Wednesday, November 9, 2011

makin berani menonjolkan maksiat

Jangan undang kemurkaan Allah

NEGARA digemparkan dengan tindakan berani 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menganjurkan program Seksualiti Merdeka 2011 iaitu satu program yang dibimbangi menggalakkan seks bebas.
Walaupun Perlembagaan dalam perkara 3 (1) memperuntukkan bahawa Islam merupakan agama Persekutuan dan menjadi tonggak kepada tertubuhnya Malaysia, ia tidak menjadi penghalang kepada kesemua NGO terbabit menunjukkan ‘belang’ mereka menganjurkan program yang menjijikkan itu.
Bagaimanapun program yang bertujuan memperjuangkan hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendapat bantahan keras daripada pelbagai pihak bukan sahaja di kalangan masyarakat Islam malah komuniti bukan Islam.
Mereka mahu program seperti itu dihentikan dan pihak penganjur antaranya bekas Presiden Majlis Peguam yang juga Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Datuk S.Ambiga dikenakan tindakan undang-undang kerana perbuatan itu bertentangan dengan Perlembagaan selain berlawanan dengan fitrah manusia.
Seperti mana kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mungkin tujuan penganjur program itu adalah untuk menunjukkan mereka selari dengan amalan hak asasi manusia berdasarkan prinsip-prinsip antarabangsa meskipun sedar ia tidak mungkin berlaku kerana Malaysia diiktiraf sebagai sebuah negara Islam.
Jelas, program yang memperjuangkan seks bebas hukumnya haram dan ia dinyatakan sendiri di dalam al-Quran khususnya mereka yang mengamalkan hubungan sejenis.
Harus diingat perbuatan memperjuangkan LGBT atau apa-apa perjuangan yang berlawanan dengan ketetapan hukum Allah SWT sebenarnya hanya akan mengundang kemurkaanNya.
Berdasarkan sejarah umat terdahulu, Allah pernah menurunkan mala petaka ke atas mereka sehingga kaum-kaum tersebut dilenyapkan daripada muka bumi ini.
Puncanya kaum-kaum itu ingkar kepada perintah Allah termasuk golongan yang mengamalkan seks bebas dan seks sejenis. Pada masa itu tiada siapa yang boleh menghalangNya kerana sesungguhnya Allah Maha Berkuasa daripada segala-galanya dan kehebatan kekuasaan Allah terlalu banyak disebutkan di dalam al-Quran.
Cuba lihat bala yang menimpa kaum Nabi Luth dan kemusnahan bandar Pompeii ekoran berlakunya gejala seks bebas serta hubungan seks sejenis.
Tidak dinafikan dua kisah ini sering dipaparkan untuk bacaan umum sama ada di majalah, akhbar mahu pun buku tetapi penulis mahu memaparkan semula dua kisah ini kerana ia amat berkaitan dengan penganjuran seks bebas serta memperjuangkan hak LGBT oleh 20 NGO terlibat.
Kisah pertama ialah mengenai sejarah umat Nabi Luth. Nabi Luth A.S hidup sezaman dengan Nabi Ibrahim A.S dan baginda diutus sebagai rasul kepada satu kaum yang berjiran dengan kaum Nabi Ibrahim.
Seperti mana yang disebut di dalam al-Quran kaum Nabi Luth membudayakan perbuatan yang bercanggah dengan syariat serta fitrah manusia iaitu melakukan hubungan jenis antara lelaki dan lelaki juga dikenali dengan liwat.
Ekoran budaya tersebut, Nabi Luth dengan segala kudratnya menyeru semua umatnya meninggalkan perbuatan terkutuk itu dengan mengingatkan kepada mereka amaran serta peringatan yang telah disampaikan oleh Allah.
Bagaimanapun kaum Nabi Luth yang angkuh itu menolak seruan tersebut dengan terus melakukan perbuatan liwat sesama lelaki dan paling malang mereka turut menafikan kerasulan Nabi Luth.
Seruan Nabi Luth disambut dengan pelbagai ugutan dan cemuhan daripada kaumnya. Mereka tidak mahu Nabi Luth menganggu budaya liwat yang begitu digemari mereka ketika itu. Nabi Luth dikecam hanya disebabkan baginda menunjukkan kepada umatnya ke jalan yang benar.
Cuba lihat maksud surah al-A’Araf ayat 80-81;
Dan Nabi Luth (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya ‘‘Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun penduduk alam ini sebelum kamu’’. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.
