Wednesday, October 13, 2010


Bantah pesta ria berhampiran surau

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

INILAH pesta ria di persimpangan Jalan Chui Chak/Jalan Alor Bakong, Teluk Intan yang hampir siap dipasang dan hanya menunggu masa untuk beroperasi.

TELUK INTAN 12 Okt. - ''Kami mahu pihak Pejabat Daerah Hilir Perak membatalkan segera kelulusan yang telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk mengadakan pesta ria atau fun fair di sini.

''Kami tidak mahu fun fair itu diteruskan untuk kebaikan penduduk di kawasan ini. Malah kami juga tidak mahu sebarang usaha untuk mengadakan pesta seumpama ini dilakukan di kawasan ini selama-lamanya."

Itu antara amaran yang diberikan oleh lebih 80 penduduk yang mengadakan demonstrasi aman membantah usaha sebuah syarikat untuk menganjurkan fun fair berdekatan dengan pekarangan Surau Al-Muhajirin, Desa Maju Perak, Alor Bakong, Langkap dekat sini semalam.

Sambil mendesak pihak tersebut membatalkan hasrat menganjurkan pesta itu, mereka turut memegang beberapa sepanduk yang antara lain tertera 'Umat Islam membantah judi dan hiburan yang melampau', 'Jangan sogok kami dengan hiburan yang melampau' dan 'Judi haram'.

Jurucakap kumpulan tersebut, Dollah Tawab, 75, berkata, mereka kesal kerana Pejabat Daerah Hilir Perak telah membenarkan pesta berkenaan beroperasi walaupun menyedari majoriti penduduk di kawasan itu beragama Islam.

''Kita risau dan juga bimbang akan berlaku beberapa perkara yang bertentangan dengan Islam seperti permainan berunsurkan perjudian.

''Selain itu, kita juga bimbang gejala sosial seperti maksiat, penyalahgunaan dadah dan aktiviti-aktiviti tidak bermoral akan wujud sekiranya pesta ini diteruskan juga.

''Kita berharap pihak yang meluluskan pesta ini agar mengkaji semula tindakan mereka demi kebaikan masyarakat sendiri," katanya di sini.

Pegawai Daerah Hilir Perak, Ahmad Zainuddin Yeop Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk mengadakan pesta itu selama sebulan.

Ketika ditanya mengenai tindakan penduduk tempatan mengadakan demonstrasi membantah pesta itu, beliau berkata, laporan yang diterima daripada pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini memberikan maklum balas positif.

''Bukan pihak kami sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan kebenaran mengadakan pesta ini tetapi maklum balas daripada jabatan-jabatan lain juga telah memberikan reaksi positif.

''Biasanya kami akan membuat keputusan meluluskan atau tidak berpandukan kepada laporan dan ulasan beberapa jabatan kerajaan.

''Sekiranya semua jabatan puas hati di atas syarat ditetapkan selepas membuat siasatan atau lawatan ke tapak dicadangkan, mereka akan menghantar laporan kepada kami untuk diadakan satu mesyuarat khas bagi membincang dan membuat keputusan sama ada meluluskan permohonan atau tidak," kata Ahmad Zainuddin.

Kata beliau lagi, berdasarkan laporan dan ulasan yang diterima, menjelaskan bahawa tanah berkenaan adalah milik persendirian.

''Saya juga tidak nampak ada permainan yang disifatkan sebagai berunsur perjudian. Sehingga kini pihak kami tidak menerima sebarang aduan atau bantahan bertulis daripada mana-mana pihak bagi membolehkan kami bertindak," katanya.

Menurutnya, penduduk setempat mempunyai hak menyuarakan pandangan masing-masing dan mereka juga boleh membuat aduan tentang perkara itu kepada pihak-pihak berwajib.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mahu kelulusan bagi mengadakan pesta tersebut dikaji semula berikutan bantahan penduduk setempat.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri berkata, pihak terbabit seharusnya mendapat pandangan daripada pemimpin masyarakat sebelum membuat sesuatu keputusan.

''Ini kerana ia melibatkan masyarakat itu sendiri dan bukannya jabatan kerajaan untuk memberi ulasan berhubung sesuatu perkara kerana kesan akhirnya ditanggung oleh rakyat," katanya.

