Wednesday, November 17, 2010

Hari Raya Korban

Selamat menyambut hari raya aidil adha! maaf zahir dan batin...

Bersangka baik niat orang berkorban

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH

semangat korban dibuktikan dengan ikatan ukhuwah menerusi gotong-rorong. - Gambar hiasan

ORANG yang berkorban akan dikurniakan kebajikan sebanyak bulu binatang yang dikorban. Titisan darah korban yang pertama adalah pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu dan darah korban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

Mungkin kesedaran dan pemahaman daripada beberapa janji Allah SWT buat hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat korban, antaranya seperti di atas, telah menimbulkan keinsafan sekali gus menyumbang kepada peningkatan kesedaran umat Islam dalam penganjuran majlis korban di negara ini setiap tahun.

Tetapi yang menjadi persoalan ialah niat di sebalik melaksanakan ibadat tersebut. Adakah kerana mengikut aliran atau trend semata-mata atau ia dilakukan kerana keinsafan dan mahu mendapat keredaan Allah.

Pengerusi Eksekutif Darul Fuqaha, Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, amalan agama di kalangan masyarakat meningkat kerana kefahaman yang semakin bertambah.

Apabila masyarakat makin memahami Islam, secara automatik amalan-amalan Islam memperlihatkan peningkatan.

Katanya, begitu juga dengan amalan korban. Peningkatan amalan itu di kalangan masyarakat adalah tanda positif bahawa usaha dakwah dan penyebaran ilmu Islam semakin meningkat di negara kita ini.

"Hari ini, kita melihat di Lembah Klang sendiri usaha-usaha dakwah berkembang pesat. Surau-surau dan masjid dihidupkan dengan kuliah-kuliah ilmu.

"Sudah tentu ia memberi kesan kepada peningkatan amalan Islam termasuk ibadah korban. Kepentingan melakukan ibadah korban pula bukan hanya dibicarakan di institusi masjid mahupun surau, malah pihak media massa, mahupun media elektronik semakin berperanan memberikan kesedaran. Semua itu bagi saya menyumbang kepada kesedaran ini.

"Begitu juga dengan jawatankuasa masjid, penggantungan kain-kain rentang dan sepanduk yang mempromosi ibadah korban. "Ringkasnya amalan Islam mesti dipromosikan. Apabila promosi dibuat peningkatan amalan di kalangan umat akan berlaku. Kerana itulah Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat 27: Dan isytiharkanlah kepada orang ramai melakukan ibadah haji… Ertinya Allah mengarahkan baginda Ibrahim untuk membuat 'perisytiharan'. Itu adalah satu promosi ibadat," kata Dr. Mohd. Khairuddin.

Menjawab segelintir pihak yang mengatakan peningkatan ini disebabkan ada peserta nampak seperti mahu menunjuk-nunjuk, Dr. Mohd. Khairuddin berkata, Allah berfirman dalam surah al-Haj ayat 34 bermaksud: Tidak akan mencapai Allah daging-daging (ternakan yang disembelih) dan darah-darahnya tetapi yang mencapai Allah ialah ketaqwaan daripada kamu.

Ayat ini jelasnya, memperingatkan tentang kepentingan membetulkan niat ketika berkorban iaitu demi mendapat keredaan Allah. Namun perlu difahami bahawa niat adalah sesuatu yang tersembunyi di dada manusia tidak diketahui oleh manusia lain.

Justeru itu ulama Islam menegaskan: "Kita menghukum berdasarkan zahir dan Allah yang menguruskan apa yang tersembunyi."

"Ertinya kita hanya berhak melihat kepada luaran amalan korban tadi. Apa pun niatnya berkorban diserahkan kepada Allah, bukan kerja kita untuk menghukum dan menilainya," tegas beliau.

Apabila masyarakat Islam semakin ramai berkorban menyembelih ternakan kita perlu menafsirkannya sebagai satu amalan positif petanda peningkatan amalan Islam.

Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, apa yang penting syiar ibadah seperti korban mesti dilaksanakan tanpa kita mempertikaikan niat di sebaliknya.

Malah perlu difahami, meninggalkan satu amalan kerana takut riak, itu merupakan satu riak seperti ditegaskan oleh para alim ulama dalam karya-karya berkaitan kesucian jiwa.

"Kesimpulannya, kita mengajak masyarakat berkorban dengan melakukan seperti mana tuntutan hukum fiqh. Pada masa sama, kita mengajak mereka membetulkan niat berkorban kerana Allah.

"Ibadah korban mesti dilaksanakan bagi memenuhi tuntutan sunnah muakkadah dan dalam masa yang sama berusaha perbetulkan niat kamu," ujarnya.

Menurut Dr. Mohd. Khairuddin, kisah korban bermula dengan sejarah Ibrahim yang diuji oleh Allah dengan perintah menyembelih anaknya. Apabila perintah itu hampir dilaksanakan, Allah menebusnya dengan seekor binatang sembelihan sebagai gantinya. Seterusnya ia menjadi sunnah bagi umat terkemudian. Ia diceritakan dalam surah Saffat ayat 102-108.

