Wednesday, June 29, 2011

Sirah Agung

Sirah agung bukti kebesaran Tuhan

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON
PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Johor Bahru

SETIAP tahun apabila tiba tarikh 27 Rejab, umat Islam di Malaysia secara khususnya akan meraikan peristiwa kembara agung perjalanan Israk dan Mikraj Baginda Nabi Muhammad SAW. Walaupun terdapat perbezaan pendapat tentang tarikh sebenar kejadian menakjubkan itu, ia tidak perlu diperbesarkan. Apa yang lebih penting ialah bagaimana umat Islam dapat menghayati peristiwa tersebut lalu berusaha untuk menterjemahkannya dalam kehidupan seharian.

Malah jika diperhalusi ia bukti keagungan dan kekuasaan Allah SWT yang telah menjalankan hambanya pada malam hari bermula di Mekah lalu singgah di Masjidil Aqsa di Palestin dan dibawa naik merentasi tujuh petala langit sehingga sampai bertemu Allah SWT.

Pada pagi-pagi lagi keesokan harinya, Baginda Rasulullah SAW sedia bersama penduduk Mekah untuk menceritakan peristiwa kembara agung itu, walaupun ramai yang menolak untuk mempercayainya.

Sememangnya jika manusia berfikir dengan panduan akal semata-mata, tiada sebarang teknologi yang boleh membawa manusia naik ke angkasa raya sepantas itu. Pesawat Soyuz TMA-11 yang pernah membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan dua krew lain perlu berada di orbit selama 47 jam dan mengelilingi bumi sebanyak 700 kali sebelum berjaya untuk bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) walaupun ia hanya terletak 350 kilometer dari ruang angkasa rantau Asia Tengah.

Namun begitu apabila ia dikaitkan dengan kebesaran dan keagungan Allah SWT yang Maha Berkuasa mencipta segala sesuatu, ia bukanlah perkara yang mustahil. Baginda Nabi Muhammad SAW sendiri dibawa dengan kenderaan khusus yang dikenali sebagai buraq untuk naik mengadap Allah SWT bukannya dengan kudrat sendiri.

Perkara ini boleh diperhatikan kepada firman-Nya yang bermaksud; "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui".( Surah al-Isra':1)

Selain daripada itu, Allah SWT turut memaparkan bukti kekuasaan-Nya dengan menunjukkan kepada Rasulullah SAW dan umat Islam secara umumnya tentang beberapa peristiwa menakjubkan. Antaranya diperlihatkan akan sekelompok manusia yang perut mereka besar seperti rumah, di dalamnya ada cacing yang boleh dilihat daripada luar perut. Lalu Malaikat Jibril yang menemani Rasulullah SAW sepanjang perjalanan mengatakan itulah siksaan kepada pemakan riba' yang diharamkan.

Rasulullah SAW juga diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang menanam tanaman dan menuai hasilnya pada hari yang sama. Dikatakan kepadanya itu adalah balasan baik bagi orang yang berjihad di jalan Allah SWT. Ada pula sekelompok manusia yang menghantukkan kepala ke dinding lalu pecah dan bercantum semula kemudian dihantuknya lagi sehingga pecah dan bercantum semula sebagai balasan azab Allah SWT terhadap orang yang malas dan meninggalkan fardu sembahyang.

Sayugianya sempena memperingati peristiwa agung ini umat Islam tidak terlalu leka dan lalai dengan pelbagai habuan dunia sehingga lalai melaksanakan tanggungjawab yang difardukan.

Ibadah solat yang difardukan secara langsung kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Israk dan Mikraj jelas menunjukkan betapa ia tidak boleh dipandang ringan. Ini berbeza dengan ibadat yang lain seperti zakat dan haji yang diwahyukan menerusi perantaraan Malaikat Jibril AS.

Oleh itu dalam apa jua kegiatan seharian yang dilakukan, solat sama sekali tidak patut diabaikan. Malah pelaksanaan ibadat solat merupakan antara kriteria sesuatu pekerjaan dinilai sebagai ibadat dan diberi ganjaran pahala di sisi Allah SWT.

Selain itu penglibatan umat Islam dalam transaksi kewangan dan perbankan yang berteraskan riba' juga adalah diharamkan. Malah pengharamannya sama dengan dosa minum minuman keras dan makan makanan yang diharamkan seperti babi dan lain-lain.

