Thursday, January 27, 2011

Pengorbanan


Bermadu perlu pengorbanan

Oleh SHOLINA OSMAN
wanita@utusan.com.my

Penyampai radio terkenal, Salih Yaacob yang mengamalkan cara hidup berpoligami pernah menyatakan rasa bahagianya hidup bersama kesemua isteri-isterinya. - Gambar hiasan

BERMADU sering dikaitkan dengan masalah. Jadi mana-mana lelaki yang mahu menambah isteri atau wanita yang hendak menjadi isteri kedua dan seterusnya perlu sedar akan hakikat ini.

Ketua 1 Pertubuhan Tindakan Wanita Islam Malaysia (Pertiwi), Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim berkata, sangat kecil bilangan pasangan yang bermadu tidak ditimpa masalah.

''Banyak yang ber masalah memandangkan suami biasanya gagal untuk mengimbangi kesemua hak ke atas isteri-isteri dan anak-anak dengan penuh adil dan saksama,'' katanya.

Malah terlalu sukar bagi suami untuk menenangkan perasaan isteri yang sentiasa bergelora dan cemburu. Ia sudah menjadi lumrah bagi wanita, iaitu mereka sukar berkongsi kasih sayang seorang suami.

Sehubungan itu, katanya, disebabkan kehidupan bermadu ini begitu luar biasa keadaannya maka wanita perlu berhati-hati sebelum terlanjur berhubungan dengan suami orang.

Malah katanya, suami orang pula jangan sibuk mengejar wanita di luar sehingga terlibat dalam perkahwinan bermadu sedangkan perkahwinan pertama juga masih belum sempurna.

''Wanita pula jangan terlalu mengimpikan sebuah perkahwinan indah bagai di syurga jika lelaki yang bakal dikahwini itu suami orang,'' katanya.

Kata Nik Safiah, ini memandangkan bermadu memerlukan pengorbanan yang besar dan jika tidak yakin berdepan dengan tekanan yang bakal dihadapi maka lebih selamat mengundurkan diri.

Presiden Kelab Wanita Perak Wilayah Persekutuan dan Selangor (PLC), Siti Hendon Chik berkata, wanita yang bermadu sepatutnya tidak cuba menganggu kehidupan isteri-isteri suaminya yang lain.

''Jika saling bercakaran maka akan menambahkan lagi haru-biru dalam perkahwinan bermadu yang telah sedia diketahui memang penuh dengan onak dan duri,'' katanya.

Jelasnya, para isteri tidak perlu cemburu antara satu sama lain tetapi yakin dengan kebolehan diri sendiri untuk menambat hati suami dan sekali gus bahagia dalam perkahwinan itu.

Disebabkan tidak yakin dengan diri sendiri menjadi punca menyebabkan berlakunya perkara yang tidak diingini.

Antaranya, bertindak ganas seperti mendatangkan kecederaan atau kesakitan terhadap madu atau menggunakan ilmu hitam dengan bantuan bomoh.

Siti Hendon berkata, setiap isteri mesti yakin dengan kebolehan yang ada pada diri masing-masing.

''Kalau tidak masakan suami orang boleh terpikat dengan dia sedangkan pada masa itu telah mempunyai isteri dan kehidupan yang bahagia,'' katanya.

Dalam pada itu, katanya, isteri-isteri mesti tahu tanggungjawab masing-masing dengan dibantu serta disokong oleh suami jika berdepan dengan apa-apa masalah.

Jelasnya, lelaki yang mengamalkan poligami perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesemua isteri termasuk membimbing mereka ke arah kebaikan.

Poligami boleh diamalkan jika suami bertindak adil dalam menyediakan semua keperluan untuk kesemua isteri dan anak-anaknya sehingga tidak ada perasaan curiga.

Madu

Bermadu kena bijak, matang

Oleh SHOLINA OSMAN
wanita@utusan.com.my

Seringkali berlaku pertengkaran di kalangan isteri-isteri yang bermadu dalam kehidupan berumah tangga. - Gambar hiasan.

TERINGAT pesanan ibu, kalau rasa diri tidak 'bijak dan matang' maka jangan sesekali cuba untuk hidup bermadu.

