menghuni syurga firdaus-Nya.

Thursday, March 8, 2012

para nabi solat dalm kubur

Para nabi solat di dalam kubur


Waktu-waktu solat yang telah ditentukan oleh umat Nabi Muhammad SAW ialah Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak. - Gambar hiasan


ANTARA nikmat yang diperoleh daripada kehidupan di alam barzakh ialah melakukan solat dalam kubur secara hakiki dan bukannya khayalan ataupun imaginasi semata-mata. Banyak hadis yang diriwayatkan berhubung perkara ini. Antaranya daripada Anas ibn Malik beliau berkata, Rasullullah SAW bersabda: "Para Nabi sebenarnya hidup di dalam kubur mereka; melakukan solat." (Riwayat Abu Yaala dan Al-Bazzar, Majma 'Al-Zawaid: Juzu' 8: Halaman: 211).
Telah berkata Imam al-Hafiz al-Baihaqi dalam riwayat daripada Anas ibn Malik, daripada Nabi SAW bersabda: "Sesungguhnya para nabi tidak dibiarkan di dalam kubur-kubur mereka setelah 40 malam, tetapi mereka solat di hadapan Allah SWT sehinggalah hari ditiup sangkakala."
Imam al Baihaqi berkata: "Sekiranya benar hadis tersebut dengan lafaz ini, maka maksudnya ialah - Allah lebih mengetahui segalanya - mereka tidak dibiarkan melakukan solat di dalam kuburnya kecuali selama tempoh ini. Kemudian, mereka berpindah melakukan solat di hadapan Allah SWT. "
Imam al-Baihaqi berkata lagi: "Adapun hidupnya para nabi selepas kewafatan mereka, terdapat bukti daripada hadis-hadis yang sohih."
Kemudian Imam al-Baihaqi menyebutkan sebuah lagi hadis melalui sanadnya: "Aku melalui (tempat adanya) Musa AS dan aku dapati dia sedang berdiri mengerjakan solat di dalam kuburnya."
Beliau juga menyebut hadis ini: "Aku telah melihat diriku berada di dalam kumpulan para nabi, maka aku melihat Musa AS sedang berdiri mengerjakan solat, beliau adalah seorang lelaki yang kurus dan mempunyai rambut kerinting seperti lelaki dari kaum Syunu'ah (di Yaman), kedapatan juga Isa anak Maryam AS yang berdiri menunaikan solat dan lelaki yang paling hampir rupa dengannya ialah Urwah ibn Mas'ud al-Thaqafi, kedapatan juga Ibrahim AS yang berdiri menunaikan solat, beliau serupa dengan sahabat kalian ini (iaitu Baginda SAW), maka tibalah masa untuk bersolat dan aku pun mengimami mereka. Apabila selesai solat, berkata seseorang, "Wahai Muhammad! Ini adalah Malik penjaga neraka, maka ucapkanlah salam kepadanya." Maka aku pun berpaling ke arahnya dan beliau mendahului aku mengucapkan salam." (riwayat Muslim dan Abd Razzaq dalam Musannafnya)
Telah berkata al-Baihaqi di dalam Kitab Dalail al Nubuwwah: "Dalam hadis sohih riwayat daripada Sulaiman al Taimi dan Thabit al Bunani, daripada Anas ibn Malik bahawa Rasulullah SAW bersabda: Aku bertemu dengan Musa AS pada malam aku diperjalankan (isra') di Kathib al Ahmar (suatu tempat di Palestin), dan dia ketika itu, sedang berdiri mengerjakan solat di dalam kuburnya. Saya berkata (Hadis ini adalah sohih)." (Riwayat Muslim daripada Anas RA)
Maka tanpa syak lagi, bahawa sebab dikurangkan solat ke atas kita daripada 50 kepada lima solat sahaja adalah kerana (nasihat) Nabi Musa AS yang telah wafat dan telah sempurna menunaikan segala risalah Tuhannya.
Baginda Rasulullah telah kembali ke pangkuan Allah SWT, tetapi Bagindalah penyebab sampainya sebesar-besar nikmat kepada umat Nabi Muhammad SAW ketika mana Nabi Musa memohon supaya Nabi Muhammad kembali menemui Tuhannya untuk meminta pengurangan.
Nabi Musa bersabda: "Mintalah kepada Tuhanmu supaya dikurangkan (solat) kerana umatmu tidak akan mampu untuk melaksanakannya."
Adakah peristiwa pengulangan Rasulullah itu benar-benar berlaku atau sekadar khayalan? Adakah ia terjadi dalam keadaan jaga atau tidur? Adakah ia benar atau suatu penipuan? Adakah Nabi Musa telah wafat atau masih hidup sehingga waktu peristiwa ini berlaku?
Al Hakim telah meriwayatkan dan mensohihkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA : "Bahawa Nabi ketika melalui suatu lembah, baginda SAW bersabda: "Lembah apakah ini?" Mereka menjawab: "Lembah ini dan ini." Baginda bersabda: "Saya seakan-akan melihat Yunus AS sedang berada di atas seekor unta yang mempunyai kekang daripada sabut kurma dan dia memakai jubah daripada bulu kambing."
Nabi Yunus AS bersabda: "Saya sahut panggilan-Mu, ya Allah!" (Al-Suyuti, Al-Durr Al-Manthur, 4:234)
Dalam hadis yang lain menyebut: "Pada suatu malam, aku melihat diriku berada di sisi Kaabah. Maka aku melihat seorang lelaki berkulit sawo matang seperti lelaki berkulit sawo matang yang paling segak yang pernah kamu lihat. Dia mempunyai rambut panjang secantik yang pernah kamu lihat, dia telah menyikatnya dan menitis air daripadanya. Dalam keadaan berteleku di atas dua orang lelaki - atau di atas tengkuk dua orang lelaki - dia mengerjakan tawaf di Baitullah.
Aku pun bertanya, "Siapakah ini?" Maka dikatakan, "Ini adalah al-Masih anak Maryam AS."
Dalam hadis yang lain menyebut: "Sesungguhnya Rasullullah SAW melalui kawasan wadi al Azraq, lalu Baginda SAW bersabda: "Aku seakan-akan melihat Nabi Musa AS sedang menuruni sebuah bukit. Dia mengangkat suaranya mengucap talbiah. "
Kemudian baginda pergi ke lembah Harsya, lalu bersabda: "Aku seakan-akan melihat Yunus ibn Matta AS di atas seekor unta merah yang kerinting bulunya, memakai jubah daripada bulu dan kekang unta daripada pulur pohon kurma, beliau ketika itu sedang bertalbiah." Dalam hadis yang lain, disebut: "Aku seakan-akan melihat Musa AS sedang meletakkan dua jarinya di kedua belah telinganya."
Hadis-hadis yang dinyatakan di atas terdapat dalam kitab sohih. Demikian juga solat yang mereka dirikan dan Nabi menjadi imam ketika solat bersama mereka. Peristiwa itu tidak dikatakan dilihat dalam mimpi, hanya kerana sabda Baginda: "Aku melihat diriku" - menunjukkan kepada tidur.
Ini kerana peristiwa Israk dan segala yang disepakati berlaku dalam peristiwa tersebut berlaku secara jaga menurut pendapat yang sohih yang menjadi pegangan jumhur ulama Salaf dan Khalaf.
Namun, sekiranya dikatakan juga ia berlaku dalam tidur, maka apa yang disaksikan dalam mimpi para Nabi adalah benar belaka.