Bagaimanapun ingatan yang diberikan oleh Nabi Luth itu dijawab sinis oleh kaumnya. Perkara ini disebut di dalam al-Quran di dalam surah yang sama ayat ke 82; Dan tidak ada jawapan daripada kaumnya selain mereka berkata ‘‘Usirlah mereka (Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang yang mendakwa mensucikan diri.
Setelah menerima jawapan daripada kaumnya, Nabi Luth memohon berdoa kepada Allah dan ia dinyatakan di dalam surah as-Syuara ayat 169;
(Nabi Luth berdoa) ‘‘Ya Allah selamatkanlah aku serta keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan’’.
Akhirnya melalui perutusan dua malaikat, Nabi Luth sekeluarga serta pengikut-pengikut yang setia dibawa keluar ke satu tempat lain kerana Allah mahu memusnahkan umatnya yang durhaka itu.
Kaum Nabi Luth yang begitu biadab sebelum itu telah mengepung rumah baginda kerana mahu bertemu dengan dua orang tetamu terdiri daripada dua malaikat berkenaan. Mereka mahu melakukan perbuatan yang dimurkai oleh Allah.
Ekoran itu, Nabi Luth seperti mana dalam surat al-Hijr ayat ke 68-69 berkata ; ‘‘Sesungguhnya mereka ini tetamu aku. Maka janganlah kamu memberi malu kepadaku. Dan takutlah kamu kepada Allah, serta janganlah kamu menghina aku.’’
Berikutan kebiadapan tersebut, Allah segera menyelamatkan Nabi Luth sekeluarga dan pengikut-pengikutnya yang taat melalui perutusan dua malaikat tersebut, kaum baginda kemudian dimusnahkan dalam malapetaka yang dahsyat pada sebelah pagi.
Surah al-Hijr ayat 73-74 menceritakan segala-galanya: Akhirnya mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi ketika matahari terbit. Maka Kami jadikan kaum Lut tunggang-terbalik (tertimbus segala yang ada di muka buminya) dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah terbakar.’’
Inilah akibat mereka yang mengingkari perintah Allah dengan melakukan perbuatan hubungan sejenis sesama lelaki.
Peristiwa ini dianggarkan berlaku kira-kira 1,800 sebelum masihi dan kesan sejarah kebinasaan kaum Nabi Luth terdapat di kawasan Laut Mati di sempadan Jordan-Israel.
Kisah kedua adalah mengenai bala bencana yang diturunkan oleh Allah kepada masyarakat yang tinggal di bandar Pompeii kerana berlakunya seks bebas hingga ke peringkat melakukannya secara terbuka.
Pompeii ialah simbol keruntuhan Empayar Rom yang terlibat dengan kegiatan seks melampaui batas. Kemusnahan yang berlaku ke atas rakyat bandar itu serupa dengan balasan dialami oleh umat Nabi Luth. Kehancuran masyarakat di kawasan itu adalah akibat daripada letupan gunung berapi Vesuvius terletak di bandar Naples, Itali.
Kehilangan bandar Pompeii akibat malapetaka itu bukan tanpa sebarang sebab. Rekod sejarah menunjukkan bandar tersebut menjadi pusat memuaskan nafsu dan perbuatan melampau batas kemanusiaan
Jumlah rumah pelacuran tidak terhitung banyaknya. Mereka juga mengikut tradisi daripada kepercayaan Mithra yang mempercayai alat-alat kelamin dan persetubuhan tidak sepatutnya terlindung tetapi hendaklah dilakukan tempat terbuka,
Bagaimanapun perlakuan mereka mendapat kemurkaan Allah dan ia dibuktikan dengan letusan gunung Vesuvius dan lavanya menyapu bersih penduduk di kawasan itu dengan tidak seorang pun terselamat.
Dengan sekelip mata mereka menjadi batu. Malah berdasarkan beberapa penemuan terdapat mereka yang sedang melakukan hubungan seks turut menjadi batu.
Dua contoh di atas menunjukkan bukti kemurkaan Allah terhadap mereka yang sengaja mencabar ketetapan Allah dan kedua-duanya merupakan bukti sejarah yang wajar dijadikan iktibar.
Sehubungan itu, kepada pihak berkuasa mereka perlu membanteras kegiatan seks bebas dan perjuangan LGBT hingga ke akar umbi tanpa sebarang kompromi. Tanggungjawab ini perlu dilaksanakan kerana ia juga merupakan amanah daripada Allah.
Pusat-pusat pelacuran, homoseks dan apa jua pusat seks bebas di negara ini hendaklah dimusnahkan kerana kewujudan kegiatan maksiat seperti ini hanya akan mengundang kemurkaan Allah sekali gus memberi kesan buruk kepada negara.
Kepada orang Islam yang terlibat dengan kegiatan LGBT serta seks bebas, bertaubatlah sebelum nyawa ditarik oleh Malaikat Maut.
Kembalilah ke pangkal jalan. Apa yang anda lakukan itu dosanya amat besar. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Tuesday, November 8, 2011