Malah dengan situasi masa kini yang mana negara kita terkehadapan dalam mengamalkan sistem ekonomi dan kewangan berteraskan syariat Islam hukum darurat tidak lagi terpakai. Institusi perbankan dan kewangan Islam yang ada juga turut berkembang pesat dengan sokongan dan insentif daripada pihak kerajaan.

Justeru adalah tidak patut jika ada orang Islam yang memperlekehkan pelaksanaan ini tanpa menyokong dan memberi idea pembaikan terhadap kepincangan yang berlaku. Lebih buruk lagi jika masih ada yang rela makan riba' walaupun tahu kesan dan keburukannya.

Selari dengan itu juga penghayatan terhadap peristiwa Israk dan Mikraj perlu diterjemahkan dengan hanya memilih produk pembiayaan dan pelaburan yang patuh syariah yang banyak di pasaran masa kini.

Dari sudut pandang yang lain, kesanggupan umat Islam untuk berjihad melawan hawa nafsu, berjihad memerdekakan diri daripada belenggu kemiskinan dan berjihad usaha dan tenaga untuk membantu sesama Islam masih di takuk lama.

Buktinya saban hari ada sahaja berita berkaitan jenayah rasuah, buang bayi, bersekedudukan dan berzina yang menghiasi dada-dada akhbar tempatan. Ia sekali gus menampakkan bagaimana segelintir umat Islam tidak berdaya walaupun untuk melawan nafsu serakah sendiri yang merupakan musuh paling utama.

Mereka seolah-olah sudah tidak mempercayai kewujudan Allah SWT sehingga tanpa segan silu berbuat maksiat sesuka hati.

Peristiwa kembara agung junjungan besar Nabi Muhammad SAW jelas membuktikan betapa Allah SWT tidak pernah alpa dan lalai daripada memerhati setiap gerak perlakuan hambanya, malah berkuasa pula untuk mengenakan azab dan hukuman setimpal atas kesalahan yang dilakukan.

Oleh itu, usah hanya bergelak ketawa dengan lawak jenaka yang disampaikan oleh penceramah jemputan ataupun kenyang perut dengan pelbagai juadah berat yang disediakan. Lebih daripada itu sambutan hari kebesaran Islam yang silih berganti sepanjang tahun ini perlu dihayati dan diterjemahkan dalam realiti kehidupan seharian agar ia benar-benar mencapai matlamat yang diharap-harapkan.

Tuesday, June 21, 2011

amil

Kedudukan asnaf amil zakat

Dalam pembahagian zakat, berapakah peruntukan yang boleh diambil oleh pihak amil? Adakah pihak amil boleh mendapat lebih daripada asnaf zakat yang lain? Ini kerana, saya mendengar ada dakwaan bahawa pihak amil telah melebihkan penggunaan wang zakat untuk kepentingan mereka sahaja. Harap dapat penjelasan ustaz.

JAWAPAN:

Terima kasih kerana mahu bertanya. Mudah-mudahan dengan pertanyaan ini akan membuka horizon pemikiran kepada jawapan yang memberikan kelegaan kepada ramai orang dan dapat mengelakkan salah faham yang tidak mendatangkan apa-apa kebaikan.

Hakikatnya, kalimah amil jelas disebut di dalam al-Quran dan al-hadis. Misalnya di dalam ayat 60, surah at-Taubah: Sesungguhnya sedekah (zakat) itu adalah untuk para fakir, miskin, amil yang menguruskan zakat...

Begitu juga dengan sabda Nabi Muhammad SAW: Amil yang memungut zakat dengan cara yang benar samalah (pahalanya) seperti orang yang berjihad pada jalan Allah sehinggalah dia kembali ke rumahnya. (hadis hassan riwayat Imam Tarmizi)

Sudah jelas di sisi Islam, amil adalah salah satu daripada asnaf zakat yang lapan, bahkan amil tergolong ke dalam kumpulan empat asnaf utama atau disebutkan sebagai asnaf yang muqaddam. Ia bermaksud, asnaf-asnaf fakir, miskin, amil dan muallaf mesti diberikan keutamaan dalam agihan zakat berbanding empat asnaf yang terkemudian, iaitu riqab, gharimin, ibn sabil dan fisabilillah.

Keutamaan ini mempunyai rasionalnya, iaitu kaum fakir, miskin dan muallaf memang mendapat tempat yang istimewa dan utama di dalam Islam demi menjaga keimanan mereka.

