
‘Produk’ Tadika Islam MAIWP
Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Gambar DJOHAN SHAHRIN SHAH
Pengurus Bahagian Pembangunan Insan MAIWP, Zaiton Abdul Rahman (tengah, tudung putih) meraikan kejayaan murid-murid dalam akademik dan pertandingan pada Festival Kebudayaan Tadika Islam MAIWP di Masjid Wilayah, Jalan Duta, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
SAAT ini, anak-anak kita sedang menikmati percutian sekolah sebelum kembali menempuh sesi persekolahan 2011 yang akan bermula awal Januari depan.
Walaupun dalam mood cuti sekolah, tidak salah untuk kita memperkatakan soal pendidikan kanak-kanak. Sebabnya, kita tidak mahu musim cuti menyebabkan kita alpa terhadap kepentingan pelajaran.
Tambahan pula, menuntut ilmu merupakan satu komitmen yang tiada penghujungnya. Daripada dalam buaian sehingga ke liang lahad.
Maka cuti persekolahan tidak boleh dijadikan alasan untuk break memperkatakan soal pendidikan. Terutama pendidikan prasekolah
Dalam dekad ini, pendidikan awal iaitu di peringkat prasekolah atau tadika menjadi wajib kepada anak-anak sebelum melangkah ke alam persekolahan sebenar pada usia tujuh tahun.
Inilah yang diberi perhatian oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) apabila melaksanakan sistem Tadika Islam MAIWP di 78 tadika di bawah pentadbiran mereka.
Daripada jumlah itu, 74 beroperasi di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan empat lagi di Wilayah Persekutuan Labuan.
Usaha tarbiah awal itu baru-baru ini dituai hasilnya apabila 2,259 murid Tadika Islam MAIWP sesi 2009/2010 menamatkan pengajian masing-masing.
Kesemua mereka diraikan dalam satu majlis di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.
Mereka terdiri daripada murid-murid di enam zon iaitu Zon Titiwangsa, Zon Setapak, Zon Bangsar, Zon Batu, Zon Bandar Tun Razak dan Zon Labuan.
Untuk mentadbir tadika sebanyak itu, bukanlah satu tugas yang mudah. Namun MAIWP berjaya mempamerkan pelbagai keunikan malah setanding dengan keluaran tadika-tadika yang dikendalikan oleh pihak swasta.
Dengan bayaran RM20 sebulan, para pelajar Tadika Islam MAIWP mengikuti satu sistem pendidikan prasekolah yang bersepadu atau berintegrasi antara Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan dengan komponen al-Quran, Bahasa Arab serta tulisan Jawi dalam usaha melahirkan generasi ulul albab.
Menurut tokoh pendidik, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba, generasi ulul albab tidak sekadar mengajak manusia memerhati, berfikir dan mengambil hikmah terhadap kejadian Allah tetapi melihat bagaimana faktor makrokosmos atau alam itu mempunyai hubungan dengan kehidupan manusia di muka bumi.
Ini kerana alam adalah ‘buku terbuka’ yang paling besar dan luas untuk dikaji oleh manusia.
Justeru, menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Anan C. Mohd., pendidikan prasekolah kanak-kanak Islam yang berusia lima dan enam tahun di Wilayah Persekutuan mendapat perhatian utama pihaknya.
Kata beliau, golongan kanak-kanak bakal menjadi pemimpin di masa akan datang.
“Lalu membekalkan mereka ilmu dan membentuk sahsiah diri mesti bermula dari usia kecil kerana anak-anak merupakan anugerah Allah kepada kita semua yang dilahirkan dalam keadaan suci bersih ibarat kain putih lembut lagi suci.
“Malah Imam Al Ghazali r.a pernah menyebut, Sesungguhnya anak-anak kita adalah umpama permata,” katanya.
No comments:
Post a Comment