wakaf harta 10 juta

Jurutera wakaf harta RM10 juta

Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: “Saya tidak pandai berdakwah dan ini yang mampu saya lakukan sebagai persiapan menghadapi kematian,” kata pewakaf, Ir Mohd Mazlan Md Ismail, 70, dari Kampung Sungai Penchala, di sini.
Mohd Mazlan mewakafkan dua bidang tanah seluas 0.68 hektar serta dua buah rumah dengan nilai anggaran melebihi RM10 juta kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk dijadikan pusat pendidikan Islam khas kepada warga emas.

“Sudah lebih dua tahun saya berhasrat mewakafkan harta kepada golongan kurang berkemampuan dan alhamdulillah ia termakbul hari ini selepas MAIWP melaksanakan amanah berkenaan.
“Harapan saya supaya dimanfaatkan sebaiknya dan membantu golongan warga emas untuk mendalami ilmu Islam secara kaedah pondok dengan pendekatan lebih moden,” katanya ditemani isteri, Rabiah Bee Mohamed Sulaiman, 64, ketika penyerahan hak milik kepada MAIWP di rumahnya, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail.

Menurut Mazlan, keputusan itu mendapatkan persetujuan tiga anaknya dan dia serta isteri menetap di sebuah rumah yang diwakafkan sebelum diserahkan sepenuhnya selepas mereka berdua tiada kelak.

Sementara itu, Dr Muhammad Yamin berkata, bagi merealisasikan hasrat pewakaf, pihaknya memutuskan menjadikan wakaf itu sebagai Pusat Pengajian Warga Emas atau dikenali Pusat Pengajian Warga Emas Dar-Assakinah.

“Segala pengurusan pusat pengajian dikelolakan Bahagian Pembangunan Insan MAIWP dan sebagai permulaan MAIWP akan mengambil antara 10 hingga 15 warga emas atau mengikuti kesesuaian kapasiti rumah ini.
“Namun segala perancangan lain akan dilanjutkan dalam mesyuarat lembaga pada pertengahan tahun ini dan merancang untuk membina satu lagi bangunan di tanah ini bagi membolehkan ramai lagi yang dapat mengikuti pengajian terbabit,” katanya.

Katanya, MAIWP juga akan melantik seorang pengetua bagi menguruskan pusat pengajian yang dibantu pembantu hal ehwal Islam serta seorang pembantu am.