Friday, March 2, 2012

pengawal langit

Rahsia langit dikawal ketat

DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

FIRMAN Allah SWT: Dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). (al-Jin: 8-9)

Kumpulan jin meneruskan cerita mereka tentang pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai kedudukan dan kerasulan di alam ini, seluruh pelosok langit dan bumi.

Ia bagi membersihkan diri mereka dan segala yang tidak sesuai dengan kehendak Allah SWT yang menurunkan risalah dan menolak segala dakwaan yang mengaku mengetahui segala urusan ghaib.

Berkenaan dengan mukadimah ayat ini yang bermaksud kami telah mencuba mengetahui rahsia langit dengan maksud:

n Menuntut dan mendapatkannya seperti ibarat orang Arab.

n Kami menghampiri langit.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengkhabarkan tentang jin ketika Dia mengutus Rasul-Nya, Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran kepadanya.

Antara bentuk pemeliharaan Allah terhadap al-Quran adalah di langit dipenuhi penjaga yang bengis yang akan mengusir semua syaitan sebelum mereka dapat mengintip dan disampaikan melalui dukun sehingga terjadi campur aduk yang tidak diketahui kebenarannya.

Hal tersebut adalah salah satu kelembutan Allah terhadap makhluk-Nya, rahmat bagi hamba-Nya serta penjagaan terhadap kitab-Nya yang mulia.

Al-Maraghi berkata: "Maknanya adalah al-Quran al-Karim yang mengandungi dalil-dalil aqli dan dalil alamiahnya itu merupakan para penjaga terhadap sesuatu keraguan yang dibisikkan oleh syaitan-syaitan ke dalam hati orang yang ragu."

Kemudian keraguan itu dihembuskan ke dalam hati orang yang sesat untuk menghalang mereka daripada menerima agama dan petunjuknya. Apabila timbulnya keraguan dan waham dalam jiwa manusia, lalu mereka akan mendapatkan bukti yang akan membasmi keraguan tersebut.

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka. (al-Jin: 10)

Al-Maraghi berkata: "Langit itu dijaga rapi kerana dua sebab."

Sebab-sebab tersebut ialah:

n Azab yang akan diturunkan Allah SWT kepada penghuni bumi dengan segera.

n Atau disebabkan seorang Nabi yang mursyid (memberi petunjuk) dan muslih (memperbaiki keadaan orang lain).

Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.

Al-Mawardi berkata: "Orang soleh adalah orang yang beriman dan selain daripada itu adalah orang musyrikin. Boleh jadi dengan maksud mereka ahli kebaikan bagi orang soleh dan sepihak lagi ahli kejahatan."

Seterusnya tafsiran jalan yang berbeza-beza dengan maksud:

n Banyaknya puak seperti pendapat as-Suddi.

n Pelbagai agama seperti pendapat ad-Dahak.

n Hawa nafsu yang pelbagai.

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT berkuasa ke atas kami di mana sahaja kami berada, sehingga kami tidak akan terlepas daripada kekuasaan-Nya itu dengan cara melarikan diri."

Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kami mengetahui bahawa kami sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan) Allah di muka bumi dan sekali-kali tidak (pula) dapat melepaskan diri (daripada)-Nya dengan lari. Dan sesungguhnya kami tatkala mendengar petunjuk (al-Quran), kami beriman kepadanya. Barang siapa beriman kepada Tuhannya, maka ia tidak takut akan pengurangan pahala dan tidak (takut pula) akan penambahan dosa dan kesalahan. Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada (pula) orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. (al-Jin: 11-14)

Ini adalah perkhabaran daripada jin berkenaan dengan hal mereka ada yang beriman dan ada yang fasiq. Begitu juga yang zalim, menyimpang daripada kebenaran.

Perkataan qasitin memberi maksud:

n Golongan yang rugi seperti kata Qatadah.

n Golongan yang derhaka seperti pendapat Ibn Zaid.

n Golongan yang amat lemah seperti kata ad-Dahak.

Firman Allah SWT: Barang siapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun orang-orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam. (al-Jin: 15)

Istiqamah dalam ayat ini ada dua tafsiran:

n Mereka memilih jalan kufur dan sesat seperti kata Muhammad bin Zaid, Abu Mujliz dan lainnya.

n Istiqamah atau petunjuk dan ketaatan seperti pendapat Ibn Abbas, as-Suddi, Qatadah dan Mujahid.