Amil pula perlu diberikan haknya agar dengan kecukupan yang mereka perolehi, maka mereka dapat menjalankan kerja-kerja menguruskan zakat dengan amanah, cekap dan berkesan.

Seandainya para amil sendiri tidak mempunyai kecukupan, maka akan terbukalah ruang-ruang fitnah, kerana sesungguhnya urusan zakat memang bermain dengan harta dan wang yang selalu menggoda manusia.

Bahkan tidak mustahil pula para amil akan melakukan kerja-kerja sampingan yang lain untuk mencukupkan keperluannya, sehingga boleh menjejaskan tumpuannya kepada kerja-kerja membangunkan zakat dan juga asnaf-asnaf zakat.

Maka, pihak amil memang berhak memperolehi sebanyak 1/8 daripada kutipan zakat keseluruhan. Jika dikutip lapan juta, maka satu juta adalah bahagian amil.

Semakin besar kutipan zakat, maka semakin besarlah bahagian amil. Misalnya kutipan zakat RM240 juta, maka bahagian amil adalah RM30 juta.

Dengan jumlah RM30 juta itulah, ia dijadikan belanja pengurusan misalnya bayaran upah atau gaji, belanja kelengkapan pejabat, membeli kenderaan dan selenggara bangunan, belanja utiliti, belanja membuat penyelidikan dan persidangan zakat serta sebagainya lagi.

Ia juga bermakna, segala perbelanjaan bagi keperluan pihak amil, tidak sama sekali mengambil peruntukan daripada asnaf zakat yang lain.

Maka, tidak benarlah tuduhan bahawa amil zakat menggunakan wang zakat sewenang-wenangnya. Bahkan amil zakat memanfaatkan peruntukan 1/8 bahagian amil tersebut demi kelangsungan pengurusan zakat yang menjamin tujuh asnaf zakat yang lain.

Misalnya, dengan kecanggihan sistem berkomputer yang ada, maka urusan permohonan bantuan zakat bagi setiap asnaf menjadi lebih mudah dan cepat.

Dengan prasarana yang baik, tempoh siasatan menjadi singkat dan bantuan dapat segera dihulurkan. Maknanya, asnaf-asnaf zakat yang lain telah mendapat manfaat yang besar apabila amil diperkasakan dengan hanya peruntukan 1/8 mereka.

Walau bagaimanapun, dalam perbahasan fikah zakat sebenarnya ada juga pandangan yang menyatakan pihak amil masih boleh mengambil lebih daripada 1/8 jika keadaan memerlukan.

Bahkan dalam kalangan fuqaha juga ada menyatakan, jika ada keperluan lain, pemerintah juga boleh mengambil tanggung jawab menanggung gaji dan keperluan para amil dengan wang daripada dana atau perbendaharaan kerajaan.

Namun begitu, apa yang diamalkan di Selangor, amil hanya mengambil 1/8 sebagai upahnya daripada kutipan zakat.

Kesimpulannya, amil adalah satu pekerjaan yang menanggung amanah yang cukup besar di sisi Islam. Seandainya para amil tidak diberikan hak mereka dengan sepatutnya, maka pasti ia akan memberikan kesan negatif kepada perjalanan keseluruhan institusi zakat.

Maka, atas dasar itulah Islam memuliakan institusi amil dan memberikan para amil hak yang sewajarnya, sebagaimana yang diperuntukkan oleh syarak. Wallahu a'lam.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Kerajaan Saba


Keistimewaan kerajaan Saba'

Empangan ma'arib adalah nadi kehidupan kaum Saba'.

DALAM kisah Nabi Sulaiman a.s, diceritakan bahawa baginda mengajak seorang Ratu (pemerintah) dari sebuah negeri untuk mengikuti agamanya, iaitu hanya menyembah Allah SWT dan bukan yang lain (maksud al-Quran, al-Naml: 10-44).

Negeri itu adalah Saba' dan ratunya bernama Balqis. Kisah tentang negeri Saba' dan penduduknya terdapat di dalam al-Quran, iaitu surah Saba' ayat 15-21. Surah ini diturunkan di Mekah, mengandungi 54 ayat.

