Friday, October 1, 2010

Emas Perhiasan Kena Zakat

Tunaikan zakat emas perhiasan

Oleh HAMIMAH HAMID
utusanperak@utusan.com.my
IPOH 30 Sept. - Golongan wanita yang gemar memakai dan menyimpan perhiasan daripada emas diseru supaya membayar zakat barang kemas mereka.

Eksekutif Promosi Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP), Munawir Mohamed Nor berkata, membayar zakat ke atas emas perhiasan adalah wajib jika ia telah mencapai nisab dan haul (tempoh setahun) kerana dalilnya yang bersifat umum.

"Zakat ke atas emas perhiasan wajib dikeluarkan tetapi masih ramai di kalangan wanita yang tidak menunaikan kewajipan tersebut. Mungkin ada yang terlepas pandang kewajipan membayar zakat emas dan ada juga yang tidak tahu cara pengiraan pembayaran zakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kertas kerja Pengurusan Harta Mengikut Perspektif Islam pada Seminar Zakat dan Pengurusan Harta Pusaka di sini semalam.

Seminar anjuran Badan Amal dan Usaha Isteri-isteri Wakil Rakyat (Baiduri) Barisan Nasional negeri Perak itu turut dihadiri Pengerusi Baiduri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Menurut Munawir, bagi menarik lebih ramai umat Islam di negeri ini membayar zakat, MAIAMP telah menubuhkan Unit Promosi Zakat secara bergerak untuk memberi penerangan kewajipan berzakat kepada masyarakat.

Jelas beliau, selain memberi penerangan, unit tersebut juga menyediakan perkhidmatan pengiraan zakat di rumah serta pejabat.

"Sasaran kita adalah supaya lebih ramai umat Islam menunaikan kewajipan berzakat. Jadi kita sediakan perkhidmatan ini ke rumah-rumah dan pejabat.

"Tidak perlu ke pejabat zakat. Hanya buat temujanji dengan pegawai kita dan kita akan memberikan perkhidmatan sama ada penerangan atau pengiraan zakat," katanya.

Unit promosi tersebut jelas beliau, mempunyai empat kakitangan dengan dibantu petugas-petugas di setiap daerah akan bergerak ke setiap kawasan memberi kefahaman berzakat kepada orang Islam.

Mereka yang mempunyai kemusykilan mengenai zakat boleh menghubungi MAIAMP di talian 05-2550485 atau melayari lama web www.maiamp.gov.my.

No comments:

Post a Comment