Tuesday, October 12, 2010

Bidaah

Memahami hadis tentang bidaah

KAEDAH ilmu menetapkan bahawa hadis-hadis Nabi SAW perlu ditafsir di antara sebahagiannya dengan sebahagian hadis yang lain dan perlu disempurnakan sebahagiannya dengan sebahagian yang lain. Umat Islam perlu memahami sabda Nabi Muhammad SAW dengan pemahaman yang cermat, komprehensif dan sempurna. Ia juga mesti ditafsirkan dengan roh Islam dan difahaminya bertepatan dengan pendapat dan penelitian Ahli Nazar (Pakar-pakar pengkaji Islam).

Oleh kerana itu, kita mendapati untuk memahami atau mentafsir banyak hadis, memerlukan kepada kecemerlangan akal, kecerdasan intelektual dan pemahaman yang mendalam serta disertai hati yang sensitif. Pemahamannya mesti berdasarkan syariat Islam. Di samping memerhatikan keadaan dan situasi umat Islam serta pelbagai keperluannya. Situasi dan keadaan umat memang harus diselaraskan dengan batasan-batasan kaedah Islam, nas-nas al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad SAW tanpa terkeluar daripadanya.

Contohnya termasuklah hadis ini: "Setiap bidaah adalah sesat." Untuk memahami hadis seperti ini dengan betul, kita mesti mengatakan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis ini ialah bidaah sayyi'ah, iaitu bidaah yang salah dan menyesatkan. Yang tidak didasarkan kepada ajaran pokok agama Islam.

Pendekatan seperti ini atau apa diistilahkan sebagai taqyid (membataskan yang mutlak) juga digunakan pada hadis yang lain seperti hadis:"Tidak ada solat (yang sempurna) bagi tetangga masjid, kecuali (yang dilakukan) di dalam masjid."

Hadis di atas, meskipun mengandungi hasr (pembatasan), iaitu menafikan solat tetangga masjid, tetapi kandungan umum daripada hadis-hadis lain mengenai solat, mengisyaratkan bahawa hadis tersebut perlu difahami dengan suatu qayyid atau pengikat. Maka pengertiannya ialah, "tidak ada solat (fardu) yang sempurna bagi tetangga masjid, kecuali di masjid." Namun, tetap terdapat perselisihan pendapat di antara ulama dalam isu ini.

Begitu juga dengan hadis Rasulullah SAW ini: "Tidak ada solat di samping makanan (yang telah terhidang)." Maksudnya adalah "tidak sempurna solat di samping makanan yang telah terhidang."

Pendekatan yang sama juga harus kita gunakan untuk memahami hadis berikut: "Tidak beriman seseorang kamu kecuali ia mencintai saudaranya seperti ia mencintai dirinya sendiri." Iaitu dengan erti kata, "tidak sempurna iman."

Begitu juga hadis berikut: "Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman. Demi Allah! Tidak beriman (dengan keimanan yang sempurna)." Ada yang bertanya, "Siapakah (yang tidak sempurna keimanannya) itu, wahai Rasulullah?" Baginda SAW bersabda: "Orang yang jirannya tidak berasa aman dengan gangguannya."

Demikian juga hadis-hadis ini: "Tidak masuk syurga pengadu domba." "Tidak masuk syurga pemutus tali persaudaraan. Tidak masuk syurga orang yang derhaka kepada kedua orang tuanya."

Menurut tafsiran ulama, yang dimaksudkan dengan tidak masuk syurga itu adalah tidak masuk awal ke dalam syurga, atau tidak masuk syurga jika menghalalkan perbuatan mungkar tersebut. Justeru kita dapati, para ulama tidak memahami hadis tersebut menurut zahirnya, tetapi mereka memahaminya melalui dengan pendekatan takwil (melihat makna alternatif yang muktabar).

Maka hadis bidaah tersebut juga termasuk dalam bab ini. Keumuman kandungan pelbagai hadis lain dan amalan para sahabat RA memberikan kesan bahawa yang dimaksudkan dengan bidaah dalam hadis tersebut hanyalah bidaah sayyi'ah; yakni bidaah yang jelas tidak mempunyai landasan pokok daripada ajaran Islam; dan bukan semua bidaah.

Cuba pula kita perhatikan hadis berikut: "Sesiapa yang melakukan suatu Sunnah yang baik, maka ia berhak mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya hingga hari Kiamat." Juga hadis, "Hendaklah kalian mengikut Sunnahku dan Sunnah para khalifah yang memberikan petunjuk." Perhatikan juga perkataan Umar al Khattab RA mengenai solat Terawih (secara jemaah): "Sebaik-baik bidaah adalah perbuatan ini."