"Cerita ini menggambarkan ketaatan tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim dan Ismail kepada Allah. Ini cerita akidah dan keyakinan. Ibrahim dan Ismail meyakini bahawa Allah yang mencipta dirinya, memberinya nyawa, mengurniakan rezeki dan menghidup serta mematikan manusia.

"Apabila berhadapan dengan perintah Allah, manusia tidak ada pilihan selagi dia makan dan minum rezeki yang diberikan oleh Allah. Maka inilah pengajaran cerita pengorbanan Ibrahim - ketaatan mutlak kepada Allah tanpa bantahan."

Dr. Mohd. Khairuddin turut memberi amaran kepada sebahagian umat Islam yang lemah keimanannya yang mana selalu mempertikaikan perintah Allah yang kononnya, dilihat tidak logik.

"Amalan Islam tidak diukur dengan logik ilmu tapi dinilai dengan keimanan. Keimanan bermaksud keyakinan dalam hati bahawa ia perintah daripada Allah yang mencipta dirinya dan berkuasa ke atas dirinya.

"Apabila dia meyakini bahawa itu merupakan perintah Allah yang lebih bijak dan pandai daripada dirinya maka dia akan meletakkan sepenuh keyakinan untuk melaksanakan perintah tersebut tanpa bahasa.

"Malangnya sebahagian manusia suka menilai terlebih dahulu perintah Allah dengan menggunakan ilmunya yang terhad. Adakah ilmu manusia meliputi apa yang lalu dan menjangkau apa yang kehadapan? Logik akal dijadikan ukuran sedangkan logik merupakan persoalan ilmu. Sesuatu yang tidak logik pada satu zaman, menjadi logik pada hari ini kerana perkembangan ilmu manusia.

"Seorang Mukmin akan menerima semua perintah Allah tanpa bahas. Tetapi seorang yang fasiq akan sentiasa membantah dan mempertikaikan perintah Allah. Tunggulah nanti di hari Akhirat, mampukah dia berhujah di hadapan Allah," tanyanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, November 15, 2010

Siti Aisyah Perawi Hadis

Siti Aishah perawi hadis

Susunan SITI AINIZA KAMSARI
SEBELUM lebih jauh kita pergi merentasi sejarah perkembangan Islam yang dipimpin oleh Rasulullah di Madinah dan ancaman-ancaman luar dan dalam yang begitu menguji kepimpinan baginda, ada baiknya kita mengenali satu lagi nama yang cukup besar tidak sahaja dalam hidup baginda, malah dalam Islam keseluruhannya.

Beliau ialah Saidatina Siti Aishah Abu Bakar, yang kisahnya begitu banyak terukir dalam catatan sejarah.

Kepada seluruh wanita Islam, Siti Aishah adalah seorang lagi Ummul Mukminin (Ibu kepada orang yang beriman) yang perlu diteladani, terutama dalam soal kepintaran, bijaksana dan proaktif.

Pada usia 25 tahun, Nabi Muhammad menikahi Saidatina Siti Khadijah yang ketika itu adalah seorang janda berusia 40 tahun. Walaupun berstatus janda, Siti Khadijah seorang wanita bangsawan dan sangat disegani dan dihormati oleh para penduduk Mekah.

Beliau mempunyai pengaruh besar kerana kehebatan yang tiada tandingan dalam soal perniagaan dan sifat-sifat mulianya terhadap masyarakat sekeliling.

Selama pernikahan dengan Siti Khadijah ini, Rasulullah tidak pernah menikahi perempuan lain. Siti Khadijahlah satu-satunya permaisuri yang menjadi tambatan hati, sumber kekuatan dan yang melahirkan putera-puteri buat Rasulullah.

Pada umur 40 tahun, nabi SAW pun menerima wahyu. Dengan demikian baginda telah diangkat oleh Allah SWT sebagai nabi terakhir di muka bumi ini.

Namun tiga tahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah, iaitu ketika berusia 50 tahun, baginda ditimpa duka apabila isteri, Siti Khadijah yang sangat mulia itu, meninggal dunia pada usia 65 tahun.

Selepas hidup keseorangan hampir setahun, dua tahun sebelum baginda berhijrah ke Madinah, iaitu pada usia 51 tahun baginda pun bernikah dengan Siti Aishah, satu-satunya anak dara berbanding isteri-isteri baginda yang lain.

Setahun selepas berhijrah ke Madinah, baginda pun hidup serumah dengan Aishah sebagai suami isteri dan ketika itu baginda dikatakan berusia 54 tahun.

Sedikit catatan asal usul mengenai Siti Aishah. Beliau seperti yang diketahui umum adalah puteri kepada sahabat baik baginda Rasulullah, Abu Bakar dan isterinya Ummu Rumman yang dinikahi sebelum memeluk Islam lagi.

Selain Siti Aishah, seorang lagi anak Abu Bakar ialah Abdul Rahman.

Namun dikatakan Ummu Rumman ini adalah isteri kedua Abu Bakar kerana isteri pertama beliau bernama Qutailah binti Abdul Uzza yang melahirkan dua orang anak iaitu Abdullah dan Asma'.

