Monday, September 6, 2010

Tambah Ibadat

Bulan tambah amal ibadat


2010/07/30

KETIBAAN Ramadan iaitu bulan penuh keberkatan pastinya ditunggu-tunggu seluruh umat Islam di dunia ini.

Inilah peluang terbaik untuk mengambil peluang beramal ibadat, bermuhasabah diri, memperkuatkan anggota jasmani, rohani dan tingkah laku.

Umat Islam diwajibkan berpuasa sebulan ketika Ramadan seperti yang termaktub di dalam al-Quran yang bermaksud: "Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, sesiapa antara kamu hadir pada bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu... (Surah al-Baqarah ayat 185).


Ramadan juga memberi peluang kepada umat Islam merenung kembali keadaan diri mereka yang banyak melakukan dosa.


Ketika berpuasa, semua tingkah laku perlu dijaga termasuk menjaga ucapan daripada bercakap perkara sia-sia, mengumpat, memfitnah, membazir masa melakukan kerja yang tidak berfaedah serta meringankan ibadat sunat.


Sebaiknya, gunakan kesempatan beramal ketika Ramadan dengan memperbanyakkan ibadat seperti bersedekah, penuhi malam dengan berzikir dan tahajud serta membaca al-Quran kerana Allah menjanjikan pahala berlipat ganda.


Bukan saja umat Islam perlu menahan lapar dan dahaga, malah Ramadan mengelakkan kita melakukan perkara maksiat serta perkara yang boleh membatalkan puasa.


Buku Adab Ramadan ini bolehlah dijadikan asas dalam mencetuskan kecemerlangan, selain menjalani ibadah puasa dengan lebih tekun dan sempurna.


Ia mempunyai 15 bab dan sesuai dijadikan panduan terutama dapat mengetahui kelebihan, faedah, adab serta amalan yang boleh dihidupkan sepanjang berpuasa Ramadan.


Tentu sekali kemuncak yang direbut umat Islam adalah malam Lailatul Qadar, dianggap peristiwa paling agung kerana terpilih sebagai malam turunnya al-Quran.


Ada beberapa petunjuk yang dapat dijadikan pedoman bagi mencari malam berkenaan iaitu ada pendapat yang ia terjadi pada 10 malam terakhir Ramadan.


Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir pada bulan Ramadan." (Riwayat Bukhari).


Semoga Ramadan kali ini memberi peluang seluas-luasnya untuk kita mencari sebanyak mungkin kelebihan terdapat di dalamnya.


TAJUK: Adab Ramadan
PENULIS: Absyar Fuad dan Suzana Ismail
PENERBIT: PTS Islamika Sdn Bhd
CETAKAN: Pertama
HARGA: RM5.50 (Semenanjung) RM7.50 (Sabah dan Sarawak)
MUKA SURAt: 121 muka surat

No comments:

Post a Comment