Semai Benih Al Quran Dalam Jiwa


Menyemai al-Quran di jiwa rakyat

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my

Murid dan guru menadah tangan berdoa pada majlis Khatam Program Pintar al-Quran Kanak-Kanak Tadika peringkat negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 11 Okt. - Suasananya penuh warna-warni dan meriangkan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini baru-baru ini yang sesak dengan ribuan kanak-kanak prasekolah dari serata pelosok negeri ini.

Dengan berpakaian serba baru, mereka berkumpul sejak awal pagi, ditemani guru-guru, di samping ibu bapa dan anggota keluarga lainnya yang hadir dengan rasa syukur dan gembira.

Di sini, ibu bapa menyaksikan satu lagi detik bermakna dalam kehidupan anak-anak mereka ketika meniti usia awal dalam Majlis Khatam al-Quran Tadika peringkat negeri yang menjadi tradisi tahunan itu.

Di sini juga, pemimpin negeri menilai usaha yang dirintis sejak lima tahun lalu mencatat pencapaian membanggakan dari tahun ke tahun dan memberi inspirasi kepada usaha berterusan.

Ia bagi memenuhi harapan agar setiap generasi anak negeri celik al-Quran yang menjadi bekalan sebagai benteng pengukuhan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Melalui Program Pintar Al-Quran yang dimulakan oleh kerajaan negeri sejak 2006, ia terus mencatatkan perkembangan memberangsangkan dengan jumlah kanak-kanak yang khatam melonjak kepada 6,246 orang tahun ini.

Ia merupakan usaha terancang bagi menyemaikan al-Quran dalam jiwa setiap kanak-kanak seawal usia lima tahun agar membesar dalam kehidupan beragama dan menjadi generasi Ulul Albab.

Terasnya dengan mengukuhkan pegangan dan jati diri melalui kecintaan dan penguasaan al-Quran secara meluas di institusi-institusi pendidikan prasekolah.

Program Pintar al-Quran ini menyasarkan kemampuan kanak-kanak celik al-Quran dalam tempoh dua tahun sebelum melangkah ke tahun satu persekolahan bagi memudahkan proses pembelajaran seterusnya.

Bermula dengan 937 orang pada tahun awal, angka itu meningkat kepada 2,660 (2008) dan melonjak kepada 4,622 tahun lalu manakala bilangan hafaz Yasin pula meningkat daripada 142 (2008), 175 (2009) dan 250 tahun ini.

Tahun ini ia melakar satu lagi sejarah baru apabila Yayasan Islam Terengganu (YIT) bergabung dengan Jabatan Pelajaran, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional dalam memperluaskan program tersebut.

Daripada 6,246 kanak-kanak yang khatam, seramai 1,630 adalah murid prasekolah Yayasan Islam Terengganu (YIT), 280 prasekolah Jabatan Pelajaran, 1,666 Tabika Kemas dan 150 Tabika Perpaduan.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang merasmikan majlis itu ternyata terkesan dengan suasana pada hari itu apabila kanak-kanak turut memperdengarkan bacaan al-Quran secara bertaranum, bacaan Yasin dan terjemahan, di samping persembahan sketsa sejarah Islam serta Choral Speaking.

Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Tengku Putera Tengku Awang; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Khazan Che Mat; Mufti, Datuk Dr. Alias Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu, Wan Harujan Sulaiman.

Berucap pada majlis itu, Menteri Besar meletakkan sasaran 10,000 untuk dicapai pada tahun-tahun akan datang manakala sejumlah 20,000 murid sekolah rendah berjaya khatam sebelum melangkah ke sekolah menengah setiap tahun.

Beliau menegaskan, usaha melahirkan masyarakat seimbang dalam penguasaan ilmu akan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri bagi membentuk tamadun bangsa yang lebih cemerlang.

''Ia sebahagian daripada agenda merakyatkan pembangunan seiring dengan usaha menjadikan negeri ini sebagai 'anjung ilmu' yang akan dilakukan berterusan malah akan terus ditingkatkan," ujar beliau.

Katanya, kerajaan negeri akan terus mencari pendekatan terbaik dan sentiasa sedia mengeluarkan peruntukan dalam meninggikan syiar Islam dan taraf kehidupan serta kesejahteraan rakyat.