Dinamakan surah Saba' (perihal penduduk Saba'), kerana kisah mereka ada disebutkan pada ayat-ayat 15 hingga 21. Pada awal surah ini, Allah menegaskan segala puji bagi-Nya kerana Dialah yang menciptakan dan menguasai seluruh alam.

Dialah yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada sekalian makhluk-Nya di alam kehidupan ini, dan yang maha melimpah nikmat-Nya dan rahmat-Nya kepada orang-orang beriman pada hari akhirat.

Setelah menolak fahaman kaum kafir musyrik yang menentang Nabi Muhammad SAW dan yang tidak percayakan kedatangan hari kiamat, dan setelah menerangkan keistimewaan-keistimewaan pada nabi-nabi yang telah lalu.

Maka Allah SWT memberi amaran kepada golongan musyrik itu, jika mereka masih berdegil dengan kekufuran, maka mereka akan dibinasakan sebagaimana penduduk negeri Saba' kerana mereka kufur ingkar.

Kemudian Allah menujukan firman-Nya kepada Nabi SAW dan menerangkan bahawa baginda diutus kepada umat manusia seluruhnya sebagai rasul pembawa berita gembira kepada orang-orang yang beriman dan pemberi amaran kepada orang yang ingkar.

Sebagai penutup, digambarkan keadaan orang yang bersalah pada hari kiamat. Mereka kelihatan cemas takut dan gerun gementar apabila menyaksikan azab seksa yang disediakan untuk mereka.

Semasa mereka diseret untuk menerima balasan, mereka berkata: "Sekarang kami beriman…" tetapi pengakuan mereka yang demikian tidak ada gunanya kerana tempat beriman ialah di dunia, sedang mereka telah terpisah dari dunia dan tidak mungkin kembali lagi.

Dalam surah tersebut dijelaskan bahawa negeri Saba' dikurniai Allah SWT dengan kemewahan, dengan tanah yang subur sehingga penduduknya hidup dengan aman makmur. Allah SWT berfirman yang bermaksud:… (Negerimu) adalah negeri yang baik dan (Tuhanmu) adalah Tuhan yang Maha Pengampun. (Saba': 15).

Namun, kerana ingkar kepada Allah SWT, penduduk Saba' ditimpa azab berupa banjir besar yang menghancurkan negeri mereka. Kisah pengingkaran kaum Saba' dan turunnya azab Allah SWT ini terjadi setelah Ratu Balqis mengikuti agama Nabi Sulaiman a.s.

Sebuah hadis sahih daripada Ibnu Abbas menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya seseorang, yang bermaksud: "Apakah Saba' itu nama negeri atau nama seseorang?" Nabi menjawab, "Dia adalah manusia beranak 10. Enam tinggal di Yaman dan empat di Syam. Yang di Yaman ialah Mudzhij, Kindah, Alazad, Asa'ariyum, Anmar dan Himyar. Yang di Syam adalah Lakham, Judzam, Amilah dan Ghassan".

Nenek moyang mereka dikatakan berasal daripada kabilah-kabilah Arab Yaman. Asal kediaman mereka bernama Saba', kemudian menjadi nama negeri atau kerajaan dengan ibu kota Maarib.

Kerajaan Saba' pernah dipimpin oleh seorang Ratu yang bernama Balqis. Kepimpinan Balqis menunjukkan bahawa seorang wanita boleh terlibat dan berperanan dalam mengelola pemerintahan.

Balqis termasuk seorang Ratu yang bijaksana, suka berunding dan berdamai. Negeri Saba' yang dipimpinnya disebut di dalam al-Quran sebagai negeri yang baik dengan Tuhan Yang Maha Pengampun (Saba': 15), kerana Allah SWT telah mengurniai tanah Saba' dengan ladang-ladang yang amat subur.

Allah melimpahkan rezeki-Nya kepada penduduk Saba' dengan memberi mereka dua kumpulan kebun yang luas lagi amat subur.

Namun kerana mereka tidak mensyukuri nikmat yang diberi, Allah SWT menggantikan pohon-pohon di kebun itu dengan pohon yang berbuah pahit, iaitu pohon Asl dan Sidr.

Asl adalah pohon yang berakar kuat sehingga sukar dicabut. Adapun pohon Sidr adalah pohon yang tidak mengenyangkan untuk dimakan.

Kisah negeri Saba dengan penduduknya merupakan petunjuk, pengajaran dan tanda akan nyatanya kekuasaan Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: … Sesungguhnya bagi kaum Saba ada tanda (kekuasaan Tuhan) di tempat kediaman mereka… (Saba': 15).