'Bijak dan matang' yang dikaitkan dengan bermadu itu membawa maksud cukup mendalam kerana bukan calang-calang wanita berjaya yang boleh menatang pesanan ini dengan sempurna.

Sekali gus pesanan ini sebenarnya amaran untuk mana-mana wanita muda, janda atau balu supaya tidak mudah terpana dengan rayuan cinta suami orang sehingga terjebak ke alam hidup bermadu.

Jika telah ditakdirkan masih juga gagal untuk menghalang jodoh yang terlalu kuat untuk bermadu maka persiapkan diri dengan sebaik mungkin.

Ini kerana sudah menjadi lumrah di dalam poligami, bukan sahaja antara isteri berlumba-lumba untuk menambat hati suami malah akan berdepan dengan tekanan berganda.

Kehidupan bermadu di zaman ini juga semakin kronik berbanding zaman dahulu memandangkan rata-rata wanita sebenarnya tidak bersedia.

Apatah lagi apabila 'bertemankan' suami yang dari perkahwinan pertamanya juga masih belum sempurna tetapi dengan tanpa rasa bersalah mahu membina perkahwinan yang seterusnya.

Dunia yang pada mulanya disangka indah akhirnya mula dipenuhi dengan cabaran yang mula membuatkan kehidupan semakin menjadi haru-biru.

Ada yang melakukan pelbagai usaha termasuk sanggup mendapatkan bantuan bomoh sehingga terjebak dengan perbuatan syirik.

Bagi yang tidak sabar pula, sanggup bertindak di luar batas kemanusiaan termasuk mencederakan madu dan anak-anaknya tanpa ada perasaan belas kasihan.

Ini termasuk kes terbaru yang mana hanya kerana perselisihan faham, seorang suri rumah sanggup menetak madunya dengan parang sehingga cedera di rumah mereka di Kampung Baru Sungai Korok, Kubang Pasu, Kedah pada 7 Januari lalu.

Dalam pergaduhan kira-kira pukul 10 pagi itu, mangsa, Siti Aminah Hanafi, 50, yang juga isteri pertama, cedera di dahi, pipi dan tangan setelah ditetak madunya berusia 26 tahun.

Anak mangsa, Nurul Shuhada Saad, 16, turut cedera di kaki akibat terkena libasan parang itu ketika cuba meleraikan pergaduhan berkenaan.

Peristiwa seperti ini sepatutnya membuka mata masyarakat Islam di negara ini supaya tidak memandang remeh isu ini walaupun hidup bermadu itu dihalalkan.

Suami sebagai ketua keluarga sepatutnya menjalankan amanah menguruskan kesemua ahli keluarganya dengan sempurna dan jangan sampai mengakibatkan berlakunya pertumpahan darah.

Islam sudah meletakkan panduan bermadu dengan cukup sempurna tetapi sayangnya bukan sahaja suami bersikap 'lepas tangan' sebagai ketua keluarga tetapi gagal mendidik isteri.

Pensyarah Kaunseling dan Naib Setiausaha Persatuan Kaunseling Malaysia (Perkama), Prof. Madya Datin Dr. Sapora Sipon berkata, hidup di alam poligami bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia menuntut kepada pengorbanan suami, isteri dan madu.

''Bukan itu sahaja, ia akan memberi kesan kepada struktur keluarga seperti anak, ibu bapa, mertua dan yang berkaitan,'' katanya.

Maka apabila aspek seperti emosi, kewangan, penjagaan anak, ahli keluarga dan kesihatan diri tidak dapat dikawal dengan baik, ia boleh mewujudkan konflik dan apabila tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan pergaduhan.

Hidup dalam tekanan memang sesuatu yang biasa bagi seorang isteri, apatah lagi bagi seorang madu. Ini kerana dalam bermadu lebih banyak hati yang perlu dijaga, termasuk hati sendiri.

Perjalanan hidup keluarga wanita bermadu juga lebih kompleks. Tekanan juga tidak sama bagi setiap wanita.

Sama ada bekerja atau seorang suri rumah, wanita bermadu mempunyai masalah tersendiri. Ada wanita yang lebih kuat dari wanita lain kerana setiap orang mempunyai personaliti yang berbeza.

Masalah timbul apabila emosi tidak dapat dikawal kerana tekanan yang tinggi. Kebiasaannya, tekanan yang dihadapi oleh wanita bermadu memang lebih. Apa yang lebih penting ialah mencari jalan untuk mengurus tekanan.