Perkahwinan Siti Aishah dengan Rasulullah tidak dikurniakan sebarang anak berbanding kakak tiri di sebelah ibu, iaitu Asma' mempunyai beberapa anak yang antaranya bernama Urwah.

Urwah pula mempunyai seorang putera bernama Hisyam yang dikatakan yang paling banyak meriwayatkan tentang Siti Aishah.

Menurut Hisyam lagi, Rasulullah suka memanggil Siti Aishah dengan panggilan yang kemerah-merahan (sesetengah berkata "Si Pipi Merah) atau dalam bahasa Arabnya Al Humaira seperti yang selalu baginda berkata: Kallimni ya Humaira! (Berbicaralah dengan aku, wahai Humaira!)

Agaknya yang dimaksudkan dengan merah di sini, kerana warna kulit Siti Aishah yang agak putih kemerah-merahan, iaitu dikatakan jauh berbeza daripada bapanya yang dikatakan bertubuh tinggi dan besar namun berkulit sawo matang.

Siti Aishah bukan sebarang wanita biasa kerana beliau sangat cerdas dan bijak.

Dalam kedudukan perawi hadis, beliau menduduki tempat keempat, iaitu sebanyak 2,210 hadis dengan 316 disebut dalam kedua-dua Sahih Bukhari dan Sahih Muslim (perawi yang pertama Abu Hurairah, 5, 374 hadis diikuti Ibnu Umar sebanyak 2,630 hadis dan Anas bin Malik sebanyak 2,286 hadis).

Beliau juga sangat berani dan mempunyai pengaruh besar terhadap umat Islam berikutan kedudukannya sebagai isteri Rasulullah.

Malah dikatakan isteri Rasulullah itu satu-satunya wanita yang menyertai peperangan Badar bagi melawan golongan kafir Quraisy.

Namun kita semua maklum di sebalik kisah Siti Aishah, ada isu dan persoalan yang masih bermain-main sehingga hari ini.

Benarkah beliau berkahwin dalam usia yang masih kanak-kanak iaitu enam tahun ketika disatukan dengan Rasulullah yang ketika itu berusia 51 tahun di Madinah?

Kebanyakan hadis mengenai perkara ini diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, an-Nisa'ie dan Ibn Majah yang mencatatkan bahawa Siti Aishah menikah ketika berumur enam tahun dan tinggal bersama Nabi ketika berumur sembilan tahun.

Namun, dikatakan kesemua hadis tersebut menggunakan riwayat daripada Hisham bin Urwah seperti yang disebut di awal tadi, yang dikira berpangkat cucu kepada Siti Aishah.

Kebanyakan ulama seperti Ajurri, Uqayli, Abu al-Aswad dan Imam Malik mengatakan, semua riwayat daripada Hisham dan daripada bapanya yang berkaitan Siti Aishah tidak boleh dipercayai, kerana semua riwayat tersebut berasal dari Iraq.

Yaqub ibn Abi Shaybah, Ibn Kharash dan Imam Malik, Ajurri, Uqayli dan Abu al-Aswad, semua sepakat bahawa riwayat Hisham dari Iraq tidak boleh dipercayai kerana ia tidak pernah diketahui oleh ulama-ulama Madinah.

Ini kerana sebagaimana tegas Imam Malik dan Imam al-Shafie yang mengatakan: "Setiap riwayat yang tiada sumber dari Hijaz, tiada asasnya, dan tidak boleh dipercayai."

Tehzibu'l-Tehzib, salah satu buku yang cukup terkenal yang berisi catatan para periwayat hadis, menurut Yaqub ibn Shaibah mencatat: "Hisham sangat boleh dipercayai, riwayatnya dapat diterima, kecuali apa-apa yang dia ceritakan setelah berpindah ke Iraq."

Sebagai makluman, Hisham tinggal di Madinah dan kemudiannya berpindah ke Iraq ketika berusia 71 tahun.

Di samping dikatakan bahawa Malik ibn Anas menolak riwayat Hisham yang dicatat daripada orang Iraq: "Saya pernah diberitahu bahawa Malik menolak riwayat Hisham yang dicatat dari orang-orang Iraq". (Tehzi'b u'l-tehzi'b, IbnHajar Al- 'asqala'ni, Dar Ihya al-turath al-Islami).

Sementara dalam buku Mizanu'l-ai'tidal, buku lain yang berisi huraian riwayat hidup pada periwayat hadis Nabi SAW mencatat: "Ketika masa tua, ingatan Hisham mengalami kemunduran yang teruk". (Mizanu'l-ai'tidal, Al-Zahbi, Al-Maktabatu'l-athriyyah, Sheikhupura, Pakistan, Vol. 4, p. 301)

Oleh kerana semua hadis berkaitan dengan pernikahan Aishah dikatakan berasal dari Iraq dan tidak diketahui langsung oleh ulama Madinah, maka hadis-hadis itu tidak boleh dipercayai walaupun hadis tersebut memenuhi syarat-syarat di dalam Sahhih Sittah.

