Friday, October 15, 2010

Kawin Tidak Sah

Perkahwinan tak sah
Oleh Nor Azura Abdul Jalil

2010/10/15

KUALA LUMPUR: Kemelut rumah tangga yang melanda seorang ahli perniagaan warga Australia dengan gadis tempatan akhirnya bernoktah semalam apabila Mahkamah Tinggi Syariah di sini, memutuskan pernikahan mereka di Singapura, tahun lalu tidak sah mengikut syarak.

Hakim Syarie Amran Mat Zain dalam keputusannya semalam juga mengarahkan Najmalden Mohammad Saide, 37, dan Nadia Abdul Aziz, 26, memfaraq (membubarkan) perkahwinan mereka selain mengarahkan Nadia menjalani edah tiga kali suci.

Amran dalam penghakimannya berkata, pernikahan pasangan itu di sebuah hotel di Singapura pada 23 April 2009 tidak sah mengikut hukum syarak berlandaskan dua alasan utama, dua daripada lima rukun nikah iaitu wali dan saksi yang terbabit dalam pernikahan berkenaan, tidak sempurna. Menurutnya, mereka dinikahkan wali tahkim (wali yang dilantik pasangan terutama jika sesebuah negeri itu tiada wali hakim) yang tidak berkelayakan untuk menikahkan orang lain.


“Dalam keterangan wali itu pada prosiding sebelum ini, dia yang berasal dari India datang ke Singapura untuk bertemu rakannya.


“Wali berkenaan tidak pernah menikahkan sesiapa sebelum ini dan mendakwa menikahkan pasangan itu selepas didesak Najmalden walaupun dia mengetahui bahawa dia tidak mempunyai kuasa untuk menikahkan orang lain,” katanya. Selain itu, dua saksi pernikahan itu dalam keterangan sebelum ini memberitahu, mahkamah tidak memahami lafaz akad nikah kerana ia dijalankan dalam bahasa Arab bagaimanapun, mengetahui proses itu adalah akad nikah.


Pada 5 November 2009 Najmalden memfailkan permohonan pengesahan perkahwinan di mahkamah sama selepas mendapat tahu Nadia yang juga bekas pensyarah sebuah universiti akan ditunangkan dengan lelaki lain. Najmalden yang diwakili peguam syarie Datuk Zaidi Zin sebelum ini mendakwa mereka berdua saling menyayangi dan dia pernah bertemu mentuanya selepas bernikah, tetapi dihalau.


Permohonan pengesahan nikah dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.


Permohonan perintah injunksi untuk menghalang perkahwinan isterinya dibuat mengikut Seksyen 199 dan 200 Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.


Sementara itu, Nadia yang diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar, ketika menghubungi Harian Metro berkata, dia memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana kes itu akhirnya selesai.


“Saya bersyukur dengan keputusan mahkamah hari ini (semalam). Penantian saya selama ini sangat berbaloi.


“Saya harap gadis di luar sana berhati-hati supaya tidak terpengaruh dengan lelaki terutamanya lelaki bangsa asing,” katanya.

No comments:

Post a Comment