Al-Maraghi berkata: "Kesuburan dan kelapangan rezeki itu akan terwujud, jika wujudnya ketenteraman, keadilan dan tidak berlakunya kezaliman."

Hamka berkata: "Inilah keinsafan dari jin Islam yang mengakui nubuwwah Rasulullah SAW. Mereka mengakui bahawa setelah mendapat petunjuk yang terdapat dalam surah Fatihah yang dibacakan oleh Nabi SAW ketika solat Subuh."

Firman Allah SWT: Dan bahawasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak). (al-Jin: 16)

Al-Mawardi menyebut dua pendapat berkenaan dengan tafsiran ayat kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar:

n Dengan kami kurniakan banyaknya air sehingga membinasakan mereka seperti dibinasakan kaum Nuh dengan lemas dalam air. Inilah pendapat Muhammad bin Ka'ab.

n Kami kurniakan kepada mereka banyak air yang menyebabkan tanaman mereka subur dan harta mereka banyak.

Al-Maraghi berkata: "Rahsia perkara ini telah kita kemukakan lebih dari sekali. Sesungguhnya kemajuan dan kesenangan hanya akan wujud jika adanya ketenteraman dan keadilan serta tiada kezaliman."

Dengan demikian manusia akan menerima keadilan yang sama tanpa sebarang kezaliman pilih bulu atau melakukan rasuah dalam membuat sesuatu keputusan.

Firman Allah SWT: Untuk kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat. (al-Jin: 17)

Sayid Qutub berkata: " Allah SWT mengesahkan pandangan jin terhadap manusia iaitu andainya manusia beriman nescaya Kami kurniakan kepada mereka bekalan yang mencukupi untuk menguji mereka sama ada bersyukur atau tidak."

Peralihan daripada menceritakan perkataan jin kepada menyebut isi cerita untuk menambah kekuatan pengertian dan janji kepada Allah SWT.

Tarikan seperti ini banyak dalam uslub Quran untuk menghidup dan menguatkan pengertian serta pandangan ini mengandungi beberapa hakikat dan unsur penting dalam pembentukan akidah dan kefahaman seseorang mukmin.

Hakikat yang pertama wujudnya hubungan kelurusan iman umat dan sekelompok manusia mengikuti jalan Allah dengan kemewahan rezeki. Faktor yang pertama adalah kemewahan bekalan air yang cukup. Ia selama-lamanya penting untuk pembangunan dan kelangsungan hidup.

Hubungan antara keduanya sangat kukuh. Contohnya orang Arab di Padang Sahara. Mereka hidup dengan segala kepayahan dan kesulitan tetapi mereka beriman maka dikurniakan segala kemewahan dan rezeki yang melimpah ruah.

Kemudian mereka kufur maka segalanya ditarik kembali sehingga kembali pada keadaan asal dan itulah tanda kekuasaan Allah SWT yang menentukan segalanya.

Al-Maraghi berkata: "Barang siapa yang berpaling dari al-Quran dan menolak nasihatnya, tidak menunaikan segala perintahnya serta tidak meninggalkan larangan-larangannya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam seksaan yang berat akan menguasainya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk memikulnya."

Andainya di sana terdapat umat yang tidak berjalan di atas jalan Allah SWT kemudian mereka mendapat kemewahan dan kekayaan, maka mereka akan diseksa dengan pelbagai penyakit dan mala petaka yang merosakkan sifat insaniah mereka atau mengugat keamanan dan kehormatan hidup sebagai manusia.

Semuanya itu menjadikan kemewahan dan kekayaan mereka tiada ertinya (sebagaimana yang diterangkan dalam surah Nuh).

Semoga Allah menjadikan kita dari kalangan hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya.

Thursday, February 23, 2012

barzak nabi

Kehidupan barzakh para nabi

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN


PARA Nabi seperti Nabi Muhammad SAW walaupun sudah wafat tetapi diberi kelebihan oleh Allah antaranya boleh mengetahui siapa yang menziarahi makam baginda. - Gambar hiasan

SEBELUM ini kita telah membicarakan tentang hakikat kehidupan alam barzakh yang merupakan alam yang tersendiri. Roh manusia tetap hidup dengan caranya yang tersendiri walaupun sudah berpisah daripada jasad dan menamatkan kehidupan duniawi.

Jika mereka yang telah mati langsung tidak dapat merasa dan mendengar di manakah kita hendak meletakkan pelbagai nas-nas berkenaan dengan larangan menyakiti mayat dan ahli kubur seperti yang banyak diriwayatkan daripada nabi SAW?

Kehidupan manusia di alam dunia berlegar di antara; melakukan ibadat atau hanya mengikut adat, dalam ketaatan atau kemaksiatan, dalam keadaan melaksanakan kewajipan-kewajipan untuk diri dan ahli keluarganya atau untuk Tuhannya.

Kadang kala dia berkeadaan bersih dan kadang kala dia berkeadaan sebaliknya. Kadang-kadang dia berada di dalam masjid dan kadang-kadang berada di tempat-tempat kotor tanpa dapat dipastikan bagaimanakah kesudahannya!

Kadang-kadang syurga itu jaraknya hanya sehasta daripadanya, tiba-tiba dia berpaling dari syurga itu akibat daripada perbuatannya yang keji, maka jadilah dia daripada kalangan ahli neraka, begitu jugalah apa yang terjadi sebaliknya.

Ada pun kehidupan di alam barzakh, jika dia termasuk daripada kalangan orang yang beriman, maka dia telah melepasi jambatan ujian yang hanya dapat tetap berada di atasnya orang yang bahagia dan berjaya. Setelah itu, dia mendapat pelepasan daripada sebarang pentaklifan.