Lalu ini memberikan kita kesimpulan bahawa semua hadis berkaitan perkahwinan Aishah hanya datang daripada satu sumber sahaja iaitu Hisham ibn Urwah di Iraq.

Ia tidak pernah diketahui oleh ulama Madinah di samping kebanyakan ulama hadis menolak riwayat Hisham yang berasal dari Iraq dikhuatiri diceritakan dalam usia yang sangat lanjut mahupun nyanyuk.

Ikuti keluaran akan datang merungkaikan misteri usia perkahwinan isteri kesayangan Rasulullah ini.

Berusaha

Dakwah seni Peter

Susunan ZUARIDA MOHYIN
SIAPAKAH gerangannya insan yang bernama Peter Gould ini? Melihat kepada komen-komen yang diberikan kepadanya sedikit sebanyak menggambarkan bahawa dia memiliki bakat uniknya dalam melihat keindahan Islam menerusi medium seni.

Peter Gould ialah seorang pereka grafik dan artis digital yang beroperasi di Sydney, Australia.

Menerusi jelajah dan pengajiannya ke Asia Barat sejak tahun 2002, secara tidak langsung memberikan ilham kepada Peter akan keunikan pergabungan kebudayaan yang mana ia mampu memberi penjelasan kepada salah faham terhadap Islam.

Hasil kerja Peter, 28, telah sampai kepada banyak khalayak. Bukan sahaja di Sydney malah seluruh dunia menerusi pameran, penampilan, projek-projek rekaan grafik dan gabungan dengan artis-artis lain.

Antara negara yang pernah dia adakan pameran ialah Amerika Syarikat, Malaysia, Australia, Singapura dan beberapa acara di Eropah serta Asia Barat.

Maka tidak hairanlah, Peter pernah dinobatkan oleh Yayasan Etika dan Kasih yang berpusat di United Kingdom (UK) sebagai artis Muslim berbakat pada 8 Oktober lalu.

Peter juga diberi penghormatan antara individu terpilih dalam satu penerbitan Kerajaan Australia iaitu The Australian Journey: Muslim communities.

Malah, beliau juga telah diberi gelaran sebagai Muslim Creative Artist of the Year at Mission of Hope's 2009 Achievement Awards.

Kejayaan demi kejayaan yang diterima itu sehingga Peter memenangi beberapa anugerah rekaan antaranya, ISNA 2009 pertandingan penjenamaan.

Peter juga telah menjalin kerjasama dengan ramai artis kreatif Muslim terkemuka, termasuk pakar kaligrafi dari China, Haji Noor Deen; artis jalanan UK, Mohammed Ali; pereka bentuk, Abdullateef Whiteman dan memiliki koleksi kekal gambar-gambar yang dirakam olehnya yang terpame di Zaytuna Institute di Berkeley, California.

Dia juga mengetuai sebuah studio rekaan yang mengendalikan pembangunan jenama, identiti, bahan pemasaran dan laman web yang mampu memenuhi kehendak pelanggan seluruh dunia.

Peter yang memeluk Islam pada 2002 adalah individu yang mengasaskan laman blog Azaan dengan misi untuk meneroka keghairahannya kepada reka bentuk grafik kontemporari, kesenian, fotografi dan berkongsi kekayaan sisi kerohanian dan visual tradisi Islam.

Peter pernah datang ke Malaysia kira-kira dua tahun lalu kerana terlibat dengan pameran Austrade Lifestyle Australia yang berlangsung di KLCC.

Dalam satu temuramah yang dikendalikan sebuah majalah berbahasa Inggeris, anak kelahiran Sydney, Australia itu memberitahu, hijrah akidahnya bermula pada usia akhir remaja dan memeluk Islam pada usia 20 tahun.

"Saya tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh. Namun minat saya kepada agama mula berputik apabila mengenali seorang wanita.

"Dia seorang yang penyabar dengan setiap persoalan yang saya utarakan kepadanya, bijak dan sangat cantik.

"Lama-kelamaan saya mula mengenali serba sedikit tentang pegangan agama dan kepercayaannya.

"Malah saya juga mengikuti beberapa ceramah agama, membaca buku-buku berkaitan.

"Setelah lebih kurang setahun, saya akhirnya, mengakui bahawa agama Islam itu adalah satu-satunya agama yang logik dengan fitrah manusia," kata Peter, wanita yang memperkenalkannya kepada Islam kini bergelar isterinya yang sah.

Akuinya lagi, berpeluang melancong ke beberapa negara Islam, merupakan satu pengalaman dan peluang yang amat bermakna.

Ini kerana bermula dari hijrah itulah, dia bukan sahaja bergerak dari satu lokasi ke lokasi, tetapi yang lebih berharga hijrah akidah daripada batil kepada benar.

"Sepanjang perantauan itu, saya mula memproses rakaman dan meluahkan setiap koleksi pengalaman menerusi bidang seni dan fotografi.

"Namun yang menjadi titik-tolak perubahan kepada saya ialah ketika melawat ke Alhamra, Andalusia, Sepanyol pada tahun 2003.

