Ibu tidak hirau kebersihan dalam solat
IBU saya berumur 70 tahun. Masalah ibu saya adalah dia tidak menjaga kebersihan langsung ketika menunaikan solat. Ibu bukan nyanyuk kerana dia masih boleh berjalan dan masih kenal sesiapa yang diselisih.
Ibu saya kerap terkencing ketika tidur, tetapi apabila bangun untuk menunaikan solat, dia tidak menukar pakaiannya itu dan terus mengambil wuduk dan bersolat.
Mustahil dia tidak perasan kerana tilam dan bajunya basah. Malah, telekung yang ibu pakai pun berbau hancing. Sudah puas saya menasihatinya, tetapi dia hanya mendiamkan diri.
Sejak dari dulu ibu tidak mementingkan aspek kebersihan termasuk kebersihan rumah. Apakah cara terbaik untuk menasihati ibu supaya dia tidak tersinggung?
ANAK SERBA SALAH
Kuala Lumpur
ISLAM sangat mementingkan kebersihan dan kesucian. Ini jelas dalam sabda Nabi s.a.w. : “Kebersihan itu sebahagian daripada keimanan”.
Kita dituntut supaya menjaga kebersihan diri, pakaian dan tempat tinggal.
Lebih-lebih lagi kebersihan dituntut apabila melakukan ibadah kepada Allah.
Kita hendaklah suci daripada najis dan hadas. Begitu juga pakaian dan tempat ibadah hendaklah suci dan bersih.
Sikap menjaga kebersihan hendaklah disemai sejak kecil. Dalam menangani keadaan ibu anda sekarang, ada baiknya anda mengambil inisiatif termasuk membersih pakaian yang dipakai, tempat tidur dan pakaian solat ibu.
Anda juga boleh mengambil langkah memakaikan ibu dengan lampin orang tua sekiranya boleh. Usahakan supaya ibu memahami tindakan yang dibuat dengan bercakap secara berhemah.
Jika anda melayan ibu secara baik dan bertanggungjawab, perasaan ibu tentu tidak tersinggung. Sebagai anak, kita hendaklah sentiasa berbakti kepada kedua ibu bapa dengan sebaik mungkin.
Al-Quran menjelaskan: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa. Jika salah seorang daripada kedua-duanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada kedua-duanya sekalipun perkataan ‘ah’, dan janganlah engkau menengking mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.
Dan rendahkanlah dirimu kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah: ‘Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil. Tuhanmu lebih mengetahui apa yang ada di hatimu; jika kamu orang yang baik, maka sesungguhnya Ia adalah Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat.’” (Surah al-Isra’ ayat 23 hingga 25)
No comments:
Post a Comment