Nikmat yang diberikan oleh Allah tidak mereka syukuri, bahkan mereka menganiaya diri mereka sendiri dengan mengingkari seruan Allah sehingga mereka diazab Allah.

Azab berupa banjir dan pohon berbuah pahit menjadi pengajaran berharga bagi kaum Saba.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, May 20, 2011

Isteri Tanggung belanja Rumah

Tidak haram isteri tanggung belanja rumah

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BENARKAH rakan saya mengatakan haram jika seorang isteri menanggung sebarang kos perbelanjaan seperti makanan dan pakaian kerana itu menjadi tanggungjawab suami sepenuhnya.

Alhamdulillah pendapatan saya lebih besar daripada isteri cuma perbelanjaan keluarga kami kongsi bersama.

Bagaimanapun, saya masih menanggung sebahagian besar perbelanjaan seperti ansuran rumah dan kereta, pakaian, persekolahan anak-anak, pembantu rumah, insurans dan perubatan.

Isteri pula mengeluarkan perbelanjaan untuk keperluan dapur serta makanan termasuk susu anak.


Minta Dr beri penjelasan mengenai perkara terbabit.


ZAINAL
Perak


ISLAM menetapkan kewajipan suami isteri antaranya, suami wajib menyediakan nafkah kepada isteri dan anak berbentuk makanan dan minuman, tempat kediaman, pakaian serta perubatan.

Dalam keperluan memberi nafkah, ia hendaklah bergantung kepada kemampuan suami. Sementara isteri wajib melayan suami sepenuhnya di samping memenuhi tanggungjawab lain, sesuai dengan kedudukan�nya sebagai isteri dan ibu.

Islam menghendaki suami bekerja untuk menanggung anak dan isteri. Apabila suami bekerja, isteri pula menguruskan rumah tangga dan anak termasuk menjaga makan dan minum serta melakukan kerja rumah.

Itulah pembahagian kerja yang adil antara suami isteri. Isteri tidak boleh bergoyang kaki menunggu suami. Isteri perlu menyumbang usaha membangunkan rumah tangga supaya bahagia dan selesa.

Perkara berkenaan dibuktikan apabila puteri Rasulullah s.a.w, Fatimah al-Zahra iaitu isteri Saidina Ali bin Abu Talib melakukan kerja rumah seperti memasak, membakar roti dan mengisar tepung hingga diriwayatkan tangannya menjadi pecah-pecah.

Oleh kerana kerja rumah sangat berat, Fatimah dan suaminya pernah mengadu kepada Nabi s.a.w supaya mengizinkannya mendapatkan pembantu rumah.

Tetapi Nabi s.a.w menyuruh Fatimah terus melakukan kerja itu dan tidak pula menyuruh Ali melakukan kerja rumah atas tanggungjawabnya sebagai suami.

Pada hari ini, ramai pasangan suami isteri bekerja. Keadaan itu ada kalanya menyebabkan urusan rumah tangga tidak sempurna. Kebanyakan keluarga memilih untuk mempunyai pembantu rumah sementara anak pula dihantar ke pusat jagaan kanak-kanak.

Mengenai pendapat kenalan anda itu, ia sama sekali tidak benar dan keterlaluan jika ada menyatakan haram jika isteri membayar kos barang makanan dan keperluan lain.

Islam membenarkan isteri membayar secara sukarela, lebih-lebih lagi apabila dia mempunyai pendapa�tan sendiri. Tidak adil jika semuanya ditanggung suami seorang diri. Dalam keadaan ini, sudah tentu perkongsian yang adil perlu dirancang.

Saya berpendapat, apa yang anda lakukan sudah memenuhi tanggungjawab. Cuma kita tidak mahu berlaku isteri menuntut sesuatu perkara yang berlebihan hingga menzalimi suami.

Benci Ayah

‘Saya benci ayah’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA menuntut di sebuah universiti awam. Ibu bapa saya sudah lama bercerai ketika saya berumur lebih kurang dua tahun.

Bapa tidak pernah memberikan nafkah sejak saya kecil hingga sekarang.

Selepas seorang kakak berkahwin, dia lebih kerap menjenguk dengan alasan untuk melihat cucu. Namun, pada masa yang sama dia memujuk kami tinggal bersamanya.

