Wednesday, January 26, 2011

Sesat

Sekat strategi Ummu Jah

Oleh ROHANA MAN
rohana.man@utusan.com.my
MENANGANI sepenuhnya masalah ajaran sesat dan kumpulan ekstrem agama di negara ini tidak semudah seperti yang digariskan di atas sekeping kertas. Ini kerana ia bukan setakat penyelewengan akidah, malah turut melibatkan aspek keselamatan negara. Beberapa peristiwa lalu menyaksikan wujud konflik dan pertumpahan darah antara pihak berkuasa dengan pengikut kumpulan tertentu.

Misalnya, Peristiwa Memali pada 19 November 1985 yang mengorbankan 18 orang dan mencederakan berpuluh-puluh yang lain di Kampung Memali, Baling, Kedah. Pertempuran berlaku di antara pihak berkuasa dengan penduduk kampung yang cuba mempertahankan ketua mereka, Ibrahim Libya daripada ditahan.

Kemudian pada 2 Julai 2000 pula, kumpulan militan al-Maunah yang diketuai Mohd. Amin Mohd. Razali menggemparkan negara apabila mengganas dan membunuh tiga anggota keselamatan di Bukit Jenalik, Sauk, Kuala Kangsar, Perak.

Hari ini, rakyat negara kita dikejutkan pula dengan berita mengenai ada usaha untuk menghidupkan kembali ajaran al-Arqam yang telah diharamkan kerajaan pada 1994. Kegiatan itu dikesan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam laporan media semalam mengesahkan saki-baki pengikut pertubuhan haram al-Arqam telah menganjurkan 'Sidang Parlimen Roh' dalam usaha mengaktifkan semula pergerakan ajaran sesat itu.

Perkembangan terbaru menyaksikan salah seorang isteri pengasas al-Arqam, Hatijah Aam yang lebih dikenali Ummu Jah kini berada di Mekah dan bersama saki-baki pengikut pertubuhan tersebut, beliau berusaha menghidupkan kembali ajaran al-Arqam.

Sebelum ini Ummu Jah pernah melarikan diri ke Thailand pada 10 Jun 2010 selepas mengesyaki dirinya diawasi oleh pihak berkuasa agama. Dia kemudian ke Jordan kira-kira 18 hari dan selepas itu mendapat permit untuk menetap di situ selama setahun.

Apa yang ingin ditekankan di sini adalah Jakim perlu bekerja lebih keras untuk memantau aktiviti pertubuhan tersebut demi memastikan ia tidak bertapak semula. Mungkin, usaha yang dilakukan selama ini masih belum mencukupi untuk menghapuskan sepenuhnya ajaran tersebut.

Apatah lagi, dalam dunia tanpa sempadan hari ini yang mana melalui hujung jari, segala apa yang dirancang boleh menjadi kenyataan tanpa seseorang ketua perlu berada di tempat tumpuan para pengikutnya.

Lihat saja Internet telah digunakan oleh ahli pertubuhan al-Arqam untuk menyebarluaskan fahaman mereka. Melalui Internet, klip video mengenai pengasasnya Ashaari Mohamad telah dimuat naik ke laman web YouTube dan boleh ditonton sesiapa sahaja dari seluruh pelosok dunia.

Sementara itu, sumber Utusan Malaysia di Mekah dalam kiriman mesej Facebook kepada penulis memberitahu beliau selalu terserempak dengan para pengikut al-Aqram di sekitar Masjidil Haram.

"Memang betul kumpulan mereka dah buka restoran di satu kawasan sekitar Mekah. Tak tahu pula sama ada Ummu Jah masih ada di Mekah atau di mana. Tetapi ahli kumpulan mereka selalu dilihat di sekitar Masjidil Haram. Nama restoran itu, As Sari," katanya.

Difahamkan, pengikut tegar al-Arqam telah diarahkan oleh Ummu Jah untuk menemuinya di Mekah secara berperingkat dari semasa ke semasa untuk menentukan hala tuju pergerakan ajaran tersebut.

Apa yang membimbangkan kita adalah kerana Mekah dikunjungi puluhan malahan ratusan ribu umat Islam dari Malaysia yang mengerjakan haji atau umrah setiap tahun. Kita bimbang jika strategi Ummu Jah berjaya dalam menarik lebih ramai pengikut terutama warga Malaysia yang berkunjung di restoran tersebut.

Melihat betapa mudahnya ajaran sesat al-Arqam dibawa ke Mekah, membuatkan kita tertanya-tanya apakah segala usaha Jakim selama ini gagal dalam memulihkan akidah saki-baki pengikut pertubuhan haram tersebut.

Mengulas persoalan itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaludin Mhd. Tahir, berkata, pihaknya mengakui masih terdapat saki-baki pengikut pertubuhan haram al-Arqam walaupun kerajaan melalui Jakim telah berusaha menangani masalah tersebut.

Justeru, semua pihak tidak boleh memandang ringan permasalahan tersebut dan kepimpinan negara pula perlu memberi keutamaan dalam mengatasi masalah tersebut kerana ia melibatkan akidah umat Islam.

Ini kerana salah satu tugas ketua negara adalah menjaga keselamatan akidah orang Islam dan kesucian agama daripada dicemari oleh ajaran sesat atau penyelewengan dalam agama Islam terutama berkaitan dengan akidah.

"Memang diakui perkembangan teknologi hari ini begitu canggih dengan pembangunan manusianya pula serba moden dan kompleks.

"Apa yang dilakukan oleh pengikut al-Arqam ini menggambarkan sikap ketaksuban mereka yang membuta tuli," katanya sambil menyifatkan penganjuran sidang itu amat memalukan umat Islam kerana perbuatan itu tidak logik dan tidak dapat diterima oleh akal yang waras.

Beliau berkata kepada Utusan Malaysia bagi mengulas mengenai ajaran tersebut yang didakwa cuba dihidupkan semula oleh Ummu Jah menerusi penganjuran 'Sidang Parlimen Roh' bersama 2,000 pengikutnya di beberapa lokasi termasuk di Thailand, Jordan dan Mekah sejak kematian suaminya pada 13 Mei 2010.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, ketaksuban ini menjadikan mereka lupa diri sehingga menimbulkan masalah yang berpanjangan kepada masyarakat sekeliling.

"Apa yang dilakukan ini menggambarkan sikap jumud dan taksub kepada seseorang pemimpin yang tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat Islam.

"Ketaksuban kepada seseorang pemimpin sehingga membentuk sikap pemujaan adalah satu bentuk kepercayaan agama animisme yang tidak selaras dengan ajaran Islam.

"Islam melarang penganutnya 'membangkitkan semula roh pemimpin yang sudah mati' kerana perbuatan tersebut akan menyebabkan akidah seseorang tergelincir sehingga boleh menimbulkan situasi khurafat dalam masyarakat," ujarnya.

Sebagai sebuah badan dakwah, Yadim mengambil ketetapan mencela perbuatan tersebut kerana ia bukan sahaja mencemarkan kemurnian Islam, malah turut menjadikan seseorang itu terkeluar daripada akidah keislamannya sebagaimana dilakukan oleh mereka yang 'memuja roh', 'sidang roh' dan sebagainya.

Sehubungan itu, pihaknya berpendapat Jakim sebagai agensi pusat yang menyelaras semua perkara berkaitan agama Islam harus meningkatkan lagi usaha membanteras gejala ajaran sesat ini, di samping peranan pihak berkuasa agama negeri menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas tanpa kompromi terhadap golongan ini.

TAJUK-

No comments:

Post a Comment