''Sehubungan dengan itu juga kerajaan negeri akan turut membiayai pengendalian Program Pintar al-Quran lebih meluas melibatkan 100 lagi kelas Tabika Kemas dengan anggaran peruntukan RM800,000," ujarnya.

Terdahulu, Khazan ketika berucap pada majlis itu menyifatkan peningkatan jumlah kanak-kanak yang khatam merupakan satu kejayaan besar dan turut memperlihatkan peningkatan kesedaran di kalangan ibu bapa dalam usaha mendidik anak-anak mengikut Islam.

Katanya, pencapaian Terengganu yang menjadi model ikutan negeri-negeri lain merupakan satu pendekatan strategik agar proses tarbiah dapat dihayati dengan baik bermula pada awal usia.

''Program ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi memartabatkan Islam dan syiarnya serta merealisasikan gagasan Ulul Albab," ujarnya.

Saturday, October 2, 2010

Kejadian Adam

Kisah Rasul: Adam diarak malaikat 100 tahun


2010/08/13

PADA suatu ketika, Allah menitahkan malaikat Jibrail ke bumi mengambil sebahagian tanahnya mencipta Adam.

Tetapi, bumi enggan membenarkan tanahnya diambil untuk dijadikan Adam, kerana bumi bimbang Adam berbuat maksiat kepada Allah.

Lalu Jibrail kembali menemui Tuhan, ia tidak dapat berbuat apa-apa, mendengar sumpah bumi. Kemudian, Allah memerintah malaikat Mikail, jawapan bumi tetap sama dan Allah menitah pula malaikat Israfil, tetapi bumi masih enggan dan masing-masing kembali dengan tangan penuh hampa.

Lalu yang terakhir, Allah menyuruh malaikat Izrail ke bumi. Kata Allah: " Hai Izrail engkaulah kini yang aku tugaskan mengambil tanah.

Meskipun bumi menyumpah dengan ucapan bagaimanapun jangan engkau undur. Katakan kamu melakukan atas perintah dan atas nama-Ku."

Apabila Izrail ke bumi dan menyampaikan perintah Allah, bumi akhirnya akur tanahnya diambil.

Setelah Izrail mengambil beberapa jenis tanah, dia kembali ke hadrat Allah. Lalu Allah berfirman: "Ya Izrail, pertama engkau yang Ku-tugaskan mengambil tanah, dan kelak Ku-tugaskan engkau mencabut roh manusia."

Maka Izrail bimbang dibenci manusia. Lalu Allah berfirman: "Tidak, mereka tidak akan memusuhi kamu, Aku Yang mengaturnya, dan aku jadikan kematian mereka itu bersebab, terbunuh, terbakar atau sakit."


Tanah bagaimana dijadikan Adam?
1. Tanah tempat bakal berdirinya Baitul Mugaddis
2. Tanah Bukit Tursina
3. Tanah Iraq
4. Tanah Aden
5. Tanah Al-Kautsar
6. Tanah tempat bakal berdirinya Baitullah
7. Tanah Paris
8. Tanah Khurasan
9. Tanah (Babylon)
10. Tanah India
11. Tanah syurga
12. Tanah Tha'if

Kata Ibnu Abbas :
1. Kepala Adam dari tanah Baitul Muqadis, kerana di situlah berada otak manusia, dan di situlah tempatnya akal.
2. Telinganya dari tanah Bukit Thursina, kerana dia alat pendengar dan tempat menerima nasihat.
3. Dahinya dari tanah Iraq, kerana di situ tempat sujud kepada Allah.
4. Mukanya dari tanah Aden, kerana di situ tempat berhias dan tempat kecantikan.
5. Matanya dari tanah telaga Al-Kautsar, tempat menarik perhatian.
6. Giginya dari tanah Al-Kautsar, tempat manis.
7. Tangan kanannya dari tanah Kaabah, untuk mencari nafkah dan kerjasama sesama manusia.
8. Tangan kirinya dari tanah Paris, tempat beristinjak.
9. Perutnya dari tanah Babylon. Di situlah tempat seks (berahi) dan tipu daya syaitan untuk menjerumuskan manusia ke lembah dosa.
10. Tulangnya dari tanah Bukit Thursina, alat peneguh tubuh manusia.
11. Dua kakinya dari tanah India, tempat berdiri dan jalan.
12. Hatinya dari tanah syurga Firdaus, kerana di situlah iman, keyakinan, ilmu dan kemahuan.
13. Lidahnya dari tanah Tha'if, tempat mengucap syahadah, bersyukur dan mendoakan kepada Tuhan.