Ayah saya berkahwin lain selepas bercerai dan mempunyai anak-anak yang lain. Bagi saya, dia hanya ingin kami tinggal bersama apabila kami sudah dewasa dan boleh menumpang tuah.


Selama ini, ibu saya bersusah payah menjaga kami.


Disebabkan tidak mampu, adik saya terpaksa diberikan kepada orang lain untuk dijaga.

Selain itu, dia adalah seorang yang tidak mementingkan hal agama termasuk solat lima waktu. Hingga kini, saya tidak boleh memaafkan dia.

Saya masih berasa perit hidup bersama ibu tanpa bantuan sesiapa hingga menjadikan saya seorang pendendam. Saya pernah terfikir tidak sanggup menjadikannya sebagai wali.

Berdosakah saya jika sengaja mahu berkahwin di luar negara selain menggunakan khidmat wali hakim?

LEENA
Johor


ISLAM sudah menetapkan tanggungjawab seorang bapa dalam memberi nafkah kepada anak atas kemampuan masing-masing.

Apabila bapa mulai cuai atau lupa terhadap tanggungjawabnya, anak-anak menjadi mangsa.

Keadaan itu berlaku ketika perceraian antara ibu bapa. Lantaran itu, mahkamah syariah diberi tanggungjawab untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan apabila nafkah anak-anak diabaikan.

Pihak ibu atau anak-anak boleh membuat pengaduan di mahkamah syariah berdekatan. Tindakan demikian membantu pihak bapa dina�sihati sebaik mungkin dan diambil tindakan sewajarnya jika perlu.

Memandang kes anda sudah lama dan tiada pengaduan dibuat di mahkamah syariah selain sikap bapa yang tidak mengambil endah masalah termasuk nafkah anak-anaknya, anda menjadi begitu pendendam kepada ayah sendiri atas sikapnya itu.

Walaupun dia muncul dan mulai berbaik-baik dengan anda dan kakak anda hingga mengajak tinggal bersama, sikap anda tidak berubah dan menganggapnya sebagai helah semata-mata untuk mengambil kesempatan.

Anda juga merasakan bapa anda tidak sepatutnya menjadi wali dan ingin berkahwin
di luar negara.

Pada pandangan saya, anda tidak sepatutnya bersikap dan mengambil tindakan sedemikian.

Ini kerana prosedur mahkamah syariah menghendaki anda berkahwin dalam negeri dengan mematuhi segala rukun dan syarat perkahwinan seperti wali.

Memilih berkahwin di luar negara merumitkan keadaan kerana anda perlu melaporkan perkahwinan itu di mahkamah syariah untuk pendaftaran.

Ia pula memakan masa dan duit kerana terpaksa berbelanja lebih. Lebih baik berkahwin di negara kita saja tanpa perlu bersusah payah ke luar negara dan naik turun mahkamah nanti.

Bapa anda pula, sudah tiba masanya untuk membuang yang keruh. Ambillah tindakan yang sewajarnya sebagai anak dan hormatilah seorang bapa.

Tentu tiada seorang bapa yang sempurna dalam dunia ini kecuali seorang nabi. Setiap manusia banyak melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang berdosa itu orang yang bertaubat.

Semoga layanan anda yang baik kepada seorang bapa membawa keinsafan padanya. Hargai dirinya sebagaimana anda menghargai diri anda.

Wednesday, April 27, 2011

Makan Hasil Isteri

Suami ‘perah’ duit isteri

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SAYA seorang isteri berusia 33 tahun manakala suami awal 40-an. Masalah yang saya hadapi kini ialah suami tidak mementingkan hal berkaitan agama.

Dia juga seorang yang tidak mengambil berat mengenai peranannya dalam keluarga. Dengan pendapatannya yang cukup makan saya mengambil inisiatif membantu meringankan bebanan keluarga.

Pada mulanya saya masih boleh menerimanya, namun kini keadaannya bertambah teruk apabila bergantung dengan hasil pendapatan saya.

Dr, bagaimana caranya untuk memujuk suami supaya dia boleh menjadi contoh terbaik kepada anak-anaknya? Saya bimbang jika tersalah memberi teguran akan menyebabkan berlaku perselisihan faham atau ketegangan antara kami.


DALAM DILEMA,

Pulau Pinang



MEMBERI nafkah kepada keluarga adalah tanggungjawab suami. Ini ditetapkan Islam. Apabila isteri bekerja dengan izin suami dan berniat untuk menampung keperluan keluarga ia dibenarkan.

