Wednesday, October 13, 2010


Bantah pesta ria berhampiran surau

Oleh AINSAFRE BIDIN
utusanperak@utusan.com.my

INILAH pesta ria di persimpangan Jalan Chui Chak/Jalan Alor Bakong, Teluk Intan yang hampir siap dipasang dan hanya menunggu masa untuk beroperasi.

TELUK INTAN 12 Okt. - ''Kami mahu pihak Pejabat Daerah Hilir Perak membatalkan segera kelulusan yang telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk mengadakan pesta ria atau fun fair di sini.

''Kami tidak mahu fun fair itu diteruskan untuk kebaikan penduduk di kawasan ini. Malah kami juga tidak mahu sebarang usaha untuk mengadakan pesta seumpama ini dilakukan di kawasan ini selama-lamanya."

Itu antara amaran yang diberikan oleh lebih 80 penduduk yang mengadakan demonstrasi aman membantah usaha sebuah syarikat untuk menganjurkan fun fair berdekatan dengan pekarangan Surau Al-Muhajirin, Desa Maju Perak, Alor Bakong, Langkap dekat sini semalam.

Sambil mendesak pihak tersebut membatalkan hasrat menganjurkan pesta itu, mereka turut memegang beberapa sepanduk yang antara lain tertera 'Umat Islam membantah judi dan hiburan yang melampau', 'Jangan sogok kami dengan hiburan yang melampau' dan 'Judi haram'.

Jurucakap kumpulan tersebut, Dollah Tawab, 75, berkata, mereka kesal kerana Pejabat Daerah Hilir Perak telah membenarkan pesta berkenaan beroperasi walaupun menyedari majoriti penduduk di kawasan itu beragama Islam.

''Kita risau dan juga bimbang akan berlaku beberapa perkara yang bertentangan dengan Islam seperti permainan berunsurkan perjudian.

''Selain itu, kita juga bimbang gejala sosial seperti maksiat, penyalahgunaan dadah dan aktiviti-aktiviti tidak bermoral akan wujud sekiranya pesta ini diteruskan juga.

''Kita berharap pihak yang meluluskan pesta ini agar mengkaji semula tindakan mereka demi kebaikan masyarakat sendiri," katanya di sini.

Pegawai Daerah Hilir Perak, Ahmad Zainuddin Yeop Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah meluluskan permohonan sebuah syarikat untuk mengadakan pesta itu selama sebulan.

Ketika ditanya mengenai tindakan penduduk tempatan mengadakan demonstrasi membantah pesta itu, beliau berkata, laporan yang diterima daripada pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini memberikan maklum balas positif.

''Bukan pihak kami sahaja yang mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan kebenaran mengadakan pesta ini tetapi maklum balas daripada jabatan-jabatan lain juga telah memberikan reaksi positif.

''Biasanya kami akan membuat keputusan meluluskan atau tidak berpandukan kepada laporan dan ulasan beberapa jabatan kerajaan.

''Sekiranya semua jabatan puas hati di atas syarat ditetapkan selepas membuat siasatan atau lawatan ke tapak dicadangkan, mereka akan menghantar laporan kepada kami untuk diadakan satu mesyuarat khas bagi membincang dan membuat keputusan sama ada meluluskan permohonan atau tidak," kata Ahmad Zainuddin.

Kata beliau lagi, berdasarkan laporan dan ulasan yang diterima, menjelaskan bahawa tanah berkenaan adalah milik persendirian.

''Saya juga tidak nampak ada permainan yang disifatkan sebagai berunsur perjudian. Sehingga kini pihak kami tidak menerima sebarang aduan atau bantahan bertulis daripada mana-mana pihak bagi membolehkan kami bertindak," katanya.

Menurutnya, penduduk setempat mempunyai hak menyuarakan pandangan masing-masing dan mereka juga boleh membuat aduan tentang perkara itu kepada pihak-pihak berwajib.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mahu kelulusan bagi mengadakan pesta tersebut dikaji semula berikutan bantahan penduduk setempat.

Zainol yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri berkata, pihak terbabit seharusnya mendapat pandangan daripada pemimpin masyarakat sebelum membuat sesuatu keputusan.

''Ini kerana ia melibatkan masyarakat itu sendiri dan bukannya jabatan kerajaan untuk memberi ulasan berhubung sesuatu perkara kerana kesan akhirnya ditanggung oleh rakyat," katanya.

No comments:

Post a Comment