Bagaimanakah prosesnya :
1. Ketika Allah menjadikan Adam, tanah itu bercampur air tawar, air masin, air hanyir, angin, api. Kemudian Allah resapkan Nur kebenaran dalam diri Adam dengan pelbagai macam "sifat".
2. Lalu tubuh Adam itu digenggam dengan genggaman "Jabarut" kemudian diletakkan di dalam "Alam Malakut".
3. Sesungguhnya tanah yang akan dijadikan "tubuh Adam" adalah tanah pilihan. Maka sebelum dijadikan patung, tanah itu dicampurkan dengan rempah-rempah, wangi-wangian dari sifat nur sifat Allah, dan dirasmi dengan air hujan "Barul Uluhiyah".
4. Kemudian tubuh itu dibenamkan di dalam air "Kudral-Izzah-Nya" iaitu sifat "Jalan dan Jammal". Lalu diciptakan menjadi tubuh Adam yang sempurna.
5. Demikian pula roh, ketika itu diperintah masuk ke tubuh Adam, ia malas dan enggan, malah berputar-putar, mengelilingi patung Adam yang terlantar.
Kemudian Allah menyuruh malaikat Izrail untuk memaksa roh itu masuk, akhirnya ia menyerah kepada Izrail.

Menurut riwayat ketika Adam masih di syurga, sangat baik sekali kulitnya. Tidak seperti warna kulit kita sekarang ini.

Kerana Adam diturunkan ke dunia, terjadilah perubahan pada warna kulitnya. Sebagai peringatan yang masih tertinggal warnanya hanyalah pada kuku manusia.

Hal ini kita biasa lihat meskipun orang kulitnya hitam, warna kukunya adalah sama, ialah putih kemerah-merahan. Dijadikan pada tubuh Adam ada sembilan rongga atau liang.

Tujuh buah liang di kepala dan dua liang di bawah badan letaknya.
Tujuh buah letaknya di kepala: dua liang mata, dua liang telinga, dua liang hidung dan sebuah liang mulut.

Yang dua macam di bawah: sebuah liang kemaluan dan liang dubur.

Dijadikan pula lima pancaindera:
1. Mata alat penglihatan
2. Hidung alat penciuman
3. Telinga alat pendengaran
4. Mulut alat perasa manis, masin dan sebagainya.
5. Anggota tubuh lainnya seperti kulit, telapak tangan, untuk merasa halus, kasar dan sebagainya.

Selepas roh masuk tubuh Adam perlahan-lahan sehingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun.

Demikianlah Allah memberi kekuatan pada Izrail memasukkan roh ke tubuh Adam. Dahulu Izrail ditugaskan mengambil tanah untuk Adam, dan kini mencabut nyawa manusia.

Selepas meresap ke kepala Adam, maka terjadilah otak dan tersusun urat sarafnya dengan sempurna. Kemudian terjadilah matanya seketika itu matanya terus terbuka melihat dan melirik ke kiri dan ke kanan.

Dan juga melihat ke bawah di mana bahagian badannya masih adalah tanah keras. Dilihatnya kiri dan kanan malaikat yang sedang menyaksikan kejadian dia.
Ketika itu Adam mendengar malaikat mengucapkan tasbih dengan suara merdu dan mengasyikkan. Ketika roh sampai ke hidungnya lalu ia bersin, serta mulutnya terbuka.

Ketika itulah Allah mengajarnya mengucap Alhamdulillah. Itulah ucapan Adam yang pertama kepada Allah.

Lalu Allah berkata: "Yarkhamukallah" yang ertinya: "semoga engkau diberi rahmat Allah". Oleh kerana itu jika orang bersin menjadi ikutan sunat mengucap "Alhamdulillah" dan orang yang mendengarnya sunat mengucapkan
"Yarkhamukallah".

Kemudian ketika roh sampai pada dadanya, tiba-tiba saja ia mahu bangun. Padahal bahagian badannya ke bawah masih menjadi tanah keras.

Di sini menunjukkan sifat manusia yang suka tergesa-gesa (tidak sabar). Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: "Dan adalah manusia itu, suka tergesa-gesa".

Maka, ketika roh itu sampai di perutnya, terjadilah susunan isi perut dengan sempurna. Maka seketika itu terasa lapar.

Kemudian terus roh itu meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan, kaki lalu terjadi darah daging dan tulang, urat-urat, berkulit dengan sempurna, kian lama kian bagus dan halus.