Sehubungan itu, kata Sapora, langkah yang perlu diambil oleh wanita yang hidup bermadu khususnya bagi menyesuaikan suasana kehidupan setelah sebahagian kebahagiannya selama ini dirampas oleh wanita lain.

"Ini bukan sesuatu yang mudah kerana ia bukan sahaja melibatkan soal hati, tetapi perkara-perkara lain seperti kewangan dan hak," jelasnya.

Antara langkah yang boleh diambil ialah menerima takdir dan menganggap bahawa ia sebahagian daripada kehidupan yang perlu dilalui. Perbaiki kerosakan yang dideritai hati akibat takdir ini.

''Fokuskan kerja-kerja memperbaiki kelemahan diri dan memahami suara hati antara sesama isteri,'' katanya.

Pegangan agama mesti menjadi kekuatan antara mereka. Peranan suami sebagai pemimpin diharapkan boleh menyelesaikan kemelut dan konflik dengan terapi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Jika mana-mana ahli tidak dapat menyesuaikan diri dalam hidup bermadu, keadaan menjadi sukar.

Tujuan perkahwinan di antara seorang mukmin dan mukminah adalah untuk menguatkan iman, memudahkan kerja-kerja ibadah kepada Allah SWT dan menyucikan keperibadian, di samping menurunkan zuriat yang soleh.

Apabila suami turut mempunyai iman yang lemah, isteri mesti memiliki kemampuan sendiri untuk menciptakan suasana harmoni, meletakkan segala-galanya atas kuasa Allah SWT dan berusaha berdiri di atas kaki sendiri.

Wednesday, January 26, 2011

Sesat

Sekat strategi Ummu Jah

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
MENANGANI sepenuhnya masalah ajaran sesat dan kumpulan ekstrem agama di negara ini tidak semudah seperti yang digariskan di atas sekeping kertas. Ini kerana ia bukan setakat penyelewengan akidah, malah turut melibatkan aspek keselamatan negara. Beberapa peristiwa lalu menyaksikan wujud konflik dan pertumpahan darah antara pihak berkuasa dengan pengikut kumpulan tertentu.

Misalnya, Peristiwa Memali pada 19 November 1985 yang mengorbankan 18 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di Kampung Memali, Baling, Kedah. Pertempuran berlaku di antara pihak berkuasa dengan penduduk kampung yang cuba mempertahankan ketua mereka, Ibrahim Libya daripada ditahan.

Kemudian pada 2 Julai 2000 pula, kumpulan militan al-Maunah yang diketuai Mohd. Amin Mohd. Razali menggemparkan negara apabila mengganas dan membunuh tiga anggota keselamatan di Bukit Jenalik, Sauk, Kuala Kangsar, Perak.

Hari ini, rakyat negara kita dikejutkan pula dengan berita mengenai ada usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan pada 1994. Kegiatan itu dikesan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam laporan media semalam mengesahkan saki-baki pengikut pertubuhan haram al-Arqam telah menganjurkan 'Sidang Parlimen Roh' dalam usaha mengaktifkan semula pergerakan ajaran sesat itu.

Perkembangan terbaru menyaksikan salah seorang isteri pengasas al-Arqam, Hatijah Aam yang lebih dikenali Ummu Jah kini berada di Mekah dan bersama saki-baki pengikut pertubuhan tersebut, beliau berusaha menghidupkan kembali ajaran al-Arqam.

Sebelum ini Ummu Jah pernah melarikan diri ke Thailand pada 10 Jun 2010 selepas mengesyaki dirinya diawasi oleh pihak berkuasa agama. Dia kemudian ke Jordan kira-kira 18 hari dan selepas itu mendapat permit untuk menetap di situ selama setahun.

Apa yang ingin ditekankan di sini adalah Jakim perlu bekerja lebih keras untuk memantau aktiviti pertubuhan tersebut demi memastikan ia tidak bertapak semula. Mungkin, usaha yang dilakukan selama ini masih belum mencukupi untuk menghapuskan sepenuhnya ajaran tersebut.

Apatah lagi, dalam dunia tanpa sempadan hari ini yang mana melalui hujung jari, segala apa yang dirancang boleh menjadi kenyataan tanpa seseorang ketua perlu berada di tempat tumpuan para pengikutnya.