Sunday, November 6, 2011

haji

Haji lambang kekuatan ummah

PADA hari ini, jutaan umat Islam yang menjadi tetamu Allah di Mekah sedang berhimpun melakukan ibadat untuk taqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah SWT, pencipta sekelian makhluk yang ada di muka bumi ini.
Semestinya, berbahagialah mereka yang dijemput oleh Allah SWT mengerjakan haji kerana ganjaran bagi haji yang mabrur (diterima) itu adalah syurga.
Ia sebagai mana sabda Nabi SAW yang bermaksud daripada Abu Hurairah r.a: Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Mengerjakan umrah sehingga umrah seterusnya adalah penghapus dosa di antara keduanya. Haji Mabrur tidak terbalas melainkan syurga. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Menunaikan haji mengikut syarak bermaksud mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.
Sebagai umat Islam, menunaikan haji adalah pelengkap bagi rukun Islam iaitu selepas mengucap syahadat, solat fardu lima waktu, puasa Ramadan dan menunaikan zakat.
Antara dalil kewajipan haji adalah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan serulah kepada manusia dengan (kewajipan) mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang sama dengan berjalan kaki atau berkenderaan dari segenap ceruk rantau yang jauh lagi dalam. (al-Hajj: 27)
Manifestasi
Jika dihalusi hierarki rukun Islam itu fahamlah kita mengapa ibadat haji diletakkan di tangga kelima ditambah pula syarat berkemampuan.
Secara tidak langsung, ibadat haji adalah kemuncak manifestasi keimanan orang yang bergelar Muslim. Ini kerana mereka yang pergi haji ini sudah semestinya mereka yang istiqamah melaksanakan empat lagi rukun Islam yang terdahulu.
Jarang atau luar biasa bagi orang yang tidak solat tiba-tiba mahu pergi menunaikan haji. Sebabnya, golongan begini tidak merasai lambaian Kaabah atau kerinduan menjejak kaki ke Tanah Suci, tempat kelahiran Nabi Muhammad SAW dan seterusnya ke Madinah, tempat wafatnya baginda SAW.
Sememangnya ganjaran syurga bagi haji mabrur adalah hadiah paling istimewa dan berharga. Oleh itu, sudah semestinya ia memerlukan kepada usaha dan pengorbanan sebelum kita boleh mencapainya.
Inilah antara falsafah haji di mana ia bukan sahaja memerlukan kita mematuhi segala syarat, rukun dan wajib haji tetapi juga menjaga tingkah laku dan percakapan.
Demikianlah antara lain hikmah mengapa menunaikan haji itu hanya difardukan sekali kepada umat Islam yang berkemampuan. Maknanya, dengan peluang yang sekali itulah jemaah haji perlu melakukan yang terbaik supaya memperoleh haji mabrur.
Antara faktor mencapainya adalah sumber harta atau belanja menunaikan haji yang bersih daripada perkara haram dan syubhat. Seperkara yang paling penting adalah niat kita menunaikan haji adalah kerana Allah SWT bukan untuk menunjuk-nunjuk apatah lagi untuk meraih panggilan "tuan haji" atau "hajah".
Menjelaskan hal ini terdapat hadis berkaitan haji mabrur iaitu Rasulullah SAW bersabda: Haji Mabrur tiada ganjarannya kecuali syurga". Ditanya baginda SAW apakah yang dimaksudkan dengan haji yang diperelokkan itu (haji mabrur). Baginda SAW bersabda: "Memberi makan dan elok percakapan".
Ibadat haji juga membuktikan bahawa pangkat dan kedudukan tinggi atau bangsawannya seseorang itu bukanlah jaminan kedudukannya tinggi di sisi Allah.
Sebab itu kita lihat dalam mengerjakan tawaf misalnya, semua orang Mukmin memakai kain ihram yang serupa warna putih. Biar sekaya mana pun individu itu tetapi kain ihramnya tetap dua helai dan tidak berjahit.
Begitu juga dengan pusingan tawaf. Semua jemaah haji berjalan kaki bagi yang berkuasa. Tidak ada yang dibenarkan menaiki kenderaan berjentera baik kereta atau motosikal.
Dalam segi ibadat tawaf sebanyak tujuh kali walau setinggi mana pun pangkat seseorang itu di muka bumi ini baik raja, sultan atau pun pembesar negara, semuanya patuh bertawaf tujuh pusingan.