Apabila kejadian Adam sempurna sebagai manusia baru, maka dialah adalah jenis makhluk manusia yang pertama.

Wajahnya cukup cantik, semua malaikat kagum melihat Adam yang menawan. Adam diarak malaikat selama 100 tahun lalu diperkenalkan kepada seluruh penghuni langit pertama hinggalah ketujuh sebelum dibawa ke syurga tempat mula-mula Adam dijadikan.

Pinang Lelaki Pulak Ye

Lamar lelaki langkah terpuji
Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my
2010/09/30

ADA si teruna yang lambat menyatakan hasrat menyunting pilihan hati lalu jatuh ke pihak lain. Begitu juga halnya de ngan seorang wanita yang tertarik dengan lelaki yang dirasakan calon sesuai untuk dijadikan suami namun disebabkan dia hanya menunggu akhirnya turut terlepas peluang.


BERSATU...pasangan hidup adalah teman yang akan bergandingan dalam melaksanakan ibadat sebagai hamba Allah di muka bumi ini. - Gambar hiasan

IKAT PERTUNANGAN...tiada larangan dalam Islam jika wanita membuat lamaran terhadap lelaki yang layak menjadi pasangan hidupnya. Apa yang berlaku itu berkait rapat dengan soal lambat menzahirkan lamaran.
Perigi mencari timba pula merujuk kepada wanita yang berusaha mencari lelaki untuk dijadikan teman hidup.

Namun dalam masyarakat kita perkara berkenaan dianggap lari daripada adat dan budaya.

Mungkin ‘tugas’ itu sukar dan mustahil kerana ia tidak pernah dilakukan dalam masyarakat kita.

Lihat saja sejarah Siti Khadijah yang bertindak ‘berani’ melamar Nabi Muhammad s.a.w. Beliau tidak berasa rendah diri walaupun jarak usianya dengan Rasulullah agak jauh.

Bagaimana dengan wanita moden yang mahu mencontohi tindakan Siti Khadijah? Kita semua tahu, Siti Khadijah berketurunan bangsawan yang kaya-raya.


Bukan saja mempunyai perniagaan besar, tetapi beliau juga disegani kerana mempunyai kebijaksanaan dan sopan-santun tinggi.

Bagaimana jika wanita datang menyunting lelaki pilihannya dengan menggunakan orang perantaraan bagi menyampaikan hasratnya?



Mungkin kaum wanita mengang gap usaha mereka itu sebagai ‘terhegeh-hegeh’ dan sebab itulah ia gagal dilaksanakan.

Diharap selepas ini kaum wanita terbuka hatinya untuk merubah budaya.
Wanita meminang lelaki adalah sesuatu yang lumrah. Selain Siti Khadijah meminang Rasulullah dan Saidina Umar juga pernah meminang Saidina Abu Bakar untuk puterinya Siti Habsah.

Jika mereka bertemu dengan lelaki yang layak menjadi pasa ngan maka ambillah peluang untuk memulakan lamaran. Jangan takut untuk mencuba dan berasa malu kerana jika ditolak sekalipun Allah pasti menjanjikan insan yang lebih baik untuk mereka.

Pernah pinangan Umar ditolak Saidina Abu Bakar, tetapi penolakan itu dilakukan dengan cara paling terhormat. Namun selepas itu Umar mendapat calon yang lebih baik apabila Rasulullah memperisterikan Siti Habsah.

Jelas Allah tidak akan mengecewakan hamba yang bersungguh melaksanakan syariat-Nya. Sayang sekali, malu kita tidak merujuk kepada syariat.

Sebuah hadis yang diriwayatkan Anas berkata: “Ada seorang wanita yang datang menawarkan diri kepada Rasulullah dan berkata: “Ya Rasulullah! Apakah kau memerlukan aku?” Puteri Anas yang hadir ketika mendengar perkataan wanita itu mencelanya dengan mengatakan dia tidak punya harga diri dan rasa malu. “Sungguh memalukan dan betapa buruknya...!” Anas berkata kepada puterinya itu: “Dia lebih baik daripadamu! Wanita itu senang kepada Nabi dan menawarkan dirinya!” (Riwayat Bukhari)

Pendakwah dan Pengarah Penyelidikan dan Modul Fitrah Perkasa Sdn Bhd, Pahrol Mohamad Juoi, berkata malu dalam Islam mesti diukur atas dasar iman.