Bagaimanapun, apabila suami mengabaikan tanggungjawabnya kemudian membebankan isteri dengan tanggungjawab itu, maka pelbagai masalah akan berlaku.

Suami perlu malu jika mereka berbuat perkara demikian. Sebagai isteri yang bertanggungjawab dan tidak mahu menghancurkan rumah tangga anda boleh menasihati suami sebaik mungkin.

Ini untuk kepentingan keluarga dan anak. Luangkan waktu sesuai untuk berbincang dari hati ke hati. Semoga ia dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Menurut Islam, perdamaian antara suami isteri adalah yang sebaiknya daripada bercerai-berai. Puan boleh bertolak-ansur dengan suami mengenai perbelanjaan keluarga.

Sifat terbaik adalah murah hati berbanding dengan bakhil. “Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul daripada suaminya nusyuz atau tidak melayaninya, maka tidak salah membuat perdamaian

di antara mereka berdua kerana perdamaian itu lebih baik, sedang sifat bakhil itu memang tabiat semula jadi manusia.

“Dan jika kamu berlaku baik dan mencegah diri (daripada kezaliman), sesungguhnya Allah adalah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.” (Surah an-Nisa’ ayat 128).

Sunday, April 24, 2011

Tanda Kekuasaan Allah

Tanda kekuasaan Allah di angkasa lepas

ANGKASAWAN pertama Malaysia, Dr. Sheikh Muzaffar menceritakan dalam program Dari Mata Ke Hati di saluran Astro Oasis baru-baru ini, beliau begitu terasa kebesaran Allah SWT apabila melihat bumi sebuah objek yang sangat kecil dari pandangan matanya di angkasa lepas.

Jika bumi itu hanyalah sebuah objek yang kecil, betapa halusnya manusia di sisi Allah Yang Maha Besar.

Sebab itulah kita disuruh melihat langit dan bintang supaya akhirnya kita berfikir tentang kebesaran dan kekuasaan Allah yang telah mencipta alam semesta yang begitu hebat pada pandangan mata dan akal fikiran. Dan Allah juga berfirman dalam Quran bahawa Dia telah mencipta tujuh lapis langit dan segala makhluk di antaranya termasuk malaikat, jin dan manusia.

Maka Dia menjadikannya tujuh langit dalam dua masa. Dia mewahyukan pada tiap-tiap langit urusannya. Dan Kami hiasi langit yang dekat dengan bintang-bintang yang cemerlang dan Kami memeliharanya dengan sebaik-baiknya. Demikianlah ketentuan Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui. - Al Fushilat (41): 12

Suatu masa dulu umat Islam agak ke depan dalam ilmu astronomi atau kajian angkasa lepas. Bagaimanapun kita terkebelakang sekarang setelah umat-umat lain menyedari kepentingan cabang ilmu ini, lalu mereka mencedok pengetahuan yang dipelopori umat Islam dan terus memajukannya hingga ke zaman sekarang.

Akhirnya mereka mencipta pesawat-pesawat untuk meneroka angkasa lepas dan kini menguasai kekuatan strategik angkasa bagi tujuan ketenteraan dan telekomunikasi yang membolehkan mereka menjadi kuasa besar dunia.

Terima kasih kepada Tun Dr. Mahathir Mohamed kerana menyedari kepentingan strategik ini , lalu menggerakkan usaha untuk membolehkan Malaysia turut membuka langkah bagi membolehkan negara menceburi bidang ini.

Ia satu anjakan kecil, tetapi setiap perjalanan yang jauh bermula dengan langkah pertama. Pemergian Sheikh Muzaffar di atas tajaan kerajaan adalah sebahagian daripada langkah pertama program angkasa lepas Malaysia, walaupun beliau hanya menumpang pesawat orang lain.

Kuasa besar Amerika Syarikat telah menghantar angkasawannya mendarat di bulan, tetapi itu bukanlah pencapaian yang hebat dibandingkan dengan pengalaman Rasulullah SAW yang telah sampai ke langit ketujuh dalam perjalanan Israk dan Mikraj yang memakan masa hanya satu malam.