Maka dia menjadi ruh yang bercahaya-cahaya, putih bersih, tajam pemikiran, bebas berterbangan dan berenang-renang di alam malakut dan alam-alam milik Allah SWT yang lain; yang tiada kemurungan, kesedihan, kebimbangan dan gundah gulana di dalamnya.

Alam ini bukan seperti dunia yang kita diami ini; tiada hamparan tanah, malahan tiada harta kekayaan emas dan perak jauh sekali hasad dan dengki manusia.

Sekiranya dia bukan di kalangan orang-orang yang beriman, maka keadaannya di alam barzakh adalah sebaliknya.

Sesungguhnya para nabi memiliki keistimewaan yang tersendiri di alam barzakh; tanpa ada manusia yang lain memilikinya. Jika ada manusia lain yang memiliki antara keistimewaan tersebut, itu hanyalah penisbahan sahaja; sama pada nama tetapi tidak pada hakikatnya.

Keistimewaan para nabi di alam barzakh terdiri dari dua aspek iaitu pertama, keistimewaan yang wajib bagi para nabi dan yang kedua, kelebihan yang menyempurnakan lagi keistimewaan tersebut.

Kita telah nyatakan sebelum ini bahawa kehidupan di alam barzakh adalah kehidupan yang hakiki. Mayat yang berada di alam kubur dapat mendengar, merasa dan mengetahui apa yang berlaku di dunia; sama ada dia itu seorang mukmin atau kafir.

Malah, kehidupan di dalam kubur dengan mendapat rezeki dan masuknya roh-roh ke dalam syurga bukanlah sesuatu yang dikhususkan kepada orang yang mati syahid sahaja seperti yang dibuktikan oleh dalil-dalil yang kukuh.

Ini adalah perkara yang sahih dan disepakati oleh ulama dan jumhur Ahli Sunnah wal Jamaah.

Daripada sini, perbincangan mengenai kehidupan para nabi (a.s) di alam barzakh adalah perbincangan yang sebenarnya tidak banyak mendatangkan faedah.

Ini kerana perkara ini telah jelas seperti terangnya mentari yang tidak memerlukan sesuatu dalil pun untuk menetapkan kebenarannya.

Bahkan, apa yang lebih tepat adalah kita memperakui bahawa kehidupan para nabi di alam barzakh adalah jauh lebih sempurna dan hebat (daripada kehidupannya di dunia), malahan lebih besar dan mulia daripada kehidupan manusia yang lain di alam barzakh.

Hidup manusia ada darjat

Kehidupan manusia di atas muka bumi ini pun berdasarkan bermacam-macam darjat, makam dan tingkatan yang berbeza.

Perbezaan ini bukan hanya di sudut lahiriah atau zahir tetapi turut berbeza dari sudut komitmen agama.

Ada di antara mereka yang hidup seperti orang yang telah mati. Allah SWT berfirman mengenai mereka: Ada pula di antara mereka seperti yang difirmankan oleh Allah: Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Yunus:62)

Ada pula yang hidup dengan suluhan agama, sebagaimana yang dikhabarkan oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya. Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia. Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kehormatannya, kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya. Dan mereka yang tetap memelihara solatnya, mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. (al-Mukminun: 10).

Ada yang difirmankan oleh Allah sebagai berikut: Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun). (al-Zaariyaat: 16-18)

Sebagaimana kehidupan di dunia, maka begitulah juga kehidupan di alam barzakh yang mempunyai darjat dan kedudukan serta makam yang berbeza-beza, seperti firman Allah: Dan (sebaliknya) sesiapa yang berada di dunia ini (dalam keadaan) buta (mata hatinya), maka dia juga buta di akhirat dan lebih sesat lagi jalannya. (al-Israk: 72).

Adapun bagi para nabi; kehidupan, rezeki, pengetahuan, pendengaran, pemahaman dan perasaan mereka adalah jauh lebih tinggi dan sempurna daripada manusia yang lain.

Ini dapat dibuktikan dengan dalil tentang hak-hak para syuhada sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki. (ali-'Imraan: 169).

Insya-Allah, di ruang yang akan datang kita akan menghuraikan lebih lanjut khusus tentang hakikat kehidupan para nabi a.s di alam barzakh.

Friday, February 17, 2012

sifat pemaaf

Sifat pemaaf mampu elak perpecahan

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

PEMAAF antara sifat luhur yang perlu ada dalam diri setiap Muslim. Banyak ayat al-Quran dan hadis. menekankan keutamaan sifat itu. Ia juga disebut sebagai sifat orang yang hampir di sisi Allah.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.” (Surah Ali Imran, ayat 132).

Diakui bukan mudah untuk menjadi seorang pemaaf. Sikap negatif yang menjadi lawannya iaitu pemarah sentiasa berusaha menidakkan wujudnya sifat pemaaf.

Bayangkan apakah tindakan spontan kita jika ditipu, dihina, dikhianati, dikecewakan dan perkara lain yang tidak disenangi?


Sudah tentu perasaan marah akan menguasai diri dan diikuti pula dengan tindakan berbentuk lisan dan fizikal.


Kadang kala, perasaan marah juga disebabkan persaingan untuk mendapatkan sesuatu.

Dalam keadaan itu, pesaing dianggap sebagai musuh yang perlu diatasi dengan apa cara sekali pun. Punca itu boleh merebak kepada fitnah, ugutan dan tindakan fizikal secara kekerasan.

Emosi manusia mudah terpengaruh ke arah melakukan tindakan yang pada pandangan logik adalah sepatutnya.

Apatah lagi jika hasutan syaitan berjaya menguasai diri. Tindakan marah melampau dan diikuti pula dengan tindakan fizikal bukanlah jalan menyelesai masalah atau untuk menunjukkan siapa yang benar.