Semua ini adalah antara bukti betapa Islam itu tidak melihat kepada pangkat atau warna kulit penganutnya. Sebaliknya, mereka yang paling bertakwa adalah orang yang tinggi kedudukannya di sisi Allah.
Ibadat melontar jamrah pula adalah simbolik kepada membuang sifat-sifat mazmumah yang ada pada diri manusia. Antaranya hasad, sombong, riak, sum'ah dan sebagainya.
Perhimpunan manifestasi kesatuan umat
Kehadiran jutaan umat Islam dari seluruh dunia pada hari Wuquf di Arafah pula adalah manifestasi kesatuan umat Islam di bawah kalimah tauhid, La Ila Haillallah Muhammadar Rasulullah.
Pada saat ini, segala fahaman atau perbezaan pendapat diketepikan. Ia termasuk ideologi politik, sifat assabiah orang 'ajam (arab) atau bukan 'ajam dan juga warna kulit.
Tiada himpunan lain di atas muka bumi ini waima Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dapat menandingi ramai dan hebatnya perjumpaan umat Islam di Arafah.
Justeru, muktamar yang menunjukkan kesatuan umat setahun sekali ini wajar dimanifestasi sebagai wehdah atau kesatuan umat Islam di seluruh dunia.
Sikap toleransi, kasih sayang dan bantu membantu dalam ibadat haji ini wajar dikembangkan sehingga menjadi amalan setiap negara Muslim.
Dengan itu, negara-negara Islam tidak lagi berhadapan dengan konflik sesama sendiri sehingga membawa kepada pertumpahan darah atau anarki.
Sepatutnya, negara-negara Islam menunjukkan contoh tauladan daripada segi menjaga hubungan silaturrahim kerana orang yang beriman itu adalah bersaudara.
Ini ditegaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Kerena itu damaikanlah antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat. (al-Hujurat : 10)
Tidak susah untuk kita melaksanakannya jika semua umat Islam menghayati ayat Allah itu tadi. Malah, suasana di Mekah dan Madinah juga menyuburkan rasa persaudaraan ini.
Sebabnya, menjadi budaya orang Arab mengucap salam apabila bertemu sesama Islam. Pengalaman begini bukan asing bagi umat Islam Malaysia yang berkunjung ke Tanah Suci.
Mendoakan kebaikan
Malah, dalam sesetengah keadaan, jemaah haji Malaysia pun terikut-ikut dengan budaya ini dan memberi salam apabila bertemu dengan saudara seagama tidak kira daripada negara mana sekali pun.
Pendek kata, kalau umat Islam saling mendoakan kebaikan antara satu sama lain, bagaimana kita boleh bergaduh, berkelahi sehingga membawa kepada pertumpahan darah?
Dalam kita menyambut Hari Raya Aidiladha, mari kita memperbaiki ibadat sunat muakkad di dalamnya iaitu mengadakan korban. Di Malaysia, kebanyakan penduduk taman perumahan di kampung atau di bandar menyembelih haiwan ternakan sebagai tanda bersyukur atas nikmat yang dikurniakan Allah.
Apa yang perlu diperhalusi adalah dalam segi sifat ihsan kita semasa menyembelih haiwan sama ada lembu, kambing mahu pun unta.
Janganlah kita melakukan 'penyeksaan' tanpa disedari. Antaranya duduk di atas haiwan tersebut, menindih badannya dengan pelbagai jenis kayu, menjatuhkannya dengan kasar dan lebih kejam lagi melapahnya sebelum ia benar-benar mati.
Begitu juga dengan petugas dan penerima daging korban. Jangan hendaknya belum pun selesai kerja-kerja memotong daging korban, ekor lembu sudah hilang atau ada yang mengambil daging melebihi daripada yang sepatutnya.
Berhati-hatilah supaya usaha kita membantu kerja-kerja menyembelih haiwan korban yang sepatutnya mendapat ganjaran pahala bertukar kepada beroleh dosa gara-gara mengambil hak orang lain.
Pada masa yang sama, marilah kita menghidupkan Aidiladha dan tiga hari tasyrik dengan laungan takbir sebagai meraikan saudara-saudara kita yang berjuang melakukan ibadat haji.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, November 5, 2011