Lihat saja Internet telah digunakan oleh ahli pertubuhan al-Arqam untuk menyebarluaskan fahaman mereka. Melalui Internet, klip video mengenai pengasasnya Ashaari Mohamad telah dimuat naik ke laman web YouTube dan boleh ditonton sesiapa sahaja dari seluruh pelosok dunia.

Sementara itu, sumber Utusan Malaysia di Mekah dalam kiriman mesej Facebook kepada penulis memberitahu beliau selalu terserempak dengan para pengikut al-Aqram di sekitar Masjidil Haram.

"Memang betul kumpulan mereka dah buka restoran di satu kawasan sekitar Mekah. Tak tahu pula sama ada Ummu Jah masih ada di Mekah atau di mana. Tetapi ahli kumpulan mereka selalu dilihat di sekitar Masjidil Haram. Nama restoran itu, As Sari," katanya.

Difahamkan, pengikut tegar al-Arqam telah diarahkan oleh Ummu Jah untuk menemuinya di Mekah secara berperingkat dari semasa ke semasa untuk menentukan hala tuju pergerakan ajaran tersebut.

Apa yang membimbangkan kita adalah kerana Mekah dikunjungi puluhan malahan ratusan ribu umat Islam dari Malaysia yang mengerjakan haji atau umrah setiap tahun. Kita bimbang jika strategi Ummu Jah berjaya dalam menarik lebih ramai pengikut terutama warga Malaysia yang berkunjung di restoran tersebut.

Melihat betapa mudahnya ajaran sesat al-Arqam dibawa ke Mekah, membuatkan kita tertanya-tanya apakah segala usaha Jakim selama ini gagal dalam memulihkan akidah saki-baki pengikut pertubuhan haram tersebut.

Mengulas persoalan itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir, berkata, pihaknya mengakui masih terdapat saki-baki pengikut pertubuhan haram al-Arqam walaupun kerajaan melalui Jakim telah berusaha menangani masalah tersebut.

Justeru, semua pihak tidak boleh memandang ringan permasalahan tersebut dan kepimpinan negara pula perlu memberi keutamaan dalam mengatasi masalah tersebut kerana ia melibatkan akidah umat Islam.

Ini kerana salah satu tugas ketua negara adalah menjaga keselamatan akidah orang Islam dan kesucian agama daripada dicemari oleh ajaran sesat atau penyelewengan dalam agama Islam terutama berkaitan dengan akidah.

"Memang diakui perkembangan teknologi hari ini begitu canggih dengan pembangunan manusianya pula serba moden dan kompleks.

"Apa yang dilakukan oleh pengikut al-Arqam ini menggambarkan sikap ketaksuban mereka yang membuta tuli," katanya sambil menyifatkan penganjuran sidang itu amat memalukan umat Islam kerana perbuatan itu tidak logik dan tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Beliau berkata kepada Utusan Malaysia bagi mengulas mengenai ajaran tersebut yang didakwa cuba dihidupkan semula oleh Ummu Jah menerusi penganjuran 'Sidang Parlimen Roh' bersama 2,000 pengikutnya di beberapa lokasi termasuk di Thailand, Jordan dan Mekah sejak kematian suaminya pada 13 Mei 2010.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, ketaksuban ini menjadikan mereka lupa diri sehingga menimbulkan masalah yang berpanjangan kepada masyarakat sekeliling.

"Apa yang dilakukan ini menggambarkan sikap jumud dan taksub kepada seseorang pemimpin yang tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat Islam.

"Ketaksuban kepada seseorang pemimpin sehingga membentuk sikap pemujaan adalah satu bentuk kepercayaan agama animisme yang tidak selaras dengan ajaran Islam.

"Islam melarang penganutnya 'membangkitkan semula roh pemimpin yang sudah mati' kerana perbuatan tersebut akan menyebabkan akidah seseorang tergelincir sehingga boleh menimbulkan situasi khurafat dalam masyarakat," ujarnya.

Sebagai sebuah badan dakwah, Yadim mengambil ketetapan mencela perbuatan tersebut kerana ia bukan sahaja mencemarkan kemurnian Islam, malah turut menjadikan seseorang itu terkeluar daripada akidah keislamannya sebagaimana dilakukan oleh mereka yang 'memuja roh', 'sidang roh' dan sebagainya.