Jika diteruskan niat melakukan tindak balas atas kemarahan itu, mungkin ada tindakan yang mendatangkan keburukan hingga melakukan pembunuhan.

Sebagaimana yang kita dengar pelbagai kes tidak masuk akal berakhir dengan tragedi pembunuhan menyayat hati.

Sebagai makhluk yang lemah dan sentiasa melakukan kesilapan, berdoalah kepada Allah supaya hati kita sentiasa dilembutkan serta dipermudahkan untuk menghulurkan kemaafan sekali pun kita berada di pihak yang benar.

Apa yang mendukacitakan, ramai kalangan isteri atau suami, ibu atau bapa terlalu berat untuk memaafkan kesilapan pasangannya dan kesalahan anak-anak mereka.

Mereka memiliki sifat keras hati dan tidak mahu mengalah apabila berada dalam situasi genting. Malah, ada yang sanggup bersumpah untuk tidak mengampunkan dosa dan kekhilafan sekali pun diminta berkali-kali.

Sikap negatif seumpama itu jika dibiarkan berleluasa dalam keluarga hanya membawa kepada pecah-belah dan anak-anak menjadi mangsa perceraian.

Rasulullah adalah contoh terbaik kerana sifat terpuji terserlah pada diri Baginda yang tidak pernah menunjukkan rasa marah hatta jauh sekali menyimpan perasaan dendam dalam hati.

Biar pun pelbagai cara dilakukan orang kafir dan Yahudi yang mengguris perasaan Baginda.

Antara kisah paling masyhur berkenaan sifat mulia Baginda adalah diracun seorang perempuan Yahudi.

Walaupun sahabat iaitu Bisyir bin Barra meninggal dunia selepas memakan daging kambing diberikan perempuan itu.

Namun Rasulullah tetap memaafkan kesalahannya malah berdoa kepada Allah supaya diberi petunjuk dan hidayah hingga akhirnya beliau memeluk agama Islam.

Saidatina Aisyah berkata: “Rasulullah tidak pernah memukul sesiapapun, baik kepada isteri Baginda mahu pun pembantu Baginda, kecuali ketika berperang di jalan Allah. Dan Baginda tidak pernah membalas sedikit pun kepada sesiapa yang menyakiti hatinya, kecuali dalam perkara larangan Allah.”(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).

Anas menceritakan: “Ketika saya tengah berjalan bersama Rasulullah dan pada ketika itu baginda tengah mengenakan selimut tebal dari Najran. Seorang Arab Badwi mengetahui hal itu lalu menariknya dengan kasar sambil berkata: ‘Hai Muhammad, serahkan padaku harta Allah yang kamu miliki. Maka Rasulullah pun tersenyum dan Baginda pun memakbulkan permintaan orang itu.” (Hadis riwayat Muttafaq Alaih).

Tiada ubat paling mujarab merawat penyakit hati melainkan dengan berlapang dada, memberi kemaafan secara ikhlas dan mengembalikan ketenteraman, ketenangan serta menambahkan khusyuk ketika beribadat.

Orang yang mudah memaafkan kesalahan orang lain, yakin dan percaya bahawa setiap keterlanjuran yang berlaku adalah ujian Allah. Mereka tidak terbelenggu dengan rasa marah berpanjangan. Pemaaf adalah mereka yang mulia di dunia dan akhirat.

menangani sifat marah

Sifat marah perlu digunakan pada tempat, masa sesuai

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SIAPAKAH yang tidak pernah marah? Ia adalah sifat semula jadi yang dibekalkan Allah dalam diri manusia sama ada untuk menguji atau sebagai alat membela.

Pendek kata, sifat marah jika digunakan pada tempat dan masa yang sesuai memberi manfaatnya. Jika ada orang mempermainkan Islam kita perlu marah dan mempertahankannya.

Begitu juga jika negara diceroboh, kita mesti marah dan ambil tindakan membelanya. Marah yang tidak bertempat sering kali mengundang permusuhan, hasad dengki, pertengkaran malah pembunuhan.

Lihatlah baru-baru ini, kerana marah suami hendak kahwin lagi dan anak-anak dibunuh�nya. Di Filipina, pada tahun 1995, seorang suami yang marahkan isterinya bertindak membakar rumahnya malah turut menyebabkan 70 rumah lain terbakar.


Kadang-kadang anak-anak menjadi mangsa seperti kejadian di atas. Sejarah marah dapat dilihat dalam peristiwa iblis ketika diberi peluang Allah untuk memaafkannya melalui Nabi Musa yang dilepaskan begitu sahaja.


Kerana marah dan dendam kepada Adam membuatkannya ke neraka. Allah memintanya memohon maaf kepada Adam sebagai syarat. Dengan angkuh iblis menjawab, “kalau masa hidupnya aku tidak taat apa lagi selepas matinya Adam.”

Marah menyebabkan kita kehilangan pertimbangan dan kewarasan. Tidak patut sama sekali jika ada anak yang sejak kecil dibelai ibu dan ayahnya sanggup berbalah dan berpisah dengan kedua ibu bapanya kerana mahu mengikut kekasih yang baru dikenalinya cuma 20 hari. Malah sifat marah ini ada di mana-mana, di kedai, taman atau pejabat dan jika tidak dikawal dengan sungguh-sungguh pastinya menghalang keharmonian di dalam masyarakat.

Marah akan menghalang seseorang ke syurga. Sahabat Nabi pernah bertanya, “Ya Rasulullah, tunjukkan aku satu jalan yang membawaku ke syurga”. Orang yang dapat masuk syurga ialah orang yang dapat mengawal hawa nafsunya itulah kekuatan yang sebenarnya. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud:� “Manusia yang gagah bukannya tunjuk kuat dalam pergaduhan tetapi yang paling gagah bila boleh mengawal marahnya.”