Di sebalik kehebatan perkembangan sains dan teknologi penerokaan angkasa pada hari ini, pesawat yang dicipta masih belum melewati langit pertama. Malah belum ada lagi saintis yang dapat menghuraikan apa yang dimaksudkan oleh Maha Pencipta tentang kewujudan tujuh lapis langit itu.

Adakah ia bermaksud tujuh sistem planetari yang setiap satu mempunyai matahari, atau ada tujuh lapisan langit di atas planet bumi, atau ia satu dimensi di luar pencapaian akal manusia? Dengan menggunakan teropong teleskop yang semakin kuat cerapannya, saintis tanpa kesudahan sentiasa menemui bintang baru.

Begitulah kekuasaan Allah yang tidak boleh dicapai oleh pengetahuan manusia kerana ia bersifat infiniti atau tiada berhujung. Dia yang awal dan Dia yang akhir adalah gambaran infiniti-Nya.

Ilmu sains juga mendapati sehalus-halus zat yang boleh dicapai oleh penglihatan manusia melalui mikroskop ialah atom. Namun pada hari ini ada ahli fizik mendapati bahawa di sebalik nukleus atom yang diselaputi proton dan neutron masih ada lagi sesuatu yang aktif tanpa penghujung dan tidak boleh dicapai dengan penglihatan.

Maha Suci Allah yang zat-Nya tidak boleh dikaji dan dicapai dengan penglihatan manusia sekalipun dengan menggunakan teleskop atau mikroskop paling kuat cerapannya. Itulah bukti bahawa segala yang ada di antara tujuh langit adalah di bawah 'genggaman' Allah yang Maha Berkuasa. Dia juga Maha Besar dan Maha Ghaib.

Jika berdasarkan hukum logik, maka pengalaman Rasulullah naik ke langit ke tujuh adalah mustahil kepada akal manusia pada hari ini, apatah lagi pada zaman manusia menunggang unta dan kuda dulu. Tetapi jika Allah menghendakki sesuatu berlaku, ia tetap akan berlaku.

Rasulullah telah melihat sesuatu yang Allah hijabkan kepada manusia lain. Hanya kepada rasul-rasulnya sahaja Allah bukakan sesuatu yang amat ghaib untuk memperkukuh iman mereka bagi menyampaikan risalah tauhid kepada umat manusia yang mahu beriman. Pengalaman yang Allah berikan kepada rasul-rasul ini adalah berbeza.

Allah menceritakan dalam Surah Al Araaf tentang Nabi Musa yang mahu melihat-Nya, sesuatu yang tidak mungkin berlaku di dunia ini kerana ia adalah anugerah paling istimewa yang disediakan hanya untuk orang-orang beriman di akhirat kelak.

Lalu Allah wahyukan kepada Nabi Musa supaya memandang sebuah gunung. Apabila Nabi Musa melemparkan pandangannya ke arah gunung itu, apa yang disaksikannya adalah tidak syak lagi tanda kewujudan dan kekuasaan Allah. Gunung itu serta-merta runtuh dan hancur lebur menyebabkan Nabi Musa jatuh pengsan.

Adakah kita manusia biasa akan memperoleh pengalaman, jika tidak sehebat para nabi itu, sekurang-kurangnya sesuatu yang akan memperkukuh keyakinan kita terhadap Allah.

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka. - Ali Imran (3): 190, 191

Maksud ayat-ayat ini, yakinlah dengan sebenar-benar keyakinan bahawa neraka itu wujud. Jika Allah boleh menjadikan tujuh langit dan berjuta bintang yang pengetahuan mengenainya tidak berkesudahan dan sangat kompleks bagi manusia, tentulah amat mudah bagi-Nya untuk mencipta syurga dan neraka yang disediakan bagi manusia dalam kehidupan akhirat kelak.

Maka yakinlah kepada Allah dengan sebenar-benar keyakinan. Mudah-mudahan kita akan diberikan pengalaman yang akan memperkukuh iman kita. Setidak-tidaknya kita akan berasa gementar apabila mengingati Allah.

Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayatNya bertambahlah iman mereka (kerananya), dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal. - Al Anfaal (8): 2

Gementar hati kerana terasa kehampiran Allah Yang Maha Besar lagi Maha Agung. Maka luluh perasaannya, berpeluh sejuk tubuhnya dan mengalir tidak berhenti-henti air matanya kerana amat terasa kedaifannya. Itulah tanda seseorang telah beriman.
TAJUK-TAJUK BERITA LAI