Sehubungan itu, pihaknya berpendapat Jakim sebagai agensi pusat yang menyelaras semua perkara berkaitan agama Islam harus meningkatkan lagi usaha membanteras gejala ajaran sesat ini, di samping peranan pihak berkuasa agama negeri menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas tanpa kompromi terhadap golongan ini.

TAJUK-

Friday, January 7, 2011

Jangan cari Alasan

Tiada alasan kerja GRO


PEMBABITAN dalam kerjaya yang jelas status pengharamannya masih banyak berlaku di dalam negara kita.

Pelbagai alasan diberi oleh sebahagian mereka untuk mengurangkan rasa berdosa atau lebih berbahaya, menyatakan dan ‘membenarkan’ tindakan mereka sebagai halal atau harus.
Menyentuh hal ini, saya bersetuju kita tidak boleh terus menghina petugas seperti itu seolah-olah mereka tiada lagi peluang untuk memperbaiki kerjaya mereka.

Khususnya penghinaan tanpa usul periksa kerana mungkin ada yang terjebak kerana diperangkap sindiket ‘hitam’ akibat nafsu muda atau kerana kejahilan sendiri.


Namun begitu, kita harus sedar teguran dan kecaman terhadap mengutuk pekerja- pekerja yang rela dan dengan sendirinya memilih kerjaya terbabit.


Kutukan perlu dibuat terhadap kerjaya kotor itu dan bukan tertumpu sangat kepada individu, ini perlu dilakukan sesuatu pihak supaya kesedaran dan kehinaan dosa itu dapat dibangkitkan.

Pada masa sama, ada pula pihak pendakwah lain mencuba teknik berbeza iaitu dengan kaedah lembut dan memujuk. Namun, kita tidak boleh menyalahkan teknik ‘kutukan’ dan ‘kecaman’ kerana teknik itu juga bersumber daripada al-Quran dan al-Hadis.

Kita perlu sedar, teknik dakwah adalah hal yang perlu diambil perhatian, kerjaya GRO atau Guest Relation Officer mempunyai banyak takrifan dan bidang tugasan.

Bagaimanapun, selepas melakukan semakan, kedapatan ada GRO yang mempunyai tugasan tertulis yang ‘neutral’ dan benar-benar bersifat pentadbiran.

Namun begitu, tugasan yang ‘tidak bertulis’ itulah yang merumitkan, di mana ia kerap melewati tugasan tidak sihat iaitu melayan kehendak pelanggan walau hingga ke dalam bilik.

Jelas di sini, tema utama tugasan adalah ‘melayan pelanggan sehingga sasaran perniagaan tercapai’.

Merujuk kepada situasi ini, penggunaan GRO di negara kita perlu dikaji berikutan ia bercampur antara dua bidang tugas iaitu yang haram serta yang tidak haram.

Ini kerana, jika dilihat daripada laporan media, kerjaya GRO digambarkan dan digunakan secara kerap kepada ‘kerjaya pelacur’.

Justeru, menjadi tanggungjawab pendakwah untuk membidas tugasan ini daripada dilakukan mana- mana wanita atau lelaki Islam, walau dalam apa keadaan mereka sekalipun.

Oleh itu, saya ingin menegaskan secara umum kepada sesiapa saja yang cuba mencari alasan dan ‘justifikasi’ untuk membenarkan umat Islam bertugas dalam kerjaya GRO dan yang sepertinya dengan beberapa fakta iaitu:


1. Apa saja tugasan dan kerjaya haram mesti disebut sebagai ‘haram’, khususnya kerjaya GRO dan pelacur.

Menjadi tanggungjawab mereka yang berilmu untuk memaklumkan gesaan berhenti serta-merta dan bukan memberi masa. Jangan sesekali kita bertindak luar biasa untuk memberi apa saja kenyataan yang seolah-olah memberi izin untuk mereka meneruskan kerjaya itu atas alasan darurat.

Klasifikasi darurat tidak boleh diguna pakai tanpa ilmu dan kajian khusus. Jangan sewenang-wenangnya menggelar keadaan itu darurat bagi mengharuskan yang haram.