Sememangnya sifat marah adalah sebahagian daripada diri kita tetapi yang penting bukan buang sifat marah itu tetapi mengawal dan menggunakannya pada tempat yang sepatutnya.

Malah antara orang-orang yang mendapat takwa ialah mereka yang dapat mengawal marahnya. Allah ada menjelaskan di dalam al-Quran yang bermaksud: “Mereka menafkahkan harta benda mereka ketika senang ataupun susah, mereka juga mampu mengawal perasaan marah dan mereka juga memaafkan kesalahan orang lain.” (Surah Ali-Imran ayat134).


Berikut beberapa cara bagi mengawal perasaan marah:

1. Apabila sedang marah maka hendaklah membaca “ta’awwudz” (memohon perlindungan) kepada Allah sebab pada hakikatnya perasaan marah yang tidak dapat dikawal adalah daripada dorongan syaitan.

Nabi bersabda yang bermaksud: “Apabila salah se�orang di antaramu marah maka katakanlah: ‘Aku berlindung kepada Allah’, maka marahnya akan menjadi reda”. (Riwayat Abi Dunya).

2. Berusahalah untuk diam atau tidak banyak bicara, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu marah maka diamlah.” (Riwayat Ahmad).

3. Jika sedang marah dalam keadaan berdiri maka duduklah, bila duduk masih marah maka berbaringlah. Hal itu ditegaskan Nabi, “Marah itu daripada setan, maka apabila salah seorang di antaramu marah dalam keadaan berdiri duduklah dan apabila dalam keadaan duduk maka berbaringlah.” (Riwayat Asy-Syaikhany).

4. Apabila sudah ta’awwudz, diam, duduk, dan berbaring tidak mampu mengendalikan amarah maka usaha terakhir yang boleh dilakukan ialah dengan cara berwuduk atau mandi.

Sebagaimana sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: “Sesung�guhnya marah itu daripada syaitan dan syaitan dijadikan daripada api. Dan api hanya boleh dipadamkan dengan air. Oleh kerana itu, apabila se�orang di antaramu marah maka berwuduklah atau mandilah.” (Riwayat Ibnu Asakir, Mauquf). Selamat mencuba!


Kongsi artikel ini menerusi media sosial

Kongsi Artikel | Facebook MySpace Google Twitter

Tuesday, February 14, 2012

alam barzakh

Alam barzakh menurut Ibnu Taimiyyah

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Kita menyambung kalam tentang hakikat alam barzakh yang menjadi punca salah faham sesetengah kelompok dalam beberapa isu. Sekali lagi kita memetik pandangan tokoh yang sering menjadi rujukan aliran yang kontroversi iaitu Ibnu Taimiyyah.

Ibnu Qayyim murid Ibnu Taimiyyah, memuatkan dalam kitab al-Ruh penjelasan-penjelasan yang lengkap. Juga dinaqalkan fatwa penting Ibnu Taimiyyah seperti yang disebut dalam al-Fatawa al-Kubra.

Ibnu Taimiyyah ditanya mengenai orang hidup yang pergi menziarahi orang yang telah mati. Adakah mereka mengetahui tentang ziarah orang yang hidup? Adakah si mati mengetahui sesiapa yang mati selepasnya di kalangan kaum kerabatnya atau orang yang lain?

Maka beliau menjawab: "Segala puji bagi Allah. Ya, sebenarnya banyak athar yang menerangkan mengenai pertemuan dan pertanyaan mereka serta penayangan amalan orang-orang yang hidup kepada mereka yang telah mati."

Antaranya kata beliau, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu al Mubarak, daripada Abu Ayyub al-Ansori. Beliau berkata: "Apabila nyawa seseorang Mukmin itu dicabut, maka hamba-hamba Allah yang telah mendapat rahmat (yang telah mati dahulu) bertemu dengannya seperti mana bertemunya orang yang datang membawa berita gembira di dunia ini.

"Maka mereka bersegera datang kepadanya dan bertanyakan khabar, lalu berkata sebahagian daripada mereka kepada yang lain: "Tunggulah saudaramu itu berehat dahulu, kerana dia sebenarnya dalam kesusahan yang amat (kesan kesakitan Sakarat al Maut)."

Berkata Abu Ayyub lagi: "(Selepas dia berehat) mereka bersegera datang kepadanya semula dan bertanya kepadanya, Apakah yang telah dilakukan oleh si lelaki itu?" dan "Apakah yang telah dilakukan oleh si perempuan itu, adakah dia telah berkahwin?"

Adapun mengenai si mati mengetahui orang hidup, yang datang menziarahinya dan memberi salam ke atasnya, maka telah disebut dalam hadith Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: "Telah bersabda Rasulullah SAW tidaklah seseorang itu melalui kubur saudaranya yang Mukmin yang pernah dikenalinya di dunia, kemudian dia memberi salam kepadanya, melainkan saudaranya itu (yang telah mati) mengenalinya dan menjawab salamnya."

Ibnu Mubarak berkata: "Hadis ini telah thabit daripada Nabi SAW dan disahihkan oleh Abdul Haq, pengarang Kitab al-Ahkam". (Majmu' Fatawa Ibnu Taimiyyah, 24:331)

Dalam bahagian lain pula, Sheikh Ibnu Taimiyyah ditanya: "Adakah si mati mendengar pertuturan orang yang menziarahinya dan melihat orang itu? Adakah rohnya kembali ke dalam jasadnya pada ketika itu, ataupun berlegar-legar di atas kuburnya pada waktu itu dan waktu yang lain? Adakah rohnya berkumpul bersama roh-roh ahli keluarga dan kaum kerabatnya yang mati sebelumnya?"

Maka beliau menjawab: "Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam. Ya! Mayat itu mendengar semuanya, seperti yang telah thabit di dalam Sohihain (Bukhari dan Muslim), daripada Nabi SAW, baginda SAW bersabda: Mayat mendengar bunyi sepatu mereka yang hidup ketika mereka beredar dari kubur.