"Perasaan yang wujud ketika itu sukar hendak digambarkan. Ada semacam satu tarikan yang akhirnya membawa minat saya kepada pengkajian yang lebih mendalam tentang kesenian Islam," kata Peter.

Peter

Dakwah seni Peter

Susunan ZUARIDA MOHYIN
SIAPAKAH gerangannya insan yang bernama Peter Gould ini? Melihat kepada komen-komen yang diberikan kepadanya sedikit sebanyak menggambarkan bahawa dia memiliki bakat uniknya dalam melihat keindahan Islam menerusi medium seni.

Peter Gould ialah seorang pereka grafik dan artis digital yang beroperasi di Sydney, Australia.

Menerusi jelajah dan pengajiannya ke Asia Barat sejak tahun 2002, secara tidak langsung memberikan ilham kepada Peter akan keunikan pergabungan kebudayaan yang mana ia mampu memberi penjelasan kepada salah faham terhadap Islam.

Hasil kerja Peter, 28, telah sampai kepada banyak khalayak. Bukan sahaja di Sydney malah seluruh dunia menerusi pameran, penampilan, projek-projek rekaan grafik dan gabungan dengan artis-artis lain.

Antara negara yang pernah dia adakan pameran ialah Amerika Syarikat, Malaysia, Australia, Singapura dan beberapa acara di Eropah serta Asia Barat.

Maka tidak hairanlah, Peter pernah dinobatkan oleh Yayasan Etika dan Kasih yang berpusat di United Kingdom (UK) sebagai artis Muslim berbakat pada 8 Oktober lalu.

Peter juga diberi penghormatan antara individu terpilih dalam satu penerbitan Kerajaan Australia iaitu The Australian Journey: Muslim communities.

Malah, beliau juga telah diberi gelaran sebagai Muslim Creative Artist of the Year at Mission of Hope's 2009 Achievement Awards.

Kejayaan demi kejayaan yang diterima itu sehingga Peter memenangi beberapa anugerah rekaan antaranya, ISNA 2009 pertandingan penjenamaan.

Peter juga telah menjalin kerjasama dengan ramai artis kreatif Muslim terkemuka, termasuk pakar kaligrafi dari China, Haji Noor Deen; artis jalanan UK, Mohammed Ali; pereka bentuk, Abdullateef Whiteman dan memiliki koleksi kekal gambar-gambar yang dirakam olehnya yang terpame di Zaytuna Institute di Berkeley, California.

Dia juga mengetuai sebuah studio rekaan yang mengendalikan pembangunan jenama, identiti, bahan pemasaran dan laman web yang mampu memenuhi kehendak pelanggan seluruh dunia.

Peter yang memeluk Islam pada 2002 adalah individu yang mengasaskan laman blog Azaan dengan misi untuk meneroka keghairahannya kepada reka bentuk grafik kontemporari, kesenian, fotografi dan berkongsi kekayaan sisi kerohanian dan visual tradisi Islam.

Peter pernah datang ke Malaysia kira-kira dua tahun lalu kerana terlibat dengan pameran Austrade Lifestyle Australia yang berlangsung di KLCC.

Dalam satu temuramah yang dikendalikan sebuah majalah berbahasa Inggeris, anak kelahiran Sydney, Australia itu memberitahu, hijrah akidahnya bermula pada usia akhir remaja dan memeluk Islam pada usia 20 tahun.

"Saya tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh. Namun minat saya kepada agama mula berputik apabila mengenali seorang wanita.

"Dia seorang yang penyabar dengan setiap persoalan yang saya utarakan kepadanya, bijak dan sangat cantik.

"Lama-kelamaan saya mula mengenali serba sedikit tentang pegangan agama dan kepercayaannya.

"Malah saya juga mengikuti beberapa ceramah agama, membaca buku-buku berkaitan.

"Setelah lebih kurang setahun, saya akhirnya, mengakui bahawa agama Islam itu adalah satu-satunya agama yang logik dengan fitrah manusia," kata Peter, wanita yang memperkenalkannya kepada Islam kini bergelar isterinya yang sah.

Akuinya lagi, berpeluang melancong ke beberapa negara Islam, merupakan satu pengalaman dan peluang yang amat bermakna.

Ini kerana bermula dari hijrah itulah, dia bukan sahaja bergerak dari satu lokasi ke lokasi, tetapi yang lebih berharga hijrah akidah daripada batil kepada benar.

"Sepanjang perantauan itu, saya mula memproses rakaman dan meluahkan setiap koleksi pengalaman menerusi bidang seni dan fotografi.

"Namun yang menjadi titik-tolak perubahan kepada saya ialah ketika melawat ke Alhamra, Andalusia, Sepanyol pada tahun 2003.

"Perasaan yang wujud ketika itu sukar hendak digambarkan. Ada semacam satu tarikan yang akhirnya membawa minat saya kepada pengkajian yang lebih mendalam tentang kesenian Islam," kata Peter.

