Apa rahmat di sebalik perbezaan pendapat?
oleh MASHITAH IBRAHIM
1/21/2011 9:38:34 AM
Dalam sejarah Islam, perbezaan pendapat dalam kalangan imam-imam mazhab tidak pernah melebihi daripada apa yang sepatutnya.
Perbezaan ini tidak bersangkutan dengan sifat taasub, sombong diri, hasad dan apa-apa penyakit hati lain. Imam mazhab tidak pernah mempunyai tujuan yang lain dalam usaha mereka kecuali mengajar dan menegakkan agama Islam kepada umat.
Pernah sekali Malik bin Anas ditanya adakah perlu membasuh jari-jari kaki ketika berwuduk. Beliau menjawab, “itu tidak perlu”.
Setelah berakhirnya majlis kuliah itu, seorang anak murid Malik bernama Ibn Wahhab berkata, “Aku mengetahui akan suatu hadis berkenaan soalan tadi.”
Bertanya Malik: “Hadis apakah itu?”
Ibn Wahhab berkata: “laitu Ibn Sa‘ad, Ibn Luhai‘ah dan ‘Amr bin al-Harits meriwayatkan dari jalan Yazid bin ‘Amr, dari Mustawrid bin Shaddad; di mana mereka telah berkata: “Kami melihat Rasulullah SAW menggosok antara jari-jari kakinya ketika berwuduk dengan anak jarinya.”
Berkata Malik: “Riwayat ini adalah sahih. Aku tidak pernah mendengarnya hingga seketika tadi.”
Ibn Wahhab seterusnya menjelaskan bahawa Malik kemudian mengajar orang ramai untuk menggosok jari-jari kaki mereka apabila berwuduk.
Demikian satu contoh daripada Malik apabila dia mendengar suatu hadis dan dikenali sanadnya berdarjat sahih, dia terus membetulkan ajaran.
Perbezaan pendapat antara mazhab juga tidak menjadi faktor penghalang untuk solat bersama-sama. Apabila tiba sahaja musim haji, semua umat Islam tidak kira, sama ada imam-imam mazhab atau murid mereka atau pengikut mereka akan turun ke Mekah dan Madinah untuk menunaikan amalan haji.
Justeru, jika kita kaji sejarah dan riwayat hidup mereka, kita akan dapati sifat bertolak-ansur dan terbuka yang amat tinggi antara mereka.
Mereka menerima teguran dengan hati terbuka, membetulkan ajaran yang tersilap, menghormati antara satu sama lain dan saling membanding ajaran sesama mereka. Sejarah telah memperlihatkan kepada kita contoh berkenaan, dari itu dapatlah kita simpulkan bahawa pendekatan digunakan oleh mereka ketika berlaku perbezaan pendapat.
Pendekatan itu ialah:
• Imam-imam mazhab membetulkan ajaran mereka serta-merta apabila terbukti salah tanpa sebarang sikap ragu-ragu atau keberatan.
• Saling hormat-menghormati antara satu sama lain. mereka menghormati ketinggian ilmu serta pendapat dalam kalangan mereka.
• Imam-imam mazhab sendiri ada kalanya mengubah pendapat dan amalan mereka kepada pendapat imam yang lain. Tidak timbul konsep “itu mazhab dia, ini mazhab aku!”
• Tidak memaksa umat Islam untuk mentaati ajaran mereka, malah mereka sendiri yang mengesyorkan agar umat Islam memilih dan mengambil apa yang terbaik.
Mashitah Ibrahim ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
No comments:
Post a Comment