sembelih

Sembelihan korban bukan sekadar ibadah


Melakukan ibadah korban juga perlu mematuhi kaedah penyembelihan yang betul - gambar hiasan


Allah S.W.T berfirman dalam Surah Al-Kauthar:1-2 bermaksud: ''Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur)."
Hari Raya Aidiladha atau dikenali Hari Raya Haji memang amat ditunggu oleh fakir miskin. Bagi mereka sekiranya mahu makan daging segar inilah masanya, kerana ramai orang Islam berkemampuan akan melakukan ibadah korban setahun sekali ini.
Ketika inilah betapa enaknya daging itu dirasai fakir miskin. Amalan ibadah menyembelih binatang korban ini sama ada lembu, kerbau, kambing atau unta amat dituntut oleh Islam sejajar dengan roh pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. yang akhirnya menyembelih seekor kibas.
Manfaat sembelihan korban ini bukan hanya kepada fakir miskin sahaja bahkan kepada penternak, penjual atau peraih juga.
Justeru dinasihatkan golongan ini turut melakukan pengorbanan tanpa memikirkan keuntungan sahaja.
Senario di Malaysia setiap kali hari raya korban maka sumber haiwan ini tidak mencukupi dan kadang-kadang terpaksa diimport.
Di kesempatan ini, penulis ingin menyentuh kaedah penyembelihan yang diamalkan di Malaysia.
Penulis pernah ditanya oleh industri sembelihan di Australia ketika membuat audit sembelihan di sana. "Adakah sembelihan di Malaysia menjaga kebajikan haiwan (animal welfare)?".
Soalan ini ada kaitannya dengan kaedah sembelihan korban yang diamalkan di Malaysia. Sabda Rasulullah S.A.W :
"Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan ke atas tiap-tiap sesuatu, maka apabila kamu membunuh elokkanlah pembunuhan itu, dan apabila kamu menyembelih maka elokkanlah penyembelihan itu,
''Dan hendaklah salah seorang kamu menajamkan pisaunya dan hendaklah dia memberi keselesaan kepada binatang sembelihannya." (Hadis riwayat Muslim)
Adakah ihsan ini diambil kira dalam sembelihan korban? Contohnya lembu ditambat tanpa diberi minum di tengah panas dan hujan sehari semalam, diikat kaki dengan sekuatnya dan diheret di atas tanah serta duduk atas haiwan tersebut ketika sembelih, mengasah pisau di hadapan haiwan, tidak diuraikan tali ikatan selepas sembelih, mencabut bulu-bulu di leher haiwan sebelum sembelih, melapah sebelum sempurna mati, sembelih di hadapan haiwan lain.
Pandangan ulamak semuanya ini adalah makruh dan tiada ihsan ke atas haiwan korban. Adalah malang sunat korban itu dicampurkan dengan perbuatan makruh ketika proses sembelihan korban.
Semestinya amalan sunat korban itu disusuli perbuatan sunat dalam sembelihan. Antara perkara sunat dalam sembelihan korban adalah membaca Basmallah dan Selawat, lelaki yang baligh dan berakal, pisau yang tajam, membaringkan binatang di atas rusuk kiri dengan kepala diangkat sedikit, memutuskan semua urat leher yang tertentu supaya cepat mati tanpa seksa, mengadap kiblat (penyembelih dan haiwan).
Bagi sembelihan korban, disunatkan takbir tiga kali sebelum dan selepas membaca "Basmallah". tidak mengasah pisau di hadapan binatang yang hendak disembelih, tidak menyembelih di hadapan binatang lain, memberi minum binatang sembelihan itu sebelum disembelih.
Kod etika penyembelih juga perlu diambil kira seperti penyembelih fasiq. Penyembelih juga mesti betulkan niat kerana terdapat penyembelih menyembelih kerana sesuatu seperti hendak ekor, kepala, hati atau sebagainya.
Ini semua memberi kesan keberkatan dan kualiti daging. Sebenarnya, semua kaedah dan permasalahan ini telah diajar oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) dalam modul tauliah sembelihan.
Lantaran itu, untuk membetulkan kaedah ini dicadangkan setiap masjid dan surau mengadakan kursus sembelihan kepada ahli kariah supaya semua lapisan masyarakat memahami konsep dan teknik sembelihan serta ihsan.
Islam telah mengajar umatnya supaya berihsan dengan haiwan termasuk adab dan kaedah sembelihan.
Kaedah sembelihan yang betul memberikan gambaran jelas kepada orang bukan Islam bahawa Islam itu sempurna dan lengkap.
Alangkah indahnya amalan sunat korban itu disuburkan dengan semua amalan sunat yang lain dalam sembelihan korban.

Sunday, October 16, 2011

hayati al quran

Hayati ajaran al-Quran


SEBAHAGIAN pelajar sekolah yang mengambil bahagian sempena Program Khatam Al-Quran Perdana Peringkat Daerah Johor Bahru 2011 di Masjid Jamek Taman Perling, Johor Bahru, semalam. - MINGGUAN/BAAZLAN IBRAHIM


JOHOR BAHRU 15 Okt. - Kesedaran terhadap kepentingan menghayati serta mengamalkan ajaran al-Quran perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa dalam kalangan masyarakat Islam negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman berkata, penghayatan kitab suci itu amat penting dalam membentuk akhlak dan peribadi terpuji umat.
Menurutnya, masyarakat Islam tidak sewajarnya hanya tahu membaca sahaja tetapi perlu melaksanakan segala tuntutan yang terkandung di dalam al-Quran kerana ia merupakan satu kewajipan.
"Sebagai umat Islam, kita seharusnya menjadikan al-Quran sebagai pembentuk akhlak dan peribadi.
"Saya berharap kitab suci ini diletakkan di tempat yang betul dalam masyarakat," katanya semasa menutup Program Khatam Al-Quran Perdana Peringkat Daerah Johor Bahru di Masjid Jamek Taman Perling di sini hari ini.
Seramai 1,000 murid tahun empat, lima dan enam serta 500 guru dari 66 sekolah rendah dari seluruh daerah ini mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Program anjuran Pejabat Pelajaran Daerah Johor Bahru itu merupakan kesinambungan program J-Qaf di sekolah rendah dan salah satu usaha meningkatkan pencapaian murid dalam bacaan al-Quran.
Zainal Abidin berkata, majlis berkenaan itu bertujuan merealisasikan matlamat untuk menjadikan golongan muda sebagai generasi al-Quran.
Beliau berkata, program seumpama itu diharap dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan generasi hari ini mampu membaca kitab suci itu dengan lancar serta menjadikannya sebagai amalan sepanjang hayat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tuesday, October 11, 2011

jangan putus harap

Jangan putus asa dengan Allah

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

AGAMA Islam merupakan agama yang lengkap, seimbang dan sempurna. Sehingga dalam keadaan berperang sekali pun, Allah SWT tetap memerintahkan kaum beriman agar terus menerus mengingati dan menyebut nama Allah.