Sederhana

Wasatiah dalam diri remaja

Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS

Bersikap sederhana dalam melakukan pelbagai aktiviti perlu diterapkan agar kita tidak terlalu taksub kepada sesuatu pekerjaan atau amalan. - Gambar hiasan

WASATIAH atau bersederhana adalah sesuatu yang dituntut dalam Islam. Islam mengajar pendekatan wasatiah dalam setiap perkataan, pemikiran, tingkah laku, perlakuan serta amalan.

Namun begitu, adakah dengan bersikap sederhana ini akan menjadikan umat kita tidak maju dan ke hadapan?

Kebanyakan umat Islam kini menyalahgunakan istilah sederhana lalu tidak mahu maju dan berserah kepada nasib dan takdir. Bagaimana remaja boleh menghayati sikap wasatiah yang sebenarnya?

Bukan ambil mudah

Ajaran Islam mengajar kita supaya bersederhana pada percakapan dan pertuturan, pemikiran dan amalan. Waima begitu, wasatiah tidaklah melunturkan seseorang manusia daripada prinsip yang benar dan yang salah.

Sebagai remaja yang baru hendak meniti alam dewasa, remaja seringkali membuat keputusan secara terburu-buru tanpa mengambil pandangan semua pihak terdekat.

Kadangkala, remaja cepat melenting dan melatah dengan sesuatu isu yang menimpa mereka, lalu mengambil jalan melampau dengan memberontak dan melakukan sesuatu yang kurang elok.

Tidak kurang juga ada remaja yang berpura-pura tidak ambil tahu masalah yang menimpa, tetapi tanpa disedari ia membarah di kemudian hari jika tidak diselesaikan.

Remaja Islam yang mengamalkan sikap wasatiah akan berupaya menyaring sesuatu hikmah kejadian dan berusaha untuk menyelesaikan sesuatu isu sebaik-baik mungkin.

Selepas perang Badar misalnya, Rasulullah SAW bersetuju membebaskan tawanan perang dengan syarat mengajar anak-anak umat Islam ketika itu untuk membaca.

Sekiranya baginda bersikap melampau dan terlalu tegas, masakan tawanan perang itu dibebaskan begitu sahaja.

Daripada sini kita dapat melihat sikap keterbukaan dan bersederhana Rasulullah, walaupun dengan pihak musuh.

Oleh itu, bersikap sederhana membawa banyak kebaikan dan manfaat sekiranya dilakukan dengan hikmah dan bijaksana.

Bersikap sederhana tidaklah bermaksud meremeh sesuatu perkara atau mengambil mudah akan sikap dan pendirian.

Bersikap terbuka juga berkait rapat dengan sifat wasatiah. Sikap wasatiah juga mengimbangi akal pemikiran dan perlakuan daripada perbuatan melampau.

Bersikap sederhana bukan bermaksud mengambil mudah akan sesuatu perkara dan hanya berserah kepada takdir dan nasib untuk menentukan segalanya, tetapi ia lahir daripada ilmu yang benar, tahu membezakan yang mana benar dan yang batil serta bertolak ansur.

Menolak perkembangan ilmu, sains dan teknologi daripada Barat secara mutlak atas alasan ia berasal daripada sistem sekular dan menindas tidak harus dijadikan alasan untuk bersikap ekstrem terhadap sesuatu.

Barat suatu ketika dahulu mengambil manfaat daripada tamadun Islam terdahulu dan diadaptasikan untuk memajukan tamadun mereka sendiri.

Yang menjadi cabaran hari ini bagi remaja adalah mengimbangi antara mana benar dan mana yang salah. Jalan tengah seringkali dianggap jalan yang selamat, tetapi ia haruslah berlandaskan prinsip dan ajaran yang betul dan bijaksana.

Yang penting diinsafi oleh remaja ialah Islam prinsipnya adalah agama damai. Ada sesetengah kes-kes orang Islam yang mempamerkan imej negatif terhadap Islam.

Tetapi itu bukanlah gambaran sebenar terhadap ajaran Islam itu sendiri. Konsep salama membawa maksud sejahtera.

Islam tidak menolak kemajuan dan kesejahteraan, tetapi menuntut supaya umatnya sentiasa bersikap sederhana dan wasatiah dalam menjalani setiap jalan kehidupan tanpa mengenepikan prinsip-prinsip asas syarak dan tradisi.

Tip Ketika Tawaf

Persoalan dan tip ketika tawaf

Menyentuh Kaabah atau Hijr Ismail semasa tawaf

Jika disentuh dengan sengaja maka akan terbatal pusingan tawaf tersebut. Jika tidak sengaja maka tidak batal pusingan tawaf, boleh teruskan tawaf seperti biasa.

Jangan sekali-kali menyentuh Kaabah ketika tawaf walaupun jemaah amat hampir dengan Kaabah semasa tawaf. Terdapat kes jemaah yang begitu teruja untuk menyentuh Kaabah ketika tawaf disebabkan kedudukannya amat hampir dengan Kaabah.

Sabar, ini mungkin ujian Allah, jika berhasrat hendak menyentuh Kaabah pastikan telah selesai tawaf dengan sempurna. Begitu juga dengan Hijr Ismail.