Perlu diingat kaedah fiqhi yang menyebut, “apa yang diharuskan kerana darurat mesti diikat dengan limitasinya (batasan).”

Sejauh mana batasannya dipantau dan dipatuhi? Jika darurat, ia perlu dinilai mengikut timbangan kerosakan dan kebaikan yang terhasil, jika kerosakan lebih banyak, ia maslahat yang tertolak.

Oleh itu, yang perlu ditegaskan adalah gesaan mencari kerjaya lain dan bertaubat dengan serta-merta.

Taubat di dalam Islam memang perlu disegerakan kerana Imam Al-Ghazzali mendefinisikan taubat sebagai: “Meninggalkan maksiat dengan serta-merta dan berazam kukuh untuk meninggalkannya pada masa depan, dan berusaha menebus dosa lalu.” (Ihya ‘Ulumiddin, 4/5)


2. Kerjaya haram GRO dan yang sepertinya akan mengakibatkan hilangnya keberkatan dalam kehidupan petugas itu, akibatnya akan menjauhkannya daripada kesedaran dan bukan memberi ruang untuk dia meneruskannya.

Justeru tidak wajar timbul cadangan dari sesiapa juga untuk ‘biarkan sehingga dia merasa bosan dan sedar’, atau memberinya masa terus bergelumang dengan dosa.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang mukmin itu, adalah apabila dia melakukan dosa, wujudlah satu titik hitam di hatinya, apabila dia taubat, hilanglah titik hitam itu dan licinlah hatinya semula, namun apabila ditambah dosanya, semakin tertutuplah hatinya, maka itulah karat yang disebut oleh Allah di dalam Kitab-Nya.” (Riwayat At-Tirmidzi, Ahmad, Ibn Hibban dan Al-Hakim)


3. Rasulullah SAW mengajar umatnya supaya usah bertangguh dalam mengerjakan hal baik, khususnya taubat.

Dalam hal ini kita sewajarnya menyeru pekerja dalam sektor haram sebegitu dan yang lainnya untuk segera bertaubat dan bukan memberi mereka masa seolah-olah kerjayanya boleh diterima dengan hujah inginkan perubahan dengan kesedaran dan bukan dipaksa.

Fakta sebenar di dalam ilmu Islam, perkara haram dilarang kerana ia memudaratkan diri dan orang lain, ia mesti dihentikan serta-merta tanpa tangguh.

Sesiapa saja yang ingin memberi motivasi dan membetulkan keadaan tidak boleh berlagak kononnya ingin memahami kesukaran petugas GRO, menjaga hatinya lalu sewenangnya ‘memberi tangguh’ sedang Allah dan Rasul-Nya tidak memberi tangguh dalam hal maksiat.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilan, yang kemudian mereka bertaubat dengan segera, maka mereka itulah yang diterima Allah taubatnya; dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (An-Nisa, 17)

Imam Al-Ghazzali juga menjelaskan bahawa: “Wajibnya taubat itu adalah dengan segera tanpa keraguan dan tangguh, kerana sifat maksiat itu pemusnah iman seseorang. ( Ihya ‘Ulumiddin, 4/7). Namun, jika setelah kita memberi nasihat, lalu pelaku maksiat dengan sendirinya ingin mengambil masa sebelum berubah, itu adalah isu lain, namun kita tak boleh memperuntukkan tempoh tangguh tersebut.


4. Tidak boleh diterima alasan bahawa dia tidak mampu membuat kerja lain atau pihak berwajib atau pendakwah belum menyediakan tugasan alternatif untuk pekerja sebegitu, ini kerana selaku manusia yang sihat, setiap individu yang diberikan oleh Allah akal dan tubuh yang sihat.

Manusia sepatutnya bijak dan bertanggungjawab penuh menggunakan seluruh anggotanya untuk belajar sesuatu yang berfaedah dan menggunakan ‘skil’ itu untuk memperoleh pendapatan halal, bukan menjual tubuhnya untuk nafsu serakah manusia.

Kewujudan tugasan alternatif bukan syarat untuk berhenti dari melakukan dosa terbabit, kerana alternatif sebenarnya wajib difikirkan dan diusahakan oleh si pelaku itu sendiri jika dia masih beragama Islam.

