Friday, October 15, 2010

Mewakafkan Harta Berjiwa Mulia

Berjimat demi sembilan anak
Oleh Asmah Rusman

2010/10/15

KUALA LUMPUR: “Saya terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk menjual kuih-muih dan mengambil upah menjahit serta mengamalkan konsep berjimat cermat dengan memasukkan wang upah yang diperoleh dalam akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi menampung perbelanjaan keluarga,” kata Awiah Awi, 64, pemenang Anugerah Ibu Mithali ke-10, semalam.

Ibu tunggal dari Muar, Johor itu terpaksa mengharungi cabaran membesarkan sembilan anak semua lelaki kerana suaminya sering sibuk menjalankan tanggungjawab sebagai tentera.

“Kami selalu berpindah- randah mengikut suami bertugas. Oleh itu, boleh dikatakan hampir semua urusan keluarga dan anak terletak di bahu saya. Saya perlu memastikan anak berdisiplin dan saling membantu.


“Malah, anak yang bakal menduduki peperiksaan perlu menumpukan perhatian terhadap pelajaran masing-masing manakala yang lain meneruskan tanggungjawab membantu saya mengemas dan memasak di rumah,” katanya.


Ketokohan Awiah yang sanggup mewakafkan tanah dan sebahagian rumah untuk pembinaan Madrasah Tahfiz Al-Quran An-Nuur berjaya menobatkan beliau sebagai tokoh ibu mithali dengan membawa pulang wang tunai RM25,000, pakej umrah bagi tiga orang, kerongsang berlian, sepasang jubah dan selendang, Al-Quran digital, trofi dan sijil penghargaan.


“Sejak suami meninggal dunia empat tahun lalu, saya banyak menghabiskan masa menguruskan dusun tinggalan arwah selain memberi tumpuan kepada pengurusan tahfiz dengan dibantu anak saya yang juga guru tahfiz di situ,” katanya yang sering membuat pemeriksaan mengejut beg sekolah anak bagi memastikan tidak terbabit kegiatan negatif.


Sementara itu, Penaung Majlis Penganugerahan Ibu Mithali ke-10, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, anugerah ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada kaum ibu berperibadi mulia, membina keluarga dalam suasana Islam dan mendidik anak-anak hingga mencapai kejayaan dalam hidup.


“Ibu diibaratkan sekolah pertama bagi anak. Proses pembelajaran ini dikatakan bermula sejak dalam kandungan lagi, malah perlakuan ibu ketika mengandung sedikit sebanyak mempengaruhi perwatakan anak kelak,” katanya ketika berucap dalam majlis penganugerahan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.


Selain itu, beliau turut mengingatkan gadis remaja menghargai zuriat dikurniakan sebagai anugerah tidak ternilai, malah menyeru agar berhenti membuang, membakar dan menanam bayi sesuka hati.

No comments:

Post a Comment