“Tidak seharusnya seorang wanita berasa malu untuk memulakan langkah untuk melamar lelaki yang dirasakan layak untuknya.

“Malah, tiada tentangan dari sudut akidah, syariah dan akhlak Islamiah terhadap perkara berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pendekatan yang digunakan perlu selaras dengan prinsip dan matlamat yang bertepatan dengan nilai agama.

“Umpamanya, wanita perlu menggunakan orang tengah iaitu keluarga, sahabat dan orang yang boleh dipercayainya untuk tujuan melamar.

“Jika diterima, alhamdulillah dan jika ditolak sekalipun tidak mengapa. Allah tetap menilai percubaan itu sebagai amal soleh kerana mereka sudah melakukan sesuatu yang halal dan harus di sisi Islam,” katanya.

Pahrol berkata tidak timbul soal perigi mencari timba kerana dalam sejarah Islam ada pihak wanita yang meminang lelaki dan begitulah sebaliknya.

“Kedua-dua cara berkenaan boleh dilaksanakan. Apabila ada wanita melamar lelaki yang dirasakan baik untuk dijadikan pasangan hidup ia adalah usaha yang sangat terpuji.

“Berjaya atau tidak, bukan soalnya kerana Allah menilai usaha berkenaan. Jangan sesekali berasa diri direndahkan.

Mereka perlu berasa malu jika terbabit dengan pergaulan bebas, pendedahan aurat dan tindakan haram lain untuk mendapatkan pasangan hidup,” katanya.

Beliau berkata pasangan hidup adalah teman yang akan bersama-sama membentuk keluarga dalam menjalani ibadat sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini.

“Ini misi besar dan berat. Bermula dari keluarga barulah terbentuknya sebuah masyarakat, negara dan ummah. Untuk membentuk keluarga ini perlu kepada lelaki kepada wanita.

“Wanita tidak seharusnya rasa ‘terhegeh-hegeh’ atau tidak laku. Wanita yang dikatakan tidak laku dan terhegeh-hegeh ialah mereka yang mendedah aurat, berkelakuan tidak senonoh dan bergaul bebas sehingga ke tahap hilang rasa malu, menggadai iman serta akhlak Islamiah.

“Bagaimana umpan begitulah ikan yang akan kita dapat. Jangan terkejut jika wanita yang mendedah aurat (seksi) akan mendapat lelaki hidung belang sebagai pasangannya,” katanya.

Berdasarkan sejarah yang masy hur, Pahrol berkata Siti Khadijah tertarik dengan keperibadian Nabi Muhammad yang mempunyai sifat jujur dan bijak ketika menjalankan perniagaan.

“Semua maklumat itu diperoleh daripada hambanya, Maisarah yang ditugaskan membantu serta mengiringi Rasulullah ketika berniaga.

“Sepanjang bermusafir Maisarah melihat, merasai dan meyakini bahawa Nabi Muhammad memang seorang yang baik kemudian menyampaikan laporan kepada tuannya Siti Khadijah.

“Khadijah mempunyai ketajaman menilai sumber maklumat. Apabila maklumat yang diterima diyakini benar, Siti Khadijah bertindak memanggil bapa saudaranya dan saudaranya yang lain untuk menyatakan hasrat melamar Nabi Muhammad.

“Allah mengkabulkan hajatnya dan lamarannya diterima,” katanya.

Beliau menasihatkan perkara utama untuk mencari pasa ngan ialah menjaga akhlak dan keperibadian selain memastikan maklumat pasangan itu benar.

“Carilah saudara, rakan, ustaz atau sesiapa yang terdekat de ngan lelaki pilihan kita. Setelah ada maklumat yang benar, dirikan solat istikharah untuk meminta Allah perteguhkan keputusan yang sudah ada atau meminta petunjuk membuat keputusan yang belum ada.

“Orang yang bersolat istikharah tidak akan kecewa kerana solatnya bukan saja mencari petunjuk Allah dalam membuat keputusan yang belum pasti, tetapi turut juga meminta diperteguhkan hati melaksanakan keputusan yang pasti.

“Selepas menetapkan keputusan, teguhkan azam dan terus bertawakal. Kemudian segerakan urusan lamaran dengan memilih wakil yang baik bagi urusan meminang dan seterusnya segerakan perkahwinan,” katanya.

Pahrol berkata bagi mereka yang sudah berusaha mencari pasangan, tetapi masih belum berjaya perlu bersangka baik kepada Allah.