Tanggungjawab menyediakan alternatif seterusnya jatuh pada ketua agama di sesebuah negara. Pada hukum asalnya, itu bukan dibebani oleh pendakwah dan pemberi nasihat.

Ketiadaannya jangan sekali menyekat pendakwah daripada memberi nasihat dan teguran tepat walau pedas dan berbisa. Lihat saja kisah Nabi Musa AS dan Harun menegur Firaun dengan terang dan jelas. Cuma nadanya yang lembut dan tenang serta petah, iaitu bukan dengan maki hamun.

Imam al-ghazzali menyifatkan orang yang melakukan dosa tanpa taubat dan berhenti tapi ingin Rahmat Allah SWT dan dimudahkan kepada pendapatan, kehidupan yang bersih dan halal adalah seperti: “seorang yang membelanjakan semua hartanya, dan meninggalkan diri dan keluarganya dalam keadaan fakir, namun sentiasa menunggu kurniaan dari Allah untuk memberinya rezeki, menemui harta yang tersimpan di dataran yang kontang. (Ihya Ulumiddin, 4/58)

Beliau mengulas lagi selepas itu dengan berkata, penantian itu memang boleh dilakukan tetapi ia adalah suatu tahap kebodohan dan kejahilan yang tinggi. (Ihya Ulumiddin, 4/58)

Jika ada yang mengatakan petugas ini boleh berniat tidak reda dan berusaha sedikit demi sedikit untuk mencari kerjaya lain, kenyataan sebegitu adalah tersasar kerana pelakuan maksiat yang dilakukan tanpa paksaan ke atas nyawa dan harta tidak diterima di dalam Islam.

Malah perbuatan itu menghancurkan objektif (maqasid al-shariah) yang lebih tinggi iaitu kerana kerjaya itu bakal menghancurkan agama si pelaku, menyebabkan maruah dan kehormatannya hilang, menyebabkan tali keturunannya rosak dan hartanya tidak diberkati.

Kesimpulannya, ada pihak menjadi cemburu atau tertarik dengan jumlah pendapatan lumayan yang berjaya diperoleh melalui kerjaya ini berbanding kerjaya halal tapi bergaji rendah.

Ingat, jika pekerja GRO atau mana-mana petugas dalam industri haram terus dalam pekerjaan kotornya dan kelihatan mampu menyara hidup dengan baik hasil duit kotor itu, malah kelihatan lebih mewah dan ‘berjaya’ daripada mereka yang berpendapatan halal, ia secocok dengan sabda Rasulullah SAW bahawasanya: “Apabila kamu lihat Allah memberi limpahan kurnia di dunia kepada hambanya, sedang segala maksiat disukainya (dan diperbuat), ketahuilah sesungguhnya itu ‘istidraj’.”

Kemudian Rasulullah SAW menyatakan, Allah SWT berfirman bahawa: “Dan tatkala mereka melupakan apa yang diingatkan kepada mereka, kami sengaja memberi kurniaan dunia dari pintu yang pelbagai, sehingga apabila mereka bergembira dengan yang diperoleh, kami akan rampas darinya secara tiba-tiba, ketika itulah mereka berputus asa.” Al-An’Am ayat 44. (Riwayat Ahmad & At-Tabrani)

‘Istidraj’ yang disebut di dalam hadis tadi bermaksud kurniaan ganjaran keduniaan kepada penjahat dan pelaku dosa dan maksiat untuk menghumbannya terus ke neraka tanpa peluang kembali ke pangkal jalan.

Hal ini serasi dengan firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah yang bermaksud: “Di dalam hati mereka ada penyakit (dosa dan mereka biarkan), lalu Allah menambahkan penyakit di dalam hati mereka.”

Oleh itu, mereka yang berilmu dibenarkan untuk memaksa pekerja sebegini berhenti daripada kerja GRO, pelacuran dan lain-lain kerjaya haram sama ada melalui nasihat atau kecaman.

Jangan sekali-kali membuka jalan serta memberikan gambaran wujudnya ruang keharusan untuk dia terus bekerja di situ.

Namun, hulurkan bantuan dan kasih sayang, antara tanda kasih sayang itu adalah menasihatkannya supaya terus berhenti dan pihak berwajib perlu menyediakan alternatif dengan segera.

Kongsi artikel ini menerusi media sosial