Menyentuh Makam Ibrahim semasa tawaf

Jika disentuh Makam Ibrahim tidak membatalkan pusingan tawaf. Begitu juga berjalan melaluinya semasa tawaf.

Keraguan berkaitan bilangan tawaf selepas tawaf

Jika perasaan keraguan yang timbul selepas selesai amalan haji atau umrah maka keraguan tersebut tidak boleh ambil kira.

Sila abaikan keraguan yang datang setelah sempurna amalan haji atau umrah kita, banyakkan baca surah al-Nas dan berdoa.

Sekiranya keraguan datang semasa tawaf, contohnya berapakah bilangan tawaf yang dilakukan? Maka berpegang pada kiraan bilangan yang kecil, contoh tujuh atau enam.

Maka hendaklah berpegang pada enam dan hendaklah tawaf dengan satu pusingan lagi untuk cukupkan tujuh dengan yakin. Begitu juga semasa saie.

Mula tawaf pada bukan penjuru Hajarul Aswad

Tawaf yang dimulakan pada penjuru selain dari Hajarul Aswad adalah tidak sah, jemaah perlu membuat tambahan pusingan tawaf, ini kerana tawaf yang dimulakan pada penjuru selain dari Hajarul Aswad adalah batal dan tidak diambil kira.

Masuk dalam Hijr Ismail ketika tawaf

Semasa sedang tawaf jemaah haji tidak dibenarkan menyentuh, masuk atau hanya melalui laluan dalam Hijr Ismail kerana ia adalah sebahagian daripada Kaabah.

Begitu juga semasa tawaf tidak boleh menyentuh Kaabah (termasuk kelambu Kaabah) dan Syazarwan.

Sekiranya berhajat hendak memasuki Hijr Ismail untuk bersolat atau berdoa dalamnya atau menyentuh Kaabah atau Syazrawan pastikan telah sempurna tawaf dengan yakin.

Peringatan untuk jemaah haji atau umrah bahawa kelambu Kaabah adalah wangi pastikan sekiranya masih dalam larangan ihram pastikan tidak terlalu asyik dengan bau wangian pada kelambu Kaabah. Jika berbuat demikian dikira berdosa dan dikenakan dam.

Tawaf menggunakan kerusi roda

Jika tidak berupaya tawaf dengan berjalan kaki maka jemaah diboleh bertawaf dengan menaiki kerusi roda.

Orang yang sihat juga boleh bertawaf dengan menaiki kerusi roda, ini kerana tawaf dalam keadaan berjalan kaki adalah termasuk dalam kategori amalan sunat semasa tawaf.

Rasulullah SAW pernah tawaf dalam keadaan menunggang binatang. Melakukan tawaf dalam keadaan menunggang tanpa uzur, hukumnya harus.

Pastikan sorongan yang dibuat hendaklah cukup tujuh pusingan. Keadaan tawaf adalah tidak sah jika orang yang disorong tidur dalam keadaan papan punggung yang tidak tetap dan tidak pula mengetahui bilangan sorongan yang dibuat.

Pastikan orang yang akan membantu untuk sorongan tawaf tersebut boleh dipercayai dan dibuat urusan dengan jelas antara kedua belah pihak, ini bagi mengelak berlaku penipuan.

Pastikan aurat juga dijaga semasa tawaf menggunakan kerusi roda, khususnya jemaah wanita, pastikan tidak menampak aurat kaki atau betis semasa duduk di atas kerusi roda, pastikan stoking panjang dan sesuai untuk menutup aurat kaki.

Tawaf dengan yakin cukup tujuh pusingan

Pastikan tawaf yang dilakukan adalah diyakini cukup tujuh pusingan. Sekiranya tidak yakin hendaklah membuat tambahan pusingan.

Sering berlaku jemaah tawaf tidak cukup tujuh pusingan kerana bimbang di tinggalkan kawan, atau suami/isteri maka jemaah terus meninggalkan tempat tawaf walaupun dalam keadaan ragu-ragu mengenai bilangan tawaf yang telah dilakukan.

Suami/isteri dan sahabat handai hendaklah bertolak ansur dalam perkara ini, jangan mementingkan diri sendiri sehingga boleh menjejaskan ibadat orang lain.

Untuk memberi keyakinan mengenai bilangan tawaf, jemaah dinasihatkan mencari kaedah atau formula memudahkan mereka mengingati bilangan tawaf yang dibuat.

Berdasarkan pengalaman penulis ada jemaah yang menggunakan kaedah lipatan pada buku doa yang dibawa semasa tawaf, ada yang menggunakan biji tasbih dan sebagainya.

Walaupun nampak remeh tetapi ia dapat membantu kita membina keyakinan terhadap bilangan tawaf yang dibuat.

Terpisah daripada sahabat selepas tawaf

Sebaiknya sebelum bergerak di tempat tawaf, jemaah dinasihatkan membuat perancangan di manakah tempat yang paling mudah bertemu jika terpisah dengan rakan dan keluarga.

