Sunday, October 17, 2010

Amanah

Pedoman: Sifat amanah dituntut agama


2010/10/17

AMANAH adalah hak yang dipertanggungjawabkan kepada seseorang.
Pengertian amanah bererti menempatkan sesuatu pada tempatnya yang wajar, seperti sesuatu kedudukan tidak diberi kecuali kepada orang yang berhak dan yang mampu menunaikan tugas dan kewajipannya dengan benar.

Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya dan dia akan bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumah tangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumah tangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya.
Daripada hadis ini jelaslah bahawa setiap orang tidak dapat melepaskan diri daripada tanggungjawab, dan setiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya Allah SWT, apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak.
Terdapat satu kisah yang diceritakan oleh Abdullah Ibnu Dinar di mana pada suatu hari, ketika berjalan bersama Khalifah Umar Al-Khatab di Makkah, mereka bertemu seorang budak pengembala kambing yang sedang mengembala kambingnya.
Kemudian Saidina Umar berkata kepada budak pengembala kambing itu: “Jualkan kambing itu kepadaku.” Lalu budak itu menjawab: “Kambing ini bukan kambingku tetapi kepunyaan majikanku.”

Kemudian Saidina Umar sekali lagi cuba menawarnya: “Bukankah engkau dapat mengatakan kepada tuan engkau, bahawa satu di antaranya dimakan serigala, dan pasti tuan engkau tidak akan mengetahuinya.”
Namun, budak itu menjawab: “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.”
Kemudian setelah mendengar jawapan itu, maka, menangislah Saidina Umar dan berkata kepada pengiringnya supaya memanggil tuannya dan dibeli budak itu lalu dibebaskan oleh beliau, dengan berkata: “Sejak hari ini engkau bebas merdeka di dunia dan engkau akan lapang di akhirat.”
Untuk memenuhi erti amanah, hendaklah manusia berlumba-lumba menunaikan tugasnya dengan tegas dan bersungguh-sungguh serta sebaik-baiknya dalam menyempurnakan amanah yang dijunjung tinggi.
Islam menyarankan supaya manusia ikhlas bekerja dan suka memperhatikan hak-hak manusia yang diamanahkan kepadanya, tidak memandang ringan tugas yang diamanahkan.
Rasulullah SAW telah menjelaskan, tidak akan berlaku kiamat lebih besar dan lebih buruk daripada khianat seorang Muslim yang diamanahkan memimpin urusan manusia tapi kemudian diabaikannya sehingga semua urusan jadi terbiar dan sia-sia.
Oleh itu jangan kita menyalahgunakan kedudukan yang diberikan untuk menarik keuntungan peribadi atau keluarga, dan berusahalah menjalankan segala kewajipan dan amanah dengan ikhlas dan sebaik-baiknya, semoga kita semua memperoleh Rahmat daripada Allah SWT.

No comments:

Post a Comment