“Penangguhan itu satu ujian yang pasti ada hikmahnya. Mung kin Allah hendak selamat kan mereka daripada mendapat suami yang jahat, pendera dan tidak bertanggungjawab.

“Jadi, berusahalah sambil menunggu ketentuan daripada Allah. Jangan membuat keputusan untuk tidak berkahwin sampai akhir hayat kerana ia bertentangan dengan syariat dan fitrah.

“Golongan yang menentang peraturan Allah akan menderita jiwanya dan hidup dalam kesepian. Dalam apa saja keadaan, beribadatlah sehingga kita berasa letih untuk melakukan maksiat,” katanya.

Beliau berkata gelaran seperti ‘andartu’ dan ‘andalusia’ tidak sewajarnya dilemparkan kerana hakikatnya mereka sedang diuji Allah.

“Orang yang diuji sepatutnya dibantu, dikasihi dan didoakan. Masyarakat Islam sepatutnya memikirkan bagaimana kaedah untuk mencarikan jodoh buat mereka,” katanya.

Dua wanita disebat di Aceh


TUKANG sebat wanita melibaskan rotan terhadap Murni di luar sebuah masjid di Jantho, Aceh, semalam. - AFP

BANDA ACEH 1 Okt. - Dua wanita di wilayah Aceh menjalani hukuman sebat hari ini kerana kesalahan menjual makanan pada waktu berpuasa bulan Ramadan lalu.

Beratus-ratus penduduk berhimpun untuk menyaksikan Murni Amris, 27, dikenakan tiga sebatan dan Rukiah Abdullah, 22, menerima dua sebatan di sebuah masjid di bandar Jantho, ke tenggara ibu kota, Banda Aceh.

"Kedua-dua wanita didapati menjual nasi di sebuah gerai pada waktu tengah hari pada bulan Ramadan. Syariah melarang penjualan makanan pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan," kata ketua polis Syariah Aceh, Marzuki Abdullah.

Murni memiliki gerai tersebut dan Rukiah dipercayai pekerjanya.

Aceh di utara Sumatera adalah antara beberapa kawasan di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam. - AFP

Friday, October 1, 2010

Emas Perhiasan Kena Zakat

Tunaikan zakat emas perhiasan

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 30 Sept. - Golongan wanita yang gemar memakai dan menyimpan perhiasan daripada emas diseru supaya membayar zakat barang kemas mereka.

Eksekutif Promosi Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), Munawir Mohamed Nor berkata, membayar zakat ke atas emas perhiasan adalah wajib jika ia telah mencapai nisab dan haul (tempoh setahun) kerana dalilnya yang bersifat umum.

"Zakat ke atas emas perhiasan wajib dikeluarkan tetapi masih ramai di kalangan wanita yang tidak menunaikan kewajipan tersebut. Mungkin ada yang terlepas pandang kewajipan membayar zakat emas dan ada juga yang tidak tahu cara pengiraan pembayaran zakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja Pengurusan Harta Mengikut Perspektif Islam pada Seminar Zakat dan Pengurusan Harta Pusaka di sini semalam.

Seminar anjuran Badan Amal dan Usaha Isteri-isteri Wakil Rakyat (Baiduri) Barisan Nasional negeri Perak itu turut dihadiri Pengerusi Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Menurut Munawir, bagi menarik lebih ramai umat Islam di negeri ini membayar zakat, MAIAMP telah menubuhkan Unit Promosi Zakat secara bergerak untuk memberi penerangan kewajipan berzakat kepada masyarakat.

Jelas beliau, selain memberi penerangan, unit tersebut juga menyediakan perkhidmatan pengiraan zakat di rumah serta pejabat.

"Sasaran kita adalah supaya lebih ramai umat Islam menunaikan kewajipan berzakat. Jadi kita sediakan perkhidmatan ini ke rumah-rumah dan pejabat.

"Tidak perlu ke pejabat zakat. Hanya buat temujanji dengan pegawai kita dan kita akan memberikan perkhidmatan sama ada penerangan atau pengiraan zakat," katanya.

Unit promosi tersebut jelas beliau, mempunyai empat kakitangan dengan dibantu petugas-petugas di setiap daerah akan bergerak ke setiap kawasan memberi kefahaman berzakat kepada orang Islam.

Mereka yang mempunyai kemusykilan mengenai zakat boleh menghubungi MAIAMP di talian 05-2550485 atau melayari lama web www.maiamp.gov.my.