Kemudian beliau menyebut beberapa hadis lain yang sehubungan dengan makna itu. Setelah itu, beliau berkata: "Dalil-dalil ini dan yang sama dengannya, menerangkan kepada kita bahawa mayat mendengar seluruh pertuturan orang yang hidup."

Tidaklah semestinya mayat itu sentiasa mendengar pertuturan yang diucap, tetapi mereka mendengarnya pada suatu ketika dan tidak pada masa yang lain.

Keadaannya sama seperti yang berlaku kepada orang yang hidup. Kadang kala mereka mendengar pertuturan orang yang hidup. Kadang-kadang mereka juga tidak mendengar apa yang dipertuturkan kepada mereka kerana suatu penghalang yang menghalangnya.

Pendengaran itu adalah pendengaran pengetahuan (hanya bertujuan memberikan maklumat) yang tidak menghasilkan sebarang balasan.

Ia juga bukannya pendengaran yang dinafikan melalui firman Allah SWT: Sesungguhnya engkau tidak dapat menjadikan orang-orang yang mati (hatinya) itu menerima ajaran-ajaranmu. (al-Naml: 80)

Makna pendengaran yang dikehendaki daripada ayat ini adalah penerimaan dan menjunjung perintah.

Sesungguhnya Allah SWT mengumpamakan orang kafir seperti mayat yang tidak dapat menjawab seruan orang yang menyerunya dan juga seperti binatang-binatang yang mendengar suara-suara akan tetapi tidak memahami maknanya.

Sekalipun mayat boleh mendengar pertuturan orang yang hidup dan memahami maknanya. Tetapi mereka tidak boleh menjawab seruan orang yang menyeru dan tidak boleh melaksanakan perkara yang disuruh dan yang dilarang.

Maka tidak ada manfaat perintah dan larangan bagi mereka. Begitu juga dengan keadaan orang kafir. Mereka tidak langsung memberikan reaksi (tidak langsung mendapat manfaat dengan suatu suruhan dan larangan) apabila disuruh mahupun dilarang daripada melakukan sesuatu, walaupun dia mendengar pertuturan itu dan memahami maknanya.

Ia sebagaimana maksud firman Allah SWT di dalam al-Quran: Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar. (al-Anfaal:

Monday, February 13, 2012

hari kekasih dari ugama kristian

Hari Kekasih yang mengundang dosa

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
pengarang@utusan.com.my

ENTAH di mana silapnya, masih ada remaja Islam yang menunggu-nunggu kedatangan 14 Februari setiap tahun untuk meraikan Hari Kekasih atau Valentine's Day.

Walhal sudah terang lagi bersuluh bahawa perayaan sedemikian haram disambut oleh umat Islam.

Majoriti tokoh agama menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Hari Kekasih adalah bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Akidah dan Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Malangnya, tahap iman yang nipis di kalangan remaja Islam menyebabkan mereka terpedaya dan termakan hasutan syaitan sehinggakan amat gembira menyambut Hari Kekasih.

Dalam bab meniru perbuatan kaum terutama yang bukan Islam, ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka". (riwayat Abu Daud)

Ringkas cerita, golongan begini masih tidak yakin akan janji Allah tentang seksaan api neraka bagi golongan yang membantah dan mengingkari perintah Allah.

Islam memang menggalakkan umatnya berkasih sayang. Namun, Islam menyediakan garis panduan dalam berbuat demikian.

Yang jelas, sambutan Hari Kekasih tidak termasuk dalam senarai tersebut. Dengan yang demikian, orang mukmin akan berusaha agar tidak terperangkap atau terpedaya dengan sebarang tipu muslihat ke arah itu.

Kasih sayang yang diajar oleh Islam itu sifatnya suci. Ia membawa umatnya kepada lebih mendekatkan diri kepada Allah. Bukannya mendorong kepada perbuatan maksiat atas nama cinta.

Kalau diperincikan, sambutan Hari Kekasih mendorong kepada hal yang berikut iaitu memandang wanita yang tidak halal baginya. Apabila memandang timbul keinginan syahwat untuk menyentuh wanita yang bukan mahram, berkhalwat dan berpacaran (couple).

Adegan-adegan ini kemudiannya 'dihangatkan' lagi oleh syaitan sehingga berakhir dengan perbuatan zina. Kononnya sebagai membuktikan rasa kasih sayang antara pasangan tersebut.

Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan. (riwayat Muslim)

Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang di antara lelaki dan perempuan tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir.

Sebaliknya, ia perlu diikat dengan ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan.

Lelaki yang bergelar suami apabila kasihkan isteri dan anak-anaknya sanggup melakukan pelbagai cara untuk menyelamatkan mereka daripada kesulitan dan kepayahan hidup.

Inilah perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka. (at-Tahrim: 6)

Malangnya, tidak ramai suami dan juga bapa yang mampu melakukan hal yang serupa untuk menyelamatkan ahli keluarganya daripada azab api neraka yang pasti menimpa golongan yang mengingkari perintah Allah.

Mereka gagal melihat kaitan antara perbuatan di dunia dengan balasan di akhirat. Ini antara lain akibat tidak yakin dengan azab neraka Allah.

Ibu bapa yang reda membenarkan anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan berdua-duaan menyambut Hari Kekasih secara tidak langsung tidak sayang kepada anak-anak.

Bagi anak-anak yang barangkali 'rimas' dengan leteran ibu bapa kerana menghalang mereka menyambut Hari Kekasih, ingatlah hidup di dunia ini hanya sementara sedangkan kehidupan di akhirat itu adalah abadi.

Apa yang kita lakukan sama hayat ini adalah pelaburan yang akan kita nikmati dividennya di akhirat. Justeru, jangan disia-siakan umur yang Allah kurniakan kepada kita.