Dinasihatkan carilah tempat yang mudah untuk berjumpa. Contohnya seperti di bawah kawasan lampu hijau yang bertentangan dengan penjuru Hajarul Aswad atau mana-mana kawasan yang dirasakan sesuai dan dipersetujui oleh ahli keluarga atau rakan, tetapkan had masa menunggu dan bincang serta dapatkan persetujuan bersama.

Makan dan minum ketika tawaf

Makruh makan dan minum ketika tawaf, kemakruhan minum lebih ringan daripada makan. Tidak membatalkan pusingan tawaf. Rasulullah SAW pernah minum air ketika tawaf kerana sangat dahaga.

Bercakap-cakap ketika tawaf

Tidak membatalkan pusingan tawaf. Sebaiknya elakkan, ini penting untuk mendatangkan ketenangan dan kekhusyukan semasa sedang beribadat .

Inilah antara isu-isu berkaitan tawaf dan beberapa tips sebagai panduan tetamu Allah sekalian. Walaupun adakalanya nampak remeh dan telah disentuh berulang kali dalam siri kursus haji dan sebagainya tetapi ia jugalah yang sering menjadi perkara yang berbangkit berkaitan tawaf pada saban tahun.

Kepada jemaah haji tahun 1431H diucapkan selamat berangkat ke Tanah Suci dan mengerjakan ibadat dengan tenang dan mendapat haji yang mabrur, insya-Allah.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Ilmu Falak

Perkembangan ilmu falak

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN
SETIAP kejadian yang berlaku di alam ini sama ada hujan, ribut petir, gerhana dan sebagainya perlu dikaji dan direnung secara empirik untuk mendapat formula kejadiannya serta bagaimana ia berlaku.

Ini termasuk menghasilkan output dalam bentuk produk yang dapat membantu meningkatkan keimanan dan kualiti hidup.

Dalam kehidupan masa kini, teknologi angkasa lepas yang paling ketara adalah teknologi satelit yang digunakan untuk tujuan kaji cuaca, komunikasi, penyelidikan alam sekitar dan atmosfera serta bagi tujuan ketenteraan.

Semua ini menunjukkan potensi dan manfaat hasil kajian manusia tentang ilmu falak.

Ini sebagai mana firman Allah yang bermaksud: Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa. Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan hak. Allah menjelaskan tanda-tanda kebesaran-Nya bagi kaum yang mahu mengetahui. (Yunus: 5)

Ternyata, manfaat yang selama ini kita nikmati tanpa disedari daripada perkembangan ilmu falak adalah penentuan tarikh. Ini menjadi lebih penting terutama dalam merancang bilakah mulanya puasa Ramadan. Seterusnya menentukan cuti bagi membolehkan kita merancang perjalanan pulang berhari raya ke kampung.

Sumbangan ahli falak Yunani

Ahli astronomi purba telah memulakan beberapa teori dan siri pencerapan yang berguna untuk kajian falak seterusnya.

Antaranya, Aristarchus (310 SM -230 SM) yang membuat pengukuran saiz serta jarak bulan can matahari.

Erathosthenes (240 SM) mula membuat pengukuran diameter bumi manakala Hipparchus (150 SM) menggunakan kaedah matematik trigonometri untuk perhitungan astronomi.

Ptolemy (120 SM) pula mengemukakan konsep alam sistem geosentrik. Ia menunjukkan bahawa bumi menjadi pusat alam dengan planet lain serta matahari beredar mengelilinginya dengan jarak dan halaju tetap.

Ilmu falak dalam zaman tamadun Islam

Ahli falak Muslim memainkan peranan penting dalam perkembangan dan kemajuan ilmu ini. Mereka telah mengubah skop kajian ilmu falak yang bercorak tradisi kepada saintifik.

Pada zaman khalifah al-Makmum (813-833 M), beliau memerintahkan supaya ukuran lilitan bumi dibuat dengan menggunakan kaedah astronomi dan matematik.

Ahli falak Islam telah berjaya mendapatkan ukuran lilit tersebut sebagai 40,253 kilometer (km). Ukur lilit bumi yang diperolehi dalam pengukuran moden adalah 40,084 km.

Al-Makmum menjadikan kota Baghdad, Kufah dan Basraj sebagai pusat penyelidikan unggul dengan membina kompleks penyelidikan dan makmal yang dikenali Baitul Hikmah.

Pada masa yang sama, terdapat sekurang-kurangnya empat balai cerap yang aktif membuat penyelidikan iaitu balai cerap Kaherah, Qaisun di Damsyik, Shammasiya di Baghdad dan Maraghah di Turkistan.

Antara tokoh cendekiawan Islam dalam bidang ini ialah al-Biruni, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan al-Kindi.

Al-Biruni selain mengkaji tentang geografi dan geologi turut memperbaiki teori qamari mengenai saiz bumi, matahari dan planet.

Al-Khawarizmi pula membuat kajian qamari dan kenampakan anak bulan. Ibnu Sina pula pakar dalam astro fizik manakala ak-Kindi dikenali sebagai pakar matematik dan geografi.