Hal ini untuk menunjukkan betapa seorang Mukmin apabila sedang berhadapan dengan suasana perang, tidak boleh kehilangan kendalian diri.

Sebaliknya tidak sedikitpun niatnya dalam berperang selain menuntut keredaan Allah SWT dalam memurnikan ketaatan hanya kepada Allah semata-mata.

Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu memerangi pasukan (musuh), maka berteguh hatilah kamu dan sebutlah (nama Allah) sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh kemenangan. (al-Anfal: 45).

Kaum beriman sangat sedar bahawa kemenangan dalam suatu medan jihad fi sabilillah merupakan kurnia yang datang atas izin Allah Taala, bukan lantaran kepiawaian mereka dalam bertempur.

Oleh kerana itu di medan peperangan sekalipun, seorang mukmin - mujahid tidak pernah boleh berhenti memohon pertolongan dan kemenangan dari Allah SWT.

Sehingga di kalangan kaum beriman dikenali adanya dua karakter yang mesti berpadu di dalam peribadi seorang perajurit Allah, yakni: Sebagai penunggang kuda di siang hari, dan rahib (ahli ibadat) di malam hari.

Kedua karakter yang berpadu di dalam peribadi seorang mukmin sebagai perajurit Allah inilah yang sepanjang sejarah sentiasa menimbulkan rasa gentar musuh-musuh Allah, baik dalam kalangan ahli kitab mahupun kaum musyrikin.

Seperti buih

Oleh kerana itu, ketika Nabi SAW menggambarkan merosotnya kualiti umat Islam lantaran terjangkit penyakit al-wahn (cinta dunia dan takut mati), maka salah satu konsekuensi logikal yang bakal muncul ialah tercabutnya rasa takut kaum kuffar terhadap kaum Muslimin yang telah lemah itu, justeru kerana cinta dunia dan takut mati.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Hampir-hampir bangsa-bangsa merebutkan kamu (umat Islam), layaknya merebutkan makanan yang berada di mangkuk." Seorang lelaki berkata: "Apakah kami waktu itu berjumlah sedikit?" Baginda menjawab: "Bahkan jumlah kamu pada waktu itu sangat ramai, namun kamu seperti buih di genangan air. Sungguh Allah akan mencabut rasa takut dari hati musuh kamu kepada kamu, dan akan Allah tanamkan ke dalam hati kamu al-wahn." Seseorang lalu berkata: "Wahai Rasulullah, apa itu al-wahn?" Baginda menjawab: "Cinta dunia dan takut mati. (riwayat Abu Daud).

Sungguh kita sangat khuatir bahawa hadis di atas menjadi kenyataan pada zaman kita sekarang. Di zaman penuh fitnah ini kita menyaksikan semakin ramainya orang yang mengaku Islam, namun sudah kehilangan isti'la ul-iman (kehebatan kerana iman) di dalam hatinya.

Mereka telah sedemikian cinta dunianya sehingga terlihat betapa penunjuk ukur kemuliaan dan keimanan tidak lagi berlandaskan yang sebenarnya.

Sedemikian dahsyat rasa takutnya akan kematian sehingga mereka rela untuk berkompromi dengan thagut dan ideologi mereka. Seolah dengan jalan itulah mereka dapat mempertahankan eksistensi di hadapan kaum kuffar dan thagut.

Maka tidak hairanlah jika kaum kuffar akhirnya tidak merasa takut lagi dengan kaum Muslimin yang telah terjangkit virus al-wahn tersebut.

Pada hal di dalam sirah Nabawiah (sejarah perjuangan Nabi Muhammad) begitu banyak kita bertemu teladan dalam hal memelihara kehebatan iman dan ruhul jihad.

Semua itu menjadi sangat indah sekali gus penuh kemuliaan ketika diiringi dengan ketaatan dan ketundukan kepada Allah di tengah kancah al-jihad fi sabilillahsekalipun.

IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kelantan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Sunday, August 21, 2011

yang layak mendapat malam qadar

Siapa layak dapat al-qadr?

Oleh ANZARUDDIN AHMAD


Umat islam perlu mencari malam al-qadr melalui pengisian berqiamullail dan ibadat yang lain.

UMAT Islam kini berada pada fasa ketiga Ramadan di mana kemuncak keistimewaan 10 hari terakhir Ramadan ini ialah kemunculan malam penuh berkat yang lebih baik daripada seribu bulan. Malam al-Qadr dinanti-nantikan oleh setiap Muslim yang beriman dan bertakwa kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam yang amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia telah kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang telah diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah”. (riwayat Ibnu Majah).

Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Sesiapa yang beribadah pada malam al-Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah, mudah-mudahan akan diampuni dosanya yang lalu. (riwayat Muslim).

Para ulama bersepakat bahawa malam al-Qadr berlaku di bulan Ramadan. Begitu juga mereka bersepakat malam itu berlaku pada 10 malam terakhir Ramadan. Mereka hanya berselisih pendapat tentang malam yang ke berapa.

Pendapat yang masyhur menyatakan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam ke-27 Ramadan. Rasulullah SAW pernah bersabda maksudnya: “Barang siapa yang ingin mendapatkan al-Qadr, dia hendaklah mencari pada malam ke-27 (riwayat Ahmad).”

Ada juga riwayat lain yang mengatakan malam mulia itu berlaku pada malam ganjil 10 hari terakhir. Apa pun harinya, yang penting pada malam itu, Allah menurunkan rahmat, limpahan kurnia dan keampunan kepada hamba-hamba-Nya yang melaksanakan ibadat dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredaan Allah.

Kelebihan malam al-Qadr tidak akan dianugerahkan kepada sebarangan orang dan juga tidak pula diberi kepada orang yang ibadahnya hanya pada malam-malam tertentu sahaja.

Fadilat malam itu akan menyinari mereka yang benar-benar ikhlas, khusyuk dan istiqamah dalam beribadat. Hadirnya malam penuh berkat itu sangat dinantikan dan disambut dengan penuh keimanannya.

Kata al-Imam al-Qurtubiy, Rasulullah SAW diperlihatkan kepadanya usia umat terdahulu, maka baginda merasa bahawa usia umatnya terlalu pendek hingga tidak mungkin dapat mencapai amal seperti mana yang diraih oleh umat terdahulu yang usianya lebih panjang.

Purata usia umat Muhammad antara 60 hingga 70 tahun menurut maksud satu hadis Rasulullah SAW. Sebab itu Allah menawarkan malam al-Qadr yang mempunyai nilai 1,000 bulan kepada Rasulullah SAW dan umatnya.

Justeru itu, malam al-Qadr dianugerahkan oleh Allah kepada Rasulullah dan umatnya sebagai tanda kasih sayang dan rahmat-Nya yang menyeluruh. Amal kebajikan seseorang hamba Allah pada malam itu adalah lebih baik daripada amal kebajikan selama 1,000 bulan atau 83 tahun tiga bulan.

Kerana keutamaan ini, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya agar mencari dan seterusnya mendapatkan malam al-Qadr. Dalam hal ini, Rasulullah perlu dijadikan ikutan yang menampilkan teladan terpuji dalam menghidupkan malam terakhir Ramadan.

Ini dilakukan dengan melaksanakan iktikaf, membangunkan keluarga agar lebih meningkatkan amalan ibadat pada malam hari dan tidak mendekati isterinya dengan tujuan memperbanyakkan amal ibadat di masjid seperti solat tahajud, witir, terawih, bertadarus al-Quran, berzikir dan seumpamanya.

Rasulullah sentiasa memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Antara yang sering baginda baca adalah doa maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Anugerahkanlah kepada kami kebajikan di dunia dan juga kebajikan di akhirat serta peliharakanlah kami daripada seksaan api neraka yang pedih.”

Doa yang dilafazkan itu bukan sekadar satu permohonan untuk memperoleh kebajikan dunia dan akhirat, malah untuk memantapkan langkah dan kesungguhan agar dapat meraih kebajikan yang dijanjikan Allah.

Ini kerana doa itu sendiri membawa maksud satu permohonan yang penuh tulus dan pengharapan, di samping disusuli dengan usaha melipatgandakan amal ibadat yang mendekatkan diri kepada Allah.

Selain itu, setiap Muslim dianjurkan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah daripada sebarang dosa yang lalu. Setiap manusia tidak terlepas daripada kealpaan dan seterusnya melakukan kesalahan yang dilarang Allah.

Dalam hal ini, Rasulullah bersabda maksudnya: “Setiap anak Adam tidak akan terlepas dari melakukan dosa dan sebaik-baik orang daripada kalangan yang berdosa itu adalah yang bertaubat kepada Allah (riwayat al-Tirmidzi dan Ibnu Majah).”

Justeru, wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah terhadap segala amalan dan seterusnya bertaubat kepada Allah biarpun sekecil mana kesalahan itu.

Perlu diinsafi bahawa taubat tidak sepatutnya ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa. Maka peluang keemasan yang disediakan Allah sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal kemudian hari.