Jangan kerana keseronokan selama satu dua jam bersama pasangan kekasih menyebabkan kita diseksa dan diazab selama beratus-ratus tahun lamanya dalam neraka Allah kelak.

Lebih teruk lagi, jika membawa kepada zina, bayangkan nasib malang yang bakal menimpa diri dan anak tersebut.

Sudahlah 'ibu bapa' anak zina itu tidak sah nasabnya - bermakna status anak itu dengan 'ibu bapa' tadi adalah seperti orang biasa. Mereka bukan mahram, 'bapanya' tidak boleh mewalikan anak perempuannya, tidak boleh mewarisi harta dan akan menghadapi tekanan emosi yang amat hebat untuk berdepan dengan masyarakat kelak.

Untuk itu, marilah kita bersama-sama berusaha membanteras budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ia supaya umat Islam dan generasi muda kita khususnya tidak membesar dengan amalan-amalan yang sengaja diada-adakan oleh musuh-musuh Islam.

Sebagai ibu bapa, inilah antara masa dan peluang bagi kita menyelamatkan anak-anak daripada terus dihanyutkan oleh kehidupan yang melalaikan.

Ingatlah, hanya anak-anak yang soleh akan mendoakan kita selepas kematian kita kelak.

Monday, February 6, 2012

tudung tapi bogel dari blog greenboc

[Bergambar] Bertudung Tapi Bogel



Bertudung Tapi Betis Didedah


Menoleh sekitar 20 tahun yang lalu, perihal wanita mendedahkan rambut bukan suatu pemandangan luar biasa. Malahan pada ketika itu jarang kelihatan wanita menutup kepala, kecuali untuk majlis dan upacara tertentu.

Ketika itu wanita yang bertudung, kebanyakkannya adalah golongan tua, itu pun rambut yang ditutup tidak ‘rapus’. Pendek kata wanita yang bertudung, apatah lagi jika terdiri daripada golongan muda akan dianggap janggal.

Senario tersebut sudah berlalu dan keadaan sekarang sudah berubah. Sama ada di pejabat, apatah lagi di institusi pengajian, dan di majlis-majlis, rata-rata wanita Melayu akan memakai tudung. Mereka akan berasa janggal dan terasing jika tidak bertudung.

Di kedai, pusat membeli belah, di lapangan terbang dan di mana sahaja, kebanyakkan wanita Islam telah menutup kepala mereka.

Tidak kira tua, muda, anak dara atau janda, pekerja biasa, pegawai tinggi, suri rumah tangga, rata-rata sudah menutup kepala kerana masing-masing terasa tidak selesa untuk menayangkan rambut.

Zaman berlalu, masa berganti, dan sistem nilai pun sudah berubah. Dulu yang bertudung dianggap janggal, kini yang menayangkan rambut pula akan dianggap janggal, apatah lagi bila berada di majlis-majlis tertentu. (Tidak tahulah kalau masih ada yang tidak berasa janggal).

Bagi setengah pendapat, kecenderungan memakai tudung ada kaitan dengan kesedaran beragama. Rambut adalah sebahagian daripada aurat wanita. Ini bererti kepala wajib ditutup dan tidak didedahkan untuk tontonan umum.

Kalaulah kecenderungan itu disebabkan kesedaran beragama, syukur Alhamdulillah. Tetapi mungkin juga ada sebahagiannya disebabkan yang lain. Umpamanya takut terasa janggal, terikut-ikut dengan trend berpakaian, hanya sebagai fesyen dan sebagainya.

Cuba perhatikan, ada yang bertudung sehingga tidak nampak walau sehelai rambut, tetapi dalam waktu yang sama memakai kain belah, yang setiap kali melangkah akan menampakkan betis dan pangkal paha yang putih melepak. Ada pula yang bertudung lengkap tetapi mendedahkan sebelah atas dada, dan memakai skirt. Kalau boleh disamakan, ada lelaki yang bertopi haji tetapi memakai seluar pendek. Ini sesuatu yang agak ganjil, atas ditutup, bawah didedah.

Bagi setengah wanita, memakai tudung bukan kerana tuntutan agama. Mungkin ada yang cuma ingin mengambil hati, mungkin ia kerana suatu peraturan dan mungkin ada yang ikut-ikutan. Waktu ke pejabat semua memakai tudung, ke sekolah pun begitu juga, tetapi bila berjalan-jalan membeli belah tudung entah kemana.

Pada hal Islam telah menggariskan pakaian yang wajib dipakai oleh setiap muslimah. sebagaimana yang ditetapkan oleh al-Qur’an dan hadis-hadis Nabi Sallallahu alaihi wasallam, iaitu:

i). Hendaklah menutup seluruh anggota badan, termasuk kepala, rambut, leher, lengan, melainkan muka dan dua tapak tangan sehingga dua pergelangan tangan.

ii). Pakaian itu tebal, tidak menampakkan warna kulit yang dapat dilihat dari celah-celah sulaman benang pakaian itu.

iii). Pakaian itu luas, tidak sempit, dan tidak ketat sehingga boleh menampakkan bentuk susuk badan.

iv). Pakaian itu tidak menyerupai atau seakan-akan pakaian lelaki

v). Pakaian itu tidak berbau harum atau wangi kerana ia boleh menarik perhatian orang.

Kewajipan menutup aurat itu berdasarkan kepada dalil al-Qur’an dan Hadis. Di antaranya firman Allah:

Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka atau anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah wahai orang-orang yang beriman supaya kamu berjaya.” (Surah Al-Ahzab : 59)

Oleh yang demikian, sebagai menyahut titah perintah Allah, isu bertudung khususnya menutup aurat janganlah ia dipandang sebagai perkara remeh. Ia adalah perkara wajib. Mentaati perkara wajib adalah perkara besar, walaupun ia dipandang remah oleh sebahagian manusia.